AHMAD Zahid Hamidi (belakang tengah)
bersama sebahagian daripada 406 murid yang menerima Bantuan Persekolahan
2013 sebanyak RM100 di Sekolah Kebangsaan Simpang Empat, Hutan
Melintang, Bagan Datoh, Perak semalam.
Beliau berkata, jentera penerangan Barisan Nasional (BN) perlu bijak menangani strategi pembangkang yang pasti melemparkan pelbagai macam bentuk tohmahan bagi memberikan persepsi dan gambaran yang tidak betul tentang kerajaan.
"Saya yakin mereka (pembangkang) menyimpan isu-isu yang akan 'diletupkan' sebagai strategi mengalahkan BN, ini sesuatu yang lumrah. BN dan UMNO perlu bersiap sedia menjawab segala isu yang akan dibangkitkan.
"Walaupun isu yang dibangkitkan bersifat fitnah dan tohmahan, tetapi kalau diulang-ulang, maka akan dianggap sebagai satu kebenaran. Oleh sebab itu, jentera kita kena jawab dengan menampilkan fakta-fakta," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan 2013 kepada 402 murid Sekolah Kebangsaan Simpang Empat di sini hari ini.
Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R. Ganesan.
Beliau mengulas tohmahan terbaharu pembangkang kononnya kerajaan ada menerima RM207 bilion daripada kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada rakyat Malaysia yang menjadi buruh paksa dalam pembinaan kereta api Siam-Burma semasa Perang Dunia Kedua.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan baru-baru ini menjelaskan dokumen yang dikaitkan dengan tuduhan itu adalah palsu, malah kedutaan Jepun menulis surat kepada kerajaan menafikan negara itu pernah memberikan pampasan tersebut.
Ahmad Zahid berkata, pembangkang akan terus melemparkan tohmahan seumpama itu, malah akan lebih menjadi-jadi pada musim pilihan raya kelak.
"Oleh itu, saya minta jentera BN khususnya penerangan UMNO supaya mengutip semua tohmahan dengan mempersiapkan fakta untuk menjawab segala fitnah dilemparkan," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan