Najib Tun Razak menaikkan bendera
UMNO, Sang Saka Bangsa sambil diiringi nyanyian lagu parti Bersatu,
Bersetia, Berkhidmat sebagai tanda bermulanya Perhimpunan Agung UMNO
2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam. Turut
kelihatan, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha
Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja, Datuk
Ab. Rauf Yusoh. - UTUSAN/Noor Asrekuzairey Salim
****
KUALA LUMPUR 29 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat
bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan satu pilihan raya biasa
kerana akan menjadi titik penentu kepada destini rakyat yang mencorakkan
rupa wajah Malaysia hari esok.
Menegaskan perkara itu dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO hari ini,
Perdana Menteri berkata, kerana itu sebarang uji kaji untuk menukar
kerajaan tanpa dibuat penilaian yang betul, teliti dan kritikal ibarat
mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga
biri-biri.
Beliau turut menarik perhatian mengenai pendapat yang mengatakan
tidak ada salah memberi peluang kepada pembangkang bagi dinilai
kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan
negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan
bahan uji kaji.
Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita.
Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat
dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib
dipalit rasa prasangka dan prejudis," kata beliau dalam ucapan lebih
sejam bertemakan Kepemimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional pada
Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN)
mengingatkan bahawa kejayaan calon dalam pilihan raya kontemporari itu
akan bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili.
Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu.
Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi
nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan
parti, malah hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai
pengundi.
Lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan
sukarela serta masyarakat madani kerana merekalah sebetulnya para
pengundi," kata beliau.
Justeru, kata Najib, beliau selaku Presiden UMNO bersama Timbalan
Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh saf kepimpinan parti
berikrar untuk terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, memartabat
rumpun Melayu, menjadi benteng akidah umat dan terus memelihara agama
Islam.
Kata beliau: Walau apa pun rintangan yang melanda, biar apa pun
cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak
mungkin berpatah jalan.
UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan
Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari
luar mahupun dalam.
Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik
dan kita yakin bahawa UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk
menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan