9 Jun 2013

Lagi sokong dua jawatan tertinggi tidak ditandingi

KUALA LUMPUR 5 Jun - Cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO pada penghujung tahun ini dilihat sebagai tindakan wajar terutama ketika parti itu sedang berusaha memperkukuh kepimpinannya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, walaupun sokongan rakyat kepada UMNO semakin kuat, kedudukan Barisan Nasional (BN) tidak kukuh sepenuhnya selepas gagal memenangi dua pertiga kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum lalu.
"Kita berharap Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menerajui UMNO dan BN bagi memastikan kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya yang juga Timbalan Menteri Kewangan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO hujung tahun ini bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.
DI PUTRAJAYA, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ahli UMNO ketika ini seharusnya lebih mengutamakan keutuhan parti dan sebarang bentuk perpecahan wajib dihindari.
''UMNO mesti bertambah kukuh dan kuat . Sehubungan itu, setiap ahli parti mestilah sentiasa bersedia untuk menerima perubahan yang menjurus kepada kelangsungan parti,'' katanya.
DI PULAU PINANG, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Najib dan Muhyiddin telah menunjukkan corak kepimpinan yang baik sehingga BN mampu merampas semula Kedah selain mengekalkan kemenangan di negeri-negeri lain dalam PRU-13.
Ujarnya, UMNO ketika ini sedang melalui proses transformasi dan keadaan parti perlu lebih stabil dan kita harus memberi fokus pada persiapan awal untuk menghadapi PRU-14 kelak.
Di JOHOR, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah kerja-kerja memperkemas dan memperkukuhkan parti selepas PRU-13.
"Ada baiknya dalam tempoh ini kita melihat kembali sebarang kelemahan dalam parti seterusnya memperbaikinya bagi menghadapi PRU Ke-14," katanya.
DI KUALA TERENGGANU, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, apa yang lebih utama adalah untuk memperkukuhkan kedudukan parti agar dapat kembali menarik keyakinan rakyat secara meluas.

Tiada ulasan: