BESUT 11 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,
Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman tidak berhasrat merebut sebarang
jawatan dalam parti UMNO namun mahu memberi tumpuan sepenuhnya dalam
tugas sebagai wakil rakyat.
Beliua yang kini merupakan ahli jawatankuasa UMNO Cawangan Kampung
Nail berkata, ketika ini beliau lebih berminat untuk menjalankan
tanggungjawab sebagai wakil rakyat agar segala perancangan pembangunan
yang dijanjikan dapat ditunaikan.
Katanya, pun begitu, beliau menyerahkan statusnya kepada Ketua UMNO
Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menentukan kedudukannya
dalam barisan kepimpinan parti bahagian itu.
"Buat masa ini saya tidak berminat dengan mana-mana jawatan dalam
parti sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada rakyat di sini terlebih
dahulu dan selepas itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk
menentukan kedudukan saya.
"Saya masih baru dan perlu belajar selok-belok dalam parti dan saya
rasa buat masa ini biarlah saya bersama rakyat dahulu tambahan pula
saya baru sahaja dipilih rakyat bulan lalu," katanya ketika ditemui
pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pejabat Penyelaras Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Alur Pisang, dekat sini semalam.
Sebelum ini, terdapat desas-desus mahu Tengku Zaihan, 37,
bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut berikutan
kekosongan jawatan itu yang sebelum ini disandang oleh ADUN Kota
Putera, Mohd. Mahdi Musa yang melepaskan jawatan itu kerana faktor
usia. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan