KUALA LUMPUR 29 Mac - Pakatan pembangkang disifatkan cuba mewujudkan sistem pemerintahan kronisme jika meletakkan seorang lagi anak perempuan Ketua Pembangkang, Nurul Nuha Anwar untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, jika benar Nurul Nuha bakal bertanding di kerusi yang kini disandang bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini bermakna pakatan pembangkang mempertaruhkan calon-calon dalam kalangan anak-beranak pada pilihan raya kali ini.
Selain Nurul Nuha, ibunya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, kakaknya, Nurul Izzah dan bapanya akan turut bertanding pada PRU-13 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipengerusikan oleh ibunya sendiri.
Menurut Zainal Abidin, amalan anak-beranak yang bertanding serentak dalam satu pilihan raya umum itu secara tidak langsung telah menafikan pemimpin-pemimpin tempatan yang lebih layak untuk diketengahkan.
"Mereka (pakatan pembangkang) ibarat meludah ke langit, akhirnya terkena ke muka sendiri dengan meletakkan calon-calon di kalangan ahli keluarga sendiri. Apakah ini menunjukkan pembangkang khususnya PKR ketandusan calon untuk bertanding di Permatang Pauh?," katanya kepada Utusan Online hari ini.
Zainal Abidin berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus berhubung cadangan pakatan pembangkang yang mahu mencalonkan Nurul Nuha di Parlimen Permatang Pauh sebagai legasi daripada datuk, bapa dan ibunya yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen di kawasan tersebut.
Kata beliau, sebelum ini pihak pembangkang begitu lantang mengutuk amalan rasuah, nepotisme dan kronisme dalam kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedangkan kenyataannya mereka sendiri mengamalkan amalan tersebut dengan kental.
Ini dibuktikan apabila selain PKR menerusi keluarga Anwar, DAP juga dijangka mengekalkan calon anak-beranak iaitu Lim Kit Siang (bapa), Lim Guan Eng (anak) dan Betty Chew (menantu) serta keluarga Karpal Singh serta anak-anaknya.
Tambah Zainal Abidin, berdasarkan senario amalan parti pembangkang, jelas perjuangan mereka adalah untuk kepentingan peribadi berbanding agenda rakyat.
"Hal ini tidak sama dengan UMNO apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mula bertanding dalam pilihan raya umum selepas kematian bapanya. Begitu juga dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Mereka hanya meneruskan legasi bakat dan kepimpinan politik ahli keluarga," ujarnya. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan