KOTA BHARU 25 Jan. - Biarpun DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat enggan menghormati keputusan Majlis Syura Ulama Pas tentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, sayap parti itu masih mampu berlembut dengan sekutu mereka biarpun mengakui sudah banyak kali berlaku pertembungan.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, parti itu tidak boleh memaksa pihak dalam pakatan pembangkang menerima keputusan Pas kerana amalan demokrasi membenarkan perbezaan pandangan.
Sehubungan itu, katanya, tidak timbul isu Pas perlu membuat desakan kepada PKR dan DAP ataupun mengambil langkah keluar daripada pakatan pembangkang kerana perbezaan yang timbul itu boleh diselesaikan melalui kaedah diskusi dan penerangan.
Bagaimanapun katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mesti mengambil tindakan ke atas pihak dalam Pas sendiri jika masih mengeluarkan pandangan yang bertentangan dengan keputusan Majlis Syura.
"Keputusan syura adalah wajib untuk ahli Pas dan umat Islam yang mahu mengikut dan alhamdulillah keputusan majlis itu telah menyatukan umat Islam.
"Pihak mana yang tidak mahu dengar, tidak kira belah mana pun, itu hak dia. Kita nak buat macam mana, itu demokrasi, tetapi perkara ini tidak mungkin menjejaskan pembangkang.
"Sekarang ini orang yang pertikai berada di luar Pas, tetapi orang Pas yang pertikai maka Presiden Pas kena bersuara supaya mereka patuh. Pada yang berada di luar Pas, kita guna pendekatan hujah dan wacana tidak kira sesama Islam bahkan dengan bukan Islam terutama sekali yang berpendapat mereka berhak memakai kalimah Allah sebagai terjemahan kepada God," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan