22 Januari 2013

Teruja terima kunjungan Najib

Najib Tun Razak beramah mesra dengan salah seorang peniaga ketika melakukan tinjauan ke Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI 
*****
KOTA BHARU 20 Jan. - "Saya bagaikan bermimpi. Saya tidak pernah membayangkan pemimpin nombor satu negara akan datang singgah makan di kedai saya".
Begitulah reaksi spontan dan terharu pemilik kedai makanan Pak Su Kafe, Nor Hisyam Mustapa, 39, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak singgah untuk menikmati nasi dagang di kedainya di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Nor Hisyam merupakan antara ribuan peniaga paling bertuah dalam Program Walkabout Perdana Menteri bersama peniaga-peniaga di Pasar Siti Khadijah bersempena lawatan sehari beliau ke negeri ini.
"Sudah lapan tahun saya berniaga dan hari ini merupakan detik paling istimewa dalam hidup saya. Saya sangat bertuah, Perdana Menteri sudi meluangkan masa singgah makan di kedai saya. Saya mengunakan kesempatan ini untuk bersembang dengan Perdana Menteri dan melihat wajah pemimpin paling dihormati itu secara dekat," katanya lagi.
Kehadiran Perdana Menteri di Pasar Siti Khadijah hari ini disambut oleh lebih 3,000 orang terdiri daripada para peniaga dan warga sekitar.
Turut mengiringi Perdana Menteri pada program itu adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Fatmi Che Salleh.
Dalam lawatan tersebut orang ramai yang berada di situ tidak putus-putus melaungkan kata-kata semangat seperti 'Hidup Barisan Nasional (BN)' dan 'Kami Sayang Perdana Menteri'.
Mereka juga sangat teruja dan gembira menyambut kedatangan Perdana Menteri yang julung-julung kalinya datang melawat pasar berkenaan.
Perdana Menteri meluangkan masa kira satu jam meninjau pasar tersebut di samping beramah mesra dengan para peniaga di situ.
Seorang lagi peniaga, Siti Fatimah Idris, 62, berkata, dia kali pertama melihat Perdana Menteri secara dekat dan berasa sangat bertuah.
Katanya, sebelum ini dia hanya mampu melihat pemimpin kesayangan rakyat Malaysia itu hanya melalui televisyen dan akhbar.
"Perdana Menteri ada datang di meja saya dan bertanya khabar. Perasaan saya ketika itu sangat gembira kerana sudah lama saya berhasrat berjumpa Perdana Menteri dan bercakap dengannya," katanya.
Mahani Awang, 52, pula berkata, kali pertama jumpa Perdana Menteri dan berpeluang bersalaman dengan beliau merupakan pengalaman indah dalam hidupnya.
"Bayangkan pemimpin tertinggi negara sudi datang ke pasar seperti ini dan tidak jemu melayan dan beramah-mesra dengan peniaga di sini," katanya.

Tiada ulasan: