11 Jun 2013

Tempoh 'berdiam diri' sudah tamat - PPIM

Nadzim Johan 
*****
KUALA LUMPUR 9 Jun - Pihak berkuasa digesa segera mengambil tindakan terhadap pihak yang bertindak biadab menghina Islam sebelum pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membuat satu ketetapan drastik bagi menyekat 'gejala kurang ajar' daripada berleluasa di negara ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tempoh 'berdiam diri' sudah tamat kerana semakin ramai yang berani mencabar Perlembagaan Persekutuan seperti memperlekeh Yang di-Pertuan Agong dan terbaharu menghina Rasulullah SAW.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya tidak mahu bersikap 'lebih sudu daripada kuah' dengan mengambil tindakan mengatasi pihak berkuasa, namun memandangkan perkara itu benar-benar mencabar kedudukan Islam, maka perlu diberi pengajaran sewajarnya.
"Masa untuk berlembut sudah lepas, maka saya minta kerajaan melalui pihak berkuasa mengambil tindakan sebelum berlaku perkara yang tidak dapat dibendung lagi.
"Jangan lagi biarkan perkara seumpama ini berleluasa dan tindakan drastik amat perlu supaya boleh menakutkan puak-puak tersebut yang bertindak kurang ajar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, blog Just Read mendedahkan seorang lagi pengguna laman sosial Facebook dikesan menghina Islam, selain membuat penghinaan melampau terhadap junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.
Perbuatan biadab oleh pengguna Facebook berkenaan yang menggunakan nama Programmer Calvin Gani didedahkan blog tersebut di dalam satu entrinya bertarikh 5 Jun lalu.

Tiada ulasan: