KUALA LUMPUR 30 Nov. Panji dan poster "Gelombang Merah" yang memenuhi
segenap ruang Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bukan sahaja
meniupkan" semangat UMNO kepada perwakilan, tetapi juga pengunjung ke Perhimpunan Agung UMNO 2012.
Paparan gelombang merah itu yang membawa pelbagai mesej, mengingatkan
kembali perwakilan dan pengunjung akan jasa dan sumbangan pemimpin UMNO
dahulu dan sekarang dalam membangunkan negara.
Perwakilan dari Perak, Zaiton Shafri, 54, berkata beliau dapat
merasai betapa gagah serta hebatnya UMNO, setiap kali melangkah masuk ke
ruang legar PWTC.
"Perasaan inilah yang kita mahu bila nak hadapi pilihan raya umum
ke-13 nanti...kita bersatu rasa kuat dan berani hadapi apa sahaja yang
pembangkang nak bagi pada kita," katanya yang lebih 20 tahun menyertai
UMNO.
Zaiton berkata poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berucap di hadapan ribuan anggota UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil,
Mei lepas, ketika sambutan ulang tahun ke-66 parti, paling memikat
hatinya kerana memaparkan kegagahan pemimpin nombor satu negara itu.
Pelajar universiti swasta, Muhammad Asrief Shafaad, 20 berkata PWTC
kelihatan begitu meriah dengan paparan poster dan panji berwarna merah
di sepanjang laluan masuk bangunan itu.
"'Bunting' yang ada gambar anggota UMNO berbaju merah berarak yang
digantung menghiasi di dinding laluan masuk membuatkan kita rasa hendak
berarak bersama mereka. Ini menaikkan semangat orang muda macam saya nak
pergi perhimpunan ini.
"Ada juga gambar menunjukkan ramai orang muda bersama menyertai
aktiviti UMNO ini seperti perarakan menaiki basikal dan motosikal
ramai-ramai ini tunjukkan kekuatan sokongan orang muda pada UMNO," kata
anak muda dari Petaling Jaya itu.
Seorang peniaga perhiasan rumah Abdul Zuhid Asmawi, 35, pula berkata
poster pemimpin terdahulu bekerja membela nasib rakyat memberikan
pengajaran kepada generasi muda tentang pengorbanan mereka bagi
membolehkan rakyat hari ini mengecap kesenangan.
"Saya amat tertarik dengan poster Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein)
yang diletakkan di kawasan eskalator kerana menunjukkan betapa gigihnya
usaha beliau memajukan negara.
"Digabung dengan poster anaknya (Najib) yang turut bekerja segigih
ayahnya nampak kesinambungan dan kegagahan usaha UMNO membela nasib
rakyat di negara ini," katanya yang menganggotai UMNO lebih 10 tahun. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan