KANGAR 15 Jun - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) mendesak
kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang
menghina institusi Raja-Raja Melayu.
Presidennya, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata, PPKM juga tidak
akan berdiam diri dan akan menentang siapa jua yang melakukan perbuatan
itu.
Berucap pada persidangan perwakilan tahunan PPKM kali ke-26 yang
disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di
sini malam tadi, beliau turut mendesak kerajaan menggubal undang-undang
yang lebih khusus bagi menghukum pihak yang melakukan penghinaan itu.
Beliau juga berharap laman sosial tidak dipergunakan
sewenang-wenangnya untuk menghina institusi raja atau mewujudkan
keresahan kaum.
"PPKM tidak nafikan hak kebebasan bersuara tapi tak boleh secara melampau sehingga menyentuh sensitiviti kaum," katanya.
Wan Mahmood berkata, golongan pesara kerajaan perlu sentiasa
menyumbang kepada pembangunan negara dan menyertai PPKM adalah antara
landasan untuk mereka memberi sumbangan idea.
Pesara kerajaan tidak seharusnya menjadikan zaman persaraan untuk
berehat kerana pengalaman dan pemikiran mereka sentiasa diperlukan,
katanya.
Sementara itu, lebih 500 perwakilan dan pemerhati menyertai
persidangan selama tiga hari itu yang berlangsung sempena sambutan ulang
tahun keputeraan Raja Perlis yang ke-70.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku
Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed
Faizuddin Putra Jamalullail. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan