KUALA LUMPUR 11 Mac - Pendirian tidak tetap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan operasi kilang nadir bumi oleh Lynas Corporation Sdn. Bhd. (Lynas) menggambarkan sikap pemimpin tersebut yang talam dua muka.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, Ketua Pembangkang itu sanggup berpaling tadah dan menjadi 'lalang' hanya kerana mahukan sokongan daripada penduduk khususnya yang berada di Kuantan, Pahang.
"Dia menunjukkan sikap sebenar pemimpin pembangkang sekarang. Cukup senang beliau berdolak-dalik berhubung pendiriannya sendiri semata-mata untuk mendapatkan sokongan.
"Bagaimana pemimpin begini harus diterima sedangkan sikap beliau yang jelas menunjukkan tidak boleh dipercayai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini Anwar menunjukkan sikap seperti 'sesumpah' selepas menyatakan kesediaan membenarkan operasi kilang nadir bumi, Lynas di Gebeng, Kuantan, Pahang.
Mengulas isu sama, Setiausaha 1 Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, perubahan pendirian Anwar merupakan strategi terancang bagi meraih undi dalam pilihan raya umum nanti.
Menurut beliau, disebabkan projek pusat pemprosesan Lynas itu banyak membantu penduduk sekitar mendapatkan pekerjaan, Anwar terpaksa mengubah pendiriannya untuk mendapatkan sokongan daripada mereka.
"Paling tidak, dengan sokongan terhadap projek Lynas itu mampu menarik minat pengundi atas pagar untuk menyokong parti beliau.
"Tetapi dengan pendirian yang sering berubah bertentangan dengan janjinya sebelum ini, secara tidak langsung menunjukkan kredibiliti beliau yang tidak tetap dengan prinsipnya sendiri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan