PUTRAJAYA 2 April - Mesyuarat Kabinet esok disifatkan istimewa kerana jatuh pada tarikh Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik ke jawatan Perdana Menteri empat tahun lalu.
Lebih istimewa lagi, anggota Jemaah Menteri masing-masing dimaklumkan bahawa sesi bergambar akan diadakan sebelum mesyuarat bermula.
Rata-rata menteri yang dihubungi memberitahu, sememangnya menjadi tradisi bagi anggota Kabinet untuk bergambar kenangan sebelum pengumuman pembubaran Parlimen dibuat.
Bagaimanapun, menurut mereka, sesi kali ini lebih istimewa kerana selain menandakan mesyuarat esok adalah yang terakhir, juga genap empat tahun Perdana Menteri menerajui kerajaan.
Jemaah Menteri yang dilantik oleh Najib memulakan mesyuarat pertama pada 15 April 2009 iaitu hampir dua minggu selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.
Sama ada Parlimen akan dibubarkan esok, menurut mereka, masih belum dapat dipastikan sambil tidak kurang menjangkakan pengumuman akan dibuat Jumaat.
Selepas mesyuarat Kabinet esok, Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan orang ramai akan menyertai Kayuhan Patriotik di sini pada pukul 4.30 petang.
Najib dijadual menghadiri upacara pecah tanah untuk pembinaan masjid pertama di Cyberjaya iaitu Masjid Cyberjaya pada pukul 9 pagi, Jumaat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan