PULAU PINANG 29 Jun - Pengerusi DAP, Karpal Singh berpendapat
pendedahan yang dibuat oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla
tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjejaskan pakatan pembangkang.
Karpal berkata, segala yang dibincangkan antara Jusuf dengan Ketua Pembangkang itu tidak seharusnya didedahkan kepada umum.
“Kenyataan yang dikeluarkan Jusuf boleh menjejaskan pakatan pembangkang dan menimbulkan persoalan tentang kredibiliti Anwar.
“Jika Anwar terjejas, ini juga memberikan kesan kepada komponen dalam
pakatan pembangkang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Jusuf mendakwa Anwar mendapat dana besar daripada pihak
asing untuk menganjurkan siri perhimpunan haram membantah keputusan
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Jusuf turut mendakwa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempunyai
imaginasi melampau dan ego kerana masih ingin menjadi Perdana Menteri
meskipun parti pimpinannya kalah dalam PRU-13 lalu.
Mengulas lanjut, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor
berkata, Jusuf harus meminta maaf secara terbuka kerana menuduh Anwar
mendapat bantuan dana asing untuk menjalankan perhimpunan berkenaan.
“Beliau harus menyatakan rasa kesalnya kerana menuduh Anwar seperti itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan