4 April 2013

Tolak calon 'pelarian'

BALING 2 April - Rakyat perlu menolak calon pembangkang yang bertanding di kawasan berlainan dalam setiap pilihan raya umum kerana tindakan itu menunjukkan calon tersebut hanya berminat mengejar jawatan berbanding berbakti kepada rakyat.
Sambil menyifatkan calon itu seperti 'pelarian', Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, calon tersebut terutamanya daripada pembangkang hanya mahu bertanding di kawasan yang dilihat berpeluang menang kerana takut ditolak rakyat.
"Pengundi perlu melihat mereka ini yang sering berpindah-randah setiap kali pilihan raya umum disebabkan gagal menjadi wakil rakyat yang berjasa kepada pengundi di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis 'Penggerak PRU-13 Parlimen Baling' di sini semalam.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah dan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim.
Ahmad Bashah mengulas ura-ura Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu akan bertanding di Pendang manakala Ahli Parlimen Machang yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail akan bertanding di Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Sementara itu, Jamil Khir berkata, beliau yakin rakyat akan kembali memberikan sokongan kepada UMNO dan BN untuk membangunkan kembali Kedah berikutan semakin sedar dengan kegagalan Kerajaan Pas Kedah ketika ini mentadbir negeri tersebut.
"Perkembangan sejak akhir-akhir ini banyak menunjukkan Kedah akan ditawan semula BN," katanya.

Tiada ulasan: