TEKS UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO DATUK SERI
NAJIB TUN RAZAK sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ke-63 tahun 2012 di
Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 29 November
2012 (Khamis).
Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi
kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah
organisasi bagi mengadakan mesyuarat agung tahunan parti tercinta yakni
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.
Sesungguhnya perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual
dalam memenuhi tuntutan takwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam
terbaik melaksanakan proses muhasabah dan islah demi memperbetulkan
kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan hala tuju pertubuhan,
seterusnya memastikan kelangsungan jemaah.
Seperti semua maklum, ini merupakan perhimpunan agung terakhir
sebelum Pilihan Raya Umum yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut
Perlembagaan kalaupun tidak dibubar oleh Yang di-Pertuan Agong
berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga dengan
sendirinya, tanggal 28 April 2013.
Oleh itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan
saudari yang berada di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi
ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini, dan pastinya, sekian
ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama, walau yang
tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang tidak
pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya
sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.
Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita
yakin bahawa, jentera parti pula, daripada peringkat cawangan,
bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat kebangsaan telah pun
bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan.
Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya
sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan,
detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan mendokong peranan
masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharui
mandat.
Serentak itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat
sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah jua, apabila kita bertemu
pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, insya-Allah, kita akan
berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah, untuk
mengurus kepentingan negara, memakmur ekonomi dan mensejahtera rakyat
bagi tempoh lima tahun akan datang.
Malah, lebih jauh dari itu, moga-moga dengan izin Yang Maha Berkuasa
juga, kita kekal menjadi parti pemerintah yang akan menjulang darjat
Malaysia, sebagai negara maju apabila menyinsingnya fajar 2020 kelak.
Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang
marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu.
Beringatlah, Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 merupakan pengalaman
yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan
Nasional.
Sehubungan itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai,
selama bertahun-tahun ini, sewajarnya telah benar-benar menghimpunkan
bibit-bibit kesedaran di sanubari semua.
Seharusnya lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan
Persekutuan lebih separuh abad lalu, episod hitam itu sepatutnya
memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah ia merupakan isyarat jelas
rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk
berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat.
Apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan
bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan
menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu sajalah parti UMNO
akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya dipeduli oleh
rakyat.
Justeru, dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan
rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak
jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan keperluan ramai.
Sekalipun dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal
berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta
memulihkan sokongan rakyat kepada parti dan kerajaan.
Sesungguhnya juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana
mungkin dilakukan secara enteng atau semena-mena, sebaliknya ia telah
melalui proses rundingan dan mendengar secara meluas. Bersesuaian
prinsip bahawa, era kerajaan mengetahui segalanya dan memiliki monopoli
terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.
Lantas, menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah
menempa keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya
melindungi Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya
kembali ke landasan pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita daripada
perangkap negara berpendapatan sederhana. Di samping itu, kita memetakan
pula secara teliti dan terperinci perjalanan Malaysia ke arah mencapai
status negara maju berpendapatan tinggi.
REALITI BAHARU LANDSKAP POLITIK NEGARA
Sekiranya kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita
dambakan, sebagai sebuah pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur
gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya dapat mengetahui letak
duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik daripada semalam?
Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?
Pastinya, dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah
konkrit ke hadapan mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas
mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan helah, menabur janji-janji
kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala ikhtiar mendapat
rahmat dan keberkatan Ilahi.
Berdiri atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat
demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Majoriti daripada
29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir
tujuh puluh peratus tinggal di kawasan bandar. Empat puluh peratus pada
lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat
pendidikan pasca menengah.
Lapan puluh peratus pula, merupakan mereka yang berumur kurang 45
tahun manakala separuh daripada rakyat kita berusia di bawah 25.
Satu faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat
Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah
berlangsung secara berdikit semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan
oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa Kerajaan
Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Hakikatnya, peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada
pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan
telah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi
Malaysia. Cita rasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah
bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi kini
sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.
Selain itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat
2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai
pemilih.
Angka ini, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima
daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna,
setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti
ialah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.
CABARAN UMNO
Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan
Barisan Nasional tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah
dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa
dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari
kelmarin.
Mendakap cabaran kini, Pilihan Raya Umum Ke-13 menghadapkan kita
dengan satu pilihan, iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara
kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau sebaliknya.
Serentak itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti
di Malaysia, kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik
yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan
majoriti daripada 222 kerusi yang dipertandingkan adalah penentu
kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.
Walau bagaimanapun, kemenangan dalam pilihan raya sebenarnya
bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan
jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan. Selain itu,
realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan
nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi
kepada calon tempatan parti.
Kata orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang
diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya
tidak lagi begitu. Maknanya di sini, kejayaan calon dalam pilihan raya
kontemporari ini bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak
diwakili.
Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi
nilai tambah, yakni bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti,
malah hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai
pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan
pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah
sebetulnya para pengundi.
Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca
penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi
baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi
apa yang telah dilakukan semalam, sebaliknya ia berasaskan merit hari
ini berserta wawasan masa depan.
Kesimpulannya di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisis
akhirnya adalah hasil usaha bersama-sama semua rakyat Malaysia daripada
pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda dan tua, lelaki dan wanita,
warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan putih, sektor awam,
swasta dan syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta
masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap daripada kita berperanan dan
bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.
Atas segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang
mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati
kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya
untuk musim pilihan raya.
Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang
rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata
orang tua-tua, ular yang menyusur akar, pasti tidak akan hilang bisanya.
Bersuluhkan jamung perjuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti
cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa
kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa
masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.
Apa yang dapat saya katakan, ikhlaslah dalam memberi khidmat kepada
rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa
yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak,
pasti terpandang jua.
Pada kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW
sebagai iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam Perang Badar,
tentera Islam yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang
jauh lebih besar bilangan serta lebih lengkap peralatannya.
Manakala peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh
lebih setara, tentera Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan
semasa Uhud berpunca daripada kelemahan rantaian kawalan dan
pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh para pemanah
berbanding ketika pertempuran Badar.
Di sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan
sirah tersebut, ialah tentang pentingnya disiplin organisasi dalam
sesebuah parti. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan
berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan
tumpas dan tewas.
Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia
merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan
sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang
ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan
perang.
Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem
demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti
politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya. Inti
patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan
organisasi secara di atas..., di atas kepentingan individu.
Lalu, mengambil sempena Ayat 83, Surah An-Nisa, kedisiplinan
berjemaah menuntut kita berlapang dada dan bersedia menerima keputusan
yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika tidak dipersetujui,
hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya bagi
menyampaikan pendapat tersebut.
Termustahak, jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan
hati terbuka dan laksanakanlah dengan sebaik-baik mungkin. Benarlah
seperti dimadahkan pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang
memang kecil, namun sangat sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan
patuh kepada arahan.
KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF
Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang
mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita
menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia.
Semenjak lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya
Barisan Nasional secara tali-menali, menerajui negara tercinta ini
dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah
dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif.
Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah daripada
sebuah negara yang terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada
sebuah negara berstatus negara pertanian berpendapatan rendah kepada
sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.
Oleh itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat
sekalipun kepimpinan ini datang daripada parti yang sama, namun
perubahan dan pembaharuan berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan
teratur.
Ertinya, parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa
terkini bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan
membuat pembaikan dan perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi
menyeluruh. Pokoknya, kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan
membuat perubahan yang tepat pada masanya.
Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi
peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan
keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan
negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan
bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar
kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai
serigala menjaga biri-biri.
Sememangnya menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh
mandat daripada rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan
pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke arah itu pelbagai janji dan
komitmen ditawarkan.
Bagi parti yang sedang menerajui kerajaan, penilaian dilakukan oleh
rakyat berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas
telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah
janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa manfaat.
Manakala, bagi parti yang tidak pernah membentuk kerajaan, mereka
perlu dinilai berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat
janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka lebih selamat
untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut.
Berhubung hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah
negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan
institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi.
Kejayaan ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan kerajaan
Barisan Nasional sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan
dan dinikmati setiap rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan
yang diiktiraf oleh institusi dan masyarakat antarabangsa.
Jika dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara
negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih
RM1 trilion. Hari ini kita diiktiraf Institute for Management
Development atau IMD dan The World Economic Forum atau WEF dalam barisan
20 negara paling berdaya saing di dunia.
Hari ini juga kita diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling
mudah untuk berurus niaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status Malaysia sebagai
sebuah negara yang mempunyai High Human Development Index".
Kendatipun begitu, kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh
dan berpuas hati dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak
Malaysia terus mampu mengoptimumkan potensi, kita mahukan setiap anak
Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik daripada
semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
Untuk itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan
semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan
kerajaan lebih tiga tahun yang lalu. Melalui dasar ini, kita telah
memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi
memastikan Wawasan 2020 akan tercapai.
Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi
Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI
negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu
daripada AS$6,700 kepada AS$ 9,700.
Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan
per kapita sebanyak AS$15,000. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu
ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai
berpendapatan tinggi, iaitu AS$12,476, maka ia jelas menunjukkan
walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita Malaysia sudah
pun berada pada landasan yang betul untuk lebih awal mencapai taraf
tersebut.
Kita maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan
hati rakyat telah mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa
mereka perlu dipilih menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional
dengan tema Ubah Sekarang" Selamatkan Malaysia".
Dalam dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang akan dilaksanakan
oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, konon akan ditunai dalam
tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.
Sebaliknya, semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang
betul tentang kesan buruk jika janji-janji tidak munasabah itu
dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada pengetahuan rakyat.
Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan
purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM4,000,
menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru
sebanyak RM500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20
peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat kerana
natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara.
Antaranya pada tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet
Kerajaan Pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang
tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada
140 peratus.
Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang
kedaulatan ekonomi seperti negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad
negara tidak lagi berada dalam tangan kerajaan yang dipilih rakyat,
tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita
inginkan?
Inilah... inilah tahap kualiti dan hal ketidakmampuan perancangan
ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana
semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998,
terbukti Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah
orangnya, yang kini menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi
yang cekap.
Beliaulah yang mengguna pakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa
atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu. Semua orang
mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh sahabat karibnya. Tindakan
beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di
saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh
kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak
khususnya masyarakat perniagaan.
Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila
bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya,
bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya.
Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua
Umum Pembangkang, segala pendirian dan fiilnya berubah pulak.
Kalau ikut pepatah dulu, orang menyebut, orang ini lidahnya
bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang
secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada
kala dunia sedang mengutuk rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana
membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila
kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen...dah.. dia
menyokong pulak...hairan..hairan...
Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan
Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA
tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan tiga
pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal,
lupus.
Tidak sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan
keahlian pelajar dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan bagi menghapuskan keperluan lesen tahunan, serta
mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara amnya kepada mahkamah.
Atas sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan
membuat keputusan sama ada mereka mahukan keberterusan transformatif ini
oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional atau akan terumbang-ambing
dalam kata-kata muslihat serta mainan tanggapan tidak masuk akal oleh
pembangkang.
UMNO TEGAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM
Sesungguhnya, UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam
seperti mana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan
kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti
nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada
tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah
saudara seakidah.
Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara
kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti
umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain.
Soalnya, adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran
negara seperti UMNO dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak
Islamik dan dinista semahunya?
Walhal, UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal
sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat
bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang
murni begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah
sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.
Pada kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam
memastikan keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara
Islam yang memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara
komprehensif.
Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam
yang dahulunya terpaksa menggadai harta benda, kini bukan sahaja
menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara
sistematik.
Begitulah dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara
Islam yang menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari
sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini,
kita berasa bangga dan gembira kerana sebuah forum global telah
mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terulung
dunia.
Hakikatnya umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun
simpanan di bank yang menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh
membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di
pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah
patuh syariah.
Melangkah dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang
aman dan maju, Malaysia juga rancak menyumbang secara besar kepada
kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti ramai maklum, kita telah
menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan
perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lebanon
dan Afghanistan.
Malah, mutakhir ini Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah
meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih empat puluh tahun di
selatan Filipina, sehingga berjaya membuka lembaran baru kepada
Bangsamoro.
Malaysia turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat
Palestin. Kita telah dan akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka
untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau dan global. Kita menyeru
agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip
dua negara yang telah dipersetujui. Insya-Allah, Malaysia akan menjadi
negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang
merdeka dan berdaulat kelak.
Malaysia juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat
Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap
mereka ini, dihentikan serta merta dan penyelesaian yang adil akan
dibuat.
Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya
dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata,
sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa.
Sebetulnya pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup
ini berjaya dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara
berbilang etnik, budaya dan agama.
Kenapa dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka,
berpaksikan prinsip wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan
Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu mencapai tahap muafakat
yang tinggi bersama-sama memajukan negara.
Berlandaskan semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu
lagi, bahawa UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras
maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah
dan keturunan.
Kita tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO
tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti
parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan
akidah.
Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa
berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang... menentang sekeras-kerasnya
mereka yang mendokong fahaman pluralisme mahupun liberalisme.
Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan
Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi
negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini
sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi
Persekutuan.
Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti
dan mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi
Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh
mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan
agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam".
Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat.
Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang
tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal
siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia
yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara
Islam dan pelaksanaan hudud.
Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan
perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di
kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa
Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua imam, perceraian suami isteri,
perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan
oleh orang UMNO.
Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh
rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja
satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak
kepimpinan beliau.
Tambahan lagi, kita dapati, hari ini pemimpin yang sama dan parti
yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangkan negara
Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga
hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara
Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular.
Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat
perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti,
pelaksanaan negara Islam ala Pas di antara parti itu dan DAP masih
belum diselesaikan malah cuba untuk disembunyikan. Kalau isu pokok yang
paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya
hendak membentuk kerajaan campuran.
Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah
matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak
melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta
fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO
serta seluruh rakyat Malaysia.
Berbicara tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak
kepada UMNO, hasil perjuangan kita dalam memartabatkan Islam di bumi
Malaysia ini dan seantero dunia, tetap menyinar, tetap murni dan akan
tetap dipersadakan.
Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas
untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks Syariah.
Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati
Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks
berkenaan.
KITA ATAU MEREKA
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, pilihan kepada tuan-tuan dan
puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan
rancangan holistik tentang hala tuju masa depan negara atau parti
pembangkang yang kelam-kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat
pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular,
sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan.
Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat
Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan
paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihan raya bukan satu uji
kaji.
Lima tahun ialah jangka masa yang lama dalam pentadbiran sesebuah
kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara
yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur.
Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan
taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti
komponen Barisan Nasional. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan Pas, yang
tiada bertunjangkan ketulusan.
Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti Pas tidak
menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui Pas, parti DAP tidak
menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak
mempercayai antara satu sama lain.
Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti
DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik di
negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang? Apakah cerita
sebenar dalam DAP?
Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu.
Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih
oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu
berkuasa dalam DAP.
Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau
Pinang. Manakala menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri
Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP.
Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan
suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih.
Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung Naib Presiden.
Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran
demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan,
semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan
berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak
bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan-dan tu.... tempoh
jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua.
Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan
pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya
mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap
rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan dengan
pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.
Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang... saja orang Melayu di
kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi?
Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian
seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung
dalam-dalam dan fikir masak-masak.
Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan
Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang
digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era
yang ditempuhi.
Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu
bolehlah dibahagikan kepada beberapa Fasa. Pertama, melalui penubuhan
agensi seperti Mara, Felda dan Felcra.
Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang
berkembang kepada Institut Teknologi Mara pada akhir 60-an dan
kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti
Teknologi Mara.
Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan
pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang
merangkumi empat Rancangan Malaysia selama dua puluh tahun. Usaha
berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan dan menyusun semula
masyarakat.
Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan
Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro
melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.
Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat Perdagangan serta
Perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan
Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi
membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan
Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti
ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini
ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah
Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran Sains, dan kemasukan
ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi.
Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama
dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui
penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping
menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita.
Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka
dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya
inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan
Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti
Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada
23.09 peratus pada tahun 2010.
Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar
daripada Firman Allah SWT, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah
leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum.
Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal
berasaskan ijmak Kebangsaan.
Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan
Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi memastikan bantuan dan
pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin,
golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum
di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak
ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga
Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki
inilah tiang seri yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa.
Sememangnya lagi, sebagai organisasi siasah, kita mendukung
tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui titik-titik
persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras
falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita,
janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering
berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan
semuanya kosong belaka.
Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di
manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihan
raya 2008?
Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi
pilihan raya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah
hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang... ilekkk...".
Akhirnya...Barisan Nasional... juga yang selesaikan...
Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba....
seandainya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan. Tukang buat janji,
Perdana Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada
Ketua Umum PKR atau Presiden Pas, tetapi... si Ketua Menteri Pulau
Pinang dari DAP akan tetap buat tak tau.... dan buat dek...jer..." atas
janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau
Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.
Selanjutnya; tanyalah kepada oghe Kelate, ...selesa doh ko masalah
air?... Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun Pas memerintah, tak
selesa-selesa jugak".
Tanyalah pulak kepada orang Kedah; pasai Pas. ...depa janji apa kat
hampa tahun 2008 hari tu? ...Cuba habaq mai.... tak ka macam-macam depa
tabuq janji... kita tau sampai laa ni... macam-macam tak selesai...
habuk pun tak dak".
Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri
yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi
air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di
Selangor, apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak seratus ringgit
yang nak dibagi? Tak patut.
Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya,
semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan
Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan
ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun
kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk menunaikannya.
Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya:
* Kita ada BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
* Kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
* Kita ada bantuan RM100 untuk semua pelajar sekolah
* Kita ada skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi
Untuk jangka sederhana:
* Kita menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar
* Kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
* Kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan;
Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional
melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi
Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju. Insya-Allah.
Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai
menari, janganlah lantai dikata jongkang-jongket. Hari ini, pelbagai
institusi negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan
tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat.
Misalnya, Suruhanjaya Pilihan Raya yakni SPR difitnah bertubi-tubi.
Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini
sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam
pilihan raya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan
dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak
adil serta tidak berwibawa.
Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi
mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan
berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.
Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang
asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah
menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.
Dah lebih separuh abad pun kita merdeka... tahulah kita selok-belok
negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada
pilihan raya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi.
Seperti yang saya kata, bukankah parti Pas sudah 22 tahun menerajui
Kerajaan Kelantan? Bukankah juga parti Pas yang telah memenangi pilihan
raya negeri pertama tahun 1959? Bukankah parti Pas sedang menerajui
Kerajaan Kedah? Bukankah parti Pas pernah menerajui Kerajaan Terengganu
dan Perak?
Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang?
Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai
Barisan Nasional, parti PBS dan Gerakan merupakan parti Pembangkang, dan
bukankah PBS telah memenangi pilihan raya Sabah tahun 1985 dan parti
Gerakan telah memenangi pilihan raya Pulau Pinang tahun 1969.
Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional
gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihan Raya Umum 2008?
Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak
jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap
berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihan raya di negara
ini ialah proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana
untuk memilih.
Pilihan Raya Umum Ke-13 ini bukanlah satu pilihan raya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.
Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari
esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang
maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia
yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan
prejudis.
Hakikatnya, hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk
Malaysia yang dikagumi rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka bumi
yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya
menangani cabaran bernegara.
Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa
mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur
bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.
Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka,
bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot
sepanjang zaman.
Hendaklah kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa
pengasas kita membina apa yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita
terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul
Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah.
Sebaliknya, saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang
siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji
bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu,
percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam.
Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika
kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat
kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam
perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut
di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri.
Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian
dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan
atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas
segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan
sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.
Justeru, saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden,
serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah,
berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus
memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus
memelihara agama Islam.
Walau apa pun rintangan yang melanda, biar apa pun cabaran
menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin
berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian.
UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh
dari luar mahupun dalam.
Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangi hati dan
fikiran rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap
undi, kita akan berusaha untuk meyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita
juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.
Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik
dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk
menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
Di sini... di sinilah kita dilahirkan, di sini... di sinilah tangis
kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita
melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin Allah Yang Maha
Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.
Penuhkanlah tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya
perdamaian. Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki
halaman.
Duhai putera puteri... duhai para pejuang bangsa, segeralah...
segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan... pertahankan satu-satunya
Bahtera Merdeka ini... pertahankan.... pertahankanlah Putrajaya.
Fajar telah pun tiba, nan menyinsing membawa harapan, Tanah Malaysia...Tanah Malaysia...Permata Nilam.
Hidup UMNO...
Hidup Barisan...
Hidup Malaysia...
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan