15 April 2008

Majlis Makan Malam Bertukar Jadi Perhimpunan Haram, Kata Polis

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Perhimpunan Black 14 anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kelab Sultan Suleiman di Kampung Baru di sini yang sepatutnya menganjurkan majlis makan malam bersama rakyat, bertukar menjadi perhimpunan haram.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata perhimpunan yang dihadiri kira-kira 7,000 penyokong PKR itu bermula pukul 8.30 malam ini, namun diberhentikan pada pukul 10.30 malam atas arahan Ketua Polis Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman, dan para penyokong kemudiannya bersurai dengan aman.
"Surat permohonan yang diserahkan kepada polis pada 8 April lepas hanya menyatakan untuk mengadakan majlis makan malam, dan ia menyebut hanya tiga pemimpin tertinggi parti itu akan memberi ucapan, tetapi sebaliknya (majlis malam ini) tiada majlis makan malam untuk rakyat, tetapi hanya kepada pemimpin parti itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini malam ini.
Beliau berkata tiga pemimpin tertinggi yang sepatutnya memberi ucapan ialah Timbalan Presiden Parti itu Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Timbalan Pengerusi Kelab Sultan Sulaiman Datuk Mokhtar Ahmad, dan bukannya penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika ditanya pemberita kenapa permit perlu dimohon oleh parti itu sedangkan boleh dibuat di kawasan persendirian, Muhammad Sabtu berkata walaupun ia dibuat di kelab persendirian, ia bukan majlis tertutup.
"Ini kerana ceramah yang diadakan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran pengikut parti itu turut mendatangkan mudarat kepada orang awam lain dan peniaga pasar malam yang berniaga di sekitar kelab ini.
"Adalah menjadi satu kesalahan mengadakan perhimpunan atau perjumpaan tanpa permit dan Seksyen 27 (3) Akta Polis membolehkan polis memberhentikan mana-mana perhimpunan atau perjumpaan tanpa lesen," katanya.Polis Kuala Lumpur mengadakan kawalan lalu lintas sejak pukul 4 petang tadi melibatkan 1,350 anggota Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am, katanya.
Muhammad Sabtu berkata tiada sebarang tangkapan dibuat, bagaimanapun pihak polis akan mengkaji aspek undang-undang yang berkenaan, adakah perlu tangkapan dibuat selepas ini.
"Pada malam ini polis tidak menangkap mana-mana individu, tetapi tangkapan akan dibuat selepas ini bergantung kepada siasatan dan tidak terkecuali terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim jika didapati beliau juga telah melanggar undang-undang semasa perhimpunan itu diadakan," katanya.
Katanya polis akan berkawal di sekitar Jalan Kelab Sultan Sulaiman sehingga keadaan kembali reda.
-- BERNAMA, 15 April, 2008 08:52 AM

Peralihan kuasa jangan terlalu lama

SHAH ALAM 14 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti berani menerima kenyataan dan membuat pelan peralihan kuasa kepimpinan parti dan negara kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, proses peralihan boleh dilakukan dalam jangka waktu terdekat atau lebih panjang tetapi tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama sehingga boleh menjejaskan pentadbiran negara mahupun parti.
"UMNO masih menghormati Pak Lah (Abdullah). Namun rakyat dan ahli UMNO ada pandangan sendiri yang telah diterjemahkan dalam pilihan raya serta perjumpaan-perjumpaan bersama akar umbi UMNO.
"Justeru cara terbaik ialah Pak Lah dan Datuk Seri Najib dapat mengemukakan satu rancangan peralihan kuasa yang licin dan dalam suasana mesra.
"Jika ini dapat dilakukan secara tertib, saya percaya rakyat akan kembali menghormati Pak Lah sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,'' kata bekas Menteri Besar Selangor itu menerusi blognya, www.drkhir.com.
Menurutnya, dalam pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri itu menyuarakan pendapat akan terus meluahkan perasaan bimbangnya terhadap masa depan UMNO dan BN jika ia terus dipimpin Abdullah.
"Tun telah hilang keyakinan terhadap kewibawaan Pak Lah. Sebagai bekas Perdana Menteri yang melantik Pak Lah, Tun berpendapat adalah tanggungjawab dan kewajipan beliau untuk kembali membetulkan kepimpinan UMNO hari ini," ujarnya.
Oleh itu, tegasnya, sebagai pemimpin UMNO, beliau dan ketua-ketua UMNO bahagian lain yang dilatih untuk menghormati pemimpin, permintaan kepada Perdana Menteri untuk meletak jawatan secara terbuka adalah langkah terakhir yang terpaksa dilakukan.
"Selalunya kami tunjukkan secara kiasan atau tidak langsung dengan harapan hasrat itu difahami," katanya.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, pemimpin-pemimpin UMNO memahami kehendak rakyat seperti ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Bagaimanapun, jelasnya, mereka menghadapi kepayahan untuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan sebagai memikul tanggungjawab atas kekalahan tersebut.
"Tidak benar untuk mengatakan pemimpin UMNO tidak faham dengan mood orang ramai, lebih-lebih lagi berdasarkan isyarat jelas keputusan pilihan raya lalu," katanya.
"Ini terbukti apabila ramai pemimpin UMNO mula bersuara secara terbuka mahu pun hadir dalam program Tun Dr. Mahathir," katanya.
Dalam pada itu, katanya lagi, pemusatan kuasa Presiden dan sistem kuota dalam UMNO perlu dilihat semula dengan memberi kebebasan kepada ahli memilih pemimpin tanpa sekatan atau dengan jumlah kuota minimum.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kemasukan ahli UMNO dan yuran keahlian dilakukan secara terus atau melalui Internet bagi mengelak kekangan pemimpin tertentu.
Beliau juga mencadangkan agar UMNO mendengar pandangan akar umbi daripada pemotong rumput sehingga kepada ketua pegawai eksekutif syarikat gergasi.
"UMNO tiada pilihan lain kecuali berani berubah mengikut kehendak orang Melayu dan rakyat Malaysia," jelasnya.
-- UM, 15/04/08.

14 April 2008

Pelan peralihan kuasa akan dirunding: Najib

IPOH: Datuk Seri Najib Razak berkata Umno mempunyai cara dalaman, pengalaman dan tradisi untuk melaksanakan proses peralihan kuasa pucuk pimpinan kerajaan dan parti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan berjumpa dan berunding dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perkara itu.


“Saya nyatakan biarlah saya dan PM berjumpa dan berunding atas perkara ini apabila sampai masanya...biarlah perkara ini dirundingkan kerana soal masa yang sesuai, dan kaedah sebagainya, kita tidak tentukan. Biarlah perkara ini dirundingkan dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika diminta mengulas desakan beberapa pemimpin Umno supaya pelan peralihan kuasa parti dan kerajaan disegerakan.


Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai Jawatankuasa Pengurusan Umno dalam perjumpaan tertutup dengan pemimpin Umno Perak empat peringkat di ibu pejabat Umno Perak, di sini.


Najib mengakui bahawa perkara mengenai pimpinan parti dan kerajaan sudah dibangkitkan dalam perjumpaan berkenaan.


- Bernama, 14/04/08.

13 April 2008

Tak arah tutup mulut

Oleh Sariha Mohd Ali
Umno benar ahli suarakan rasa tidak puas hati: Najib
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno tidak akan mengeluarkan arahan supaya 'menutup mulut' ahlinya terutama pada peringkat akar umbi daripada menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap parti itu selepas kehilangan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Timbalan Presiden Umno berkata, larangan seumpama itu jika dilaksanakan bukan saja boleh menyebabkan orang ramai marah kepada Umno, sebaliknya menganggap parti ini sebagai tidak demokratik lagi.
Berikutan itu, katanya, Umno tidak akan melarang ahlinya bercakap untuk meluahkan pandangan mereka kerana input ini penting untuk diteliti pucuk pimpinan."Kita tidak akan keluarkan arahan tutup mulut bagi melarang orang Umno bercakap sebab mereka akan kata Umno tidak demokratik.
"Mereka juga akan marah kepada kita dan bagi menunjukkan Umno mengamalkan demokrasi, kita akan terus beri peluang mereka bercakap.
"Paling penting sekarang ialah kita dapat maklum balas secara terbuka dan ikhlas daripada ahli pada semua peringkat dan kita akan serahkan pandangan itu kepada pucuk pimpinan untuk diteliti," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Akuakultur Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Teknologi Fish Protech, di Kampung Kuala Pahang, dekat sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi LKIM, Datuk Adam Abdul Hamid.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno memberi peluang kepada pemimpin pada peringkat bahagian menyuarakan pandangan mereka tetapi pihak terbabit juga perlu memberi peluang kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk merumuskan perkara itu.
"Berilah juga peluang kepada pucuk pimpinan khasnya Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memikirkan apakah cara terbaik untuk memulihkan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat," katanya.
Ditanya mengenai perbezaan pendapat mengenai sistem kuota untuk bertanding pada pemilihan Umno dan terbaru kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo yang turut tidak bersetuju sistem itu dikekalkan, Najib berkata ada beberapa pandangan tetapi perkara itu akan dibincangkan di peringkat MT selepas ini.“Apa yang terbaik pada masa sekarang ialah kita masih lagi memakai peraturan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas pelan peralihan kuasa Perdana Menteri kepadanya seperti dinyatakan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, Najib berkata:
"Nantilah... saya akan cakap bila tiba masanya. Hari... hari cakap hal itu, tak apalah... nanti," katanya.
Akhbar semalam melaporkan Muhyiddin sebagai berkata, Abdullah akan berbincang dengan Najib mengenai pelan peralihan kuasa itu tetapi tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci.
Abdullah secara terbuka sebelum ini menyatakan bahawa Najib bakal menggantikannya dan beliau akan menyerahkan jawatan apabila tiba masanya.

12 April 2008

Abdullah akui ada pemimpin Kedah, PP mahu beliau berundur

JOHOR BAHRU 11 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengakui ada permintaan dalam kalangan pemimpin UMNO bahagian di Kedah dan Pulau Pinang supaya beliau melepaskan jawatan ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lepas.
Presiden UMNO itu bagaimanapun menegaskan, beliau perlu terus memimpin parti itu bagi menunaikan mandat dan tanggungjawab kepada negara serta rakyat.
“Ada (permintaan), yalah bukan semua kata begitu. Saya dapat juga laporan yang agak detail. Tak apalah mereka nak bercakap tentang itu. Saya dengar, bukan saya tak dengar.
“Saya pun bukan orangnya yang hendak kekal selama-lamanya dalam kepimpinan. Saya sudah bercakap semasa berjumpa dengan Biro Penerangan UMNO seluruh Malaysia, 1,500 orang semuanya,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO Johor diketuai Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Menteri Besar Johor di sebuah hotel di sini hari ini.
Abdullah mengulas desas-desus pemimpin bahagian di Kedah dan Pulau Pinang yang mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengurusan UMNO semalam meminta beliau melepaskan jawatannya ekoran prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan berundur apabila tiba masanya kerana tidak akan memimpin parti untuk selama-lamanya.
“Saya bukanlah mahu memimpin lama tetapi saya ada mandat daripada rakyat dan perlu menunaikan tugas dan tanggungjawab untuk memastikan setiap masalah diatasi, itu yang menjadi lebih utama,” katanya.
Justeru Abdullah berkata, beliau perlu terus memimpin kerana bertanggungjawab untuk memulihkan UMNO dan BN menerusi beberapa langkah segera yang sedang berjalan.
-- UM, 12/04/08

PM, Najib bincang pelan peralihan kuasa – Muhyiddin

JOHOR BAHRU 11 April – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berbincang dengan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya itu, kata Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Beliau berkata, Abdullah memberitahu perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO Johor di sini bahawa beliau akan berbincang secara terperinci mengenai pelan tersebut dengan Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO.
“Tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci... hal-hal berkaitan dengan bila masa dan sebagainya beliau akan bincang dengan Datuk Seri Najib,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan berkenaan di sebuah hotel di sini.
Beliau berkata Abdullah telah pun secara terbuka sebelum ini menyatakan bahawa Najib bakal menggantikan beliau. Abdullah, yang juga Presiden UMNO memberitahu Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO untuk jentera penerangan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur Sabtu lepas bahawa Najib adalah penggantinya dan beliau akan menyerahkan jawatan apabila tiba masanya.
Muhyiddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh, berkata pada perjumpaan itu juga, Abdullah menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan berkaitan pilihan raya umum lepas seperti punca kekalahan, isu berkaitan sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi muda.

-- UM, 12/04/08.

Saya antara penyebab: Pak Lah

Oleh Khirul Bahri Basaruddin dan Johan Afandi
JOHOR BAHRU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata, beliau adalah antara faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, kerana itu beliau berasa lebih bertanggungjawab dan perlu berusaha melakukan yang sebaik-baiknya bagi memulihkan semula kekuatan BN dan parti.“Saya merasakan saya adalah penyebab kepada 'pembuangan undi' (undi tidak diberikan) kepada BN dan saya berasakan bertanggungjawab untuk membuat yang sebaiknya-baiknya bagi memulihkan semula BN dan Umno.“


Buat masa ini, yang paling penting ialah saya bertanggungjawab memulihkan semula Umno dan BN kerana masih banyak perkara yang belum ditunaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Johor, di sini.


Abdullah juga mengulangi pendiriannya untuk tidak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dalam tempoh terdekat ini, walaupun wujud desakan supaya beliau berbuat demikian.“Saya mempunyai mandat daripada rakyat dalam pilihan raya lalu dan yakin dapat mengatasi masalah yang sedang melanda parti dan kerajaan.


Saya juga tidak akan memimpin negara serta parti selama-lamanya dan ini sudah saya jelaskan,” katanya.Perdana Menteri berkata, beliau sedar bahawa rakyat menaruh harapan tinggi kepada kerajaan pimpinannya untuk melaksanakan manifesto pilihan raya seperti memerangi rasuah, pembaikan sistem kehakiman dan perkara yang mempunyai hubung kait dengan hubungan kaum serta agama.“


Ada antara isu ini sudah mula diberikan perhatian tetapi ada juga yang belum dilaksanakan. Semua ini saya tahu dan perubahan ini tetap akan diterima pada masa depan, cuma ia mengambil sedikit masa,” katanya.


Mengenai pemilihan calon pilihan raya yang tidak diterima pada peringkat akar umbi, Abdullah berkata, prosedurnya tidak pernah berubah sejak dulu dan selain beliau, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad turut berunding menentukan senarai calon.


Secara dasarnya, kata beliau, pucuk pimpinan akan menerima senarai calon yang dikemukakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, tetapi sudah pasti ia akan tetap dibandingkan dengan laporan yang diterima.“Ya lah, jika calon berkenaan ada masalah, kita akan menukarnya dan mereka akan menentangnya dan wujud mainan politik untuk meletakkan calon yang mereka suka. Kemudian, berlakulah lobi melobi, ini merosakkan parti.“Bukan sekadar pemilihan calon, malah pengagihan kerusi juga turut timbul masalah kerana ramai yang tidak berpuas hati,” katanya.


Perdana Menteri juga berkata, beliau juga akan menemui semua kepemimpinan parti komponen BN untuk memberi penjelasan mengenai pencapaian dalam pilihan raya lalu serta mendapatkan maklum balas terus daripada mereka.


Katanya, parti komponen menghadapi masalah, terutama di Pulau Pinang apabila MCA, Gerakan serta MIC tidak mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan langkah segera perlu diambil untuk memperbetulkan kelemahan.


--BH 12/04/08

Abdullah akui beliau antara penyebab BN kehilangan undi

JOHOR BAHARU 11 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui beliau merupakan di antara faktor yang telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi pada pilihan raya umum ke-12 bulan lepas.
Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, disebabkan perkara tersebut beliau merasakan bertanggungjawab untuk berbuat sebaik-baiknya bagi memulihkan BN dan UMNO.
"Saya merasakan saya adalah penyebab kepada 'pembuangan undi' (undi tidak diberikan) kepada Barisan Nasional. Dan saya merasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknya-baiknya untuk memulihkan BN dan UMNO," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan Badan Perhubungan UMNO Johor yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden UMNO, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
- Bernama, 11/04/2008 7:24pm

11 April 2008

Kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang

Makam Sultan Mahmud mangkat dijulang.
Mengikut kitab hikayat Tufat n' Nafis, cerita ini berlaku apabila Laksamana Bentan, iaitu Megat Seri Rama, telah berperang untuk menumpaskan lanun di perairan Johor atas perintah Sultan Mahmud Shah II.
Pada suatu hari, isteri Megat Seri Rama yang sedang mengandung, telah bertemu dengan penghulu kebun Sultan yang sedang membawa nangka untuk dipersembahkan kepada sultan.
Wan Anum kemudian telah meminta seulas nangka kerana dia mengidam. Penghulu kemudiannya memotong seulas lalu diberikan kepada Wan Anum.
Ketika Sultan Mahmud Syah hendak bersantap tengah hari, baginda menyedari bahawa nangka yang hendak disantapnya telah diusik orang. Sultan Mahmud amat murka kerana dihidangkan dengan sisa orang dan memerintahkan Wan Anum ditangkap dan dibelah perutnya menyebabkan kematian isteri Laksamana. Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke Kota Tinggi dengan membawa kejayaan cermelang bagi angkatan tentera Johor.
Selepas sultan memberi anugerah kepada Laksamana, Megat pun balik ke rumahnya mendapat khabar buruk daripada Tun Aman yang mengatakan bahawa isterinya telah mati. Laksamana merasa marah, kecewa dan menangis apabila mengetahui isterinya telah mati. Megat Seri Rama kemudiannya berazam untuk membalas dendam kepada sultan kerana bagindalah yang memerintahkan supaya isteri kesayangannya dibunuh.
Pada suatu hari Jumaat, Sultan Mahmud Syah bersama pembesar telah berangkat ke masjid untuk bersembahyang. Sultan telah ditandu oleh pengawal-pengawal istana. Ketika azan pertama berkumandang di udara, Sultan Mahmud terkejut melihat Laksamana berdiri sambil menghalang lalu lintas baginda. Laksamana berkata "Raja adil raja disembah! Raja zalim raja disanggah!".
Sepantas kilat, laksamana terus menikam Sultan dengan kasarnya. Suasana di perkarangan masjid gempar apabila darah sultan yang berdaulat telah mengalir ke tanah! Semua jemaah terpaku.
Sultan tidak berputus asa lalu menyentap sebilah keris yang tersisip di pinggangnya lalu dilontarkan di kaki laksamana. Sultan terus betitah "Tujuh keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi...." Berberapa minit kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir.
Megat yang tiba-tiba memuntahkan darah pula mati secara tiba-tiba.

Mukhriz yakin lepasi kuota

KUALA LUMPUR: Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir, membayangkan beliau akan berjaya melepasi kuota pencalonan 20 peratus ditetapkan bagi membolehkannya bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti, Disember ini.
Mukhriz berkata, berdasarkan sokongan yang diperolehnya kini, beliau berpendapat akan mampu mencapai kuota berkenaan.“Bagi saya melepasi kuota 20 peratus adalah cabaran pertama yang perlu saya tempuh dan sehingga kini saya menerima sambutan yang baik daripada Pemuda,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.


Ahli Parlimen Jerlun itu sebelum ini menawar diri bertanding jawatan itu selepas Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memutuskan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan akan datang.


Mengikut peraturan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 1988, 30 peratus pencalonan (57 daripada 191 bahagian) diperlukan untuk calon bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden (20 peratus/38 bahagian), Naib Presiden (10 peratus/19 bahagian), ahli MT (lima peratus/10 bahagian), Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri (20 peratus/38 bahagian) manakala Naib Ketua Wanita, Pemuda, Puteri (15 peratus/28 bahagian).


Selain Muhkriz, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga membayangkan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan tertinggi pergerakan itu.


Mukhriz bagaimanapun berkata, keputusan akhir adalah di tangan perwakilan Pemuda Umno sama ada untuk mencalonkannya atau tidak ke jawatan berkenaan.Sementara itu, Ahli MT, Datuk Seri Rais Yatim, ketika ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti kali ini, berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan.


“Kita perlu tengok keadaan dulu dan tidak perlu terburu-buru,” katanya yang juga Menteri Luar. BH, 11/04/08

Exco Pemuda sokong Mukhriz

KUALA LUMPUR 10 April - Seorang Exco Pemuda UMNO hari ini secara terbuka menyokong Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) mengisi jawatan ketua pergerakan itu kerana menganggap Ahli Parlimen Jerlun berkenaan ialah calon yang paling sesuai.
Kamarulzaman Kamdias berkata, Mukhriz mampu mengetuai pergerakan itu kerana beliau bukan sahaja lantang bersuara malah sentiasa rapat dengan akar umbi.
Katanya, selain itu, Mukhriz juga memahami perasaan akar umbi malah merupakan pemimpin muda yang bertanggungjawab serta kreatif.
''Kita melihat Mukhriz agak ke hadapan dan mampu menjadi seorang ketua yang baik. Bagi saya, beliau (Mukhriz) sesuai dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mukhriz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini secara terbuka mengesahkan bahawa beliau akan bertanding merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO pada Disember ini.
Selain Mukhriz, Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Ketua Penerangan Pemuda, Datuk Azimi Daim turut mengumumkan akan bertanding merebut jawatan itu.
Minggu lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan yang disandang beliau sejak dua penggal lalu pada pemilihan parti itu, Disember ini.
Menurut Hishammuddin, beliau ingin memberi laluan kepada muka baru memimpin sayap kanan yang mempunyai kira-kira 600,000 ahli itu.
Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, orang ramai terutama pemimpin muda perlu menghormati keputusan Hishammuddin itu.
''Saya melihat keputusan Menteri Pelajaran itu sungguh telus kerana beliau mahu pemimpin seterusnya terus cemerlang memimpin pergerakan itu,'' ujarnya.
Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang Ketua Pemuda UMNO negeri itu juga perlu benar-benar mewakili suara Pemuda di peringkat bahagian dan cawangan. UM, 11/04/08.

Calon bertanding wajib ada blog sendiri

KUALA LUMPUR 10 April - Semua calon yang bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda, Naib Ketua dan Exco Pusat pada pemilihan parti Disember ini, diwajibkan membina laman web dan blog masing-masing.
Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, laman tersebut dapat memperkenalkan diri calon-calon yang bertanding serta menerangkan visi, misi dan aspirasi serta hala tuju mereka sekiranya terpilih untuk memimpin pergerakan itu.
Menurutnya, Pemuda menyifatkan langkah menggunakan laman web dan blog sendiri dapat membanteras politik wang sewaktu berkempen nanti.
''Dengan cara ini, calon-calon yang bertanding dapat berkempen dengan lebih bebas, adil dan dikenali hampir seluruh perwakilan,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, langkah itu adalah sebahagian daripada rumusan yang diperoleh oleh Pemuda hasil sesi pertemuan dan percambahan fikiran yang diadakan bersama golongan profesional muda Melayu, baru-baru ini.
Menerusi kaedah itu, katanya, Pemuda yakin lebih ramai calon berwibawa dapat diberi peluang menawarkan khidmat menerusi kaedah menggunakan laman web atau blog sendiri.
Selain langkah itu, kata Abdul Rahman, calon-calon juga disaran menganjurkan perdebatan maya sempena proses pemilihan.
''Calon-calon yang menawarkan diri di peringkat pusat akan berdebat berkenaan isu-isu berkaitan dengan dasar dan hala tuju Pemuda di dalam Internet,'' katanya. - UM,11/04/08

Rasional Idris menolak jawatan EXCO

Sebagaimana diketahui, sepuluh orang barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (EXCO) telah mengangkat sumpah memegang jawatan masing-masing Rabu lepas.
Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas seperti yang diamanahkan.
Menteri Besar Terengganu yang baru, Dato' Ahmad Said sempat mengulas sedikit dimana Dato' menolak jawatan EXCO ang ditawarkan kepadanya. Bagi Ahmad Said ini proses biasa adakala seseorang pemimpin berada di atas atau sebaliknya.
Ulasan ini amat cetek dab setahun saya tak pernah berlaku sebelum ini di mana bekas Menteri Besar bersedia menjadi 'orang bawahan' selepas jawatan itu diberikan kepada orang lain terutama dalam kes perlantikan Menteri Besar Terengganu.
Contoh yang paling dekat ialah kes perlantikan Menteri Besar Perlis. Kenapa Dato' Seri Shahidan Kasim tak jadi EXCO Perlis?.
Pokoknya Ahmad Said jangan mudah ego dengan jawatan yang disandang sekarang ini dengan niat bermegah-megah sebagaimana lazimnya sebelum ini yang tebal sikap 'nye nya'.
Sorang kawan meminta padangan kepada saya mengenai mengenai perlantikan barisan EXCO baru kerajaan Negeri Terengganu.
Jawapan ringkas saya ialah "Kenapa ramai lagi ADUN yang berwibawa dan mempunyai rekod cemerlang sebagai EXCO sebelum ini tidak dilantik semula?.". Persoalan ini akan menjadi tandatanya seluruh rakyat negeri Terengganu.
Kerajaan negeri Terengganu hari ini terlalu banyak gangguan dan campur tangan oleh pihak yang berkepentingan. Terengganu Bestari, Terengganu Rugi.

10 April 2008

Tolak Exco Terengganu


Dato' Seri Idris Jusoh
KUALA TERENGGANU 9 April – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh menolak tawaran menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di bawah kepimpinan Menteri Besar baru, Datuk Ahmad Said.
Ahmad pada sidang akhbar di sini semalam berkata, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh memberikan alasan ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap parti dan tugasnya sebagai wakil rakyat biasa. Utusan Malaysia 10/04/08.

Hadi Awang diserang strok ringan

Hadi Awang bersama Lim Kit Siang,
sejurus pilihanraya tahun 1999 di Wisma Darul Iman.

KUALA TERENGGANU 10 April – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah setelah diserang strok ringan di rumahnya di Rusila, di sini awal pagi ini.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustapa Ali berkata, Hadi diserang penyakit itu selepas menunaikan solat subuh.
Beliau berkata, Abdul Hadi kemudian dimasukkan ke hospital berkenaan pada pukul 7.30 pagi ini. Utusan Malaysia, 10/04/2008 11:18am

9 April 2008

Istana Maziah

ISTANA MAZIAH, Kuala Terengganu.
Pemuda PAS Terengganu buat kelakar besar selepas Pilihanraya Umum Ke-12, kononnya akan berdiri teguh di belakang istana ini sebagai menyokong institusi raja.
Untuk makluman pemuda PAS, kita ahli-ahli UMNO sudah lama berdiri teguh di barisan hadapan dalam apa juga demi kedaulatan baik soal Agama, Bangsa dan Negara. Termasuk Raja-raja.

‘Karpal tak faham hudud’

Oleh SAFINA RAMLI
ALOR STAR 8 April – Pengerusi DAP, Karpal Singh dinasihatkan supaya tidak bercakap mengenai hukum hudud kerana beliau tidak memahaminya.
Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, Pas juga masih berbincang mengenai penubuhan negara Islam yang melibatkan banyak perkara termasuk hukum hudud dan perlu diteliti terlebih dahulu.
Beliau juga tidak faham kenapa orang ramai begitu takut dengan hukum hudud dan berfikiran sempit apabila membincangkannya.
“Saya harap dia (Karpal) jangan bercakap lagi mengenai hal ini jika dia belum benar-benar faham apa itu hukum hudud.
“Lebih banyak isu lain yang boleh dibincangkan selain daripada isu hudud ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Azizan diminta mengulas mengenai kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan penubuhan negara Islam dan pengenalan hukum hudud yang menjadi ideologi asas Pas.
Dalam hubungan ini Azizan berkata, orang ramai yang tidak melakukan sebarang kesalahan tidak sepatutnya takut dengan hukum hudud.
‘‘Jika kamu tidak merompak, mencuri atau berzina, kamu tak perlu takut. Hanya mereka yang buat salah sahaja patut takut dengan hukum hudud ini,” katanya.
Menjawab satu pertanyaan, beliau berkata, negara ini bebas dan Karpal berhak untuk melawat Kelantan atau Kedah pada bila-bila masa bagi melihat keadaan sebenar negeri di bawah pemerintahan Pas.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula keberkesanan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan syarikat terbabit berfungsi dengan baik.
Kata beliau, pihaknya mungkin menyusun semula kedudukan lembaga pengarah bagi syarikat-syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri.
“Dalam perniagaan kita tidak boleh lambat. Penyusunan semula ini perlu untuk memastikan syarikat memberi pulangan yang baik kepada kerajaan,” katanya. Utusan 09/04/08

"Kami Berdiri Teguh Di Belakang Istana"

Itulah bunyi ayat yang dicetak pada kain rentang dan digantung seluruh Negeri Terengganu oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu.
Kita ahli UMNO tidak hairan dengan sikap pemimpin PAS yang sering menanguk di air keruh dan kononnya menyokong perlantikan Ahamd Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru yang mendapat restu pihak istana.
Kita ahli-ahli UMNO tidak hairan kenapa bergitu ramai ahli-ahli PAS menyambut keberangkatan DYM Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud tempoh hari.
Bekas Menteri Besar, YB. Dato' Seri Idris Jusoh dilebel sebagai penderhaka bersama-sama dengan 23 orang lagi wakil rakyat BN yang menang dalam piliharaya umum ke-12 lepas.
Cuma nak bagitau kepada pemimpin PAS yang bahlol lagi tolol, kita orang UMNO tak berdiri dibelakang dalam hal ehwal kedaulatan bangsa Melayu. Kita sentiasa DI HADAPAN. Sentiasa bersedia untuk berjuang demi Agama, Bangsa dan Negara.
Nak ambil kesempatan janganlah tunjukan bahawa kita ini BODOH sangat. - Putra Alhaq 09/04.08

Terengganu kenal pasti ahli sabotaj

KUALA TERENGGANU 8 April – Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu mengenal pasti beberapa ahli dan pemimpin di negeri ini yang disyaki mensabotaj Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Setiausahanya, Datuk Rosol Wahid (gambar) bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu kesahihan laporan yang diterima membabitkan ahli dan pemimpin berkenaan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
Beliau berkata, setakat ini UMNO Terengganu hanya menerima laporan mengenai perbuatan mereka secara lisan daripada beberapa pihak.
‘‘Laporan secara bertulis berserta bukti yang jelas belum lagi diterima, jadi siasatan rapi harus dilakukan sebelum kita kemukakan kepada pihak atasan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Utusan 09/04/08

Sabotaj beramai-ramai di Perak

Oleh ZAINI RABAN
SUNGAI SIPUT 8 April - Gerakan sabotaj di Perak dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu didapati dilakukan oleh ahli UMNO secara beramai-ramai dan bukan secara bersendirian.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, ia adalah ekoran sikap ahli parti yang tidak berpuas hati dengan calon komponen Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kawasan mereka.
Menurut beliau, pendekatan ahli yang kononnya mahu ‘mengajar’ dan mengembalikan sesebuah kerusi itu kepada UMNO dengan mengundi pembangkang akhirnya membawa padah apabila BN Perak secara keseluruhannya tewas.
‘‘Calon MIC yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Hutan Melintang, Behrang dan Pengkalan Pasir adalah kawasan majoriti ahli UMNO.
‘‘Sepatutnya calon BN itu menang tetapi oleh kerana ahli UMNO tidak beri undi maka kita kalah, jadi di situ jelas gerakan sabotaj ini dilakukan secara beramai-ramai dan bukan secara perseorangan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis warga Kemas bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib di Dewan Konvensyen di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini mendedahkan perbuatan sabotaj dikenal pasti menyebabkan prestasi buruk BN pada pilihan raya umum lepas.
Tajol Rosli berkata, memandangkan gerakan sabotaj tersebut dilakukan secara beramai-ramai maka sudah tentu pihak pengurusan UMNO sukar untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
Kata beliau, tindakan disiplin hanya boleh diambil jika terdapat bukti kukuh seperti menjadi penyokong dan pencadang bagi calon pembangkang pada pilihan raya umum lepas.
‘‘Bagaimanapun, kita kena terima hakikat bahawa itulah (sabotaj beramai-ramai) yang berlaku.
‘‘Saya juga telah arahkan semua UMNO bahagian membuat laporan terus kepada Lembaga Disiplin UMNO mengenai unsur sabotaj ini secepat mungkin,” katanya.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah sabotaj itu, ahli-ahli UMNO mesti mengamalkan sikap tolak ansur dan mereka perlu diberi penerangan yang jelas mengenai pembahagian kerusi.
Sementara itu, Muhammad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, laporan mengenai gerakan sabotaj mesti dibuat secara bertulis dan mesti lengkap dengan segala butiran dan bahan bukti.
Katanya, laporan sabotaj tidak boleh dibuat secara lisan sahaja kerana ia tidak boleh diguna pakai oleh Lembaga Disiplin UMNO.
"Laporan sabotaj itu mesti jelas, mesti ada nama, lokasi, gambar dan saksi kalau hanya cakap mulut sahaja tidak ada sebarang tindakan boleh diambil," katannya. Utusan 09/04/08

Projek babi diteruskan -- Orang ramai, NGO bantah keputusan Kerajaan Selangor


Oleh Zabry Mohamad dan Rozilan Salleh
BUSUK... Ketua Kampung Tumbuk, Sepang, Mohd. Tarmudi Tushiran (baju hitam) bersama penduduk kampung terpaksa menutup hidung kerana tidak tahan bau busuk sisa najis babi yang dibuang terus melalui pembetung ke Pantai Morib, semalam. Sisa kumbahan itu boleh mengancam industri dan projek pelancongan di pesisiran pantai sekitar Sepang.


SHAH ALAM 8 April – Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor tetap meneruskan projek ternakan babi moden di negeri itu walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, barisan Exco negeri yang bermesyuarat Rabu lalu merasakan amat wajar untuk meneruskan projek berkenaan memandangkan kawasan tersebut telah menjadi tapak utama ladang babi di negeri itu.
Beliau mendakwa projek bernilai RM100 juta yang akan dilaksanakan di Sepang itu sebenarnya telah diluluskan pada 30 Januari lalu oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Kenyataan Abdul Khalid itu bercanggah dengan pengumuman Ahli Exco Selangor, Teresa Kok kelmarin bahawa kerajaan campuran negeri baru meluluskan projek membangunkan ladang babi bernilai RM100 juta di Sepang.
Berikutan kenyataan itu, orang ramai serta beberapa persatuan pengguna membantah dan menyifatkan keputusan kerajaan negeri sebagai tidak menghormati sensitiviti rakyat.
Abdul Khalid seterusnya berkata: ‘‘Kerajaan negeri berharap pihak yang begitu prihatin mengenai kelulusan projek ternakan babi di Selangor memeriksa fakta mereka terlebih dahulu.
‘‘Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar sebelumnya, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam pula Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari dalam nada berbeza menjelaskan, projek penternakan babi itu adalah kesinambungan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan masih belum diluluskan oleh kerajaan negeri sekarang.
Katanya, ketika ini, projek itu yang pernah ditolak oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) akan dikaji semula bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar mengusahakan ladang babi menyertai program penternakan moden berpusat itu.
‘‘Saya diamanahkan untuk mengkaji balik isu ini bagi memastikan semua penternak babi di Selangor terlibat dan selepas ladang moden ini diluluskan, tidak ada lagi ladang ternakan babi lain di mana-mana kawasan di Selangor,’’ kata Yaakob.
Sehubungan itu, beliau akan menemui semua penternak babi di Selangor dan membawa perkara berkenaan ke MTES untuk diluluskan sebelum dibawa ke mesyuarat Exco.
Sementara itu, projek penternakan babi di Sepang itu turut mendapat sokongan daripada tiga anggota Exco Pas Selangor.
Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.
Dr. Halimah yang juga Timbalan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat berkata, Pas menyokong projek itu selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.
Pada sidang akhbar itu, Abdul Khalid turut menjelaskan, semua ladang babi di Selangor yang beroperasi di luar kawasan tersebut akan ditutup dan dipindahkan ke situ bagi menjadikannya pusat setempat ternakan babi.
‘‘Proses pemindahan ini dijangka memakan masa enam bulan hingga setahun.
‘‘Kos mendirikan ladang pula akan ditanggung oleh para pemilik ladang dan bukan kerajaan negeri,’’ ujarnya.
Pada masa yang sama, tambah beliau, kerajaan negeri tidak akan meluluskan sebarang permohonan untuk membuka ladang babi baru.
Beliau memberitahu, ladang ternakan babi moden itu bakal memenuhi piawaian kualiti tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Menurutnya, sebarang bahan buangan dari ladang itu nanti akan diproses kepada bentuk biogas untuk menjana elektrik dan air bagi kegunaan semula ladang.
Justeru, jelas beliau, tiada bahan buangan akan menjadi sisa dan keluar dari ladang itu.
Ditanya sama ada beliau didesak oleh pihak-pihak tertentu untuk meneruskan projek berkenaan, Abdul Khalid menafikannya.
‘‘Kerajaan negeri berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini.
‘‘Kita mahu melaksanakannya dengan adil dan saksama serta mengambil kira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor,’’ katanya. Utusan 09/04/08

10 Exco Terengganu angkat sumpah

KUALA TERENGGANU: Selepas lebih sebulan berjaya mengekalkan pemerintahan di Terengganu pada pilihan raya umum lalu, 10 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Sepuluh anggota Exco berkenaan, yang termasuk tiga muka lama mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah di sini.
Tujuh muka baru yang dilantik sebagai Exco kerajaan negeri itu ialah Adun Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman; Yahaya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan); Ashaari Idris (Langkap); Datuk Zaabar Mohd Adib (Rantau Abang); Khazan Che Mat (Batu Rakit); Rozi Mamat (Telemong); dan Dr Abdul Rahman Mokhtar (Kuala Besut).
Sementara tiga Adun yang dilantik semula sebagai Exco ialah Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Toh Chin Yaw (Bandar).
\Pada istiadat itu, mereka menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Exco kerajaan negeri dan disusuli dengan menandatangani surat pelantikan masing-masing.
Hadir sama pada istiadat yang bermula jam 11.15 pagi itu ialah Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman, dua anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Adun Jertih turut menghadiri istiadat itu yang berlangsung kira-kira 30 minit.Bagaimanapun, portfolio semua Exco belum ditetapkan dan ia akan diputuskan pada mesyuarat pertama Exco itu, petang ini.
Khamis lalu, Ahmad dilaporkan berkata, beberapa portfolio baru dan perubahan akan dilakukan pada pembentukan barisan Exco sebagai langkah untuk menyesuaikan fungsi selain memastikan wujud penyelarasan dan kesesuaian tugas berdasarkan latar belakang mereka yang akan diberi tanggungjawab memegang portfolio masing-masing. - Bernama 9 April 2008

7 April 2008

Tindakan disiplin perlu saksama - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan disiplin terhadap anggota Umno yang didapati mensabotaj parti pada pilihan raya umum 8 Mac lalu perlu dilakukan mengikut peraturan sedia ada dengan saksama, berasaskan fakta dan bukannya fitnah, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, parti perlu mengumpul bukti daripada bahagian terbabit sebelum ia dibawa kepada Lembaga Disiplin Umno untuk siasatan bagi dibuktikan sama ada bersalah atau tidak.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Perlembagaan Umno berkata, jika terbukti bersalah individu atau pihak terbabit perlu diberi peluang tunjuk sebab kenapa perkara itu berlaku sebelum keputusan muktamad diambil.
“Kalau ada bukti sabotaj, maka itu suatu yang terpaksa diambil tindakan kerana perbuatan mereka sebabkan kekalahan (Umno),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan syarikat Malaysia Productivity Corporation, dekat sini, hari ini.
Semalam, Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataannya mahu tindakan disiplin diambil terhadap anggota Umno yang mensabotaj Barisan Nasional (BN) menyebabkannya kalah di 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum itu diisytiharkan kawasan putih, dan kehilangan Kedah dan Perak pada pilihan raya umum lalu.
“Kita kena berhati-hati supaya tindakan yang kita akan ambil itu adil dan bijaksana,” katanya merujuk kepada bentuk tindakan disiplin yang boleh diambil termasuk memecat keahlian anggota yang disabit kesalahan.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, proses mengambil kenyataan terhadap pihak yang didakwa juga perlu dilakukan secara adil demi kepentingan parti.
“Lembaga disiplin kena main peranan supaya apa saja kenyataan yang dibuat perlu berdasarkan pertimbangan yang betul, saksama, bukan fitnah dan bukan tidak berasas. Mesti tersusun serta mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan sabotaj itu, Muhyiddin berkata ia boleh disebabkan individu atau pelbagai perkara dan perlu ditafsir dengan teliti.
Ditanya apakah faktor berlakunya sabotaj, beliau berkata, perkara itu masih dikaji dan tidak menolak ia ada hubung kait dengan anggota parti yang tidak puas hati dengan pencalonan.
“Mungkin sebab fakta calon sesetengah kawasan tak terima calon yang diletakkan kepimpinan dan dengan sebab itu tak puas hati. Biasanya apabila kepimpinan dah pilih calon, terima sajalah, kerana yang penting bukan calon tapi parti,” katanya. - Bernama 07/04/08

Mana EXCO Terengganu

7 April 2008 -- Pilihanraya Umum Ke-12 telah sebulan telah berlalu, Terengganu di bawah kepimpinan Dato' Seri Idris Jusoh telah mengemudi kemenangan Barisan Nasional meskipun 5 negeri telah jatuh kepada pembangkang di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak.
Manakala Kelantan gagal dirampas kembali sebelum ini diperintah oleh PAS.
Terengganu yang menyaksi sedikit kontrovesi perlantikan Menteri Besar (MB) akibat campur tangan pihak istana dengan perlantikan Dato' Ahmad Said sebagai MB yang baru.
Meskipun sebulan telah berlalu, Ahmad Said telah mengadap PM bagi memaklumkan senarai EXCO baru Terengganu pada minggu lepas dan PM telah bersetuju dan perakui barisan EXCO yang baik.
Tetapi sehingga hari ini, barisan EXCO yang terbaik itu masih belum diumumkan oleh MB Terengganu yang baru. Mengikut sumber yang dipercayai, barisan EXCO yang dipersetujui oleh PM tidak mendapat restu pihak istana pula dan MB Terengganu cuba untuk berjumpa PM sekali lagi bagi menyerah senarai EXCO yang baru.
Mengikut penganalisa politik tempatan situasi yang berlaku di Terengganu hari ini semakin berdepan dengan jalan sukar apabila banyak pihak cuba menggangu pentadbiran negeri yang telah mendapat mandat rakyat pada 8 Mac 2008 lalu. Situasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya juga tidak pernah berlaku di lain-lain negeri meskipun diperintah oleh pembangkang.
Keadaan yang berlaku di Terengganu boleh menimbul kemarahan rakyat dan sudah tentu menjejaskan pembangunan sama ada rohani dan jasmani yang begitu rancak semasa kepimpinan Dato' Seri Idris Jusoh. HWA

Umno sudah kenal pasti ahli yang sabotaj ketika pilihan raya umum

oleh Norfatimah Ahmad
KUALA LUMPUR: Umno sudah mengenal pasti ahli yang mensabotaj parti semasa pilihan raya umum lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun ke-30 Pusat Timbang Tara Serantau KL di sini, pagi ini, beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, parti kini menunggu laporan rasmi mengenainya untuk mengambil tindakan disiplin, termasuk memecat mereka.
Sehubungan itu, beliau meminta ahli Umno yang mempunyai mahklumat dan bukti agar tampil membuat laporan bagi membolehkan Jawatankuasa Disiplin menyiasat dan mengambil tindakan. BH 07/04/08

Najib melihat dirinya pengganti saya – PM

KUALA LUMPUR 6 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini sekali lagi menjelaskan beliau tidak ada masalah dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini kerana berbeza dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut Perdana Menteri, timbalannya itu melihat dirinya sebagai pengganti beliau.
''Bukan macam Anwar yang melihat dirinya sebagai pemimpin alternatif kepada (Tun) Dr. Mahathir (Mohamad).
''Sekarang (Anwar) anggap dirinya bakal Perdana Menteri (leader in waiting), dia boleh kata begitu tetapi pada masa ini sayalah Perdana Menteri,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Lebih 1,000 ahli UMNO daripada jentera penerangan parti memenuhi Dewan Tun Hussein Onn bagi mendengar amanat Presiden parti itu yang disampaikan selama kira-kira dua jam.
Hadir sama Najib, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.
Abdullah menjelaskan perbezaan hubungan baik beliau dengan timbalannya, berbanding 'hubungan bermasalah' di antara Dr. Mahathir dan bekas timbalannya, Anwar.
Perdana Menteri terpanggil membuat kenyataan mengenainya ekoran pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau dan Najib. Utusan Malaysia 7 April 2008.

‘Saya akan terus bersuara’

Oleh ARSHAD KHAN
KUALA LUMPUR 6 April – Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan terus bersuara selagi mana perkara-perkara yang dilihatnya sebagai punca penolakan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak diatasi.
Sehubungan itu, tegas Dr. Mahathir, beliau tidak bimbang dengan apa jua tindakan yang mungkin diambil ke atas dirinya termasuk jika dikenakan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menggugat kestabilan negara.
Kata bekas Perdana Menteri itu, beliau perlu terus bercakap kerana jika tidak, mungkin tidak ada sesiapa dalam UMNO yang akan berani berkata perkara yang benar kepada pemimpin mereka.
Beliau juga yakin, kata-katanya selama ini tidak mungkin menjadi penyebab kepada kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum yang lalu kerana penyokong UMNO bukannya jahil atau tidak mampu berfikir tentang apa yang dilontarkan kepada mereka.
Menurutnya, jika UMNO tidak dipulihkan sekarang, parti keramat orang Melayu itu akan musnah dan hilang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.
‘‘Saya akan berhenti (bersuara) apabila mereka berhenti membuat perkara-perkara yang mungkin menjadi punca kekalahan BN,’’ katanya pada Majlis “Fikir-fikirkan bersama Tun” anjuran UMNO Cawangan Pusat Bandar Cempaka, Bahagian Pandan di sini hari ini.
Kira-kira 1,000 hadir pada majlis yang turut dihadiri oleh bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid dan Ketua UMNO Cawangan berkenaan, Syed Saifuddin Syed Harman.
Dr. Mahathir menjawab kenyataan beberapa pemimpin UMNO termasuk Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang mahukan beliau tidak lagi membuat sebarang kenyataan kerana ia boleh memecah belahkan parti.
Semasa berucap pada majlis itu, beliau berkata, Ahmad Shabery tidak layak bercerita mengenai perpecahan UMNO kerana dirinya sendiri pernah keluar parti itu dan menyertai parti Semangat 46.
Sementara itu, pada sidang akhbar selepas itu, Dr. Mahathir turut mengulas mengenai kemungkinan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bertanding jawatan Ketua Pemuda.
‘‘UMNO parti demokrasi, bertanding jika mahu tetapi jangan gunakan wang atau unsur-unsur ugutan ke atas orang lain,’’ katanya.
Ditanya apakah wujud sebarang keperluan untuk meminda sistem kuota jika berlaku perubahan kepimpinan terlebih dahulu, Dr. Mahathir berkata, ia tetap perlu dilakukan.
Beliau seterusnya menekankan perubahan dalaman UMNO adalah satu keperluan mendesak pada masa kini jika penyokongnya mahu melihat parti itu terus relevan dan diterima rakyat.
‘‘UMNO kini umpama seorang pesakit kencing manis, kita mungkin terpaksa potong kakinya demi menyelamatkan anggota yang lain atau mengelakkan kematian,’’ jelas beliau.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Dr. Mahathir berkata, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu tampil ke hadapan dan bersuara lebih tegas lagi jika mahu menyelamatkan UMNO.
Beliau juga mahu Najib bersikap berani dan bercakap terus kepada Presiden Parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang hasrat ahli parti dan juga rakyat.
“Semua orang perlu bercakap yang benar, termasuklah Abdullah,” katanya.
Tambah Dr. Mahathir, bukan sekadar Najib sahaja yang perlu berbuat demikian tetapi semua ahli UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi juga perlu bersikap lebih berani.
“Yang boleh membetulkan apa yang salah adalah ahli-ahli parti yang berani, tetapi masih ramai daripada orang UMNO yang tidak berani,” katanya.
Katanya, perkara yang selalu diperkatakan beliau sehingga menimbulkan rasa kurang senang pemimpin UMNO ialah semua orang perlu bersikap berani dan bercakap benda yang benar.
Pada majlis yang sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi pilihan ahli parti untuk menggantikan kepimpinan tertinggi sedia ada.
Namun, kata beliau, segalanya bergantung pada keberanian dan kemampuan Naib Presiden UMNO itu untuk menjadikan dirinya popular dalam keadaan semasa parti.
‘‘Kalau Muhyiddin boleh menjadikan dirinya popular, dia boleh menyerlah, saya yakin,’’ katanya.
Bagaimanapun, katanya lagi, setakat ini, beliau masih belum bertemu pemimpin pilihannya secara khusus.
‘‘Najib (Timbalan Presiden UMNO) boleh, Tengku Razaleigh Hamzah (Ketua UMNO Gua Musang) pun boleh,’’ katanya.
Jelasnya, beliau seperti juga ahli-ahli yang lain menantikan seorang yang benar-benar berkaliber untuk muncul dan memimpin UMNO.
Selain itu, Dr. Mahathir berkata, beliau akan menyiarkan secara bertulis jawapannya berhubung dakwaan dirinya mencampuri urusan pelantikan hakim.
Beliau juga tetap menjelaskan tidak pernah mencampuri apa-apa urusan kehakiman di negara ini semasa era pentadbirannya.
“Tunjukkan apa salah yang saya buat,” katanya.
Beliau mengulas gesaan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar Dr. Mahathir dikenakan tindakan kerana campur tangan dalam urusan pelantikan hakim.
Abdullah dalam satu sidang akhbar pagi ini memberitahu, jika dakwaan itu ada asas maka siasatan boleh dimulakan ke atas Dr. Mahathir oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
Tambahnya, sepanjang menjadi Perdana Menteri, beliau ada memberikan teguran-teguran biasa kepada beberapa hakim.
“Hakim pun manusia biasa juga, ada sayang orang itu, orang ini,” katanya.
Jelasnya, teguran kepada badan kehakiman adalah untuk memastikan ia memainkan peranan dengan cukup berkesan dan mantap.
Beliau juga menafikan hakim yang terbabit dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut perintahnya.
Mengulas mengenai ketiadaan kebebasan media pada zamannya, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pernah mewujudkan sekatan terutama di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak sehaluan dengan dirinya untuk mendapat sebarang liputan berita.
“Tidak tahulah jika ada wartawan yang sanggup bersumpah kata saya menghalang mereka menyiarkan sesuatu,” katanya.
Sementara itu di Langkawi Bernama melaporkan, Dr. Mahathir berkata, kritikannya terhadap kepimpinan UMNO tidak akan menghancurkan parti sebaliknya akan menjadikannya lebih kukuh.
“Terpulang kepada mereka hendak mendengar atau sebaliknya,” katanya selepas majlis tahlil untuk Allahyarham kakaknya, Habsah Mohamad di Surau Ibrahim Mi, Kampung Ranggut, Padang Mat Sirat di sini malam tadi. Utusan Malaysia 7 April 2008.

UMNO ambil tindakan ahli sabotaj parti

07/04/2008 11:45am
KUALA LUMPUR 7 April – UMNO akan mengambil tindakan terhadap ahli-ahli yang melakukan sabotaj terhadap parti pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu penting bagi menegakkan keadilan selain mengelak fitnah serta tuduhan yang tidak berasas terhadap parti.
"UMNO akan mendapatkan satu laporan lengkap dan sedang mengumpul maklumat daripada pemimpin-pemimpin bahagian. Satu penilaian akan dibuat oleh Lembaga Disiplin parti mengenai perkara ini," katanya. - Utusan Malaysia

6 April 2008

Kubica mula petak pertama


BERSAING... Pelumba BMW Sauber, Robert Kubica (tengah) meraikan kejayaan meraih petak depan pertama dalam kariernya selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan GP Bahrain di Litar Sakhir, Manama, semalam. Pelumba Ferrari, Felipe Massa (kanan) pula bakal memulakan perlumbaan sebenar pusingan ketiga musim 2008 hari ini di petak kedua manakala pelumba McLaren Mercedes, Lewis Hamilton di petak ketiga. – AFP
SAKHIR, Bahrain – Robert Kubica dari pasukan BMW Sauber mengetepikan pelumba Ferrari, Felipe Massa untuk menduduki petak pertama pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain, hari ini.
Kubica, pelumba F1 pertama dari Poland, menamatkan monopoli pasukan Ferrari dan McLaren yang menguasai petak pertama sejak 22 perlumbaan lalu.
Kejayaan Fernando Alonso menduduki petak pertama untuk Renault di GP China pada Oktober 2006 merupakan perlumbaan terakhir yang diraih oleh pasukan lain yang sebelum itu hanya diraih oleh Ferrari dan McLaren.
Pendahulu keseluruhan Lewis Hamilton dari McLaren pula akan memulakan perlumbaan dari petak ketiga hari ini, manakala Kimi Raikkonen di petak keempat pada sesi kelayakan semalam untuk pasukan Ferrari.
Pelumba McLaren, Heikki Kovalainen turut mencatat nama pada kedudukan lima teratas bagi perlumbaan di Litar Antarabangsa Bahrain itu.
Kubica mencatat masa 1 minit 33.096 saat ketika sesi kelayakan terakhir berbaki 10 minit.
Massa, yang mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas kelmarin, terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila hanya mencatat kepantasan 1:33. 123s.
Kubica yang mengumpul lapan mata kategori pelumba, menamatkan GP Malaysia dua minggu lalu di tempat kedua.
Hamilton masih mendahului senarai pelumba dengan 14 mata, tiga mata mengatasi juara dunia, Raikkonen dan Nick Heidfeld dari BMW Sauber. Heidfeld mencatat masa keenam terpantas pada sesi kelayakan semalam.
Pelumba Toyota, Jarno Trulli; Nico Rosberg dari pasukan Williams; Jenson Button yang memandu Honda dan Alonso menduduki petak sepuluh teratas.
Massa yang belum meraih sebarang mata selepas dua perlumbaan, ‘terperangkap’ di celah-celah kereta pelumba lain ketika dia hendak keluar dari pit untuk melakukan pusingan kelayakan terakhir semalam.
Pelumba Brazil itu yang merangkul petak pertama di sini tahun lalu sebelum memenanginya, juga bermula di petak depan pada GP Malaysia namun gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabas.
Sementara itu, semua pasukan mengurangkan penggunaan minyak dan menggunakan tayar yang lebih lembut pada sesi kelayakan kedua semalam apabila suhu litar mencecah 44 darjah celsius.
Namun apabila cuaca mula mendung dan suhu litar menurun pada sesi terakhir, semua pasukan terpaksa menukar strategi.
Ketiadaan sistem kawalan cengkaman menyebabkan para pelumba terpaksa lebih berhati-hati ketika memecut di selekoh di litar tersebut.
Hamilton yang mengungguli perlumbaan pembukaan GP Australia, gagal mencatat masa terbaik pada pembukaan sesi kelayakan selepas mengalami kemalangan pada sesi latihan bebas kelmarin.
Pelumba berusia 23 tahun dari Britain itu kehilangan kawalan ketika melalui selekoh tajam sebelum keretanya merempuh penghadang.
Krew McLaren terpaksa bertungkus lumus sepanjang malam untuk memperbaiki kerosakan keretanya.
– AP 6 April 2008

Idris Akan Terus Terajui Umno Terengganu Selagi Arah Parti

JERTIH, 4 April (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh berkata beliau akan terus menyandang jawatan pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan bersedia menyerahkan jawatan itu kepada pihak jika kepimpinan parti mengarahkannya berbuat demikian.
"Sebagai orang Umno saya patuh kepada parti dan sekiranya Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno) mahu saya melepaskan jawatan ini ia tiada halangan bagi saya kerana saya memang bekerja untuk parti," katanya kepada pemberita pada sambutan Maulidur Rasul di Kampung Balik Bukit dekat sini malam tadi.
Inilah kali pertama Idris mengeluarkan kenyataan kepada media sejak berakhirnya kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu, yang menyaksikan Datuk Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan beliau pada 23 Mac.
Idris, yang sukar dihubungi media sebelum ini, berkata beliau enggan mengeluarkan sebarang kenyataan selama ini kerana bimbang kenyataannya akan dieskploitasi pihak-pihak tertentu sehingga boleh mengeruhkan keadaan.
Ditanya mengenai kehidupan sehariannya selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar, Idris dengan ceria sekali berkata beliau dan isteri kini lebih relaks dan mempunyai banyak masa untuk tugas parti dan berjumpa dengan penduduk daerah Besut.Idris, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jertih, berkata beliau kini memberi tumpuan kepada usaha untuk membangunkan kawasannya dan daerah Besut.
"Saya bekerja untuk rakyat. Sekiranya rakyat bahagia maka saya turut bergembira," katanya.Beliau berkata apa yang berlaku terhadap dirinya sebelum ini mungkin mempunyai hikmah tersendiri, yang dikabulkan Allah atas doa yang dimintanya sendiri.
"Apa yang berlaku ke atas diri saya adalah ketentuan Allah, yang mungkin untuk membimbing saya supaya bertugas dengan lebih cemerlang di masa depan," katanya.Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang memberi sokongan kepada beliau dan Barisan Nasional sehingga parti itu berjaya mengekalkan kuasa di Terengganu sekali lagi pada pilihan raya umum 8 Mac.
"Saya berharap rakyat jangan berasa runsing atau kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap agar mereka terus bekerja dengan lebih kuat bagi memajukan negeri dan parti, supaya Barisan Nasional dapat terus mengekalkan pemerintahan di Terengganu di masa depan," katanya.
Beliau juga melahirkan rasa gembira bahawa Masjid Kampung Balik Bukit, sudah dapat disiapkan dan digunakan kerana sebelum ini projek pembinaannya terbengkalai semasa pemerintahan kerajaan PAS.
Masjid baru itu menggantikan masjid lama yang terletak 200 meter dari situ.
Pada majlis sambutan itu bekas Menteri Besar itu dan isterinya Toh Puan Seri Che Kamariah Zakaria telah bersama 500 penduduk kampung itu mengerjakan solat hajat, membaca yassin dan bertahlil.-- BERNAMA, April 04, 2008 10:49 AM

Abdullah Jumpa Pemimpin Akar Umbi Umno

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Ahad mengadakan pertemuan tertutup, yang pertama dengan kepimpinan akar umbi parti selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Majlis penerangan Umno itu bermula pukul 10.10 pagi di Dewan Merdeka, PWTC, dengan ucapan aluan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, diikuti amanat presiden.Pertemuan itu bagi membolehkan Perdana Menteri menyampaikan amanat kepada kepimpinan bahagian dari seluruh negara, terutama berhubung hala tuju parti dan senario politik semasa, selepas pilihan raya.
Seminggu lalu, Abdullah mengadakan pertemuan dengan para perwakilan badan perhubungan Umno negeri-negeri, yang antara lain mahukan mereka berusaha memulihkan kembali sokongan rakyat kepada parti selepas pilihan raya.
Jumaat lepas, Abdullah turut menemui kepimpinan Barisan Nasional (BN) Sarawak di Kuching dan dijadualkan menemui kepimpinan BN Sabah di Kota Kinabalu esok.-- BERNAMA, 06 April, 2008 11:12 AM

Hishammuddin buka gelanggang

APABILA Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara terbuka mengisytiharkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, secara tidak langsung ia telah membuka gelanggang pertandingan pada pemilihan parti itu Disember ini.
Pengumuman itu dilihat sebagai petanda bahawa pemilihan UMNO kali ini akan menyaksikan pertandingan secara besar-besaran di semua peringkat.
Ia dihangatkan lagi dengan riak dan olak di peringkat akar umbi yang mahu menyaksikan perubahan dalam UMNO ekoran prestasi yang disifatkan terburuk dalam sejarah pilihan raya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
Untuk itu terdapat desakan terbuka supaya kepimpinan parti dirombak atas alasan mengembalikan semula keyakinan ahli dan rakyat serta memulihkan semangat yang luntur.
Langkah Hishammuddin untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 10 tahun lalu dilihat sebagai isyarat bahawa gelanggang sudah mula dibuka.
Kini sudah ada jawatan yang kosong dan sedia untuk dipertandingkan. Sudah pasti ia akan diikuti oleh jawatan-jawatan lain dan tidak mustahil ia turut membabitkan jawatan nombor satu dan dua dalam parti.
Gelombang itu dapat dilihat dan dirasa apabila sebaik sahaja Hishammuddin mengumumkan keputusannya, ia terus disambut oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Exco pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir yang menyatakan kesediaan mereka menawarkan diri bertanding jawatan itu.
Jika diamati kepada gelombang di peringkat akar umbi selepas pilihan raya umum yang lalu, kekosongan yang ditinggalkan Hishammuddin itu sudah pasti akan diisi melalui pertandingan.
Walaupun dua nama sahaja yang menonjol setakat ini, namun realitinya ramai yang berhajat untuk menduduki kerusi tertinggi pemuda itu.
Sesetengahnya bukan sangat untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara tetapi lebih kepada menjadikannya sebagai batu loncatan untuk pergi lebih jauh demi mencapai cita-cita politik mereka.
Pemimpin-pemimpin muda yang memenangi pilihan raya umum yang lalu terutama yang diberi tempat dalam Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah tentu merasakan mereka juga sesuai untuk mengisi tempat yang dikosongkan oleh Hishammuddin.
Dengan menggunakan alasan mereka mempunyai mandat daripada rakyat ekoran kemenangan dalam pilihan raya umum lalu, sudah tentu ada yang akan melobi bahagian- bahagian supaya dicalonkan untuk bertanding.
Pemuda UMNO Pahang misalnya mempunyai pilihan mereka sendiri bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Menteri Pelajaran itu.
Ketuanya, Datuk Khairuddin Yaakob menamakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria, Exco Pemuda UMNO, Datuk Idris Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah sebagai calon ke jawatan itu.
PemimpinMalah katanya, dua lagi pemimpin yang dianggap layak ialah Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.
Namun pengumuman Hishammuddin itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak terhad dalam ruang lingkup Pemuda sahaja.
Hishammuddin sendiri sudah tentu tidak akan menamatkan karier politiknya setakat itu sahaja.
Walaupun beliau berkata, bergantung kepada ahli untuk mencalonkannya ke jawatan mana selepas ini, namun beliau sudah pasti ada sasaran tersendiri.
Jika dilihat kepada tradisi dalam UMNO, Ketua Pemuda yang melepaskan jawatan itu selalunya akan bergerak ke jawatan Naib Presiden. Kecuali Allahyarham Datuk Harun Idris yang terus bertanding kerusi Presiden.
Jika itu yang berlaku sudah pasti Hishammuddin akan mengisi salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden UMNO.
Persoalan yang timbul, adakah dalam konteks sekarang, ketika riak dan olak di peringkat akar umbi seolah-olah sukar dikawal, Hishammuddin akan diberikan laluan mudah ke jawatan itu?
Sekarang satu jawatan Naib Presiden kosong ekoran pemecatan Tan Sri Isa Abdul Samad. Dua lagi disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Tetapi adakah Naib Presiden merupakan matlamat Hishammuddin? Bagaimana dengan jawatan yang lebih tinggi - Timbalan Presiden?
Yang pasti langkah Hishammuddin melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO telah menimbulkan pelbagai reaksi termasuk kemungkinan akan mendorong berlaku pertandingan dalam jawatan-jawatan utama UMNO dan sayapnya.
Seperti kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus, melalui pemilihan akan dapat melahirkan kepimpinan yang benar-benar diterima oleh semua ahli.
Katanya, pertandingan akan membuka ruang kepada ahli di peringkat akar umbi yang mahukan pembaharuan untuk membuat pilihan sendiri.
Tetapi pertandingan jika berlaku bukan bermakna pimpinan sekarang tidak baik tetapi ia akan membantu mengukuhkan kepimpinan sedia ada.
''Apa yang diharapkan, pertandingan ini akan berjalan dengan teratur dan mereka yang bertanding mestilah bersungguh-sungguh.
"Kita tidak mahu mereka hanya bersungguh-sungguh semasa bertanding dan apabila menang, tidak buat kerja.
"Yang paling penting, calon yang bertanding bukan untuk membalas dendam tetapi mesti ada kesungguhan bagi membela nasib ahli dan parti," katanya.
Selain Pergerakan Pemuda UMNO yang sudah pasti akan menyaksikan persaingan sengit untuk merebut jawatan ketuanya Disember ini, pertandingan juga dijangka akan berlaku pada peringkat Puteri.
Ia ekoran ketuanya kini, Datuk Noraini Ahmad perlu melepaskan jawatan itu atas faktor umur.
Begitu juga dalam Pergerakan Wanita UMNO. Walaupun Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz masih dilihat utuh, namun gelombang perubahan jika dimahukan ahli sudah tentu sukar disekat.
BerkemampuanBekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said misalnya merupakan antara nama yang disebut-sebut berkemampuan untuk mencabar Rafidah.
Bagi peringkat akar umbi, tidak ada salahnya jika pemimpin parti ditentukan melalui pertandingan.
Jika itu kehendak ahli, maka ia tidak wajar disekat. Jika gelombang ini disekat ia boleh bertukar menjadi satu lagi tsunami. Kesannya pula mungkin lebih parah.
Dalam UMNO, sebuah parti yang berpegang kepada prinsip demokrasi dan sentiasa mendengar suara akar umbi, kali terakhir jawatan Presiden dipertandingkan ialah pada tahun 1987.
Ia menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 43 undi.
Pergerakan Wanita UMNO kelihatan lebih dinamik apabila sering menyaksikan pertandingan untuk jawatan ketuanya.
Pada tahun 1996 Rafidah tewas kepada Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman sebelum merampas kembali jawatan itu pada pemilihan tahun 2000.
Untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pula, kali terakhir ia dipertandingkan ialah pada tahun 1996 apabila Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengetepikan cabaran Datuk Annuar Musa.
Tetapi untuk Puteri UMNO, jawatan ketuanya belum pernah dipertandingkan.
Oleh itu, jika berlaku pertandingan di semua peringkat jawatan pada pemilihan UMNO Disember ini, ia dilihat benar-benar menguji proses demokrasi dan ketelusan dalam UMNO.
Seperti yang ditegaskan oleh bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik, hanya dengan mendapat pandangan ahli di semua peringkat, parti dapat merumuskan hala tuju agar terus relevan dan mendapat semula keyakinan rakyat.
Katanya, jika UMNO terus mengongkong dan menyekat kebebasan bersuara di kalangan ahli, pastinya usaha untuk melihat parti terus kukuh dan diterima kembali oleh rakyat tidak akan tercapai.
Kebebasan bersuara itu juga selari dengan perlembagaan UMNO dan kata Tengku Razaleigh, perlembagaan dalam parti membenarkan sesiapa pun bertanding.
"Ini demokrasi dan jika tidak, lebih baik kita tukar kepada presiden seumur hidup dan berkuasalah sampai bila-bila," tegasnya. Utusan Malaysia 6 Apr 2008

Kritikan Terhadap Kepimpinan Umno Tidak Akan Hancurkan Parti - Tun Dr Mahathir

LANGKAWI, 6 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kritikannya terhadap kepimpinan Umno tidak akan menghancurkan parti sebaliknya akan menjadikannya lebih kukuh."Terpulang kepada mereka hendak mendengar atau sebaliknya," katanya selepas majlis tahlil untuk allahyarham kakaknya Habsah Mohamad di Surau Ibrahim Mi, Kampung Ranggut Padang Matsirat di sini Sabtu malam.
Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan beberapa menteri kabinet yang juga pemimpin Umno yang menegur beliau supaya jangan keterlaluan mengkritik kepimpinan parti ekoran pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lepas.
Antara mereka ialah Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.
Hadir sama pada majlis itu ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anggota Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib.
Ketika berucap sebelum itu, Dr Mahathir meminta umat Islam Malaysia supaya bersyukur kerana rakyat dapat hidup aman damai tanpa berlaku perbalahan walaupun mempunyai perbezaan fahaman politik.
Beliau yakin Malaysia akan terus aman yang membolehkan rakyat hidup bahagia tanpa sebarang gangguan.-- BERNAMA 06 April, 2008 11:30 AM

Usah takut sistem kuota

IPOH: Pemimpin yang ingin bertanding untuk merebut jawatan tertinggi dalam Umno seharusnya tidak perlu takut dengan sistem kuota jika mereka mempunyai pengaruh kuat dan mendapat sokongan padu daripada semua pihak.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata mereka boleh menilai sendiri pengaruh mereka dan jika tidak mempunyai sokongan padu pada peringkat akar umbi, mereka tidak wajar mempersoalkan soal sistem kuota."Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah cara pentadbiran parti separuh jalan. Jadi, kuota tertentu bagi bertanding jawatan tertinggi khususnya bagi Ahli Majlis Tertinggi (MT) harus dikekalkan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada 293 mangsa banjir penduduk daerah Kinta di Dewan Serbaguna Sungai Tapah di sini, semalam.Jumaat lalu, Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan mesyuarat khas di bahagiannya yang mendesak Umno mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan prestasi parti itu pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu dan memansuhkan sistem kuota bagi pemilihan pucuk pimpinan.tertinggi, selain meminda 20 perkara yang termaktub dalam perlembagaan parti. Difahamkan, setakat ini hanya dua daripada 195 bahagian termasuk Gua Musang yang ingin memansuhkan sistem kuota itu.Umno Cheras akan mengadakan EGM pada 27 April ini bertujuan untuk membincangkan sama ada relevan atau tidak memansuhkan sistem kuota serta isu berkaitan kepimpinan dan masa depan parti berkenaan.Nazri yang juga Ahli MT berkata, segala perubahan dalam parti seharusnya hanya dilakukan setelah selesai pemilihan parti pada Disember ini."Majoriti ahli Umno di negeri ini sentiasa memberi sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan dan EGM tidak perlu diadakan seperti yang dipersetujui mesyuarat MT dua minggu lalu kecuali jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu."Saya tidak pasti tetapi berkemungkinan besar satu atau dua bahagian dalam negeri ini akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat."Seperti yang kita tahu, Umno adalah parti yang mengamalkan konsep demokrasi dengan menerapkan persaingan sihat di kalangan ahli dan masalah tidak akan timbul pada pemilihan parti akan datang jika semuanya berjalan mengikut prosedur dan undang-undang ditetapkan," katanya.Beliau turut memuji Adun Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang berhasrat untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno setelah penyandang jawatan itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuat keputusan menarik diri daripada bertanding Disember ini. "Ini adalah satu persaingan yang sihat dalam politik di Malaysia dan segala persoalan serta kesulitan hanya akan terjawab selepas pemilihan parti akhir tahun ini," katanya.Sementara itu, beliau berkata, setakat ini hanya Umno Taiping dan Kampar yang membantah keputusan Badan Perhubungan Umno negeri yang menyarankan ketua kampung meletak jawatan selepas kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas mengambil alih pentadbiran negeri ini. Pada 1 April lalu, seramai 776 ketua kampung menghantar surat peletakan jawatan walaupun kontrak jawatan mereka hanya tamat pada 31 Disember ini. Mereka dilantik oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Perak sebelum ini.

Anggota UMNO perlu berani kata perkara benar

MUAR, 5 April – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, anggota parti perlu berani menyatakan perkara benar dan tidak hanya menyatakan sesuatu semata-mata untuk menyedapkan hati pemimpin, sedangkan ia adalah satu pembohongan.
Beliau berkata kalau terdapat sebarang kelemahan dalam parti, mereka harus terima dengan hati terbuka dan bersedia mengatasinya, bukan sekadar mendengar atau berdiam diri sahaja.
“Kalau ada kelemahan kita kena akui, tak boleh hanya dengar dan menyatakan semuanya baik sedangkan ia adalah satu pembohongan. Lebih baik beritahu yang benar, cakap yang betul walaupun ia pahit untuk ditelan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis kesyukuran kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum lepas yang dihadiri kira-kira 3,000 jentera BN.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, zaman telah berubah dan UMNO perlu berani melakukan perubahan tanpa mengorbankan prinsip perjuangan asal parti jika mahu terus relevan pada masa depan.
Terdahulu, beliau berkata, UMNO Johor yang bermesyuarat pagi ini bersetuju dengan cadangan penubuhan sebuah institut khas mengkaji dan menyelami perasaan pengundi sebagai usaha mengekalkan parti itu sebagai tunjang BN di negeri ini.
Beliau berkata, institut itu hendaklah dianggotai oleh pakar-pakar tertentu yang perlu digerakkan segera serta menjadi rangka pelan induk pengukuhan UMNO Johor yang akhirnya boleh membantu UMNO di negeri-negeri lain mengembalikan kekuatannya.
Berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata, inisiatif itu perlu dimulakan supaya kuasa kerajaan BN yang masih ada tidak hilang selepas pilihan raya umum akan datang.
“Saya takut kalau tidak dibuat sesuatu, kita terus leka berada dalam zon selesa, masih tidak sedar adanya tsunami politik di luar sana, kita akan hilang kuasa,” katanya.
– Bernama 6 April 2008

3 April 2008

Tiada Pengaruh Luar Dalam Penetapan Calon Pemuda, Kata Hishammuddin

02 April, 2008 22:43 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Penetapan calon-calon Pemuda Umno dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas adalah mengikut prosedur biasa yang diamalkan sebelum ini, kata ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.Beliau berkata ia tidak dipengaruhi orang tengah sebagaimana yang didakwa bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dalam konteks penetapan calon Pemuda Umno.Hishammuddin berkata Pemuda Umno tidak mempunyai senarai khusus bagi calon yang bakal bertanding kerana proses tapisan dan pemilihan calon tersebut dibuat bersama pemimpin di peringkat bahagian dan negeri."Maka, tidak timbul isu bahawa mana-mana calon Pemuda dipilih, yang tidak melalui saluran sedia ada atau tidak dalam pengetahuan saya termasuk calon Pemuda daripada parti komponen."Inilah proses yang kita amalkan selama ini dalam menentukan pemilihan calon pada setiap pilihan raya umum," katanya dalam kenyataan di sini hari ini berhubung pemilihan calon Pemuda Umno dan cadangan rombakan kepada pergerakan itu.Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata proses memilih nama-nama calon Pemuda dibincangkan Ketua Pemuda Umno Negeri, dibawa ke Pengerusi Perhubungan Umno Negeri sebelum disenaraikan bersama calon lain untuk diluluskan presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi."Sebagai contoh, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir adalah antara calon-calon Pemuda yang telah dicadangkan Pemuda Kedah dan dipersetujui bersama. Malah saya telah berbincang panjang lebar dengan Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi menentukan kerusi Parlimen yang sesuai mengikut pertimbangan beliau setelah mengambilkira suasana dan keadaan negeri itu," katanya.-- BERNAMA

Najib ketuai program turun padang mulai 10 April

KUALA LUMPUR 2 April – Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai program turun padang bagi menemui ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk memberi penjelasan berhubung keadaan parti.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Timbalan Presiden parti akan memulakan kempen itu pada 10 April ini di Kedah dan Pulau Pinang diikuti ke Perak dan Selangor pada 14 April ini sebelum ke Wilayah Persekutuan.
Jelas beliau, ini adalah inisiatif awal UMNO untuk memulihkan semula semangat dan keyakinan ahli-ahli berikutan pelbagai masalah yang dihadapi oleh parti selepas pilihan raya umum, baru-baru ini.
‘‘Kita telah bersedia sekarang untuk mengatur dan menyusun semula inisiatif kita menemui ahli-ahli di akar umbi.
‘‘Najib akan bertemu dengan ahli-ahli akar umbi membabitkan tiga sayap; Wanita, Pemuda, Puteri dan juga di peringkat bahagian,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menutup Seminar Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Pusat Pameran dan Perdagangan Matrade, di sini hari ini.
Beliau berkata, Najib akan dibantu oleh ahli Majlis Tertinggi UMNO yang lain.
Muhyiddin menjelaskan, program itu juga akan memberi peluang kepada semua ahli meluah perasaan tidak puas hati secara terbuka kepada pucuk pimpinan.
‘‘Kita tidak mahu sekat mereka bersuara. Mereka berhak berkata apa sahaja termasuk kelemahan parti dan kepimpinan, kelebihan parti lawan dan apa yang telah berlaku sepanjang kempen pilihan raya lalu, termasuk perkembangan dan masalah yang dihadapi di negeri yang ditadbir oleh parti-parti pembangkang,’’ katanya.
‘‘Kita akan dengar pandangan mereka dan atur semula apa yang perlu dibuat,’’ ujarnya.

Amanat khas Presiden Ahad ini

PUTRAJAYA 2 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyampaikan amanat kepada kepimpinan bahagian dari seluruh negara pada Majlis Penerangan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad ini.
Ia merupakan pertemuan tertutup pertama Perdana Menteri dengan kepimpinan akar umbi parti selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini mengesahkan program tersebut antara lain akan membincangkan tentang hala tuju parti dalam tempoh lima tahun ini.
‘‘Kita sedang menyusun senarai jemputan, buat masa ini saya tidak dapat mengulas lanjut kerana persediaan sedang diatur untuk menjayakan majlis ini,” katanya di sini.
Seminggu lalu, Abdullah mengadakan pertemuan dengan para perwakilan badan perhubungan UMNO negeri-negeri yang antara lain mahukan mereka berusaha memulihkan kembali sokongan rakyat kepada parti selepas pencapaian merosot Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum baru-baru ini.
Abdullah juga pada pertemuan itu mahu wakil rakyat UMNO dan kepimpinan parti meliputi peringkat cawangan dan bahagian turun padang lebih kerap untuk meneliti dan menyelesaikan masalah rakyat.
BN yang ditunjangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-12 menerima tamparan teruk apabila buat pertama kali sejak gabungan yang ditubuhkan pada 1974 dari Perikatan gagal memperoleh majoriti dua pertiga.
Parti pemerintah itu hanya kurang lapan kerusi daripada 148 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan yang selesa.
Selain gagal meraih dua pertiga, BN turun kehilangan Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, gagal merampas kembali Kelantan dari Pas serta hanya memperoleh satu kerusi daripada 11 kerusi Parlimen yang ditandingi di Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, sumber parti memberitahu, Abdullah akan ke Sarawak Jumaat ini sebelum menemui kepimpinan BN Sabah pada Isnin. - Utusan Malaysia 3 Mac 2008.
ULASAN BERITA:
Eloklah dalam pertemuan pada Ahad ini sebagai pertemuan bagi Pak Lah mengumumkan perletakan jawatan dalam kerajaan dan parti.
Gelombang Biru yang melanda sekarang ini memerlukan perubahan yang ketara. Demi maruah bangsa dan UMNO.

Abdullah nafi berundur -- Tolak spekulasi akan meletakkan jawatan Perdana Menteri

Pak Lah - Eloklah letak jawatan sebagai PM dan Presiden UMNO dengan segera.

PUTRAJAYA 2 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan spekulasi yang beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Abdullah mengulangi pendiriannya yang beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.
“Saya masih di sini. Saya masih di sini. Saya masih di sini. Mereka semua membuat spekulasi. Saya larilah. Saya letak jawatan. Kenapa perlu saya letak jawatan.
“Kerajaan saya mendapat majoriti besar (walaupun) bukan dua pertiga tetapi amat kukuh... itulah sokongan yang diterima. Takkan saya nak lari, tinggal saya punya tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di pejabatnya di sini.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi itu.
Spekulasi itu timbul ekoran gesaan oleh beberapa pemimpin termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang Abdullah patut memikul tanggungjawab bagi prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lepas dan meletakkan jawatan.
BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen selepas memenangi hanya 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen manakala pembangkang memenangi 82 kerusi.
BN juga tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal merampas kembali Kelantan daripada Pas.
Abdullah yang jarang menghadiri majlis rasmi akhir- akhir ini turut menyemarakkan spekulasi itu. - Utusan Malaysia 3 Mac 2008.