19 Disember 2012

Tuduhan merupakan bidaah besar

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Beberapa ulama hari ini menegaskan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajib segera menarik balik amanatnya pada 1981 yang menggambarkan UMNO kafir sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, tuduhan itu merupakan bidaah besar serta bercanggah dengan amalan ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam negara ini.
Menurutnya, bidaah seseorang umat Islam yang menuduh umat Islam lain sebagai kafir juga amat berbahaya kerana tuduhan itu dikhuatiri akan berbalik kepada orang yang mengeluarkannya.
"Bahaya ini bukan kepada UMNO sebagai kerajaan serta ahlinya kerana tiada kesan, tetapi sebenarnya orang yang menuduh kerana akan berbalik kepadanya.
"Jadi kembalilah kepada ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah kerana menurut hadis, individu yang mengeluarkan fitnah serta bidaah seumpama ini tidak akan diterima amalannya sama ada sunat ataupun wajib," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat pengurusan Penerbitan Dakwah Islamiah Malaysia Sdn. Bhd. (Pedim) bersama Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Yang hadir sama Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman; Mufti Sarawak, Kipli Yassin; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar; Pengerusi Pedim, Datuk Mat Jahya Hussin yang juga bekas Mufti Perlis; bekas Mufti Sabah, Datuk Ahmad Alawi Adnan dan bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Hasbullah Abd. Halim.
Wan Zahidi mengulas pendedahan terbaharu bekas aktivis Pas dan bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau C.N al-Afghani yang mendakwa puluhan ribu ahli parti itu masih menganggap orang UMNO sebagai kafir ekoran amanat Abdul Hadi pada 1981 yang sehingga kini tidak ditarik balik.
Menurut Zainon yang menulis buku Kafirkah Aku?, amanat itu memberikan kesan besar seperti ahli Pas menganggap UMNO kafir, mencetuskan peristiwa Memali 1985, berlaku solat dua imam khususnya di Terengganu, wujud pandangan sembelihan orang UMNO haram dimakan, jenazah orang UMNO tidak layak disembahyangkan dan berlaku perceraian hanya kerana perbezaan politik.
Sementara itu, Harussani juga sependapat dengan Wan Zahidi dan mengingatkan agar Abdul Hadi segera menarik balik amanat tersebut kerana dilihat memecahbelahkan masyarakat Islam negara ini.
Katanya, bukan mudah untuk menuduh seseorang individu Islam sebagai kafir selagi dia mengucap dua kalimah syahadah dan melaksanakan syariat agama.
"Tidak boleh senang-senang tuduh orang kafir, itu hanya tuduhan melulu tanpa asas dan saya nyatakan ini dari segi syarak, bukan masalah kepartian kerana kalau tegur UMNO, saya diangkat orang Pas dan kalau tegur Pas, saya diangkat orang UMNO tetapi dari segi syarak, (Abdul Hadi) wajib tarik balik," katanya.
Dalam pada itu, Mat Jahya memberitahu, seseorang pemimpin harus menumpukan kepada usaha penyatuan umat Islam.
"Hadis serta al-Quran ada sebut, bercakaplah hanya perkara baik, atau elok kamu berdiam diri dan janganlah kamu kata-mengata antara satu sama lain," katanya.

Tiada ulasan: