Najib Tun Razak memeriksa perbarisan
yang terdiri daripada ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam Majlis
Perbarisan dan Upacara menaikkan bendera UMNO di hadapan Menara UMNO di
PWTC, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 29 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak
menyifatkan, tindakan pihak tertentu menuduh UMNO sebagai parti
nasionalis yang sekular amat tersasar.
Presiden UMNO itu menegaskan, parti tersebut sentiasa memperjuang dan
mempertahankan Islam seperti mana termaktub dalam Perlembagaan parti,
sesuai dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan.
Sambil merujuk kepada tindakan Pas mendoakan kehancuran UMNO, Najib
mempertikaikan apakah sebuah parti seperti UMNO yang menguruskan ehwal
pentadbiran negara dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak
Islamik dan dinista.
"UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara
hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa selama
berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu
meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja,
bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayat," katanya.
Najib menegaskan demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden
pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
di sini, hari ini.
Perdana Menteri yang mengimbas sumbangan Malaysia dalam beberapa
konflik melibatkan umat Islam di seluruh dunia menegaskan, janganlah
sumbangan kepada Islam hanya diukur dengan tahap retorik dan kuat bunyi
pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar isi kandungannya
tidak seberapa.
Sehubungan itu, Najib menegaskan, UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.
"Kita tidak rela untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam, UMNO
tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti
parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurnian
akidah.
"Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa
berbasa-basi lagi bahawa kita menentang sekeras-kerasnya mereka yang
mendokong fahaman pluralisme mahupun liberalisme," tegasnya.
Najib juga mengingatkan Pas supaya cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat dengan melemparkan pelbagai tuduhan kepada UMNO.
"Kita dapati hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama
mengecam UMNO itu sudah tidak lagi memperjuangkan negara Islam,
sebaliknya pula mahu menubuhkan negara berkebajikan.
"Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang
penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara
sekular," katanya.
Beliau berkata, tidak mengapa jika perbuatan berkenaan tidak
melibatkan orang lain tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta
fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta
seluruh rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan