ISLAM adalah agama yang menggalakkan keamanan, namun ia juga membenarkan bahkan mewajibkan peperangan dalam keadaan yang tertentu.
Allah mengizinkan golongan yang dizalimi mengangkat senjata bagi mempertahankan diri (Surah al-Hajj: 39-40). Kezaliman yang dimaksudkan itu dijelaskan oleh dengan kata-kata: “iaitu orang-orang yang dihalau keluar dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar melainkan semata-mata kerana mereka menyatakan: Tuhan kami adalah Allah."
Demikianlah keadaan kaum Muslimin tatkala keizinan berperang diberikan. Mereka tetap diperangi dan tidak dibenarkan oleh kaum musyrikin mengamalkan agama mereka walaupun sudah berhijrah meninggalkan Mekah.
Sejarah menunjukkan bahawa keizinan berperang itu sendiri bukanlah diberikan secara sembarangan. Kaum Muslimin semasa di Mekah bersabar mengalami penindasan bertahun-tahun lamanya sehinggakan sebahagian dari mereka merungut-rungut menantikan pertolongan yang dijanjikan.
Sebelum keizinan diberikan kaum Muslimin diminta berhijrah ke Madinah. Namun, apabila golongan kafir Mekah tetap tidak membiarkan kaum Muslimin hidup aman di Madinah, tiada lagi jalan perdamaian. Perang adalah satu-satunya jalan penyelesaian. Pada ketika itulah perang diizinkan, demi mempertahankan segala-gala yang bernilai iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan maruah.
Pada hari ini kita dapati perang jihad begitu mudah diisytiharkan termasuklah kepada kerajaan Islam. Maka di sana-sini kita mendengar puak-puak tertentu yang melancarkan perang jihad terhadap kerajaan tertentu, dan perang itu meliputi juga pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan mereka termasuklah orang awam.
Lihat sahaja perang saudara di Syria yang dianggap sesetengah pihak sebagai perang jihad. Sehingga kini ia telah mengorbankan 70,000 nyawa manakala puluhan ribu lagi mengalami kecederaan dan kecacatan anggota.
Pada masa sama jutaan manusia menjadi pelarian melarat di khemah-khemah sementara, sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian ditutup, manakala seluruh aktiviti perniagaan dan pertanian lumpuh. Itulah harga yang terpaksa dibayar kononnya demi menjatuhkan kerajaan Assad yang zalim, dengan mendatangkan kezaliman yang lebih besar!
Wujudnya kezaliman semata-mata tidak boleh dijadikan alasan untuk mengangkat senjata menentang kerajaan kerana tidak mungkin wujud kerajaan yang sempurna keadilannya di dunia ini. Memang benar kezaliman adalah suatu mudarat yang mesti dihapuskan, akan tetapi harus difikirkan semasak-masak dahulu sebab-musabab dan akibatnya.
Sekiranya peperangan itu hanya mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada kepentingan umat Islam maka hendaklah ia dijauhkan, dan diusahakan cara-cara lain yang lebih berhemah. Ternyata apa yang berlaku di Syria pada hari ini adalah usaha menghapuskan kemudaratan dengan mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.
Di samping korban nyawa, penderitaan dan kemusnahan yang tidak terkira, Syria kini menjadi semakin lemah dan tidak lagi mampu mengimbangi kuasa Israel. Di samping itu suatu kehilangan yang lebih besar adalah peranan Syria sebagai pusat ilmu.
Sebelum perang ribuan pelajar dari seluruh pelosok dunia datang ke negara itu berguru dengan para alim ulamanya. Kini segala-galanya musnah, dan kerugiannya bukan sahaja ditanggung oleh rakyat Syria tetapi oleh dunia Islam keseluruhannya.
Justeru, sayugia kita ingati pesanan Rasulullah SAW bahawa usaha yang berterusan dengan penuh kesabaran bagi mencapai keadilan, sedang pada masa sama mengekang nafsu amarah yang cenderung ke arah pertumpahan darah adalah jihad yang lebih besar dari peperangan bersenjata.
Kelihatannya apa yang berlaku di Syria itu tidak cukup sebagai pengajaran. Pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Kiram juga dianggap oleh penyokongnya sebagai jihad, oleh itu penceroboh yang terkorban telah diisytiharkan mati syahid.
Walaupun kerosakan yang ditimbulkan setakat ini tidaklah mencapai apa yang berlaku di Syria, namun kita tetap boleh melihat persamaannya: ribuan kehilangan tempat tinggal dan sumber pencarian, pendidikan tergendala dan hilangnya kepercayaan terhadap satu sama lain.
Sepatutnya kaum Muslimin di Filipina itulah yang tegas membantah pencerobohan tersebut kerana ia merupakan pengkhianatan terhadap saudara seagama yang selama ini banyak membantu mereka dalam segala keadaan.
Kerajaan Malaysialah yang selama ini membantu kaum Muslimin Filipina dalam perjuangan mereka mempertahankan diri dari penindasan Filipina sehingga termeterai perjanjian damai baru-baru ini. Dan di Sabahlah tempat mereka berlindung dan mencari penghidupan selama ini. Oleh itu, pendirian MILF yang enggan campur tangan amatlah mengecewakan. Pendirian itu adalah bercanggah dengan ajaran al-Quran dan prinsip setia kawan.
Di negara kita pun ada golongan tertentu yang tidak menunjukkan sokongan terhadap tindakan kerajaan memerangi pengganas Kiram. Golongan ini pernah menghalalkan perang jihad ke atas kerajaan Malaysia dan memfatwakan bahawa pengikut mereka yang melakukannya telah mati syahid. Asas pada fatwa itu tentulah andaian bahawa kerajaan ini adalah kerajaan kafir harbi, yakni yang wajib diperangi.
Oleh sebab itu tidaklah menghairankan sekiranya mereka masih berbelah-bahagi sokongannya terhadap tindakan kerajaan terhadap pengganas Kiram. Jika adapun sokongan hanyalah sekadar sokongan yang boleh disifatkan suam-suam kuku, takut dituduh rakyat mereka tidak patriotik.
Tiada kedengaran retorik berapi-api menyokong tindakan kerajaan itu sebagaimana yang kita boleh jangkakan tindakan mereka apabila berlaku pencerobohan Amerika ataupun Israel terhadap bumi umat Islam.
Tidaklah kita ketahui berapa ramai dalam kalangan kita yang masih berpegang bahawa kerajaan ini adalah kerajaan kafir harbi, namun ia adalah suatu ideologi kaum pelampau yang mesti diawasi.
PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam (IKIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan