Amir Baharuddin
*****
Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Amir Baharuddin berkata, gejala polarisasi kaum dalam pengambilan pekerja yang berlaku di negara ini, mengharuskan mereka memainkan peranan dalam membela nasib graduan Melayu.
"Usahawan dan ahli korporat Melayu mesti sedar dengan situasi semasa, keutamaan harus diberikan kepada anak bangsa sendiri sejajar usaha meneruskan kelangsungan pembangunan Melayu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau turut menyarankan supaya kerajaan menguatkuasakan syarat 30 peratus kakitangan sama ada di peringkat pentadbiran atau operasi syarikat Cina dan asing adalah orang Melayu.
"Demi kejayaan Gagasan 1Malaysia, kerajaan harus bertegas dan sentiasa memantau operasi syarikat berkenaan, ini kerana Melayu mewakili 65 peratus komposisi penduduk," ujarnya.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai kajian oleh penyelidik sebuah universiti awam mengesahkan wujud diskriminasi terhadap graduan Melayu yang memohon pekerjaan di syarikat swasta dimiliki kaum Cina dan asing.
Menurut kajian itu, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan graduan Cina menjadi pilihan untuk dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Kolej Universiti Shahputra, Mohd. Nizam Malek mengesa syarikat Melayu supaya memberi peluang kepada graduan Melayu untuk diambil bekerja meskipun tidak memiliki kemahiran.
"Kebanyakan syarikat sekarang mahukan pekerja yang mempunyai kemahiran insaniah, pada zaman dahulu tiada ketetapan sebegini, namun, masih berjaya melahirkan pekerja yang berkualiti.
"Mungkin syarikat akan memikirkan tentang kos untuk menghantar pekerja berkursus atau sebagainya, tetapi melihat kepada situasi semasa, syarat pengambilan pekerja perlu dilonggarkan demi kepentingan Melayu," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan