KUALA LUMPUR 22 Mac - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua seolah-olah mencabar institusi mahkamah, pihak berkuasa dan rakyat Malaysia yang semakin memuncak kemarahan terhadapnya apabila berterusan menuduh insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO.
Terbaru, tohmahan itu dibuat secara terbuka ketika beliau berucap dalam ceramah mengenai manifesto pakatan pembangkang peringkat Wilayah Persekutuan yang kurang mendapat sambutan di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.
Tohmahan itu dibuat seminggu selepas prosiding pendakwaan terhadapnya bermula pada 14 Mac lalu apabila beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung dakwaan berkenan sebelum ini.
Tian Chua didakwa membuat kenyataan tersebut kepada lidah rasmi PKR, Keadilan Daily pada 1 Mac lalu.
Tuduhan tersebut ternyata menggores hati pelbagai pihak termasuk keluarga perwira negara yang gugur dalam Ops Daulat apabila sebanyak 1,361 laporan polis telah dibuat terhadapnya antara 1 hingga 20 Mac lalu.
Dalam ucapannya malam tadi, Tian Chua terus mendakwa, insiden pencerobohan di Sabah itu sebagai konspirasi UMNO untuk menakut-nakutkan rakyat Sabah.
Ahli Parlimen Batu itu mendakwa, insiden pencerobohan yang dicetuskan oleh kumpulan pengganas Kiram tersebut digunakan oleh UMNO bertujuan mengalih perhatian masyarakat daripada isu pemberian kad pengenalan kepada orang asing di Sabah.
"Nampaknya, kerajaan UMNO menggunakan kes ini untuk menakut-nakutkan rakyat dan mengalih pandangan orang awam daripada isu pokok iaitu satu tajuk yang sangat hangat iaitu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Sabah, projek IC (kad pengenalan) kepada orang asing dengan banyak. Itu saya sifatkan sebagai konspirasi.
"Atas sebab itu saya tetap menyatakan adalah konspirasi UMNO untuk mencemarkan pihak pembangkang bukan sahaja dalam kes Lahad Datu tetapi setiap kes dari awal lagi. Kita lihat setiap kali pilihan raya mesti ada konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkan imej pakatan pembangkang," katanya.
Malah, dalam ceramahnya kali ini, Ahli Parlimen Batu itu turut mengaitkan tragedi Memali pada 1985 sebagai salah satu daripada konspirasi UMNO.
Beliau seterusnya mendakwa tidak pernah menghina anggota keselamatan sama ada polis atau tentera.
"Pada zaman reformasi berapa kali saya dihentam, dipukul, dibelasah oleh polis. Berapa kali saya ditahan. Pernahkah saya balas kekerasan itu. Pernahkah kita lakukan keganasan terhadap polis. Pernahkah kita baling batu kepada pihak polis.
"Ini adalah kerana kita menghormati peranan mereka. Kita memahami mereka hanya menjalankan tugas apabila diarah," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan