20 Disember 2012

Zambry bidas pembangkang

Dr. Zambry Abdul Kadir (kanan) bersalam dengan Mohd. Tajol Rosli Ghazali selepas sidang Dewan Undangan Negeri di Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 18 Dis. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hari ini membidas sikap pemimpin pembangkang yang melemparkan pelbagai pembohongan terhadap Bajet 2013 Perak yang dibentangkan semalam.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan pelbagai kepincangan yang terdapat dalam bajet alternatif pembangkang yang dianggap tidak realistik kerana menampilkan fakta-fakta meragukan.
"Mereka kata kita tidak memberi perincian bajet sedangkan ketika pembentangan, kita menyediakan buku bajet kepada setiap wakil rakyat. Buku itu memperincikan satu persatu komponen bajet termasuk unjuran pendapatan dan sumber yang kita dapat.
"Mereka mempersoalkan bajet kerajaan negeri sedangkan kita tahu bajet mereka sendiri tidak memperincikan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini.
Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, pembohongan pembangkang sudah terserlah ketika Ketua Pembangkang negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengumumkan bajet alternatif mereka yang dikatakan sebagai belanjawan berimbang baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, jika diteliti satu persatu serta dihitung komponen bajet tersebut, ternyata bukan bajet berimbang malah tidak dinyatakan sumber hasil kerajaan yang dikatakan akan mencecah RM1.2 bilion.
"Adakah mereka tidak tahu, bajet berimbang ialah apabila jumlah anggaran hasil dan perbelanjaan adalah sama seperti di Selangor?," katanya.
Sementara itu, ketika ditemubual dalam Program Selamat Pagi Perak di PerakFM di sini, Zambry menafikan dakwaan pembangkang kononnya penyediaan Bajet 2013 dibuat untuk membayar hutang kerajaan negeri yang bernilai RM1 bilion.
"Bajet yang dibentang hampir dua jam semalam diperincikan satu persatu. Saya cukup terkejut apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Nga Kor Ming kata kita berhutang RM1 bilion, daripada mana hutang itu? Sekali lagi, mereka hendak membohongi rakyat.
"Begitu juga apabila Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) mengatakan mereka mahu mencontohi Pulau Pinang dalam membasmi kemiskinan dengan mengatakan sudah tiada lagi orang miskin di negeri itu. Ini satu pembohongan kerana kita mendapati seramai 3,189 keluarga miskin dan 317 miskin tegar di negeri itu," tegasnya.

Tiada ulasan: