BUKIT MERTAJAM 25 Jan. - Kebanyakan ahli Pas di peringkat akar umbi kesal dengan pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, maklum balas itu diperoleh hasil tinjauan beliau secara rawak dan dalam pertemuan empat mata dengan golongan tersebut.
Bagaimanapun, tegasnya, disebabkan patuh terhadap kepemimpinan mereka, ahli-ahli akar umbi Pas itu terpaksa menerima apa juga keputusan yang dibuat.
"Ahli-ahli Pas sebenarnya kurang senang bekerja dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi atas dasar patuh dengan kepemimpinan, mereka terpaksa menerimanya.
"Jadi apabila tercetus isu-isu yang melibatkan akidah umat Islam maka keluarlah rasa tidak puas hati yang sudah lama terpendam," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kelmarin, Anwar yang juga Ketua Umum PKR mengeluarkan kenyataan bahawa pakatan pembangkang kekal dengan pendirian membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Pendirian itu jelas bercanggah dengan Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini yang memutuskan kalimah Allah hanya khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.
Mohamed Hafiz yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang memberitahu, di kawasan Permatang Pauh di mana Anwar menjadi wakil rakyat, ramai ahli Pas tidak berani untuk tampil secara terbuka bagi mempertahankan atau menyokong keputusan Majlis Syura Ulama itu.
"Jadi, kami mengambil inisiatif untuk mewakili mereka bagi meluahkan isi hati," ujarnya.
Beliau menambah, sekiranya Pas meneruskan kerjasama dengan DAP dan PKR, sudah tentu banyak lagi perkara yang bercanggah dalam kalangan mereka akan wujud.
Sehubungan itu, beliau mengulangi pandangannya supaya Pas keluar daripada pakatan pembangkang dan berjuang bersendirian.
"Inilah saat yang dinanti-nantikan oleh kumpulan majoriti senyap dalam Pas yang mendesak pemimpin mereka keluar daripada pakatan pembangkang," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan