KUALA LUMPUR 31 Jan. - Pihak berkuasa perlu memastikan kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan berhubung dakwaan Ketua Pembangkang itu biseksual bebas daripada sebarang elemen rasuah atau peras ugut.
Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, di samping itu, badan kehakiman negara juga perlu mempercepatkan proses perbicaraan berkenaan demi kepentingan rakyat.
Katanya, keadaan ini kerana rakyat sudah tidak sabar untuk mendengar keterangan isteri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali iaitu Shamsidar Taharin yang dikaitkan dalam kes berkenaan.
"Rakyat tidak sabar mendengar keterangan Shamsidar mengenai hubungan sulit antara beliau dan Anwar seperti didakwa Nallakaruppan. Kita harap Azmin tidak akan mengupah berpuluh ribu orang untuk serbu mahkamah bagi menghalang Shamsidar naik ke kandang saksi.
"Kita juga mahu tahu mengapa Anwar suka pakai rambut palsu yang ditempah khas dari India apabila keluar malam dengan Nallakaruppan satu ketika dulu," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.
Anwar memfailkan saman fitnah ke atas Nallakaruppan serta Utusan Melayu (M) Berhad pada 26 Mac tahun lalu ekoran petikan ringkas di muka hadapan Utusan Malaysia pada 20 Mac tahun lalu bertajuk 'Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla' dan berita penuh di muka surat enam bertajuk 'Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual'.
Nallakaruppan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Mei lalu pula menyenaraikan kira-kira 10 orang merangkumi wanita dan lelaki bagi membuktikan dakwaannya berhubung seksualiti bekas rakan baiknya itu.
Antara wanita yang dikaitkan dengan Anwar, dakwa Ahli Dewan Negara itu dalam dokumen tersebut ialah Shamsidar, Norlaila Abdul Majid dan Soma Rodrigo @ Anne.
Nama lain yang turut dikaitkan oleh Nallakaruppan ialah Mior Abdul Razak, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, Dr. Munawar Ahmad Anees, Azizan Abu Bakar, Ismail Mat Rabi @ Ismail Harun, Hairany Mat Nafees dan seorang bernama Rashid.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini menetapkan tarikh perbicaraan kes itu pada 13, 14 dan 15 Februari ini.
Aminah berpendapat, Nallakaruppan juga boleh mendedahkan perkara itu di luar mahkamah bagi memastikan tiada sebarang kelewatan.
"Kita meminta penjelasan dari Nallakaruppan mengenai perkara ini secepat mungkin sama ada di dalam atau di luar mahkamah. Rakyat Malaysia perlu tahu episod rambut palsu Anwar sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan