15 Mei 2013

UMNO patut bersyukur, bermuhasabah

SAMBUTAN kelahiran UMNO pada 11 Mei lalu memberi erti besar kepada perjuangan politik orang Melayu kerana masih diberi mandat mengurus negara Malaysia yang dikasihi.
Tanpa dukungan UMNO, Malaysia boleh terlepas ke tangan orang yang oportunis, cauvanis dan pelampau. UMNO yang mengamalkan faham sederhana atau wasatiyyah adalah parti teras mengimbangi kesejahteraan dan perpaduan rakyat berbilang kaum.
Faktor teras dan tenaga pengimbang ini cuba dihancurkan oleh DAP yang mendapat lonjakan Anwar Ibrahim kerana angan-angannya ingin menjadi Perdana Menteri dan Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri sementara dikatakan Lim Guan Eng akan jadi Menteri Kewangan.
Orang Cina terpesona dengan angan-angan ini kerana dengan dukungan PKR dan Pas, DAP akan sama-sama dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang mana UMNO terasnya. Malangnya angan-angan ini tidak kesampaian kerana orang Melayu cepat dan bijak membaca strategi ini.
Analogi sebatang pokok, ia tidak akan tumbang semata-mata beliong yang menghentak pokok itu. Tetapi kayu yang menyendal beliong itu mampu menumbangkan pokok itu. Sayang kayu itu tidak cukup kuat untuk menumbangkan pokok itu kerana Allah tidak menghendaki ia berlaku.
Mujur pokok UMNO dan BN tidak mudah untuk ditumbangkan. Bererti walaupun sebahagian orang Melayu baik dalam Pas dan PKR sedia dijadikan alat atau saling memperalat, pokok UMNO dan BN masih teguh berdiri.
UMNO dan BN tentunya boleh menjadi lebih kuat kalau faktor calon diambil kira. Kes Selangor dan Terengganu akan lebih baik lagi kalau calon winnable candidate dipertandingkan.
Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyidin Yassin mendapat sambutan baik dalam strategi merakyatnya tetapi mengapa dua negeri ini menghadapi masalah terutamanya Selangor.
Post-mortem yang jujur dan telus harus dilakukan supaya semua faktor yang menjadi sebab kepada kelemahan prestasi UMNO dapat dikenal pasti dan ia tidak berulang lagi semasa pilihan raya ke-14 nanti.
Muhasabah yang mendalam harus dilakukan oleh UMNO kerana corak generasi pengundi akan datang jauh lebih mencabar kerana generasi saluran 4 atau 5 mempunyai pola berfikir yang simplistik dan banyak terpengaruh dengan persepsi salah dan terikut-ikut dengan pengaruh media baru.
UMNO sendiri pada hemat penulis di tahap tertinggi, negeri, bahagian dan cawangan harus melalui proses transformasi kepimpinan dan kepengikutan supaya mereka menjadi sumber contoh yang mesra rakyat. Budaya merakyat dan peribadi teladan yang tinggi harus menjadi perkara utama khususnya dalam mendekati generasi muda.
UMNO tidak harus merasa bersalah dengan apa yang telah diperjuangkan selama ini. Program-program ke arah memartabatkan Islam terlalu banyak dilakukan dan jangan biarkan propaganda pembangkang mampu bangun menyatakan UMNO tolak Islam.
Antara faktor yang menyebabkan UMNO menang ialah faktor kesinambungan dan rekod pencapaian. Orang Melayu menginsafi tanpa kesinambungan tidak mungkin orang Melayu mampu dilonjakkan ke arah tahap yang lebih maju. Orang Melayu sangat memahami bahawa tanpa rekod pencapaian yang lalu tidak mungkin UMNO dipilih lagi, kerana UMNO menjadi tempat pergantungan orang Melayu.
Namun persiapan untuk mentransformasi UMNO harus dibuat dengan segera. Lima tahun yang bakal mendatang tidaklah terlalu lama. Muhasabah yang serius harus terjadi supaya UMNO terus jadi tunggak pergantungan orang Melayu dan sandaran bagi masyarakat Malaysia.
Generasi muda di setiap tahap persekolahan harus diberikan orientasi budaya dan sejarah, kesetiaan dan patriotisme yang tinggi dengan cara yang lebih memikat terutama dalam kalangan pelajar yang dihantar ke luar negeri untuk belajar.
Yang belajar di luar negara amat memerlukan kesedaran bahawa mereka dihantar ke luar negara bukan semuanya memiliki merit tetapi faktor afirmatif menyebabkan ia terjadi. Tanpa faktor afirmatif tidak mudah mereka mendapatkan peluang ini.
Ada setengah orang muda berpendapat pendidikan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan. Kerajaan yang bertanggungjawablah menyebabkan ia berlaku.
Apakah semua negara lain di dunia memiliki keupayaan dana untuk menghantar pelajar-pelajar mereka mendapat pendidikan yang berkualiti pada hal ia juga suatu tanggungjawab. Kerajaan yang ada mampu melakukan itu kerana ia memiliki dana.

Tiada ulasan: