Rais Yatim dan Masnah Rais bersama
sebahagian daripada penduduk Kampung Sungai Sampo sempena Program
Peluasan Siaran RTM Melalui Satelit KPKK-Astro Njoi di Kampung Sungai
Sampo, Jempol, Negeri Sembilan, semalam. - Bernama
*****
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihak pembangkang amat mudah menyatakan pelbagai janji untuk meraih sokongan, namun sebenarnya mereka tidak mampu mentadbir negara.
"Mudah bagi pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Abdul Hadi Awang untuk berkata itu dan ini tapi mereka tidak mempunyai kemampuan.
"Boleh kita katakan bahawa mereka ini seperti bernafsu besar tapi tenaga tidak ada," katanya semasa berucap menyempurnakan majlis pelancaran program perluasan siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan - Astro Njoi ke perkampungan Orang Asli peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, di Kampung Sungai Sampo, di sini hari ini.
Yang hadir sama isteri beliau, Datin Seri Masnah Rais
Katanya, pihak pembangkang sering mengutarakan untuk mengubah kerajaan bagi mentadbir negara, namun mereka tidak pernah menyatakan dasar mengenai hak orang asli dan hak orang Melayu seperti yang diperjuangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Rais berkata, jika semua perkara ini tidak disebut dalam perjuangan pembangkang, adakah cukup bagi rakyat untuk mengikut mereka menukar kerajaan, sedangkan kerajaan sedia ada sentiasa memperjuangkan kebajikan seluruh rakyat.
Justeru, katanya rakyat seharusnya bijak menilai dan diingatkan untuk menganggap pilihan raya akan datang sebagai satu perkara serius yang menentukan nasib dan masa depan bangsa, rakyat dan negara.
"Pilihan raya tidak boleh dianggap main-main, bukan seperti tukar baju, ini mengenai masa depan negara. Ia juga mengenai masa depan dan hak anak-anak kita dan hak semua masyarakat," katanya.
Dalam ucapannya Rais berkata, program perluasan siaran RTM dengan kerjasama Astro itu akan membolehkan masyarakat Orang Asli menikmati kemudahan siaran televisyen yang lebih baik.
"Dengan adanya perkhidmatan siaran televisyen dengan saluran daripada Astro Njoi ini masyarakat Orang Asli akan dapat menonton siaran televisyen dan mengemaskini pengetahuan mereka mengenai hal-hal semasa menerusi berita-berita terbaru," katanya.
Pada majlis itu Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu menyampaikan set televisyen dan dekoder Astro Njoi percuma kepada beberapa pemimpin masyarakat Orang Asli mewakili 267 Orang Asli DUN Sungai Lui. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan