31 Mac 2013

Anwar seharusnya pertahan Permatang Pauh

NIAT Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin berhijrah ke kawasan baharu sama ada Perak atau Selangor menarik untuk dianalisis.
Lazimnya kepimpinan utama ahli politik negara masih bertahan di tempat popularnya tetapi tidak lari mencari kawasan lain yang lebih selamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak umpamanya tetap bertahan di Parlimen Pekan dan tidak berpindah ke kawasan lain walaupun di kawasan lain peluang untuknya menang amat besar sekali.
Anwar menghantar mesej bahawa dia tidak ada masalah menang di Permatang Pauh dan bakal menjadi Perdana Menteri walaupun Pas tidak bersetuju. Keinginan berpindah ke tempat lain seolah-olah memberitahu khalayak sebagai bakal Perdana Menteri di mana-mana pun dia boleh bertanding dan menang.
Umum mengetahui bahawa orang Melayu Pulau Pinang amat kecewa dengan kewibawaan Anwar dalam membela nasib mereka.
Kesedaran baharu orang Melayu dan bukan Melayu di Pulau Pinang serta pertubuhan bukan kerajaan (NG0) memberi gambaran ada yang tidak kena dengan cara Lim Guan Eng mentadbir Pulau Pinang.
Anwar sebagai Ketua Pakatan Rakyat dan Guan Eng sebagai Ketua Menterinya dan menjadi wakil Rakyat Permatang Pauh yang majoritinya orang Melayu semakin tidak memberi makna apa-apa untuk membela orang Melayu.
Sebaliknya apabila Guan Eng mencadangkan kalimah Allah digunakan dalam versi Bible Bahasa Melayu, Anwar menjadi penyokong kuat dan beria-ia benar mahu menggunakannya dalam Pakatan Rakyat meskipun akhirnya menerusi Majlis Syuranya menolak cadangan Guan Eng itu.
Isu kalimah Allah di peringkat akar umbi adalah serius termasuk dalam kalangan orang Pas sendiri. Anwar tidak boleh memperlekehkan Pas kerana Majlis Syura Pas sudah membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan politik Anwar.
Penulis percaya orang Permatang Pauh juga teramat marah dengan sikap Anwar itu. Percayalah isu akidah adalah isu pokok dalam Islam. Mempermainkan kalimah Allah pada hemat penulis boleh menyebabkan Anwar dan cita-citanya bakal kecundang.
Apakah keresahan rakyat Pulau Pinang atas banyak isu bermula dengan pengambilan tanah rakyat, ghairah membina rumah kos tinggi dan tidak menepati manifesto membina rumah kos rendah dan mampu beli, isu pembinaan terowong yang mengundang luas bantahan rakyat dan banyak lagi menyebabkan rakyat bangkit dan membuat bantahan berterusan.
Apakah kesedaran baharu ini juga memberi petanda bahawa Anwar tidak melakukan yang terbaik untuk orang Melayu menyebabkan kedudukan kawasannya terjejas sama.
Sepatutnya Anwar tidak meninggalkan Permatang Pauh sekiranya nasib orang Melayu di Pulau Pinang diberi perhatian.
Berhentinya Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri suatu ketika dulu sehingga kini tidak dijelaskan apa sebabnya. Ceramah Mohammad Fairus di mana-mana antara lain menyebutkan Anwar tidak menyebelahinya dalam usaha beliau untuk memperkasa kedudukan orang Melayu ternyata tidak dibantu oleh Guan Eng.
Sekiranya orang Melayu di Permatang Pauh menghadapi kesulitan dalam pembangunan, Anwar tidak patut tinggalkan kawasan itu. Meninggalkan Permatang Pauh dan ingin lari ke tempat lain boleh difahamkan sebagai mencari jalan selamat dan jangan kekal di kawasan yang kurang selamat.
Kenyataan Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri sekarang yang menganggap Guan Eng sebagai "tokong" membawa maksud yang amat tersendiri dan mendalam.
Mansor lebih tahu apa yang tersirat di sebalik kenyataannya itu. Apakah ia juga mengalami nasib seperti yang dilalui oleh Muhamad Fairuz sebelumnya.
Cara Guan Eng mengurus Pulau Pinang dan meraikan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ternyata bermasalah. Bantahan terhadapnya dilakukan secara terbuka dan berulang. Terakhir ini ia disertai oleh pihak orang Cina dan India terhadap banyak isu. Dulu Pas gelar Guan Eng sebagai Khalifah Omar Ab. Aziz. Sekarang apa sudah jadi kepada gelar itu?
Apakah Guan Eng peka menjaga tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh atau turut membantu Anwar mengurus Permatang Pauh dengan khidmat yang terbaik?
Akibat kesedaran orang Melayu di tiga kawasan DUN secara langsung memberi kesan kepada kawasan Parlimen Permatang Pauh. Ini bermakna perpindahan Anwar ke tempat lain adalah mencari tempat selamat bukan mempertahankan trek-rekod dalam khidmatnya sebagai wakil rakyat.

Tiada ulasan: