29 Januari 2013

Tegak ideologi Islam: Pas dalam dilema, tersepit

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Kegagalan Pas menangani beberapa isu membabitkan agama Islam kebelakangan ini membuktikan parti itu dalam dilema sama ada mahu menegakkan ideologi Islam atau mengutamakan kepentingan politik.
Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, tindak-tanduk pemimpin parti itu kebelakangan ini memberikan gambaran bahawa strategi menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang merupakan keutamaan berbanding perkara lain, walaupun membabitkan isu berkaitan agama Islam.
Katanya, Pas mengambil pendekatan itu kerana sedar bahawa mereka tidak mampu menawan Putrajaya tanpa bantuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP sehingga terpaksa mengorbankan perjuangan mempertahankan Islam seperti diuar-uar sebelum ini.
“Selain itu, kebergantungan Pas terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi sebab parti itu tidak mampu menyuarakan pendirian sebenar mereka kerana bimbang bakal menjejaskan persiapan pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum nanti.
“Sebab itu, dalam beberapa isu membabitkan Islam, majlis pemimpin tertinggi Pas tidak menjelaskan dengan tepat pendirian mereka seperti dalam isu kalimah Allah, khuatir akan memberikan kesan kepada sokongan rakyat terhadap parti.
“Hakikatnya Pas dalam keadaan tersepit dan dilanda dilema, antara cita-cita atau pertahankan agama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tulisan dalam ruangan Bisik-Bisik Awang Selamat hari ini yang mempersoalkan tindakan pemimpin Pas sanggup meneruskan kerjasama dengan PKR serta DAP biarpun kedua-dua parti itu bertegas dengan pendirian kalimah Allah boleh digunakan oleh agama lain.
Pendirian tersebut tidak selari dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang tidak membenarkan diguna pakai oleh penganut agama lain.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Zaid Ahmad berkata, Pas terpaksa berbuat demikian bagi menjaga hubungan sesama pakatan pembangkang memandangkan pilihan raya umum sudah tidak lama lagi.
“Pas kini menjaga sokongan yang diterima. Mereka perlu mempertahankan perpaduan antara Pas, PKR dan DAP. Bagi Pas, fokus memenangi pilihan raya umum adalah lebih penting berbanding isu berbangkit pada hari ini," katanya.

Tiada ulasan: