29 Januari 2013

Lawatan Najib cetuskan bangga rakyat Malaysia

KEHADIRAN Perdana Menteri pertama jejak kaki ke bumi Palestin mencetuskan kebanggaan kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda. Datuk Seri Najib Tun Razak yang selama ini sanggup mengetepikan segala protokol ketika berjumpa dengan rakyat kini sanggup mengetepikan segala bahaya dengan menjejakkan kaki ke Palestin. Beliau kini boleh dianggap sebagai ikon kebanggaan rakyat Malaysia dengan sifatnya yang sentiasa mencetuskan kejutan.
Keprihatinan Perdana Menteri terhadap masa depan Palestin memang tidak dinafikan malah ia mendapat liputan daripada seluruh dunia. Ia sudah pastinya akan menyebabkan pemimpin Israel kurang senang dengan tindakan Najib dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan mereka.
Saya yakin kehadiran Perdana Menteri bukannya untuk meraih sokongan politik, sebaliknya daripada keikhlasan seorang Perdana Menteri dan umat Islam yang ingin tahu dan merasai sendiri penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin.
Najib sanggup mengambil risiko berada di bumi Palestin yang masih bergolak jika berlaku serangan tidak dijangka oleh Israel, tetapi beliau membuktikan sebagai pemimpin Islam yang berani.
Ini kerana Israel baru sahaja melancarkan operasi Pillar of Defence Israel bermula 14 November 2012 sehingga menyebabkan komander Briged Al-Qassam, Ahmad Al-Jafari terbunuh dengan hampir 200 orang lain turut terkorban terdiri daripada wanita, orang awam dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Pemimpin pembangkang pula sibuk untuk memburukkan nama Malaysia di luar negara dengan pelbagai tohmahan dan fitnah demi kepentingan mereka sendiri tanpa mengira implikasi kepada negara. Mereka harus menjadikan usaha Najib sebagai contoh dan bagaimana ia mendapat perhatian antarabangsa tanpa perlu untuk mengeji dan menghina negara Malaysia.
Sikap turun padang dan melakukan tinjauan mesra Perdana Menteri bukan sahaja dipraktikkan di negara ini malah turut dipraktikkan di Palestin.
Wajah ceria dan disulami ketegasan di raut Najib mencetuskan aura kepada anak muda di negara ini. Beliau nampak tidak letih dan begitu bersemangat walaupun kita mengetahui beliau mempunyai atur cara yang sangat padat dan meletihkan.
Jika Najib bertanya hajat beliau untuk melawat Palestin kepada rakyat Malaysia pastinya ada yang berat hati untuk melepaskan beliau ke sana disebabkan bimbang dengan keselamatannya. Tambahan pula dekat dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 dan rakyat Malaysia memerlukan beliau untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional.
Sambutan Maulidur Rasul tahun 1432H kali ini membawa makna yang sangat besar kepada rakyat Malaysia disebabkan kehadiran Najib di Gaza telah mengangkat keberanian umat Islam Malaysia di mata masyarakat dunia.

Tiada ulasan: