2 Mei 2013

Perang psikologi atau tindakan ekstremis?

TAKTIK ganas dan menggunakan kekerasan yang semakin mencemari kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nampaknya semakin melarat sehinggakan dikesan semakin parah di alam siber.
Walaupun selama ini telah banyak fitnah dan penipuan disebarkan melalui fakta-fakta palsu mahupun tuduhan tidak berasas melalui blog mahupun laman sosial, gerakan memfitnah khususnya terhadap calon-calon Barisan Nasional (BN) semakin rancak menjelang hari-hari terakhir berkempen.
Turut tidak terlepas menjadi mangsa buli siber adalah penyokong BN, jentera parti mahupun individu yang mengakui lebih cenderung memilih calon BN pada 5 Mei ini di laman-laman sosial.
Terbaharu, seorang nyonya yang menyatakan sokongan secara terbuka kepada BN di sebuah laman web dilaporkan menerima ugutan daripada pihak-pihak tertentu yang mengancam mahu mencederakannya serta merogol anaknya kerana ‘pengakuan berani’ itu, sementara seorang artis terkenal turut menjadi mangsa pembuli siber.
Seperti juga serangan fizikal ke atas penyokong dan jentera parti mahupun mensabotaj acara calon dan pemimpin BN, taktik ‘menyerang’ dan mengugut untuk mencederakan pengguna Internet yang menyokong kerajaan dilihat sebagai langkah akhir perang psikologi menjelang hari mengundi.
Nyata sekali semuanya perbuatan terdesak pihak terbabit di saat-saat akhir PRU-13, tetapi kumpulan pembuli siber itu seolah-olah sudah ‘sampai seru’ untuk beralih daripada usaha memancing undi atas pagar kepada rancangan menyekat sebanyak mungkin undi penyokong dan ahli BN.
Penyokong BN yang umumnya dilihat lebih berlindung dan menyorokkan ideologi mereka sejak PRU 2008, kini semakin rancak bangkit menyatakan pendirian dan sokongan.
Namun, mampukah taktik ugutan pembuli siber menakutkan rakyat daripada keluar mengundi dan seterusnya merencatkan kebangkitan semula BN di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)?
Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said menjelaskan tindakan ugut dan fitnah pihak terbabit di Internet merupakan taktik perang psikologi biasa tetapi mediumnya sahaja berbeza.
“Sama ada secara fizikal di luar mahupun di Internet, semuanya perang psikologi tetapi tindakan mengugut untuk mendatangkan kecederaan tetap satu kesalahan jenayah walau apa sekali cara digunakan.
“Penggunaan Internet mungkin lebih berkesan kerana laman sosial seperti Facebook boleh menyebarkan sesuatu pandangan, kenyataan dan maklumat dengan cepat, ramai yang mengikutinya dan ia boleh berkembang dengan sendiri," katanya.
Tambahnya, penyebaran berita palsu mahupun ancaman akan sampai kepada lebih ramai orang melalui laman sosial di Internet berbanding secara terus.
Beliau bimbang jika ancaman yang diutarakan oleh pihak tertentu akan menghasut pihak yang berpandangan serupa dengannya untuk turut membuat ugutan kepada penyokong mahupun ahli parti lawan.
“Tekanan ancaman itu amat kuat, mereka yang sama fahaman seperti mangsa juga akan terasa, mungkin laman peribadi Facebook mereka akan dipenuhi sumpah seranah pihak terbabit.
“Golongan atas pagar mungkin menerima kesannya (takut mengundi) tetapi mereka yang tekad untuk memilih BN tiada masalah. Impak sokongan terhadap BN mungkin tidak mendalam tetapi pengundi mungkin akan risau sedikit soal keselamatan mereka," ujarnya.
Beliau bagaimanapun menasihatkan mereka yang menjadi mangsa pembuli siber agar mengabaikan sahaja fitnah dan ugutan mereka itu ataupun membuat laporan polis jika bimbang boleh mendatangkan mudarat kepada diri atau keluarga.
Zaini berpendapat tindakan fitnah dan ugut merupakan satu petanda pihak terbabit kurang atau semakin hilang keyakinan dan umumnya sudah nampak mereka tidak boleh menang.
“Kalau yakin (menang) tidak perlu ugut atau ancam, dia sudah rasa goncang maka akan gunakan apa juga cara pada minit akhir pertandingan sama ada pujuk rayu, penerangan, menakutkan mahupun ancaman.
“Pada saya, dia akan gunakan apa sahaja cara dalam masa terakhir ini lebih-lebih lagi terhadap penyokong BN. Jika dapat kurangkan walau satu undi kepada BN pun sudah cukup," dakwanya.
Menurutnya lagi, perbuatan itu mungkin akan memberi kesan tetapi tahapnya bergantung kepada isu yang dimainkan dan cara penyampaian pihak terbabit kerana persepsi rakyat boleh diubah jika apa disampaikan itu ada ‘kebolehpercayaan’.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim pula menganggap perbuatan mengugut pengguna Internet sebagai satu tindakan radikal kumpulan ekstremis.
“Ini bukan lagi perang psikologi, pihak tersebut sudah berubah daripada seorang pengikut kepada penyokong tegar dan seterusnya menjadi seorang penganut ekstremis yang berubah radikal untuk mencetuskan revolusi.
“Daripada perbuatan caci-mencaci kepada keganasan fizikal dan dalam keadaan ekstrem mungkin seksual seperti mana kes menunjukkan kemaluan pada PRU lalu," jelasnya.
Beliau menyatakan, apa yang dikhuatiri kini adalah objektif sebenar perbuatan itu bukannya untuk mendapat kuasa secara sah tetapi untuk menggerakkan puak radikal dan pelampau serta mencetuskan satu revolusi di negara ini.
“Kenapa tidak secara terus ‘berperang’ dengan pemerintah? Mereka guna cara cetuskan ketakutan dan hasut rakyat bangkit menentang kerajaan.
“Kemudian, dia datang sebagai ‘penyelamat’ keadaan. Jika serang secara terus, dia akan dianggap ekstremis, komunis dan sebagainya," katanya.
Beliau menjelaskan, jika dahulu revolusi menggunakan senjata, kini cuma perlu gunakan Internet supaya ketenteraman awam terganggu.
Kamal Affandi menyatakan dari Perang Dunia Pertama sehingga Perang Vietnam, semuanya berpunca daripada pertentangan ideologi politik di mana satu pihak mahu mendapat kuasa melalui saluran sah sementara satu lagi melalui justifikasi.
“Justifikasinya bahawa dia ‘layak’ berkuasa, tidak mahu pengundian kerana tahu dia akan kalah. Penganut fahaman radikal ini macam Hitler atau Stalin, secara rambang sesiapa pun boleh kena, bukan pihak lawan sahaja, anologi mudah seperti pengebom berani mati.
“Ketua akan korbankan pengikut yang taat, siapa yang cedera tak penting asalkan ketua itu hidup, bodoh tak? Oleh itu, orang yang diasuh atau dilatih (fitnah dan ugut dalam PRU-13) itu, sedarlah diri sendiri juga akan dikorbankan kelak," tegasnya.

Tiada ulasan: