10 November 2009

Menyanggah Jui Meng

ARKIB : Utusan - 01/11/2009
BEKAS Menteri kesihatan, Chua Jui Meng menyatakan bahawa beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana parti itu menolak konsep ketuanan Melayu. Beliau juga menganggap ketuanan Melayu yang dikaitkan dengan UMNO menjadikan kaum-kaum lain sebagai hamba.
Jui Meng menyatakan demikian ketika berucap pada majlis makan malam PKR Sabah, yang kini menghadapi perpecahan ekoran peletakan jawatan Naib Presiden, Jeffrey Kitingan dan Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew.
Dalam Awang cuba mendidik diri untuk berpegang kepada gagasan 1 Malaysia, ia tidak bermakna Awang tidak boleh menyanggah pandangan beliau.
Awang tidak faham mengapa ketuanan Melayu yang tidak lagi dilaung-laungkan oleh orang Melayu kebelakangan ini, mahu dijadikan isu oleh Jui Meng.
Sudah banyak kali diperjelaskan bahawa ketuanan Melayu bukan mahu menjadikan Melayu tuan dan bukan Melayu sebagai hamba. Sebaliknya ketuanan Melayu adalah simbol dan bermaksud kedudukan Sultan-sultan Melayu sebagai tonggak negara yang menjaga kepentingan agama Islam, istiadat Melayu dan bahasa Melayu. Ketuanan Melayu adalah berpaksikan kepada perlembagaan negara.
Awang tidak percaya Jui Meng yang pernah menjadi menteri begitu dangkal dan buta sejarah. Nampaknya beliau yang bersikap rasis dan menjadi oportunis kaum. Apakah itu juga bermakna beliau menolak kedudukan raja-raja dan menyokong usaha ke arah menjadikan Malaysia negara republik?
Selama ini pun, ketuanan Melayu tidak pernah menindas kaum lain apatah lagi menjadikan kaum lain sebagai hamba. Malah rasanya tiada dalam dunia, kaum majoriti atau teras menjadi pelindung terbaik kepada kaum minoriti sejak sebelum merdeka lagi, melainkan kaum Melayu. Sehingga hari ini kaum Cina terus menguasai ekonomi dan kekayaan negara. Kaum itu yang sudah lama mewarisi budaya perniagaan dan mendapat kelebihan daripada strategi penjajah menempatkan mereka di bandar-bandar, mempunyai paling banyak aset dan wang simpanan di bank-bank. Bandar-bandar dan pekan di seluruh negara dikuasai oleh kaum Cina sementara kaum Melayu dan parti Melayu seperti UMNO tidak pernah bertindak merampas kekayaan sebagaimana berlaku di Zimbabwe. Senarai teratas orang terkaya di Malaysia yang sebahagiannya mendapat bisnes monopoli daripada pemimpin Melayu, juga adalah usahawan bukan Melayu. Peniaga kedai Cina di kampung-kampung Melayu misalnya sejak dulu bebas berniaga dengan mendapat sokongan Melayu tanpa diganggu. Itulah kemurahan hati Melayu yang diakui ramai pengkaji budaya antarabangsa sebagai kaum paling baik hati.
Akibat kemurahan hati itulah, yang sebenarnya menjadi tuan di negara ini adalah bukan Melayu. Pelancong, diplomat dan buruh asing pun tahu hakikat itu cuma Jui Meng yang mahu menafikannya. Kalau begitu, apa makna menjadi warganegara?
/...

Kerosakan Stadium Nasional Bukit Jalil RM214,000

Bernama - 10 November, 2009 17:11 PM

Beginilah keadaan kerusi tempat duduk penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak akibat dibakar oleh penyokong ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu. Sebanyak 224 kerusi yang setiap satu berharga RM500 dikategorikan sebagai rosak, rosak terus, dibakar dan 'tumbang' akibat tindakan liar penyokong pada kejadian tersebut.

*****

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kerosakan yang dialami Stadium Nasional di Bukit Jalil akibat tindakan liar penyokong Kelantan semasa perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia Sabtu lepas bernilai RM214,000, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Katanya jumlah kerosakan dinilai oleh Perbadanan Stadium Bukit Jalil dan ia memerlukan kos untuk membaikpulih stadium berkenaan.

Kerosakan melibatkan 224 buah kerusi stadium bernilai RM112,000, tiga lorong trek RM60,000, pintu pagar untuk Orang Kurang Upaya (OKU), pintu pagar dan tandas, katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat dasar di Dewan Rakyat , Selasa.

"Kita nak ingatkan bahawa duit yang digunakan untuk membina Stadium Nasional adalah duit rakyat juga. Kalau kita kena baiki, duit ini datangnya daripada duit rakyat.

"Jadi kita minta kepada penganjur dan penonton untuk memikirkan supaya tidak berlaku lagi kerosakan dan menunjukkan semangat kesukanan," katanya.

Semasa perlawanan itu, Stadium Nasional dipenuhi hampir 80 peratus oleh penyokong Kelantan manakala penyokong-penyokong Negeri Sembilan atau 'Kijang' hanya 15,000 orang.

Apabila Negeri Sembilan mendahului 3-0 selepas sepakan penalti penyerang Mohd Zaquan Adha pada minit ke-58, penyokong-penyokong Kelantan membaling pelbagai objek, mercun dan paling teruk membakar kain rentang serta kerusi di satu bahagian stadium itu.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery tidak menafikan kehadiran penyokong bola sepak Kelantan ke Stadium Nasional yang 'menakjubkan' itu berjaya menimbulkan kembali keghairahan orang ramai terhadap sukan bola sepak negara.

"Tahniah kepada penyokong Kelantan yang telah memberi suasana atau pengisian baru dalam arena bola sepak negara dan telah menimbulkan kembali keghairahan orang ramai tentang bola sepak negara," katanya.

Kepada cadangan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) agar diwujudkan undang-undang khas bagi mengawal tingkah laku penonton bola sepak, Ahmad Shabery berkata kementerian akan mengkaji keperluan peraturan tersebut.

Ibrahim ketika mencelah berkata kerajaan perlu serius untuk mewujudkan undang-undang yang dikenali sebagai Akta Penonton Bola Sepak agar penonton tetap bersemangat dan profesional."Sukan pun ada kena-mengena dengan penonton.

Dalam bola sepak ini, memang banyak kejadian seperti ini berlaku. Kita kena cegah cepat sebelum jadi seperti di Amerika Latin dan Perancis di mana kejadian sedemikian telah melibatkan kematian akibat peminat bola sepak yang ghairah," katanya.

Ibrahim mencadangkan agar semua persatuan sukan mendepositkan wang kepada kementerian bagi menguruskan pembayaran gaji, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan potongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurutnya ada segelintir persatuan sukan yang menganaktirikan jurulatih dan pemain tempatan sebaliknya mengambil berat hal kebajikan tenaga dari luar negara."Jurulatih import dari luar, bayaran dan imbuhan cukup baik.

Tapi bila jurulatih tempatan, gaji pula tak dibayar dan tidak menikmati kemudahan sepertimana diperolehi oleh jurulatih luar.

"Waktu import pemain dibenarkan, bayarannya dibayar dengan cukup lumayan tapi pemain tempatan tidak dibayar, tidak ada imbuhan, tak ada insentif. Kalau ada pun selalunya pada saat akhir seperti apabila sudah berjaya masuk final," kata Ibrahim.
/...

"Jangan Anggap Pejabat Speaker Pejabat Pos", Kata Teng Kepada AMK

Bernama - 09 November, 2009 15:31 PM
SHAH ALAM, 9 Nov (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim Isnin menegur tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mahukan pejabat speaker menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah.
"Saya tersinggung...ini satu tindakan tidak sopan...mereka boleh serah memo tetapi jangan anggap pejabat speaker pejabat pos... pejabat speaker harus dielakkan daripada terlibat di dalam gerakan politik sedemikian," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri hari ini, Teng berkata pada sebelah pagi, Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Nik Nazmi Nik Ahmad telah bersetuju menerima memorandum bantahan daripada AMK tetapi AMK bertegas mahukan pejabat speaker menyerahkan memorandum itu kepada Badrul Hisham.
"Saya minta AMK ambil kembali (memo) itu daripada pejabat saya. Saya tidak akan serahkan kepada Badrul," tegasnya.
Teng yang jelas kecewa dengan perkara itu berharap AMK dan mana-mana parti politik lain tidak mengulangi tindakan sedemikian.Terdahulu, sekumpulan anggota AMK Selangor yang diketuai Ketua Penerangan AMK Kebangsaan Lee Khai Loon mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri sebelum sidang dewan bermula pagi ini meminta Badrul Hisham meletakkan jawatan sebagai Adun kerana mendakwa beliau gagal menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.
Badrul Hisham baru-baru ini mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Sementara itu ketika ditemui pemberita, Badrul Hisham yang hadir pada sidang dewan hari ini berkata beliau tetap dengan pendiriannya menjadi Adun Bebas dan tetap memberi sokongan kepada BN.
/...

Pertemuan Jamaludin-Obama 'baik dan mesra'

Bernama - 10/11/2009 11:19am
WASHINGTON 10 Nov. — Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis (gambar) berkata, pertemuan pertama beliau dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama adalah “baik dan mesra.”
Jamaludin yang menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Amerika Syarikat pada 4 November adalah duta Malaysia pertama yang diterima oleh Presiden Obama.
Meskipun beliau terpaksa menunggu agak lama sejak ketibaannya di Amerika Syarikat untuk menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Obama dan lantik secara rasmi sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Jamaludin kini dapat menjalankan secara rasmi tugas beliau sebagai duta Malaysia di negara yang beliau lihat sebagai mempunyai “potensi cemerlang” untuk membangunkan hubungan dua hala.
Terdapat pelbagai bidang membabitkan isu kepentingan dua hala di kedua-dua pihak, satu daripadanya ialah ketetapan perjanjian perdagangan bebas (FTA).
Malaysia turut berminat untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan dari Amerika Syarikat dan peningkatan perdagangan dengan negara berkenaan.
/...

Demonstrasi kepala lembu dilakukan oleh individu - Bukan angkara UMNO, kata Khalid

Kosmo! - 10/11/09
Oleh HAIRULAZIM MAHMUD
azim.mahmud@kosmo.com.my
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam mengakui demonstrasi kepala lembu membantah pemindahan kuil ke Seksyen 23 di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Ogos lalu bukan didalangi UMNO.
Sebaliknya, beliau berkata, demonstrasi itu hanya disertai penyokong UMNO yang bertindak secara individu dan tidak mewakili atau melambangkan parti itu.
"Apa pun kerajaan negeri enggan mengulas lanjut kejadian itu kerana mereka yang terlibat dengan insiden berkenaan telah didakwa di mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang meminta penjelasan siapa sebenarnya yang terbabit dalam demonstrasi kepala lembu pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.
Dalam pada itu, Abdul Khalid tidak setuju dengan cadangan Suee Lim yang bersungguh-sungguh mendesak supaya UMNO dibubarkan kerana didakwa mengamalkan politik perkauman.
/...

Bai'ah peralat isteri, malukan wanita

Utusan - 10/11/09
KUALA LUMPUR 9 Nov. - Isu bai'ah talak tiga wakil rakyat Pas terus dikritik dengan yang terbaru Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) pula menyifatkannya sebagai memperalat isteri.
Timbalan Presidennya, Faridah Khalid kesal kerana perkahwinan dan keluarga sebagai institusi suci telah dipertaruhkan untuk menguji kesetiaan dalam parti politik.
Katanya, konsep bai'ah yang memberi kata dua sama ada terus setia kepada parti atau bercerai talak tiga dengan isteri adalah sesuatu yang memalukan kaum wanita.
"Saya mengurut dada ketika membaca mengenainya, tiada perkataan lebih sesuai selain ia menghina wanita seolah-olah mereka tiada harga diri.
"Politik adalah ideologi yang boleh berubah-ubah. Dalam negara demokrasi, semua orang boleh memilih parti politik yang disukai kerana itu pemimpin Pas perlu belajar menerima perbezaan pendapat dan ideologi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai bai'ah oleh pemimpin Pas yang dilakukan sebelum menjadi calon pilihan raya bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada parti berkenaan.
Faridah berkata, Pas seolah-olah tidak yakin dengan kesetiaan anggota dan pemimpinnya apabila mensyaratkan bai'ah tersebut kepada pemimpin mereka.
"Apakah dasar bai'ah itu berlandaskan ajaran Islam dan adakah ia memberi keadilan kepada wanita yang juga seorang ibu dan isteri?" soal beliau.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula terkejut dengan perkara itu dan turut mengutuk Pas yang mensyaratkan bai'ah tersebut.
Menurutnya, banyak cara untuk membuktikan kesetiaan kepada parti tetapi dengan mempertaruhkan institusi perkahwinan bererti Pas telah mencampuradukkan agama dan keluarga dengan politik.
"Selama ini Pas banyak mengeluarkan 'fatwa pelik'. Bai'ah ini bukan sahaja tidak boleh diterima akal malah menghina kaum wanita." ujar Rosnah.
/...

Pas Selangor belum terima arahan Pusat

Utusan - 10/11/09
SHAH ALAM 9 Nov. - Pas Selangor masih belum menerima sebarang arahan termasuk surat tunjuk sebab daripada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung soal bai'ah yang dibuat melibatkan pemimpin-pemimpin parti itu di peringkat negeri ini.
Sebaliknya, Setiausaha Pas negeri, Mohd. Khairuddin Othman menjelaskan perkara tersebut diserahkan 'buat-bulat' kepada Abdul Hadi sama ada mahu menjalankan siasatan atau tindakan kerana sumpah itu turut dilakukan oleh kepimpinan Pas di tempat lain selain dari Selangor.
''Setakat ini, tiada arahan (daripada jawatankuasa Pas Pusat atau Presiden) mengenai siasatan amalan bai'ah ini di Selangor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bai'ah menjatuhkan talak tiga terhadap isteri pemimpin Pas negeri ini jika keluar atau bertukar parti sebagai tanda kesetiaan mereka.
Khairuddin pada 6 November lalu menyatakan pernah membuat bai'aah berkenaan ketika dipilih sebagai calon pilihan raya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras pada 2004 secara beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas Selangor sebelum pilihan raya itu diadakan.
Menurutnya, bai'ah tersebut yang disediakan oleh Dewan Ulama Pas Pusat.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini menafikan wujudnya bai'ah seumpama itu sama ada di peringkat Pas Pusat mahupun negeri termasuk di Selangor sendiri.
Malah, Abdul Hadi secara terbuka mahu satu siasatan dilakukan sama ada bai'ah tersebut berlaku di Selangor sahaja atau pun di negeri-negeri lain memandangkan tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat ataupun Majlis Ulama mengenai tindakan dari dahulu sehingga hari ini.
Selain Abdul Hadi, dua Naib Presiden parti itu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub masing-masing turut menyatakan tidak tahu-menahu mengenai kewujudan bai'ah itu.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad ketika dihubungi menyatakan beliau tidak tahu wujud bai'ah seperti itu melibatkan Pas negeri lain selain di Selangor.
Bagaimanapun, katanya, bai'ah sedemikian dikatakan pernah dibuat di Kelantan selepas Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir pada 2005.
Pada pilihan raya kecil itu, beliau memberitahu, kemenangan UMNO terhadap kerusi DUN berkenaan menyebabkan Pas mempunyai majoriti satu kerusi DUN sahaja di negeri itu iaitu 23 kerusi, manakala UMNO sebanyak 22 kerusi.
Namun, beliau menyifatkan bai'ah sedemikian tidak ada salahnya kerana ia merujuk dan tanda kesetiaan seseorang pemimpin terhadap parti bukan untuk menganiaya mana-mana pihak terutama isteri yang terlibat.
''Saya tidak tahu bai'ah ini ada dilakukan oleh Pas di negeri lain. Tetapi di Selangor, memang ada termasuk di Kelantan sebelum ini dan Salahuddin atau Mahfuz mungkin tidak tahu mengenai perkara ini." katanya.
/...

Anwar gelar ahli PKR gagal patuhi ideologi parti sebagai 'pengacau'

Utusan - 10/11/09
KUALA LUMPUR 9 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelar ahli yang gagal mematuhi disiplin dan ideologi parti itu sebagai 'pengacau' di dalam PKR.
Sambil memberi amaran kepada individu terlibat Anwar berkata, mereka harus berundur daripada parti sebelum disingkirkan.
"Saya dengan tegas memberi amaran kepada seluruh anasir-anasir 'pengacau' dalam parti yang gagal patuh kepada disiplin dan ideologi parti, mereka harus undur sebelum disingkirkan," katanya di dalam blognya www.anwaribrahim.com.
PKR baru-baru ini berhadapan dengan krisis dalaman yang menyaksikan dua pemimpinnya di Sabah iaitu Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai Naib Presiden, sementara Christina Liew pula meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu.
Seorang wakil rakyatnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pula bertindak keluar parti itu dan menjadi ADUN bebas.
Ketiga-tiganya memberi alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu yang diterajui '3A' iaitu Anwar; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; dan Naib Presidennya, Azmin Ali.
/...

9 November 2009

Tiada semangat kesukanan - Nik Aziz

Kosmo! - 09/11/09
KEPULAN asap di tempat duduk penyokong Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin dan Nik Aziz (gambar kecil) menyifatkan mereka tiada semangat kesukanan.

*****

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan peristiwa yang dicetuskan penyokong Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin.
Beliau menganggap penyokong Kelantan yang dikatakan merusuh serta membakar kerusi di stadium berkenaan sebagai tiada semangat kesukanan.
"Sebab itu saya kata jangan sebut main (bermain bola), sebut riadah, dengan riadah baru ada semangat kesukanan," katanya.
Menurutnya, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan nama baik negeri.

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin dicemari dengan balingan botol di atas trek dan padang.

*****

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kelantan, Yahya Jamada Ali berasa malu dan kesal mengenai insiden liar oleh segelintir penyokong Kelantan selepas pasukan mereka tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan.
Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam kelmarin, segelintir penyokong bertindak liar dan ganas dengan membakar mercun dan tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas ketinggalan 2-0.
Yahya menyifatkan tindak-tanduk penyokong tersebut mencerminkan seolah-olah budaya dan sikap orang yang berasal dari Kelantan hanya cenderung untuk berkelakuan sedemikian.
/...

Isteri menangis, suami menggigil

Utusan - 09/11/09
Oleh saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Terdapat isteri calon wakil rakyat Pas yang menangis dan menggeletar pada majlis bai'ah apabila mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi kepentingan politik kepartian yang sempit dan jumud.
Gelojak rasa itu turut dikongsi si suami yang menggigil sewaktu mengangkat bai'ah yang memberi kata dua sama ada terus setia kepada parti atau bercerai talak tiga dengan isteri.
Debaran dan suasana hiba pada majlis bai'ah Pas itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin selepas mendengar pengakuan daripada beberapa wakil rakyat parti itu.
Malah kata Zulkifli, wakil rakyat terbabit juga meminta bantuannya supaya membawa isu bai'ah itu ke tengah selepas ia menjadi perdebatan umum apabila disahkan oleh Ahli Parlimen Pas Shah Alam, Khalid Samad, Khamis lalu.
Katanya, mereka sudah tidak mampu menanggung bebanan yang dipikul tetapi tiada kekuatan untuk mendedahkannya kerana takut dikutuk dan dikenakan tindakan.
"Mereka meminta isu ini dibincangkan supaya tindakan segera dapat diambil dan kemungkaran yang berlaku dapat dicegah.
"Mereka berharap apabila isu ini terdedah, maka ada jalan keluar buat mereka dari ikatan bai'ah dan sumpah ini," kata Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam laman blog beliau http://zul4kulim. blogspot.com/.
Zulkifli memberitahu, beliau lebih terkejut apabila diberitahu dasar bai'ah talak tiga itu diluluskan dan direstui kepimpinan Pas.
Katanya, beberapa tokoh parti yang dihubungi bukan sahaja tidak berasa bersalah dan berdosa dengan bai'ah itu, malah mempertahankannya dengan alasan-alasan yang dangkal lagi memualkan tanpa sandaran kepada al-Quran, sunah Rasulullah mahupun amalan para sahabat.
Sebaliknya jelas beliau, ia sekadar dasar yang berpaksikan kepada alasan dan sandaran akal dangkal semata-mata.
"Inilah apa yang saya labelkan sebagai mempertuhankan politik, mempertuhankan demokrasi.
"Apakah kita terlalu taksub dengan politik sehingga sanggup menggadai kesucian, kemuliaan dan kemurnian perkahwinan sebagai bahan gadaian politik," katanya.
Mengulas lanjut Zulkifli berkata, dasar tersebut umpama kembali ke zaman jahiliah dengan menjadikan wanita sebagai bahan dagangan, pajakan dan gadaian.
"Tidakkah kita sedar bahawa perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci Allah dan kita jadikan perkara yang paling dibenci Allah ini sebagai dasar bai'ah dan sumpah taat setia," katanya.
Beliau turut mempersoalkan kenapa bai'ah taat setia Pas itu tidak dibuat dalam bentuk lain seperti bersumpah laknat.
Dengan cara itu katanya, semua wakil rakyat diyakini akan berfikir banyak kali sebelum bercadang melompat parti.
"Bagaimana rakyat nak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk kita memimpin dan memerintah negara jika kita sanggup menggadai dan menjadikan isteri dan perkahwinan kita sendiri sebagai gadaian politik?
"Apakah kelak bila menjadi kerajaan Persekutuan dan memerintah maka semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan dipaksa bai'ah menceraikan isteri mereka jika tidak taat kepada kerajaan," katanya.
/...

UMNO rapatkan hubungan umat Islam

Utusan - 09/11/09
PONTIAN 8 Nov. – UMNO tidak akan mengambil kesempatan di atas kemerosotan sokongan golongan muda kepada Pas, sebaliknya berusaha merapatkan hubungan serta mengurangkan kerenggangan sesama umat Islam.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kemerosotan sokongan itu menunjukkan telah timbul kesedaran di kalangan golongan tersebut bermula daripada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, tidak lama dulu.
“Berdasarkan kepada keputusan di Manek Urai, seterusnya di Permatang Pasir dan akhirnya di Bagan Pinang, golongan muda telah menerima perubahan yang dilakukan pimpinan kerajaan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat Kemas Parlimen Pontian di Dewan Orang Ramai Ayer Baloi, di sini hari ini.
Ahmad mengulas pendedahan yang dibuat oleh pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abu Hasssan Hasbullah semasa membentangkan kertas kerja di Seminar parti Pas, di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Abu Hassan, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, imej Pas semakin negatif dengan banyak pihak tidak menyokong kepimpinan sedia ada termasuk daripada golongan muda.
Ahmad berkata, mereka juga menyedari perbalahan yang berlaku tidak membawa ke mana-mana kerana UMNO dan Pas dianggotai orang Melayu yang beragama Islam.
“Usaha merapatkan hubungan dan mengurangkan kerenggangan boleh dilakukan melalui pelbagai cara seperti menghadiri majlis perkahwinan, menziarahi mereka yang sakit, melawat kematian dan sebagainya.
“Tidak salah sekiranya ahli UMNO mengunjungi ahli Pas yang meninggal dunia kerana ia merupakan satu tanggungjawab sebagai orang Islam apabila saudaranya ditimpa kesedihan,” jelasnya.
Tambah Ahmad, golongan muda juga telah mula menerima pelbagai langkah dan pendekatan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti Gagasan 1Malaysia.
“Sampai bila kedua-dua ahli di dua parti terbesar Melayu mahu terus bertelagah kerana semua pihak mula menyedari ia tidak akan membawa faedah dan kebaikan,” soal Ahmad.
/...

Guan Eng dirujuk Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN jika berbohong

Utusan - 09/11/09
PULAU PINANG 8 Nov. - Ketua Menteri, Lim Guan Eng boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sesi DUN 30 November ini sekiranya didapati berbohong pada sesi lalu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.
Beliau berkata, mana-mana wakil rakyat boleh 'mengheret' Guan Eng kepada jawatankuasa itu jika jawapan bertulis berhubung isu syarat guna tanah yang diberikan kepada ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad pada sidang DUN Ogos lalu didapati tidak benar.
''Kita tidak tahu sama ada Ketua Menteri tidak tahu fakta sebenar atau telah berbohong, namun jika benar dia sengaja beri fakta tidak betul, dia boleh dirujuk kepada jawatankuasa itu kerana berbohong dalam Dewan yang mulia adalah serius.
''Ini kerana dengan memberikan jawapan tidak betul pada masa sama, rakyat juga telah diberikan fakta-fakta yang tidak tepat dan ini tidak sepatutnya berlaku,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Hari Keluarga Pusat Harian Harapan Bakti di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1 November lalu mengatakan Muhammad Farid mendakwa Guan Eng menipu apabila menyatakan tiada pertukaran syarat guna tanah di antara April tahun lalu hingga Jun tahun ini.
Bagaimanapun, difahamkan, pentadbiran di bawah Guan Eng telah meluluskan permohonan PDC Heritage Hotel Sdn. Bhd. untuk menukar jenis pegangan tanah di Lot 408, Seksyen 19, Georgetown daripada pegangan pajakan kepada pegangan kekal pada 3 Jun lalu.
Ruangan bisnes akhbar Inggeris tempatan itu pada Khamis lalu juga melaporkan bahawa syarikat PDC Heritage Hotel Sdn. Bhd. dengan kerjasama YTL Corporation Bhd. akan membina kondominium mewah dan restoran makanan laut menghadap laut di tanah bersebelahan Hotel E&O di Lebuh Farquhar di sini.
Guan Eng yang juga ADUN Air Putih pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua DUN ke-12, 10 Ogos lalu telah memberikan jawapan bertulis berlainan kepada Muhammad Farid berhubung isu syarat guna tanah di negeri ini.
Muhammad Farid dalam soalannya meminta penjelasan sama ada tanah-tanah kerajaan negeri yang berbentuk pajakan akan dibenarkan ditukar menjadi hak milik kekal bagi tujuan pembangunan dan dari bulan April 2008 hingga Jun 2009, jumlah permohonan yang telah diluluskan.
Jawapan Guan Eng pula ialah kerajaan negeri bersetuju memperkenalkan satu dasar berkaitan status pegangan tanah iaitu membenarkan tanah-tanah milik yang berstatus pajakan dipanjangkan tempoh pegangan seperti berikut:-
Tanah-tanah industri kepada 99 tahun, tanah-tanah komersial kepada 99 tahun dan tanah-tanah kediaman kepada pegangan kekal.
Memandangkan kerajaan negeri masih menunggu untuk membawa perkara ini kepada Majlis Tanah Negara pada akhir tahun ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan negeri setakat ini belum dapat lagi meluluskan permohonan untuk menukar tempoh pegangan secara pajakan kepada pegangan kekal.
/...

200 ahli PKR sertai UMNO

Utusan - 09/11/09
PADANG BESAR 8 Nov. - Bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis, Zainurin Yahaya bersama 200 ahlinya bertindak keluar parti tersebut untuk menyertai UMNO.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian PKR Padang Besar dan ahli-ahli parti itu menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.
Zainurin berkata, selepas ini, dijangka kira-kira 1,000 lagi penyokong PKR di negeri itu akan mengambil tindakan yang sama selepas mendapati perjuangan parti tersebut terpesong daripada dasar utamanya.
"Kami mengambil langkah ini selepas menyedari perjuangan PKR tidak berfungsi seperti yang digambarkan di peringkat awal kononnya untuk membela nasib rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Md. Isa di Kampung Sungai Siran, Santan, yang turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Sabry Ahmad.
Kata Zainurin, PKR Bahagian Padang Besar dijangka lumpuh kerana sebahagian besar daripada ahlinya akan menyertai UMNO pada bila-bila masa selepas mendapati UMNO lebih mementingkan akar umbi.
Beliau juga memberitahu, semua 200 bekas ahli PKR itu akan menubuhkan cawangan baru UMNO yang dikenali UMNO Cawangan Sungai Siran yang terletak di sempadan kawasan Parlimen Padang Besar dan Kangar.
"Kami akan berbincang dengan UMNO Perlis untuk membolehkan cawangan di Sungai Siran itu dimasukkan ke kawasan Parlimen Kangar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, yang mana wakil rakyatnya ialah Menteri Besar Perlis sendiri," ujarnya.
Sementara itu, Md. Isa pula mengalu-alukan kehadiran ahli PKR menyertai UMNO demi memperkuatkan lagi perjuangan dan perpaduan masyarakat Melayu.
Beliau berkata, semua sedia maklum bahawa UMNO merupakan parti yang berteraskan perjuangan Melayu demi kepentingan rakyat dan berbekalkan dasar tersebut, UMNO kekal sebagai parti teras Barisan Nasional (BN).
/...

8 November 2009

Bantuan: Bapa sebak

Utusan - 08/11/09
Oleh KAMARUDIN HAMZAH
utusanterengganu@utusan.com.my IDRIS Jusoh menyerahkan cek bantuan sara hidup Maidam kepada Hasan Abd. Rahman sambil diperhatikan oleh Wan Harujan Wan Sulaiman (kiri) di Kampung Lapan Kotak, Besut, kelmarin.
*****
BESUT 7 Nov. - Seorang bapa sebak kerana tidak dapat menahan perasaannya setelah menerima cek bantuan sara hidup daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) semalam.
Hasan Abd. Rahman, 46, yang menghidap sejenis penyakit saraf sejak setahun lalu menangis sambil menadah tangan dan berdoa sebaik menerima cek yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh.
Idris yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Harujan Wan Sulaiman menziarahi Hasan yang tinggal di Kampung Lapan Kotak, dekat sini.
Sumbangan sebanyak RM2,000 daripada Maidam itu bagi menampung kehidupan Hasan yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah tetapi kini hilang pendapatan kerana tidak lagi dapat bekerja.
Ekoran itu Hasan yang mempunyai enam anak berumur antara satu setengah tahun hingga 14 tahun termasuk dua yang masih bersekolah terpaksa bergantung kepada isterinya, Zaleha Latif, 37, yang mengambil upah menjahit pakaian.
Wan Harujan berkata, mengambil kira masalah yang dihadapi Hasan itu, Maidam akan memberikan bantuan mesin jahit kepada Zaliha.
"Dengan ini isteri yang mempunyai kemahiran menjahit akan dapat bekerja untuk menyara sekeluarga setelah suami tidak dapat bekerja kerana menghidap penyakit," ujarnya.
Hasan ketika ditemui memberitahu, dia diserang penyakit tersebut awal tahun lalu dan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kelantan.
Katanya, apa yang pelik ialah penglihatannya tidak mengalami sebarang masalah sebaliknya hanya kelopak matanya yang tidak dapat dibuka dan kini apabila dibuka mengalami rasa sakit.
Setakat ini menurutnya, doktor yang merawatnya tidak dapat menjelaskan penyakit sebenar dihidapinya yang dipercayai berkait dengan saraf pada bahagian kelopak mata.
Orang ramai yang ingin membantu Hasan boleh menghubunginya di nombor telefon 013-9822877.
/...

Pas gagal perjelas kedudukan dalam pakatan

Bernama - 08/11/09
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Mengikuti perjalanan seminar politik sehari Pas, membawa satu persepsi bahawa impian untuk parti itu bergabung secara rasmi dalam pakatan pembangkang tidak direstui semua pemimpin Pas.
Ini kerana apa yang kedengaran berkumandang di Markas Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar di sini, adalah suara-suara yang mempertikaikan "tahaluf" (kerjasama politik) antara parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ada perwakilan yang mahu pucuk pimpinan parti menyatakan secara jelas sempadan kerjasama itu dan tidak kurang pula yang sanggup menggugurkan pemimpin mereka asalkan tidak wujud sistem dua parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.
Namun, rata-rata perwakilan yang hadir dilihat dapat menerima pandangan agar Pas sekadar menjadi anggota bersekutu.
Situasi itu dapat dilihat ketika pembentangan Kajian Mikro Kepercayaan Politik Malaysia oleh Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah dari Universiti Malaya (UM) yang merumuskan responden kalangan orang muda mahu Pas menjadi anggota bersekutu sahaja.
Ucaptama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga hanya menyatakan parti itu mahu mengukuhkan kerjasama dan pada masa yang sama membayangkan Pas sebagai parti yang mampu berdiri sendiri.
Pas menurut Abdul Hadi, paling berpengalaman dan bukan saja mampu menjadi pembangkang secara bersendirian tapi juga mentadbir negeri bersendirian.
Pandangan sedemikian boleh ditafsir sebagai mesej tersirat kepada rakan dalam pakatan bahawa Pas sebenarnya tidak memerlukan DAP dan PKR untuk menang pilihan raya.
Namun ucapan Abdul Hadi itu tidak seiring dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini, pernah menyatakan parti itu tidak mempunyai halangan untuk menyertai pakatan sebagai satu gabungan rasmi.
Tindakan sesetengah perwakilan mengecam pembentang-pembentang kertas kerja yang dijemput ke seminar itu mendorong Dr. Abu Hassan menegaskan bahawa mereka sekadar memberi pandangan dan tidak sewajarnya dibidas.
"Kenapa marah kepada pembentang? Ini primitif. Yang nak dibincangkan hari ini kecerdikan politik, sekarang bukan kurun ke-17. Kenapa kita anggap penulisan yang melukakan kita sebagai fitnah bukan informasi?" katanya.
Apabila diteliti perbahasan oleh perwakilan yang terdiri daripada pemimpin akar umbi, tidak keterlaluan jika dirumuskan masih ramai yang tidak jelas dengan kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang.
Sehingga kini juga Abdul Hadi dan pemimpin tertinggi parti belum memberikan kepastian menerusi isu itu.
Malah, seminar hari ini juga tidak menghasilkan resolusi yang dapat memberi jawapan kepada isu itu sekalipun menegaskan hasrat untuk mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Barangkali seperti pandangan beberapa pemerhati politik sebelum ini, Pas sebenarnya terikat dengan asas penubuhan parti iaitu menegakkan perjuangan Islam yang sudah pasti tidak diterima oleh DAP dan PKR.
/...

Peserta seminar kecam Aziz Bari

Utusan - 08/11/09
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari hari ini dikecam hebat beberapa peserta Seminar Memperkasakan Pas ekoran kritikan terbukanya terhadap kepimpinan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut mereka, apa yang disentuh Abdul Aziz adalah keterlaluan kerana ia seolah-olah cuba menjatuhkan kredibiliti Abdul Hadi sebagai pemimpin utama parti itu.
Lebih dikesalkan mereka, nada pembentangan kertas kerja Abdul Aziz hari ini amat berbeza dengan kritikannya yang dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini.
"Saya minta penjelasan adakah profesor telah menarik balik apa yang ditulis kerana apa dikatakan hari ini berbeza dengan apa dituliskan sebelum ini," kata Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat, Kamaruzzaman Mohamad.
Perkara sama turut disuarakan bekas Ketua Dewan Pemuda Pas, Datuk Abu Bakar Chik apabila beliau mempertikaikan tulisan tersebut kerana ia dilihat merendah-rendahkan kewibawaan Abdul Hadi.
"Kalau ikut hati saya tidak mahu hadir pada seminar hari ini dan melihat muka Profesor Aziz Bari tetapi untuk hari ini saja. Bagaimanapun setelah saya berfikir adalah lebih baik saya hadir menyertai seminar ini," katanya.
Abdul Aziz ketika memberi respons kepada kecaman itu berkata, tulisan itu dihasilkan melalui pengamatannya terhadap Pas selama ini kerana beliau juga adalah seorang penganalisis politik.
Ujarnya, beliau tidak berniat menjatuhkan kewibawaan seseorang tetapi semata-mata menyedarkan Pas daripada lamunan yang selama ini tidak disedari parti tersebut.
"Saya tiada kepentingan apa-apa kerana saya orang luar Pas. Yang perlu kukuhkan parti adalah saudara-saudara sendiri, bukan saya. Saya hanya boleh memberi pandangan tetapi tidak berhak untuk mengubah keadaan parti.
"Secara jujur saya melihat Pas sekarang telah menjadi semakin kuat dan saudara-saudara harus sedar dengan pencapaian ini Pas sentiasa diperhatikan oleh semua pihak sama ada kawan mahu pun lawan," katanya.
/...

Kepimpinan hilang sokongan

Utusan - 08/11/09
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Seminar Memperkasakan Pas hari ini dikejutkan dengan pendedahan bahawa imej parti itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 kini semakin negatif dengan banyak pihak tidak menyokong kepimpinan sedia ada.
Lebih mengejutkan para peserta seminar turut dimaklumkan bahawa rakyat mula hilang kepercayaan terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Berdasarkan kajian terkini oleh Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, 633 orang muda berusia antara 21 dan 30 tahun hilang kepercayaan terhadap Abdul Hadi berbanding 67 orang menyokong.
Pensyarah dari Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM) itu memilih 2,100 orang sebagai responden bagi Kajian Mikro Kepercayaan Politik Malaysia yang dijalankannya dengan tumpuan ke atas Abdul Hadi.
Abu Hassan berkata, selain itu, 519 orang daripada golongan berusia 31 hingga 40 tahun turut berpandangan negatif terhadap kepimpinan Pas berbanding 181 orang yang positif.
"Bagi golongan berusia 41 hingga 50, seramai 751 orang menyatakan hilang sokongan terhadap kepemimpinan Pas, manakala 396 responden masih menyokong," katanya.
Turut menjadi ahli panel dalam seminar di Markas Pas Taman Melewar itu ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut membentangkan kertas kerja.
Abu Hassan menambah, kebanyakan mereka dari golongan berusia antara 41 dan 50 tahun yang berpandangan negatif terhadap Pas adalah dari negeri Pantai Timur dan Utara.
"Kepimpinan Pas perlu memandang serius perkara ini kerana kebanyakan jawapan positif atau yang menyokong adalah dari Sabah dan Sarawak," katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz mengingatkan pemimpin Pas bahawa pengaruh mereka ketika ini datang daripada protes rakyat terhadap UMNO semasa PRU-12.
Katanya, sokongan tersebut sangat rapuh kerana ia berasaskan protes dan boleh berubah bila-bila masa memandangkan yang berkuasa adalah rakyat, bukannya parti.
Beliau menambah, corak politik pada pilihan raya umum akan datang pasti berbeza berbanding PRU-12 ketika rakyat melakukan protes terhadap UMNO.
"Bagi saya, kemenangan berasaskan protes tidak akan bertahan lama dan pada bila-bila masa boleh berubah.
"Pas perlu sedia berubah sepenuhnya terutama dalam isu pemilihan calon terbaik dan menerangkan kepada rakyat dasar parti,'' katanya.
Beliau menegaskan, Pas menjadi amat berdosa jika gagal memberi yang terbaik kepada rakyat.
Abdul Aziz turut mengingatkan pimpinan Pas bahawa hala tuju negara ini bukan ditentukan oleh parti atau pemimpin sebaliknya rakyat yang berkuasa.
Katanya, pimpinan juga perlu dilengkapi satu pasukan jitu dan pada masa sama perlu turun padang menjelaskan konsep parti kepada ahli-ahli akar umbi termasuk konsep negara kebajikan.
"Sesuatu yang konkrit dilakukan kerana pada masa ini terdapat dua parti politik berteraskan bangsa Melayu iaitu Pas dan UMNO, jika tidak akan berlaku konsep duplikasi semata-mata.
"Pimpinan juga perlu menerima teguran jangan terlalu mudah berkecil hati," katanya.
/...

Seminar PAS Gagal Rungkai Isu Kedudukan Parti Dalam Pakatan

Bernama - 07 November, 2009 20:44 PM
Oleh Noor Hayati Muda

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Mengikuti perjalanan seminar politik sehari PAS yang diadakan Sabtu membawa satu persepsi bahawa impian untuk parti itu bergabung secara rasmi dalam pakatan pembangkang tidak direstui semua pemimpin PAS.
Ini kerana apa yang kedengaran berkumandang di Markas Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar di sini, ialah suara-suara yang mempertikaikan 'tahaluf' (kerjasama politik) antara parti itu, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ada perwakilan yang mahu pucuk pimpinan parti menyatakan secara jelas sempadan kerjasama itu dan tidak kurang pula ada yang berkata sanggup menggugurkan pemimpin mereka asalkan tidak wujud sistem dua parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.
Namun, rata-rata perwakilan yang hadir dilihat dapat menerima pandangan agar PAS sekadar menjadi anggota bersekutu.
Situasi itu dapat dilihat ketika pembentangan kajian mikro kepercayaan politik Malaysia oleh ahli akademik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Abdullah yang merumuskan responden dari kalangan muda mahu PAS menjadi anggota bersekutu sahaja. Kenyataan itu disambut dengan laungan takbir yang kuat daripada perwakilan.
Ucaptama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga hanya menyatakan parti itu mahu mengukuhkan kerjasama dan pada masa yang sama membayangkan PAS sebagai sebuah parti yang mampu berdiri sendiri.
PAS menurut Abdul Hadi paling berpengalaman dan bukan saja mampu menjadi pembangkang secara bersendirian tapi juga mentadbir negeri bersendirian. Pandangan sedemikian boleh ditafsir sebagai mesej tersirat kepada rakan dalam pakatan bahawa PAS sebenarnya tidak memerlukan DAP dan PKR untuk menang pilihan raya.
Namun ucapan Abdul Hadi itu tidak seiring dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini, pernah menyatakan parti itu tidak mempunyai halangan untuk menyertai pakatan sebagai satu gabungan rasmi.
Seminar pada hari Sabtu yang sepatutnya menjadi medan untuk PAS memperkasakan parti bertukar menjadi platform bagi sebahagian perwakilan membidas pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari yang turut hadir atas undangan parti.
Mereka jelas tidak berpuas hati dengan kritikan yang dibuat Abdul Aziz menerusi sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu bulan lepas, yang antara lain menyentuh kegagalan pucuk pimpinan parti menyelesaikan beberapa isu khususnya berkaitan PAS Selangor.
Ironinya, undangan kepada Abdul Aziz adalah atas dasar pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu dapat berkongsi pandangan beliau dalam usaha pucuk pimpinan memperkasakan parti.
Tindakan sesetengah perwakilan itu mendorong seorang lagi pemerhati politik yang diundang Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah menegaskan bahawa mereka sekadar memberi pandangan dan tidak sewajarnya dibidas.
"Kenapa marah kepada pembentang? Ini primitif. Yang nak dibincangkan hari ini kecerdikan politik, sekarang bukan kurun ke-17. Kenapa kita anggap penulisan yang melukakan kita sebagai fitnah bukan informasi?" katanya.
Penulisan Abdul Aziz itu sebenarnya berkisar tindakan pucuk pimpinan tertinggi parti yang seolah-olah merestui PAS Selangor sekali pun sering mengambil pendirian bertentangan dengan rakan mereka dalam kerajaan pakatan di negeri itu.
Apabila diteliti perbahasan oleh perwakilan yang terdiri daripada pemimpin akar umbi, tidak keterlaluan jika dirumuskan masih ramai di antara mereka yang tidak jelas dengan kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang dan sehingga kini juga Abdul Hadi dan pemimpin tertinggi parti itu belum memberikan kepastian menerusi isu tersebut.
Malah, seminar hari ini juga tidak menghasilkan resolusi yang dapat memberi jawapan kepada isu itu sekalipun menegaskan hasrat untuk mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Barangkali seperti pandangan beberapa pemerhati politik sebelum ini, PAS sebenarnya terikat dengan asas penubuhan parti iaitu menegakkan perjuangan Islam yang sudah pasti tidak diterima oleh DAP dan PKR.
/...

Shabery Arah Perbadanan Stadium Bukit Jalil Buat Laporan Polis

Bernama - 08 November, 2009 19:36 PM
HULU TERENGGANU, 8 Nov (Bernama)-- Perbadanan Stadium Bukit Jalil diarahkan supaya segera membuat laporan terperinci tentang jumlah kerosakan di stadium itu yang dipercayai akibat perbuatan khianat yang dilakukan oleh sesetengah peminat bola sepak semasa menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata beliau mahu satu laporan polis dibuat sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur-unsur khianat dalam kejadian malam tadi sehingga mengakibatkan kerusi di tempat duduk penonton dibakar.
"Saya sendiri nampak kerusi terbakar lebih dua tiga tempat tetapi saya tidak mahu tuduh penyokong pasukan mana dan saya minta pihak perbadanan stadium supaya membuat laporan segera menilai kerosakan.
"Sekiranya ada unsur khianat, saya minta mereka buat laporan polis dan saya percaya polis ramai malam semalam dan mereka mempunyai kelengkapan seperti kamera untuk mengesahkan ia perbuatan khianat atau tidak," katanya ketika ditemui selepas majlis sukarelawan muda Kementerian Belia dan Sukan membantu mangsa banjir di Kampung Bukit Tadok di sini Ahad.
Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas insiden membakar kerusi yang dipercayai dilakukan oleh penyokong pasukan Kelantan ekoran tidak puas hati dengan kekalahan pasukan mereka kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil Sabtu malam.Dalam perlawanan akhir itu, Negeri Sembilan berjaya mengakiri kemarau 61 tahun untuk menjulang trofi Piala Malaysia setelah menewaskan Kelantan 3-1.
Polis dilaporkan turut menahan seorang penyokong pasukan Kelantan semalam kerana cuba mencetuskan pergaduhan dengan penyokong Negeri Sembilan selepas tamat perlawanan.Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata mereka yang berkenaan patut dihadapkan ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan sewajarnya kerana kebakaran yang dilakukan oleh penyokong bola sepak yang terlalu fanatik dengan pasukan mereka itu boleh mengakibatkan tragedi yang lebih teruk sehingga mengorbankan banyak nyawa sekiranya pihak berkuasa lambat bertindak malam tadi.
"Tragedi kemungkinan berlaku dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Kita minta polis supaya menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat kerana kes ini tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Beliau turut kesal dengan sikap sesetengah penyokong yang menjadikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia semalam seolah-olah sebagai gelanggang politik apabila membawa masuk bendera serta lambang parti.
Ditanya bentuk tindakan terhadap pasukan yang gagal mengawal penyokong mereka, Ahmad Shabery berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memutuskannya bagi mengelakkan kejadian sama berlaku pada masa akan datang.
/...

Keganasan penyokong The Red Warriors

Kosmo! - 08/11/09
Bagaikan di medan perang apabila Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi asap gara-gara tindakan penyokong Kelantan yang membakar kerusi serta kain rentang semasa perlawanan akhir Piala Malaysia malam tadi.
*****

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi tercemar dengan insiden yang sangat memalukan.
Penyokong Kelantan bagaikan hilang pertimbangan sehingga sanggup membakar harta awam seperti kerusi di tempat duduk stadium ketika perlawanan itu berlangsung.
Tidak salah menyokong tetapi emosi perlu dikawal dan mereka sepatutnya mendisiplinkan diri selama 90 minit sambil menikmati perlawanan dengan penuh semangat.
Mercun pula satu hal. Entah di mana silapnya meskipun sudah banyak kali dinyatakan bahawa mercun adalah barang larangan, namun ia tetap berjaya dibawa masuk oleh para penyokong Kelantan ke dalam stadium.
Final Piala Malaysia edisi ke-83 itu bertukar menjadi pesta mercun apabila pelbagai jenis mercun dibakar dan dilemparkan ke arah pemain.
Balingan mercun tersebut serta letupan dan asapnya hanya kelihatan di kawasan penyokong-penyokong Kelantan.
Tidak puas dengan membakar mercun, penyokong Kelantan yang kecewa mula mencabut beberapa kain rentang gergasi mereka dan bertindak membakarnya sebelum sempat dikawal oleh ahli bomba yang bertugas.
Serentak dengan itu, dentuman mercun tidak henti-henti dan asap berkepul-kepul memasuki padang, terutama selepas Kelantan ketinggalan 3-0, sehingga mengganggu tumpuan pemain dan penonton terhadap perlawanan.
Kecewa dengan kekalahan pasukan mereka, penyokong Kelantan bertindak lebih dahsyat selepas itu apabila membakar kerusi stadium. Seorang jurukamera RTM cedera dibaling batu.
Sementara itu, seorang penyokong Kelantan ditahan polis malam tadi.
Lelaki berusia lingkungan 30- an itu ditahan pada pukul 12.05 tengah malam berhampiran stesen LRT Bukit Jalil oleh sepasukan polis kerana dipercayai cuba mencetuskan pergaduhan di dalam stadium.
Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, sejam kemudian lelaki terbabit dibebaskan selepas memberi keterangan kepada polis.
Pada masa yang sama, sekumpulan penyokong Kelantan mencetuskan kekacauan apabila cuba menghalang penyokong pasukan Negeri Sembilan lawan daripada beredar pulang meninggalkan stadium.
Namun sebaik sahaja anggota polis tiba, mereka berlari lintang-pukang meninggalkan kawasan itu.
/...

7 November 2009

Nik Abdul Aziz pulang awal

Utusan - 07/11/2009 1:25pm
KUALA LUMPUR 7 Nov. – Hasrat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mendengar isu-isu panas yang dibangkitkan oleh ahli panel dan peserta Seminar Memperkasakan Parti tidak tercapai apabila terpaksa pulang awal kerana uzur.
Menteri Besar Kelantan itu hanya mampu berada di pentas bersama-sama pemimpin tertinggi parti selama sejam sahaja.
Beliau yang kelihatan tidak bermaya tiba di Markas Pas Taman Melewar, Gombak di sini kira-kira pukul 9.10 pagi dan terpaksa meninggalkan program pada pukul 10.12 pagi.
Beliau hanya sempat mendengar ucaptama Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum direhatkan di khemah yang terletak di luar pekarangan markas tersebut.
Beliau kemudian menaiki kereta rasmi meninggalkan majlis.
/...

Pas tak berupaya jadi parti alternatif - pemerhati

Bernama - 07/11/2009 2:01pm
KUALA LUMPUR 7 Okt — PAS tidak akan berupaya menjadi parti alternatif sekiranya tidak dapat menerima perlembagaan negara yang mengiktiraf masyarakat bukan Islam, kata pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari.
"Ini satu perlembagaan yang kita kenal, kalau kita tak mahu akui maka kita tak boleh jadi parti alternatif, jadi jangan lompat (melenting dan mempersoalkan) bagaimana dengan Islam? Kena tumpu juga kepada bukan Islam dan fokus bagaimana nak menangi hati mereka,” katanya.
Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian semasa membentangkan pandangan beliau pada seminar politik PAS di sini.
Beliau dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya adalah dua pemerhati politik yang diundang PAS bagi memberi pandangan alternatif dalam usaha parti itu memperkasakan parti.
Abdul Aziz juga menyelar sikap PAS yang gemar menyalahkan Umno setiap kali berlaku sesuatu yang negatif terhadap parti itu.
PAS sebaliknya harus melihat ke dalam parti dan mencari jalan untuk membetulkan apa juga masalah yang timbul.
"PAS harus menjadi sebuah parti yang terbuka dan menjadi tumpuan rakyat adalah lumrah, jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan, kita harus fokus apa yang ada dalam parti,” kata Abdul Aziz.
Dr Abu Hassan pula berkata PAS bermungkinan berdepan dengan masalah besar pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kajian menunjukkan golongan muda mempunyai tanggapan negatif terhadap keupayaan kepimpinan parti sekarang.
Katanya kajian yang dijalankan beliau bagi menjangka keputusan pilihan raya umum ke-13 itu juga menunjukkan golongan muda tidak kenal dengan pemimpin-pemimpin PAS.
"Menurut survey (kaji selidik) itu yang mereka kenal cuma Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bekas menteri besar Perak), Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah),” katanya.
Abu Hassan berkata kajian berkenaan turut meneliti laman-laman blog berunsur politik dan mendapati blog-blog yang sebelum ini menyokong PAS telah kembali menjadi ”atas pagar”.
"Kajian menunjukkan blog-blog sedemikian meningkat 213 peratus,” katanya.
/...

Jangan cerai lompat parti

Utusan - 07/11/09
Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 6 Nov. - Umat Islam di negara ini tidak wajar mengangkat sumpah menceraikan isteri dengan talak tiga sekiranya mereka keluar daripada parti kerana tindakan itu hanya memporakperandakan institusi rumah tangga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, keputusan keluar parti atau menukar parti hanya melibatkan seseorang individu iaitu suami.
Tetapi, tegasnya, jika mereka yang melafazkan talak tersebut melompat parti, kesan buruknya adalah terhadap isteri, anak-anak dan keluarga.
"Membawa kemudaratan kepada ahli keluarga sendiri yang tidak berdosa boleh dianggap suatu penganiayaan dan kezaliman," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang mendakwa semua wakil rakyat dari parti Pas perlu bersumpah bahawa mereka akan menceraikan isteri masing-masing (talak tiga) jika melompat atau meninggalkan parti.
Tindakan itu bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada parti berbanding isteri dan keluarga masing-masing.
Jamil Khir berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-71 pada November 2005 berpandangan bahawa Undang-undang Keluarga Islam yang sedia ada telah lengkap dan mencakupi semua isu berkaitan institusi keluarga Islam.
Sehubungan itu, beliau menambah, sebarang pindaan undang-undang bagi tujuan penambahan lafaz cerai taklik ini adalah tidak diperlukan.
"Menurut Seksyen 50, undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), bidang kuasa meletakan pengesahan taklik sama ada jatuh atau tidak terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
"Oleh itu, tindakan melakukan lafaz taklik masih tidak muktamad kerana perlu merujuk kepada keputusan hakim," katanya.
/...

Bai’ah Pas dibantah

BEBERAPA pemimpin Pas mendedahkan bahawa dalam bai'ah atau sumpah taat setia, talak tiga akan jatuh ke atas isteri mana-mana pemimpin Pas yang mengkhianati parti itu seperti melompat parti.

Kata mereka, bai’ah itu telah lama dilakukan dan akan dibaca oleh semua calon bertanding dalam pilihan raya di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri bagi menjamin kesetiaan mereka.
Bai’ah itu mendapat reaksi negatif daripada banyak pihak:

  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, penceraian bukan perkara main-main kerana boleh membawa kemudaratan kepada keluarga yang tidak berdosa.
  • Timbalan Dekan ISTAC, UIAM, Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata: “Perkataan pertama yang saya mahu sebut ialah melampau! Sebab ia mengheret kehidupan keluarga ke pentas politik. Saya amat terkejut.
(Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp)

6 November 2009

Jawatankuasa masjid kena tindakan

Utusan - 06/11/09
Oleh NOR SEDEK ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 5 Nov. - Ahli jawatankuasa sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang akan dikenakan tindakan undang-undang kerana membenarkan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar berucap di dewan utama masjid itu bulan lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi (gambar) menegaskan, orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid.
"Orang bukan Islam dibenarkan datang dan melawat masjid tetapi tidak boleh masuk dewan utama solat, lebih-lebih lagi berucap di tempat kita bersolat.
"Semua perkara ini patut diketahui oleh nazir masjid demi menjaga kesucian masjid serta perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas desakan wakil Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Misnan Ahmad supaya JAIS menyiasat tindakan jawatankuasa masjid tersebut membenarkan Xavier berucap di dewan masjid tersebut pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan pada 31 Ogos lalu.
Misnan turut mengetuai 20 anggota Pemuda UMNO bahagian itu menyerahkan memorandum bantahan berhubung perkara itu kepada Mohamed Khusrin di sini hari ini.
Bagaimanapun Mohamed Khusrin tiada di pejabat dan memorandum itu diterima oleh Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani.
Misnan berkata, tindakan jawatankuasa masjid itu amat dikesali kerana ADUN tersebut tidak akan berbuat demikian jika tidak dijemput.
"Beliau sebenarnya boleh berucap di pekarangan masjid tanpa perlu menggunakan dewan utama solat," katanya.
Sementara itu Mohd, Hidayat memberitahu, pihaknya akan meminta nazir masjid terlibat memberi laporan bertulis berhubung kejadian berkenaan.
"Kes itu pertama kali berlaku di Selangor dan ia akan disiasat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan mengikut peraturan yang ada,'' katanya.
Menurutnya, JAIS akan mengeluarkan surat pekeliling kepada semua masjid di Selangor supaya semua pihak faham dan jelas tentang peraturan berkenaan.
Dalam pada itu Xavier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin Selangor ketika dihubungi menjelaskan beliau hanya memberi ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.
/...

5 November 2009

Khalid Samad mengadu dilucut tauliah mengajar

KUALA LUMPUR: Selepas kecoh dengan isu tangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang didakwa mengajar agama tanpa tauliah, hari ini Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, pula mengadu dilucutkan tauliah mengajar agama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atas alasan mempunyai rekod jenayah.
Wakil rakyat Pas itu juga mendakwa Jais gagal memberi alasan kukuh termasuk jenis jenayah yang dilakukannya apabila beliau mempersoalkan tindakan jabatan itu.
"Saya kini seorang penjenayah yang telah melakukan jenayah tetapi jenayahnya adalah rahsia. Jais telah tarik balik tauliah saya kononnya polis kata saya ada rekod jenayah.
"Apabila saya tanya polis apakah jenayah yang telah saya lakukan, mereka kata perkara itu tidak boleh diberitahu kerana ia adalah rahsia," katanya semasa membahaskan Bajet 2010 pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Khalid sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama setahun antara 1987 dan 1988 dalam Ops Lalang.Sementara itu, Khalid dalam perbahasannya mempertikaikan penggunaan istilah wang ehsan petroleum kepada Kelantan dan bukannya royalti.
Beliau cuba meraih sokongan Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Terengganu sama ada mereka faham apa dimaksudkan Perdana Menteri semalam berhubung istilah "wang ehsan" berbanding "royalti" seperti yang diterima Sabah dan Sarawak.
"Jika tidak faham seharusnya Yang Berhormat semua menentang usaha penyelewengan ini. Jika berdiam diri bermakna telah bersetuju untuk menyerahkan hak dan milik minyak di negeri masing-masing kepada Kerajaan Persekutuan," katanya.
Najib dalam jawapannya berhubung isu itu di Dewan Rakyat semalam menjelaskan bahawa Kelantan dan Terengganu tiada hak untuk menuntut wang royalti petroleum kerana kini tidak ada pengeluaran petroleum dalam kawasan perairan negeri berkenaan yang ditakrif sebagai kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri tersebut.
/...

Kelantan dapat wang ihsan

Utusan - 05/11/09
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 4 Nov. – Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk memberikan wang ihsan petroleum kepada Kelantan mulai tahun depan. Perdana Menteri berkata, pemberian itu adalah berasaskan pertimbangan sama yang diberikan kepada Terengganu iaitu mengambil kira pengeluaran petroleum di luar perairan negeri berkenaan.
Ini kerana, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, daripada segi perundangan, Kelantan seperti juga Terengganu tiada hak menuntut royalti kerana pada masa ini tiada pengeluaran petroleum dari perairan kedua-dua negeri itu yang ditakrif lebih tiga batu nautika (5.55 kilometer) dari tikas air surut atau pesisir.
Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu berkata, wang ihsan itu akan diberi dalam bentuk projek pembangunan dan pembasmian kemiskinan di Kelantan.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan memastikan setiap lapisan masyarakat Kelantan menikmati manfaat pembangunan negara.
“Ia selaras pendekatan inklusif dan semangat 1Malaysia yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Ini juga mengambil kira keperluan untuk terus membangunkan Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, selaras arus pembangunan perdana negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Najib memberitahu, Petronas memaklumkan pada masa ini hanya terdapat sebuah medan petroleum yang mengeluarkan hasil di Kelantan, yang terletak di luar perairan negeri tersebut iaitu medan Bumi Selatan dalam Blok PM301.
Sehubungan itu, katanya, pemberian wang ihsan kepada Kelantan akan mengambil kira pengeluaran dan penjualan dari medan petroleum Bumi Selatan berkenaan.
“Wang ihsan itu akan disalurkan setelah maklumat terperinci jumlah pengeluaran gas dan tatacara berkaitan dimuktamadkan. Peruntukan pertama wang ihsan bagi Kelantan dijangkakan pada 2010,” katanya.
Dalam pada itu, suasana dalam Dewan Rakyat menjadi panas antara penyokong kerajaan dan pembangkang yang mempertikaikan penggunaan istilah wang ihsan, bukannya royalti.
Salahuddin dalam soalan tambahannya meminta penjelasan Najib mengapa istilah wang ihsan digunakan, bukannya royalti seperti termaktub dalam Akta 144 Petronas.
“Istilah wang ihsan timbul selepas Pas memerintah Terengganu sedangkan dalam akta itu jelas menyebut royalti bukan wang ihsan, kami rakyat Kelantan memperjuangkan hak kami, tiada bumi Malaysia tanpa negeri dan pantai Kelantan.
“Rakyat Kelantan bukannya peminta sedekah, mereka hanya mahukan hak mereka yang jelas termaktub dalam peruntukan undang-undang, minta penjelasan,” katanya.
Najib kemudian menjawab: “Janganlah cuba mempolitikkan perkara ini, tidak habis-habis dengan politik.”
Ketika inilah wakil pembangkang membuat kecoh dengan mencelah mempertikaikan jawapan Perdana Menteri itu, antaranya Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam).
“Buktikan 1Malaysia, bayarlah... itu adalah hak Kelantan,” kata Dzulkefly.
“Hak ini mesti diiktiraf, orang Kelantan dah tolak BN. Prinsipnya ialah keadilan, royalti ini bukan hak Pusat tetapi milik Kelantan,” celah Khalid.
“Saya tetap tidak berpuas hati. Kenapa istilah wang ihsan digunakan, bukannya royalti?” kata Salahuddin.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang turut mencelah berkata: “Inilah jenis manusia, apabila diberi tetapi tidak mahu dan tidak pandai mengucapkan terima kasih. Perdana Menteri sudah beri penjelasan, apa lagi nak jelaskan.
“Saya cadangkan peruntukan ini disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) kerana ia adalah hak Kerajaan Persekutuan.”
Pada tahap ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa masuk campur dan mengingatkan semua wakil rakyat menjaga perilaku masing-masing dan menghormati Dewan.
“Apabila Perdana Menteri dan menteri tidak datang, kamu semua suruh hadir tetapi apabila hadir kamu pula syok sendiri dan bergaduh sama sendiri,” katanya.
Najib yang kemudian bangun menjawab soalan tambahan itu berkata, setiap projek yang akan disalurkan terlebih dahulu diadakan perundingan dengan Kerajaan Kelantan.
“Apa yang penting ialah kepentingan rakyat Kelantan.
“Kita juga ada semangat hendak berunding dengan kerajaan negeri, apa yang hendak dipertikaikan lagi kerana rakyat Kelantan akan dapat manfaat daripada wang ihsan ini,” katanya.
Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang mengemukakan soalan tambahan meminta jaminan kerajaan supaya memastikan wang ihsan itu disalurkan kepada kerajaan negeri bukannya JPP.
Najib sentiasa tenang sepanjang berada di Dewan Rakyat hari ini kemudian menjawab: “Selama ini Kelantan tidak mempunyai hak untuk menerimanya, ini melibatkan kawasan pertindihan.
“Baru-baru ini sahaja dapat disahkan bahawa ada blok yang boleh dipertimbangkan, maka kita akan pertimbangkan bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat manfaat.”
/...

4 November 2009

Jawatankuasa Disiplin Pas beri tempoh 14 hari bela diri

Utusan - 04/11/09
KUANTAN 3 Nov. - Jawatankuasa Disiplin Pas memberi tempoh selama 14 hari kepada beberapa individu termasuk tiga pemimpin parti itu untuk mengemukakan surat membela diri berhubung tuduhan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO.
Ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tempoh itu diberi selepas jawatankuasa berkenaan menghantar surat tunjuk sebab kepada individu dan pemimpin terbabit kelmarin.
Beliau yang enggan menamakan pemimpin berkenaan berkata, pihaknya masih belum memanggil mereka yang diberi surat tunjuk sebab itu untuk membuat penjelasan.
''Sehingga kini kita masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada individu dan pemimpin terbabit.
''Saya tidak bercadang untuk mendedahkan nama mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sabtu lalu, jawatankuasa disiplin parti itu mengenal pasti beberapa individu termasuk Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali untuk membela diri berhubung tuduhan yang dibangkitkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sebelum itu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam blognya, http://www.blogtokguru.com mahu 'beberapa kerat' pemimpin Pas 'dibersihkan' daripada parti itu kerana menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.
Selain Hassan, dua lagi nama disebut Nik Aziz ialah Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.
Berikutan kenyataan Nik Aziz itu, Jawatankuasa Pas Pusat mengambil keputusan mengadakan seminar politik di Markas Pas Taman Melewar, Gombak bagi membincangkan isu berkaitan untuk memperkasakan parti, Sabtu ini.
Jawatankuasa disiplin parti itu mempunyai lima anggota terdiri daripada peguam, tokoh agama dan anggota veteran Pas yang diketuai Tuan Ibrahim.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden Pas menjelaskan, semua pemimpin dan individu yang terlibat dengan surat tunjuk sebab itu tidak boleh dianggap bersalah kerana ia masih lagi dalam pertuduhan.
''Kita akan menyiasat dan meneliti setiap bukti yang ada sebelum membuat sebarang keputusan,'' jelasnya.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut akan meneliti segala dokumen serta bukti yang ada sama ada ia bertentangan dengan disiplin parti atau ia hanya pendapat peribadi individu terbabit.
''Daripada situ, jawatankuasa ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa Pas Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil,'' katanya.
/...

Anwar tidak senang ditanya mengenai Azmin

Utusan - 04/11/09
KUALA LUMPUR 3 Nov. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan reaksi tidak senang apabila ditanya mengenai dakwaan beliau melebihkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, sehingga menyebabkan ramai pemimpin PKR lain bertindak keluar daripada parti itu.
''You dari mana? You dari media mana?'' kata beliau dalam nada tidak senang kepada seorang wartawan Berita Harian pada sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Sidang akhbar itu diadakan antara lain bagi menjelaskan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah keluar PKR untuk menjadi ahli Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Anwar bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut, sebaliknya 'berceramah' kepada wartawan berkenaan agar melaksanakan amanah sebagai petugas media dengan baik.
''Jangan gunakan Badrul untuk mengaitkan isu ini. Saudari mungkin kenal dia tetapi yang Berita Harian hendak pertahankan sangat kenapa? Sebab dia orang UMNO.
''Bertanggungjawablah sebagai wartawan, soalan ini tidak betul, cari makan jangan sampai mengaitkan isu ini. Dia (Badrul) tidak buat kerja.
''Mana ada masa, orang mati ke, hidup ke, majlis pun tak pernah hadir. Kalau saudari pilih untuk mempertahankan juga, terpulanglah,'' katanya.
Terdahulu, Anwar yang juga Penasihat PKR, mengulangi penjelasan bahawa Badrul mempunyai masalah peribadi sehingga gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat walaupun beliau telah memberi nasihat.
Katanya, beliau sendiri telah memanggil Badrul ke rumahnya kira-kira lapan bulan lalu dan memberi nasihat serta amaran supaya mengubah sikap tetapi tidak dipedulikan.
''Saya pernah berjumpa dengan dia sekali dan selebihnya dikendalikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi tiada perubahan.
''Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak pergi, saya turun kawasan dia pun tidak hadir. Jadi tunggu masa sahajalah,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, PKR akan memperketatkan kriteria pemilihan calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Jelasnya, beliau tidak akan mempertahankan mana-mana wakil rakyat daripada PKR yang gagal menunjukkan prestasi kerja memberangsangkan.
''Kita akui masalah ini (pemimpin tidak berkualiti) tetapi kami akan atasinya. Sebelum PRU Mac tahun lalu, kita masih belum kuat.
''Saya berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi pada PRU nanti. Kita akan menitik berat soal pemimpin yang bertanggungjawab, mempunyai kelayakan akademik dan berpengalaman,'' katanya.
/...

3 November 2009

Ahli Parlimen antara 5 didakwa

[Utusan - 03/11/09]
Oleh UMAVATHI RAMAYAH

uma.ramayah@utusdan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Seorang ahli Parlimen adalah antara lima yang akan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Shah Alam dekat sini esok kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan rasuah.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Ahli Parlimen terbabit ditahan bersama pembantunya selepas dipercayai terlibat dalam pemalsuan invois-invois ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Penipuan maklumat dalam invois itu dipercayai dilakukan bagi melaksanakan satu program yang tidak dijalankan.
Pembantu beliau pula ditahan kerana bersekongkol dengan ahli politik itu dalam membuat tuntutan bagi program yang sama.
Seorang lagi ahli politik yang akan didakwa esok ialah pembantu khas kepada Exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu iaitu Wong Chuan How, 51, yang sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi kononnya dia ditolak oleh anggota SPRM ketika ditahan untuk mengambil keterangan.
Dia turut dikatakan membuat kecoh apabila berpura-pura jatuh ketika menghampiri kenderaan SPRM.
Chuan How yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sepang itu akan didakwa atas kesalahan mengemukakan invois mengandungi maklumat palsu kepada Pejabat Daerah Sepang bagi membekalkan barangan sempena program sambutan Hari Kebangsaan pada tahun lalu.
Bagaimanapun barangan itu tidak dibekalkan.
Pada masa yang sama beliau dituduh atas dua kesalahan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah.
Dalam pada itu dua lagi yang akan didakwa esok di mahkamah sama adalah bekas pegawai Menteri Besar Selangor dan seorang pengarah syarikat.
Bekas pegawai Menteri Besar Selangor yang ditahan hari ini akan dihadap ke mahkamah kerana disyaki menipu dan memperdaya presiden sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri terbabit bagi tujuan pembiayaan sebuah majlis melibatkan sejumlah RM50,000.
Seorang lagi pengarah syarikat pula akan didakwa atas kesalahan mengemukakan invois-invois maklumat palsu kepada Pejabat Daerah Hulu Langat.
Invois itu bagi membekalkan barangan dan keperluan program Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Selangor pada tahun lepas sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.
##

Kemelut Pas akibat kepentingan peribadi

[Utusan -03/11/09]
KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kemelut yang melanda Pas berlaku akibat sesetengah ahlinya sanggup mengutamakan kepentingan politik peribadi daripada kepentingan parti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, walaupun kebanyakan daripada ahli Pas mengetahui sikap sebenar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun mereka terus menyokongnya.
Menurutnya, sikap ahli berkenaan menjadikan Pas umpama barang mainan PKR oleh kerana terlalu ingin melihat Anwar menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
‘‘Dalam hal ini, saya melihat idea kerajaan perpaduan bukan merupakan punca utama berlakunya konflik dalaman parti itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendapat Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee hari ini yang mengatakan konflik dalaman Pas berlaku kerana ada yang menolak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri.
Jelas Syed Ali, keadaan itu berlaku kerana wujud dua kumpulan dalam Pas iaitu yang memihak dan menentang Penasihat PKR.
Beliau sebelum itu mengulas kolum sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melihat permasalahan dalam Pas bukan sahaja melibatkan golongan pro-UMNO tetapi juga anti- Anwar.
Abdul Latiff memberitahu, kumpulan yang cenderung menyokong Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya mempunyai muslihat tertentu di dalam Pas.
‘‘Apabila kita tengok pada sejarah, apakah tujuan utama mereka meletakkan Datuk Husam Musa melawan Nasharudin Mat Isa untuk jawatan Timbalan Presiden Pas semasa pemilihan parti baru-baru ini.
‘‘Tujuannya saya lihat adalah kerana mereka mahu melihat seseorang daripada kumpulan Nik Aziz yang turut dikenali sebagai ‘Erdogan’ boleh menjadi Perdana Menteri jika terjadi apa-apa kepada Anwar.
‘‘Ini adalah kerana beliau (Anwar) cukup rapat dengan ahli Pas daripada kumpulan ‘Erdogan’ ini,’’ katanya.
##

Azizah guna 'skrip sama'

[Utusan - 03/11/09]
Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail layak menerima 'anugerah pelakon terbaik' kerana menggunakan skrip sama selama 12 tahun untuk melindungi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakaruppan berkata, ramai orang percaya dengan 'lakonan' Azizah dalam tempoh yang panjang tetapi persoalannya berapa lama beliau hendak 'berlakon' untuk suaminya.
Menurutnya, Azizah sepatutnya memberi penjelasan berhubung persoalan moral yang menyelubungi Anwar seperti yang disarankan oleh bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd. Noor baru-baru ini.
''Azizah perlu memberitahu orang ramai tentang apa sebenarnya yang berlaku.
''Azizah juga perlu menyatakan kebenaran dan mengikut apa yang diperkatakan Ezam sekiranya beliau benar-benar jujur kepada Tuhan dan rakyat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ezam yang mencabar Azizah menjawab persoalan moral terhadap Anwar yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah sehingga menjadi punca beliau keluar parti.
Mengulas lanjut, Nallakaruppan yang mengakui mengenali bekas Timbalan Perdana Menteri itu dari luar dan dalam berkata:
''Saya mencabar Anwar supaya tidak menyorok di belakang Azizah dan mendiamkan diri kerana tindakan itu mengatasi lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.''
Nallakaruppan juga menasihati Azizah mengikut apa yang dicadangkan oleh Ezam kerana sebagai presiden parti, beliau bertanggungjawab melakukan sesuatu.
##

Pembantu Khas Exco Selangor dituduh guna invois palsu

[Bernama - 03/11/2009 12:44pm]
SHAH ALAM 3 Nov. — Wong Chuan How, pembantu khas kepada anggota exco kerajaan Selangor Ronnie Liu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan mengemukakan invois palsu kepada Majlis Daerah Sepang tahun lepas.
Invois itu adalah bagi pembekalan 2,500 bendera kereta bernilai RM2,500 sempena program Hari Kemerdekaan tetapi pembekalan itu tidak dilakukan.
Chuan How, 51, juga mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah berhubung sekeping cek bernilai RM5,000.
##

2 November 2009

Konflik dalaman Pas kerana ada yang tolak Hadi jadi PM

[Utusan - 02/11/09]
Datuk Wira Syed Ali Alhabshee
*****
KUALA LUMPUR 1 Nov. – Konflik dalaman Pas tercetus apabila terdapat sesetengah pemimpin dan ahlinya sendiri tidak mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee (gambar) berkata, keadaan itu berlaku kerana wujud dua kumpulan dalam Pas iaitu yang memihak dan menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Menurutnya, kemelut dalaman parti tersebut juga bukannya disebabkan oleh idea kerajaan perpaduan tetapi kerana mereka tidak boleh bekerjasama dengan Anwar.
“Hadi Awang lebih mengetahui siapa sebenarnya Anwar. Tetapi persoalannya, siapa yang akan untung sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas analisis wartawan akhbar The Star, Joceline Tan dalam kolum Insight hari ini, yang melihat permasalahan dalam Pas bukan sahaja melibatkan golongan pro-UMNO tetapi juga anti-Anwar.
Menurut analisis itu, golongan tersebut mahukan Hadi dan bukannya Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berkuasa.
Syed Ali berkata, dalam krisis kepimpinan Pas yang berlaku sekarang, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali telah dijadikan ‘kambing hitam’.
Hassan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor dikatakan antara yang menyokong idea kerajaan perpaduan.
Sehubungan itu, Syed Ali menggesa rakyat supaya merenungkan hal tersebut dengan sebaik-baiknya.
“Sekali lagi saya mahu semua berfikir siapa yang akan untung dengan semua ini,” katanya.

##

PKR hanya petah bercakap tetapi gagal urus parti - Najib

[Utusan - 02/11/09]
KUALA LUMPUR 1 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwanya hanya petah bercakap tetapi gagal menyelesai dan mengendalikan pelbagai masalah dalam parti itu dengan baik.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, bukti terbaru ialah huru-hara yang berlaku dalam kepimpinan PKR di Sabah apabila melantik pemimpin Semenanjung bagi menerajui negeri tersebut.
"Takkan pemimpin Semenanjung nak jadi pemimpin (ketua) di Sabah, ini tidak masuk akal, saya juga tidak tahu apa yang terjadi kepada sistem berparti mereka hinggakan Kabinet bayangan pun tidak reti nak buat, sampai ada beberapa orang akan pegang satu jawatan menteri.
"Malah ada juga di negeri (yang dimenangi) tidak mempunyai wakil daripada parti lain seperti di Kedah dan Pulau Pinang yang mana wakil rakyat Pas tidak dilantik menganggotai kerajaan negeri.
"Berbeza dengan kita yang mewujudkan kerajaan di Pulau Pinang apabila Ketua Menterinya daripada Gerakan, UMNO tetap dilantik wakilnya," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Nasional 2009 Parti Gerakan di sini.
Najib turut mempersoalkan kredibiliti pakatan pembangkang adakah mereka ini pejuang sejati kepada masyarakat berbilang kaum sama seperti yang dimainkan BN.
"Inilah tanggungjawab besar yang perlu dimainkan oleh parti komponen BN untuk menyedarkan rakyat supaya jangan hanya memilih parti berdasarkan faktor luaran," katanya.
Najib berkata, rakyat perlu disedarkan bahawa peri pentingnya menilai rekod cemerlang dan BN telah terbukti amat baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum lalu adalah kerana kita sudah hilang sentuhan dengan rakyat. Kita dah sedar, insaf dan faham, BN terima apa yang rakyat mahu dan kita akan berubah untuk lebih baik," katanya.
##

1 November 2009

PKR Papar beri kata dua

[Utusan - 01/11/09]
PAPAR 31 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Papar hari ini memberi kata dua kepada pucuk pimpinan parti itu supaya 'membetulkan semula' keputusan berhubung pelantikan ketua perhubungan PKR negeri atau berhadapan tindakan pembubaran atau ahli meninggalkan parti itu.
Ketua bahagiannya, Sylvestor Balon Mujin berkata, beliau dan ahli PKR bahagian itu akan meninggalkan parti dan membubarkan bahagian itu jika kepimpinan pusat terus membelakangkan suara majoriti dalam membuat keputusan.
"Kami memberi masa dua minggu untuk mereka (pucuk pimpinan) membetulkan balik keadaan. Selepas itu kita akan melihat suara dan reaksi rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat bersama 16 ahli jawatankuasa bahagian itu.
Mengenai khabar angin beliau akan mengetuai kumpulan yang bakal meninggalkan PKR, Sylvestor berkata, pertemuan hari ini bertujuan membincangkan masalah parti dan bukannya meninggalkan parti.
Beliau menjelaskan, suara majoriti telah jelas memilih Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sebagai Ketua Perhubungan PKR negeri bukannya Ahmad Thamrin Jaini.
"Pada mesyuarat 22 Oktober lalu, 14 pemimpin bahagian memilih Jeffrey dan hanya sembilan menyokong Thamrin," katanya.
Sylvestor menambah, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada PKR pusat bagi membantah keputusan melantik Thamrin sebagai Ketua Perhubungan PKR negeri.
Krisis dalaman PKR Sabah bermula dengan penentangan terhadap pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ketua perhubungan negeri itu sehingga membawa kepada 18 daripada 23 ketua bahagian parti itu menghantar memorandum bantahan ke peringkat pusat.
Sebelum Azmin, PKR negeri diketuai Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang dilantik menggantikan penyandang sebelumnya, Ansari Abdullah.
Bagi menyelesai kemelut tersebut, PKR pusat pada Ahad lalu melantik Thamrin sebagai ketua perhubungan negeri yang baru dan hanya memberikan Jeffrey jawatan ahli dalam Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak.
Keputusan itu seterusnya mendorong peletakan jawatan Jeffrey dan Ketua PKR bahagian Kota Kinabalu, Christina Liew daripada semua jawatan dalam PKR pusat baru-baru ini.
##

Terselamatkah penyokong Hadi?

[Utusan - 01/11/09]
RAMALAN ketua pembangkang, Anwar Ibrahim bahawa UMNO akan tumbang sebaik sahaja selepas pilihan raya umum ke-12, ternyata meleset. Sebaliknya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpinnya kini bergelut dengan krisis. Seorang demi seorang pemimpin keluar parti dan ada yang melepaskan jawatan. Sebahagian mereka sudah hilang keyakinan terhadap Anwar termasuk dalam isu moralnya.
Bagaimana dengan Pas? Parti itu juga diambang perpecahan. Doa pemimpin tertentu Pas agar UMNO dimusnahkan nampaknya seakan menimpa parti itu. Sedangkan UMNO masih bertahan. Malah sokongan orang Melayu kepada UMNO meningkat, menandakan pemulihan kepada parti itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak.
Gesaan Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat yang mahu diadakan Muktamar Agung Khas agar beberapa pemimpin yang pro Presiden, Hadi Awang 'dibersihkan' mendedahkan lagi gelora dalam parti tersebut. Gesaan Tok Guru itu bagaimanapun ditolak dan digantikan dengan seminar, yang dilihat tamparan kepada beliau. Cerita apa yang berlaku dalam mesyuarat tersebut sudah tersebar luas. Panas. Ada yang mencabar mahu meletakkan jawatan. Maknanya, mesyuarat tersebut tidak pun mengatasi kebuntuan sebaliknya mencetuskan lagi banyak persoalan dan kebimbangan?
Apakah terselamat kedudukan pemimpin yang mahu disingkirkan oleh Nik Aziz? Antaranya Timbalan Presiden, Nasharudin Mohd. Isa, Setiausaha Agung, Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor Dr. Hassan Ali.
Awang tidak fikir kedudukan mereka terjamin selamat kerana puak yang menyokong Nik Aziz khabarnya tidak mahu berdiam diri. Maka desas-desus Pas sudah terbelah dua semakin jelas. Satu kelompok menyokong Hadi dan mereka pernah menyokong idea pro kerajaan perpaduan dengan UMNO yang diilhamkan oleh Presiden Pas itu. Antara pemimpin yang pro Hadi selain Nasharudin, Mustafa dan Hassan ialah Harun Taib, Haron Din, Azizan Razak, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasrudin Hassan Tantawi. Satu lagi memihak kepada Nik Aziz yang lebih condong kepada aspirasi PKR dan DAP sehingga memperlihatkan Pas tidak dominan dalam pakatan pembangkang. Nama yang selalu dikaitkan menyokong Nik Aziz ialah Husam Musa, Kamaruddin Jaafar, Mahfuz Omar dan Hatta Ramli. Kelompok ini juga dikatakan pro Anwar atau apa yang dilabel sebagai puak Erdogan. Mereka lebih simpati kepada Anwar dan sanggup mempertahankan beliau di sebalik isu moralnya sedangkan penyokong Hadi agak dingin kerana tidak mahu parti itu dijadikan alat kepentingan peribadi.
Dengan tindakan pre-emtif Nik Aziz menyerang beberapa pemimpin pro Hadi, beliau nampaknya mahu memperkasakan lagi puak Erdogan. Awang melihat ini sebagai tindak balas Nik Aziz setelah beberapa orang kanannya tewas pada pemilihan lalu termasuk Husam yang dikalahkan oleh Nasharudin. Mengaitkan dan menyalahkan UMNO adalah strategi pihak yang mendalangi gerakan Nik Aziz.
UMNO hanya menjadi kambing hitam kepada muslihat puak Erdogan mahu menguasai Pas. Nampaknya Hadi memperlihatkan kematangannya dengan tidak melatah. Beliau masih bertenang dan belum bertindak balas. Tetapi adalah silap bagi sesiapa untuk mengambil mudah beliau. Jangan lupa Hadi masih Presiden.
##

Bukan kocakan dalam cawan

[Utusan - 01/11/09]
Oleh Zulkiflee Bakar
SEORANG pemimpin muda Pas memberitahu penulis bahawa segala kekalutan yang berlaku dalam parti itu pada masa ini hanyalah ‘kocakan di dalam cawan.’
Maksud beliau ialah ia tidak akan sampai memudaratkan parti atau lebih tepat lagi boleh memecah belahkan parti.
Dari satu segi penulis tidak menafikan andaian berkenaan, namun begitu perlu juga diperingatkan bahawa ‘kocakan di dalam cawan’ tersebut telah meleleh keluar sehingga memaksa pucuk pimpinan Pas mengadakan mesyuarat khas bagi ‘membersihkannya.’’
Akhirnya seperti diduga, mesyuarat khas itu berlangsung dan berakhir dengan satu ‘resolusi’ yang dianggap untuk menyenangkan hati semua pihak yang terlibat.
Jawatankuasa Pas Pusat memutuskan tidak mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM), sebaliknya bersetuju diadakan satu seminar bagi membincangkan pelbagai isu yang dihadapi oleh parti itu.
Ia bermakna Pas mengamalkan pendekatan menyelesaikan masalah dan pertikaian melalui kaedah menarik benang di dalam tepung, benang tak putus, tepung tidak berselerakan.
Semua pemimpin yang menjadi tumpuan dalam ‘perbalahan’ hadir dalam mesyuarat itu yang diadakan pada Rabu lalu. Selain Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencetuskan isu EGM tersebut, tiga pemimpin yang menjadi sasaran beliau turut hadir mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas, Selangor, Datuk Dr.Hassan Ali.
Seperti diduga juga apabila mesyuarat itu selesai dengan baik (walaupun kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku ketika mesyuarat berlangsung), pihak-pihak yang dianggap ‘musuh’ oleh sesetengah kelompok dalam Pas mula menjadi sasaran.
Tuduhan bahawa ‘musuh’ tersebut kecewa kerana perbalahan di dalam Pas sudah berakhir pun bergema. Malah ada penulis-penulis blog yang menyokong Pas secara terbuka menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO kecewa dengan penyelesaian damai yang dicapai oleh Pas.
Sebenarnya mereka berhak menulis apa sahaja dan membuat sebarang tafsiran yang mereka suka tetapi persoalannya sejauh manakah keputusan mesyuarat khas berkenaan akan meredakan situasi di dalam Pas?
Apa yang perlu difahami oleh semua pihak, kekalutan yang berlaku di dalam Pas bukan didorong atau dihasut oleh mana-mana pihak di luar parti itu. Segalanya bermula dengan kenyataan Nik Abdul Aziz yang mahu EGM diadakan bagi ‘membersihkan’ beberapa pemimpin Pas yang dilihat bermasalah.
Dari situ bermulalah kekalutan, biarpun cadangan EGM tersebut kemudiannya ditukarkan kepada mesyuarat khas. Ertinya, tidak ada campur tangan pihak luar sehingga memungkinkan Pas dilihat berhadapan dengan perbalahan.
Oleh itu, apabila pemimpin-pemimpin Pas mencapai kesepakatan untuk mengadakan sekadar satu seminar politik pada 7 November ini dan bukannya EGM, maka keputusan itu harus dihormati.
Tetapi persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak termasuklah di kalangan ahli- ahli Pas sendiri, sejauh manakah seminar itu mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku.
Ada yang sudah bertanya seandainya Nik Abdul Aziz tidak membuat kenyataan mengenai EGM atau mesyuarat khas Pas, apakah Pas akan mengadakan seminar politik bagi memperkasakan parti seperti mana yang hendak diadakan?
Malah ahli-ahli Pas juga bertanya, kalaulah tiada artikel yang disiarkan oleh mana-mana media mendedahkan mengenai kepincangan dalam Pas apakah perhimpunan di Taman Melewar itu akan berlangsung?
Cabaran
Semua ini menjadi cabaran kepada kepimpinan Pas untuk memastikan seminar tersebut bukan sekadar seminar biasa. Ia adalah seminar yang bakal menentukan hala tuju Pas selepas ini.
Hakikatnya terlalu banyak yang perlu Pas bincang atau tentukan dalam seminar berkenaan dan paling utama bagaimanakah Pas hendak memastikan parti itu benar-benar menjadi peserta utama dalam pakatan pembangkang dan bukannya sekadar ‘pak turut’.
Ia kerana walaupun Pas sudah secara rasminya menutup pintu rundingan dengan BN dan UMNO mengenai kerajaan perpaduan, tetapi itu bukanlah bermakna ia membuka laluan selesa kepada Pas untuk menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang.
Penyokong dan ahli Pas boleh mentafsirkan apa sahaja mengenai kenyataan ini termasuklah tuduhan jahil bahawa ia bertujuan memecahkan pakatan pembangkang yang didakwa kini semakin mendapat sokongan rakyat.
Tetapi realitinya, semua orang tahu bahawa Pas sebenarnya berhadapan dengan masalah untuk meyakinkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bahawa mereka berhak menjadi parti dominan dalam pakatan tersebut.
Buat masa ini, Pas dilihat tidak mempunyai suara dan banyak tindakan atau cadangan parti itu ditolak mentah-mentah oleh PKR dan DAP. Kedua-dua parti berkenaan hanya melihat Pas sebagai ‘anggota pelengkap’ sahaja bagi mengelakkan pertembungan sesama pembangkang menentang BN.
Oleh itu perwakilan yang hadir di dalam seminar nanti perlu memberikan penegasan mereka bahawa mereka mahu melihat Pas dominan.
Penegasan ini bukanlah bertujuan untuk mencetuskan ketegangan sesama pakatan pembangkang tetapi ingin memastikan kedudukan Pas yang sewajarnya.
##