Sebahagian perwakilan mengaminkan doa
pada perasmian serentak Persidangan Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri
UMNO di PWTC, Kuala Lumpur malam tadi.
*****
*****
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kebijaksanaan perkongsian
kuasa yang dilakukan oleh UMNO bersama-sama parti komponen Barisan
Nasional (BN) telah memungkinkan Malaysia tidak mengalami krisis politik
dan perkauman yang parah seperti yang dialami di negara-negara lain,
walaupun mempunyai lebih banyak bangsa, kaum dan suku kaum.
Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata, kebijaksanaan pemimpin BN terdahulu memilih
acuan politik perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman,
pemuafakatan, setiakawan dan tolak ansur turut membolehkan negara ini
kekal aman, makmur dan sejahtera.
''Sepanjang lima dekad pemerintahan BN, muafakat yang dicapai untuk
memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji untuk
bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini
sentiasa kita pupuk dan disuburkan dan kini menjadi pasak kekuatan
Barisan Nasional,'' katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika
berucap merasmikan serentak Persidangan Tahunan Wanita, Pemuda dan
Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.
Dalam ucapan bertemakan, Bersama Melakar Kemenangan, Muhyiddin yang
mengimbas serangan-serangan pembangkang terutamanya Pas dan DAP terhadap
UMNO dan komponen BN menegaskan, kedua-dua parti tersebut berbuat
demikian semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti
mereka.
''Pas menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang
Melayu membenci UMNO dan menyokong mereka. DAP pula menggunakan sentimen
perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci
MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam BN, supaya orang bukan
Melayu menyokong mereka.
''Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud
dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat
berbilang kaum dan agama di negara kita,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, hakikatnya, sejak lebih lima dekad
yang lalu, parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang
membakar sentimen agama dan perkauman bukannya UMNO, MCA, MIC dan bukan
juga parti-parti komponen BN yang lain.
Sebaliknya, tegas Timbalan Perdana Menteri, ia didalangi oleh Pas dan
DAP, yang mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman
songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita.
''Pas dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka
masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah
bertarung sesama sendiri, kini Pas dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan
kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan BN,'' katanya.
Hakikatnya, tegas Muhyiddin watak-watak dan pelakon utama semuanya
mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju, sehingga ke
hari ini Pas dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara
dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan