JOHOR BAHRU 28 Julai - Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada
5 Oktober ini yang dilaksana berdasarkan perlembagaan baharu parti
merupakan satu transformasi politik sekali gus menggalakkan persaingan
sihat dan terbuka antara pemimpin yang bertanding.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata,
pemilihan secara terbuka itu juga bukti bahawa UMNO sememangnya sebuah
parti yang berlandaskan demokrasi dan bukan sekadar cakap kosong.
“Tetapi kalau UMNO cakap soal demokrasi, sekurang-kurangnya kita buat
dan kita buktikan melalui tindakan kita. Bukan macam segelintir parti
yang tahu bercakap, namun tidak diaplikasikan, nak kira undi pun boleh
silap, nak bertanding pun tak digalakkan dan tak panggil ahli pergi
mesyuarat.
“Bagi ahli UMNO, saya rasa semua sudah cukup matang dalam membuat
keputusan dan yang penting siapa kalah terima kekalahan dengan terbuka
dan siapa menang jangan pula menindas yang kalah," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO,
Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Facebooknya yang menyatakan
pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang berdasarkan perlembagaan
baharu parti bakal menjadikan UMNO lebih terbuka, demokratik dan
inklusif.
Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru ditemui selepas menyampaikan bantuan Ramadan Parlimen Johor Bahru di sini hari ini.
Pindaan perlembagaan UMNO yang diluluskan pada 2009 antara lain
meningkatkan jumlah perwakilan untuk pemilihan jawatan tertinggi parti
dan jawatan di peringkat bahagian, selain menghapuskan sistem kuota
dalam pemilihan parti.
Lebih 150,000 perwakilan UMNO daripada 191 bahagian di seluruh negara
akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti tahun ini, berbanding hanya
2,500 sebelum ini.
Shahrir berkata, pemilihan tersebut juga akan mengubah persepsi
segelintir masyarakat terutama golongan muda tentang parti yang
seringkali dilabelkan oleh pihak pembangkang sebagai sebuah parti yang
diktator dan jahat.
Ditanya sama ada beliau berhasrat bertanding merebut sebarang jawatan
tertinggi parti, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional
(BNBBC) itu mengakui tidak berminat untuk bertanding dan lebih suka
memberi tumpuan sepenuhnya kawasan Parlimen Johor Bahru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan