15 Mei 2013

Konsep wasatiyyah mampu satukan pelbagai bangsa - Mufti Oman

KUALA LUMPUR 14 Mei - Konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan jika difahami dengan jelas mampu menyatupadukan umat Islam dan masyarakat pelbagai bangsa di seluruh dunia, kata Timbalan Mufti Oman, Dr. Kehlan Nubhan Al-Khurusy.
Dalam sesi interaktif yang dianjurkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini, Dr. Kehlan berkata, konsep ini yang meliputi semua aspek kehidupan mampu menghindari fahaman yang melampau.
Konsep Wasatiyyah di Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai salah satu cara bagi membina keamanan sejagat.
Sesi interaktif itu dengan kerjasama Persatuan Pelajar Oman UIAM mengupas topik 'Peranan Wasatiyyah dalam Menyatupadukan Ummah'.
Dr. Kehlan berkata, umat Islam dapat menyampaikan konsep dan prinsip Wasatiyyah kepada masyarakat di seluruh dunia jika ia difahami dengan baik dan dilahirkan dalam bentuk tindakan.
"Sudah tentu prinsip kesederhanaan yang diamalkan dapat membawa kemajuan dalam kehidupan, sama ada dalam aspek ekonomi, sosial dan politik", kata beliau.
"Dialog merupakan antara langkah yang boleh diambil untuk melaksanakan pendekatan Wasatiyyah dalam mencapai perpaduan dan tamadun", katanya.
"Dialog bukanlah satu medan untuk saling bertelagah dan berselisih faham, tetapi untuk menyelesaikan masalah dan isu, mendengar, menerima dan menghormati pendapat orang lain, meneliti bukti-bukti dan tidak bertelagah pada pendapat yang berbeza," tegas Dr Kehlan.
Turut serta dalam sesi interaktif itu ialah Duta Oman ke Malaysia Aflah Sulaiman Mohammed Al-Taei, Atase Kebudayaan di kedutaan Oman di Malaysia, ahli akademik, petugas dan pelajar. - BERNAMA

Tiada ulasan: