PAGOH 25 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan pemimpin Pas yang mencemuh dan memperlekehkan lawatan Perdana Menteri ke Gaza, Palestin Selasa lalu adalah kerana iri hati disebabkan Presiden mereka tidak dapat berbuat demikian.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah untuk melihat sendiri keadaan sebenar di negara tersebut setelah sekolah, hospital, masjid dan tempat awam musnah dibom Zionis.
Mereka iri hati kerana Presiden Pas tidak pergi ke sana tetapi Presiden UMNO pula boleh sampai sana. Perdana Menteri pergi sana bukan nak tengok bangunan pencakar langit seperti di Malaysia tetapi tengok tempat yang dimusnahkan.
Kita pergi sebab nak tolong dan bantu mereka. Ada puak di sebelah sana yang memperkecilkan usaha pemimpin kita mahu membela dan memperjuangkan nasib orang Islam di Palestin," katanya dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Maokil, dekat sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan dalam laman Facebooknya mencemuh pemergian Perdana Menteri ke Gaza dengan menyifatkan lawatan tersebut sebagai hipokrit tahap durjana".
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kunjungan tersebut adalah satu jihad dan perlu disokong oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau agama termasuk parti politik pembangkang terutamanya Pas.
Dalam perkembangan lain, beliau menyelar kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan sudah bankrap sedangkan keadaan sebenar tidak begitu dan dibuktikan dengan perkembangan ekonomi pesat ketika ini.
Beliau berkata, tuduhan itu tidak berasas sama sekali kerana menerusi kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berjumlah RM125 bilion tahun lalu, pelbagai projek dan bantuan dapat diberi kepada rakyat.
Kalau kerajaan bankrap takkan kita boleh buat macam apa yang ada sekarang ini. Kita ada sumber dana dan peruntukan, kita dapat buktikan mempunyai jumlah yang lebih baik kalau dibanding dari tahun-tahun lepas. Ini bermakna kita cekap menguruskan ekonomi," katanya.
Beliau turut membidas tindakan pembangkang yang memperlekehkan usaha kerajaan membantu rakyat menerusi bantuan khas awal persekolahan kepada 5.4 juta pelajar dengan peruntukan kira-kira RM540 juta.
Muhyiddin berkata, rakyat perlu bersyukur kerana tidak semua kerajaan di dunia mampu berbuat demikian bagi meringankan beban rakyat dan langkah itu diambil selepas mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan