PARIT 23 Jan. - Tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang semakin agresif berceramah di sekitar Perak kebelakangan ini dibayangi jentera UMNO yang mengekorinya bagi membongkar segala tohmahan yang dilemparkan pemimpin itu.
Terbaharu, hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu memperdayakan rakyat dalam siri ceramahnya di Kampung Senin, Layang-Layang Kanan, di sini malam tadi tidak kesampaian apabila jentera UMNO turut mengadakan ceramah di tempat sama.
Malah, pemimpin Pas itu dimalukan apabila lebih 15 klip video yang membuktikan tohmahannya dalam beberapa isu sebelum ini ditayangkan sempena ceramah yang berlangsung hampir tiga jam.
Majlis ceramah bertajuk 'Mohammad Nizar Pembohong Bersiri' itu turut didengari dengan jelas para penyokong Pas yang hadir memandangkan lokasi kedua-dua ceramah tersebut jaraknya kira-kira 50 meter.
"Saya tidak minta anda percaya bulat-bulat apa yang saya cakap, tetapi minta anda lihat dan menilai sendiri semua video ini yang menunjukkan betapa Mohammad Nizar selalu berbohong kepada rakyat.
"Kita akan ikut ke mana sahaja dia pergi, kita mahu rakyat tahu siapa pemimpin ini sebenarnya," kata penceramah UMNO, Hanafiah Man ketika menyampaikan ceramah dalam majlis tersebut.
Antara klip video yang dimainkan ialah kenyataan Mohammad Nizar kononnya beliau tidak pernah bersetuju projek hab bijih besi dilaksanakan di Teluk Rubiah, Lumut sebelum video menunjukkan pemimpin Pas itu mengaku menulis surat kepada syarikat Vale bagi menyatakan persetujuan malah mengalu-alukan syarikat Brazil itu.
Hanafiah turut memainkan video ceramah Mohammad Nizar yang bersumpah dan menuduh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir enggan menjawab dakwaan syirik dalam isu ancak sebelum video menunjukkan Zambry menjawab tuduhan tersebut dengan panjang lebar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pembohongan Mohammad Nizar dalam isu ancak turut dibongkar menerusi klip video menunjukkan beliau menuduh kononnya tiga daripada empat ahli Jawatankuasa Fatwa Perak memutuskan Zambry melakukan perbuatan syirik.
"Namun, jawatankuasa fatwa yang bermesyuarat pada Januari 2011 memutuskan apa yang dilakukan Zambry bukan khurafat. Bayangkan bagaimana dia boleh memfitnah jawatankuasa fatwa," katanya.
Orang ramai juga dikejutkan dengan pendedahan klip video menunjukkan Mohammad Nizar dalam ceramah pembangkang di Johor tanpa segan silu menyatakan mengundi UMNO hukumnya haram tetapi mengundi Pas adalah wajib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan