5 Oktober 2010

Berakhirnya pemilihan Cabang PKR yang dicemari insiden tegang, ganas

UM - 5/10/10


Ahli-ahli Cabang PKR Bayan Baru daripada Team-Rakyat menunjukkan laporan polis yang mendakwa pemilihan cabang tersebut tidak sah kerana dijalankan secara tidak adil dan berat sebelah di Sungai Dua, Pulau Pinang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dicemari insiden bantah-membantah, ketegangan dan keganasan sejak tiga minggu lalu berakhir semalam.

Insiden-insiden yang mempamerkan wajah sebenar demokrasi acuan PKR menyebabkan sekurang-kurangnya 13 daripada 204 cabang parti itu di seluruh negara terpaksa menangguhkan mesyuarat agung mereka.

Antara cabang terbabit adalah empat di Selangor (Kapar, Klang, Petaling Jaya Selatan, Kuala Langat), masing-masing tiga di Johor (Pasir Gudang, Tebrau, Kota Tinggi) dan Sarawak (Saratok, Lubuk Antu, Serian), dua di Kedah (Jerai, Merbok) dan satu di Terengganu (Kuala Nerus).

Di sebalik kekecohan yang berlaku, Naib Presiden PKR, Azmin Ali mendahului senarai pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden apabila menerima sokongan daripada 102 cabang.

Dua lagi calon yang telah mengumumkan akan bertanding iaitu Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim pula menerima 38 pencalonan manakala Pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub dengan 17 pencalonan.

Bagi mengisi empat kerusi Naib Presiden pula, seramai 27 calon telah melayakkan diri dengan empat calon yang menerima sokongan tertinggi ialah Fuziah Salleh (115 pencalonan), Shamsul Iskandar Md. Akin (45), Lee Boon Chye (35) dan Mustaffa Kamil (34).

Bagi jawatan Presiden, tiga nama turut dicalonkan walaupun masih belum ada pihak yang mengesahkan akan bertanding. Mendahului senarai ialah penyandang jawatan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (123 pencalonan); Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (15) dan Zaid (3).

Dalam tempoh tiga minggu lalu, pelbagai keputusan mengejutkan turut berlaku antaranya membabitkan kekalahan pemimpin utama PKR di peringkat cabang masing-masing.

Antara yang menerima kekalahan ialah Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Bahrin Abas; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan yang terpalit dengan skandal gambar separuh bogel, Elizabeth Wong dan Mustaffa Kamil.

Paling mengejutkan adalah kekalahan yang dialami R. Sivarasa yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Subang apabila sekadar mendapat lima undi walaupun memegang jawatan Naib Presiden PKR.

Pusingan ketiga mesyuarat yang berlangsung kelmarin dan semalam tidak kurang menariknya apabila di Cabang Bukit Gelugur, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lim Boo Dr. Chang menewaskan ADUN Batu Uban yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR, S. Raveentharan.

Di Kelana Jaya, Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud nyaris terlepas jawatan Ketua Cabang apabila menewaskan pencabarnya, Abd. Razak Mohamed Jalil dengan kelebihan enam undi sahaja.

Sementara itu, regu beliau untuk jawatan Timbalan Ketua, iaitu ADUN Seri Setia yang juga Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hanya menang dengan kelebihan 15 undi.

Di Cabang Hulu Langat pula, ADUN Kajang, Lee Kim Sin tewas kepada Radzuan Ahmad yang mempunyai kelebihan 11 undi sahaja.

Dua pemilihan yang mencuri perhatian pada hujung minggu lalu adalah di Kuala Selangor membabitkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berjaya mempertahankan kedudukannya apabila mendapat 722 undi mengetepikan cabaran dua calon lain.

Sementara itu, Azmin pula menang mudah di Cabang Gombak dengan 324 undi menewaskan pencabarnya Bakar Ninggal yang sekadar mendapat 60 undi.

Bagaimanapun Azmin menerima tamparan apabila cabang terbesar di Selangor yang diketuai beliau iaitu Hulu Selangor mencalonkan Zaid untuk jawatan nombor dua PKR.

Di Sabak Bernam pula, insiden keganasan meletus apabila calon Timbalan Ketua Cabang, Abu Talib Bujang dan anaknya, Mohd. Fadli telah dipukul oleh sekumpulan ahli parti.

Turut menerima tempias keganasan ahli PKR ialah jurufoto Kumpulan Utusan, Mohd. Shaharani Saibi yang dikejar kira-kira lima lelaki yang cuba merampas kameranya.

PKR Cabang Johor Bahru juga tidak sunyi daripada ketegangan sehingga menyebabkan mesyuarat yang dijadualkan di sebuah dewan akhirnya berpindah ke sebuah bilik hotel membabitkan 50 ahli yang mengundi.

Perkembangan berkenaan merupakan rentetan kepada insiden keganasan yang berlangsung pada minggu lalu antaranya di Cabang Subang yang terpaksa ditangguhkan mesyuaratnya berikutan masalah teknikal manakala di Cabang Kapar berlaku provokasi antara penyokong calon yang bertindak di luar kawalan termasuk mengoyak kertas undi.

Pergaduhan besar juga berlaku di Cabang Klang apabila kotak-kotak undi dipecah manakala kerusi dibaling dan keganasan yang sama turut berlaku di Cabang Kuala Langat.

Insiden tumbuk-menumbuk juga dikatakan berlaku apabila calon Ketua Cabang Kota Raja, S. Kottapan mendakwa ditumbuk oleh penyandang jawatan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr. Xavier Jayakumar.

Insiden ketegangan dan keganasan yang berlaku menimbulkan tanda tanya adakah perkara sama bakal berulang pada pemilihan peringkat pusat yang dijadualkan bermula hujung bulan ini.

Pastinya semua pihak akan ternanti-nanti apakah alasan yang bakal dikemukakan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution: Samaada beliau akan menyalahkan anasir luar atau mengakui kelemahan ahli parti sendiri.

/hwa: utusan.com.my/

Kepimpinan UMNO Kedah akan dikembalikan

UM - 5/10/10

ALOR SETAR 4 Okt. - Teraju kepimpinan UMNO negeri akan dikembalikan kepada pemimpin tempatan pada masa yang sesuai dan selepas mendapat kebenaran pucuk kepimpinan parti, kata Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, belum tiba masanya proses itu dilakukan dan beliau akan terus memastikan kehadirannya di negeri ini dapat membantu memantap serta mengukuhkan lagi kepimpinan parti berkenaan.

"Belum sampai masanya, kalau sudah sampai kita serahkan. Kita akan bincang dengan pucuk kepimpinan parti.

"Saya tahu kehadiran saya di sini bersifat sementara sahaja, bukannya kekal. Kehadiran saya di sini untuk membantu rakan-rakan yang banyak membantu saya selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN)/UMNO negeri di pekarangan Bangunan Tunku di sini hari ini.

Mohd. Shafie ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah akan diserahkan kepada pemimpin tempatan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, pucuk kepimpinan UMNO memutuskan lima buah negeri iaitu Kedah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang diketuai pemimpin tertinggi parti itu.

Langkah itu menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui UMNO Selangor dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Wilayah Persekutuan) manakala tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu); Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Pulau Pinang) serta Mohd. Shafie mengetuai negeri ini.

Mohd. Shafie menambah, beliau mendapati kepimpinan UMNO dan parti-parti komponen BN di negeri ini semakin mantap, selain hubungan sesama mereka bertambah erat hasil daripada program-program yang digerakkan khususnya di peringkat bahagian masing-masing.

Malah, katanya, beliau melihat semangat kerjasama melalui menerusi gerak kerja yang meningkat di kalangan ahli UMNO dan juga parti-parti komponen BN negeri.

"Saya berani katakan selaku Naib Presiden UMNO yang banyak menjelajah ke negeri-negeri, boleh dikatakan kerjasama semua parti komponen BN di Kedah agak mantap.

"Tetapi ini perlu kita terjemahkan dalam memenangi pilihan raya umum akan datang," kata beliau.

Ditanya mengenai perkembangan UMNO Bahagian Sungai Petani yang pentadbirannya diletakkan di bawah urusan Badan Perhubungan UMNO negeri selepas berlaku kekecohan pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu Julai lalu, Mohd. Shafie berkata, ia masih di bawah pengawasan Timbalan Pengerusi, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah

Menurut beliau, UMNO Kedah sentiasa mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bagi memantau situasi dan perkembangan di bahagian tersebut.

"Kita akan kembalikan pentadbiran apabila masalah yang timbul itu dapat dipulihkan sepenuhnya," kata beliau.

Mengenai keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sebanyak 27 peratus mulai Jumaat lepas, beliau berkata, tiada banyak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang diterajui Pas selepas mengambil alih tampuk pentadbiran di Kedah, sebaliknya bertindak menaikkan tarif air pula.

Katanya, walaupun kenaikan tarif air diluluskan oleh Kerajaan Pusat namun ia masih berada di bawah jagaan kerajaan negeri dan mereka perlu memastikan perkhidmatan air yang diberikan mesti yang terbaik.

/hwa: utusan.com.my/

Sikap angkuh dan biadab Azmin dibidas

UM - 5/10/10

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Pelbagai pihak membidas sikap angkuh dan biadab Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang menggunakan istilah 'tersungkur' ketika merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Australia.

Tegas mereka, Azmin tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu terhadap orang yang sedang sakit, tambahan pula yang dihentam ialah seorang negarawan yang banyak berbakti kepada negara.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, sebagai rakyat beliau sangat tersinggung dengan kenyataan Azmin yang tidak sepatutnya dikeluarkan.

''Seharusnya kita berdoa agar Dr. Mahathir segera sembuh dan kembali ke tanah air dengan selamat.

''Kecelaruan politik Azmin telah menghalang dia daripada melihat bekas Perdana Menteri ini daripada kaca mata seorang manusia dan GPMS menuntut dia menarik balik kata-katanya itu," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan calon Timbalan Presiden PKR itu semalam yang mengakui individu yang dimaksudkan sebagai sedang 'tersungkur' dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak ialah Dr. Mahathir.

Malah, Azmin dengan angkuhnya berkata, perkataan 'tersungkur' itu langsung tidak kasar, sebaliknya amat sesuai dirujuk kepada Dr. Mahathir berikutan kedegilan beliau bersekongkol dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Jais berkata, GPMS sentiasa berdoa kepada Allah agar Dr. Mahathir segera sembuh dan diberikan minda cerdas seperti biasa untuk terus memberi nasihat yang bernas kepada rakyat terutama orang Melayu.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula menyifatkan kenyataan angkuh itu sebagai tidak mengenang jasa bekas Perdana Menteri itu.

''Dr. Mahathir ialah seorang negarawan yang memimpin negara ini selama 22 tahun dan telah banyak jasa yang ditaburnya termasuk ketika Azmin masih belum matang dalam arena politik.

''Bagi saya segala yang diucapkan oleh Azmin kebudak-budakan dan mendedahkan sikap sebenarnya yang hipokrit," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, pemimpin Melayu yang berbudi bahasa dan mempunyai pekerti mulia tidak akan sanggup mengeluarkan kata-kata cercaan terhadap orang yang sedang sakit apatah lagi bekas Perdana Menteri.

Tegasnya, sikap Azmin itu jelas menunjukkan beliau bukan seorang pemimpin politik yang berhemah sebaliknya di dalam kepalanya bersarang sifat dendam, hasad dengki dan pentingkan diri sendiri.

''Pemimpin politik Melayu yang bermoral tidak akan menyerang pemimpin lain yang uzur atau sakit, malah di dalam Islam digalakkan menziarahi mereka," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Samy Vellu telah serah surat letak jawatan Presiden MIC

UM - 5/10/10

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Datuk Seri S. Samy Vellu sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Presiden MIC kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, minggu lalu.

Sumber dalaman MIC yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, Samy Vellu tidak menerima sebarang tekanan atau paksaan daripada pihak ketiga untuk menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut.

Malah katanya, Presiden MIC itu menyerahkan surat berkenaan dengan kerelaan hatinya kerana beliau bakal menerima tanggungjawab lain di luar parti iaitu sebagai perunding perniagaan bagi membantu negara meningkatkan sumber pendapatan.

"Untuk memikul tanggungjawab baru itu, Samy Vellu harus mengesahkan bahawa beliau berundur daripada jawatan Presiden MIC pada bulan Disember ini.

"Oleh kerana beliau telah mengesahkan peletakan jawatannya, pada bulan Januari depan beliau bakal bergelar perunding perniagaan bagi membantu Malaysia meningkatkan sumber pendapatan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Samy Vellu mengumumkan peletakan jawatannya pada Januari depan bagi membolehkan kerusi nombor satu MIC itu diambil alih oleh Timbalannya, Datuk G. Palanivel.

Tambah sumber itu, keputusan pemimpin itu untuk berundur daripada jawatan Presiden MIC telah dibuat beberapa bulan lalu tetapi hanya menunggu masa yang sesuai untuk diumumkan.

"Masih terdapat desas-desus mengatakan bahawa Samy Vellu hanya bersandiwara politik dan tidak akan meletak jawatan sehingga 2012.

"Ia tanggapan yang salah. Masyarakat di negara ini bakal menyaksikan pelan peralihan kuasa di antara dua pemimpin itu," jelasnya.

/hwa: utusan.com.my/

4 Oktober 2010

Buruan 10 emas bermula

UM - 4/10/10


UPACARA perasmian Sukan Komanwel XIX yang diadakan penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Stadium Utama Jawaharlal Nehru, New Delhi, semalam. Dianggarkan 7,000 atlet dan pegawai daripada 71 negara membanjiri temasya kali ini. - AFP

NEW DELHI - Temasya Sukan Komanwel XIX bermula hari ini, apabila atlet negara memulakan misi memburu 10 pingat emas yang disasarkan, iaitu pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan yang berlangsung di luar negara sendiri.

Kontinjen negara membariskan 201 atlet terbaik dalam 14 acara pada temasya kali ini.

Harapan emas pertama kontinjen negara bermula hari ini, apabila badang negara, Amirul Hamizan Ibrahim beraksi dalam acara angkat berat kelas 56 kilogram di Kompleks Sukan Jawaharlal Nehru, malam ini waktu Malaysia.

Peluang emas tetap ada, namun Amirul harus berwaspada dengan tentangan sengit dari peserta tuan rumah, yang bukan sahaja memiliki kelebihan prestasi, tetapi juga sokongan padu penonton mereka sendiri.

Lubuk emas kontinjen negara pastinya menerusi acara skuasy wanita dengan sandaran utama di bahu pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David.

Malaysia meletakan harapan di bahu empat pemain wanita dan empat pemain lelaki untuk cuba menyapu bersih emas acara skuasy.

Saingan wanita diterajui Nicol, Low Wee Wern, Sharon Wee dan Delia Arnold manakala Mohd. Azlan Iskandar menerajui saingan lelaki bersama-sama Ong Beng Hee, Mohd. Nafiizwan Adnan dan Yuen Chee Wern.

Harapan emas turut disandarkan kepada jaguh basikal trek acara keirin, Azizulhasni Awang.

Berada pada kedudukan No. 2 dunia dalam acara keirin Azizulhasni berada pada kedudukan terbaik untuk menguasai acara tersebut, berikutan penarikan diri jaguh acara tersebut, Chris Hoy dari Britain.

Azizulhasni diramal mendapat sokongan penonton tempatan, kerana dia popular di sini.

Namanya amat dikenali di kalangan wartawan di sini, yang sering bertanyakan kepada pegawai Malaysia mengenai perkembangan terkini pelumba yang kini menjalani latihan di Australia itu.

Acara basikal trek akan bermula esok di Kompleks Sukan Indira Ghandi.

Jika atlet lain memburu emas pertama pada Sukan Komanwel, atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad memburu emas hatrik pada temasya kali ini.

Selepas memenangi emas pada dua Sukan Komanwel lalu, Siti Zalina mahu mencipta rekod atlet pertama yang memenangi hatrik emas di peringkat Sukan Komanwel.

Cabaran Siti Zalina akan bermula hari ini di Kompleks Sukan Jawaharlal Nehru.

Badminton merupakan satu lagi lubuk emas buat kontinjen negara. Datuk Lee Chong Wei yang masih segar dengan kejayaan menumbangkan musuh ketatnya, jaguh China Lin Dan pada final Terbuka Jepun, tidak berdepan halangan besar dalam meraih emas.

Cabaran badminton negara turut digalas Muhammad Hafiz Hashim, beregu Tan Boon Heong-Koo Kien Keat.

Acara terjun juga berpotensi menjelmakan emas menerusi penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong, yang memenangi dua pingat perak pada sukan Olimpik Remaja baru-baru ini.

Acara lelaki juga mempertaruhkan penerjun terbaik negara, Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee.

Dalam keghairahan memburu emas menerusi acara yang sememangnya dikuasai atlet negara, acara lain seperti hoki tidak meletakan sasaran tinggi, sebaliknya sekadar menjadikan Sukan Komanwel sebagai medan menguji kekuatan, sebelum menggapai misi sebenar pingat emas pada Sukan Asia bulan depan.

Kepada atlet negara, inilah masanya untuk mereka menjelmakan hasil setelah empat tahun mengadakan persiapan yang menelan belanja jutaan ringgit.

Kini rakyat Malaysia menagih apa yang disasarkan dengan harapan menggunung supaya mereka memberikan yang terbaik.

/hwa: utusan.com.my/

Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu

Dato' Seri Hishamuddin bersama Ahmad Said dan Idris Jusoh sedang melambai tangan kepada pemuda bermotor dengan 1000 buah motor yang mengiringi beliau ke sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Dataran Putra, Kg. Raja, Besut, Terengganu.
(Gambar oleh Nik Adli Pejabat Parlimen Besut)

PAS takut Ku Li dipilih calon DUN Galas

BH - 2010/10/04

GUA MUSANG: Pemimpin PAS diibaratkan `cacing kepanasan’ apabila mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) dengan mempersoalkan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razeligh Hamzah tidak layak menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah, berkata pemimpin PAS sepatutnya menumpu perhatian kepada pemilihan calon parti itu yang kini berhadapan masalah kerana ketandusan calon tempatan untuk bertanding.

“Pemimpin PAS seolah-olah tidak yakin dengan perjuangannya sendiri dan ingin mengajar UMNO serta BN supaya tidak melantik Ku Li (Tengku Razaleigh) menjadi calon DUN Galas pada pilihan raya kecil itu,” katanya ketika ditemui di Bandar Ciku, dekat sini, petang semalam.

Nozula yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, berkata niat pemimpin PAS yang membuat kenyataan tidak berasas itu hanya untuk mendapat simpati rakyat kawasan DUN Galas supaya menyokongnya.

Katanya, mereka terpaksa membuat pelbagai spekulasi dalam usaha melemah-
kan jentera UMNO, sedangkan hakikat sebenarnya mereka takut berdepan dengan calon BN berikutan kawasan itu lubuk kuat UMNO di Kelantan.

“Jika PAS rasa hendak kalah, lebih baik menarik diri lebih awal sebelum hari penamaan calon. Ku Li lebih bijak serta berpengalaman dalam menghadapi pilihan raya dan sebab itu diberi kepercayaan sebagai pengarah pilihan raya BN DUN Galas,” katanya.

Sementara itu, jentera BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas mula digerakkan dengan membuka bilik gerakan serta memasang bendera, walaupun Suruhan Pilihan Raya (SPR) belum membuat sebarang pengumuman mengenai hari penamaan calon.

Timbalan Ketua UMNO cawangan Kampung Tiong Baru, Roslan Rashid, berkata bilik gerakan dibuka sejak empat hari lalu, selain program gotong-royong diadakan bagi membersihkan balai raya sebagai pusat mesyuarat dan pertemuan.

“Ahli UMNO cawangan ini beramai-ramai memasang bendera BN supaya nampak lebih bersemangat dalam menghadapi pilihan raya kecil itu,” katanya.

Roslan berkata, sebelum Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh pulang dari London, lebih baik jentera peringkat bawahan membuat persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.

/hwa: bharian.com.my/

Anwar halang Zaid guna media arus perdana

BH - 2010/10/04

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, melakukan ‘serangan’ terhadap Datuk Zaid Ibrahim yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu, dengan memberi amaran supaya tidak menggunakan media arus perdana yang dikatakan musuh pakatan pembangkang.

Anwar secara sinis berkata, sesetengah calon memilih membuat teguran malah mengkritik kepemimpinan parti dengan menggunakan platform media arus perdana.

“Calon (yang bertanding) seharusnya berwaspada agar tidak dieksploitasi oleh media Umno untuk menyerang polisi dan pemimpin kita.

“Jangan benarkan parti digunakan oleh media Umno dan propaganda (mereka),” katanya pada diskusi panel 'In conversation with Anwar Ibrahim, Raja Petra and Tian Chua' di London, Sabtu lalu. Kenyataan Anwar itu disiarkan portal berita pembangkang, suara-keadilan.com.

Kerusi timbalan presiden bakal ditandingi Zaid, Mohamed Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub.

Bagaimanapun, calon lain seperti Menteri Besar Selangor, Tan Khalid Ibrahim dan Pengarah Strategi PKR, Tian Chua belum menyatakan pendirian mereka untuk bertanding jawatan itu atau tidak.

PKR meminda perlembagaannya tahun lalu untuk mengadakan pemilihan parti menggunakan sistem satu ahli satu undi.

Kira-kira 400,000 ahli akan mengundi untuk memilih kepimpinan pusat mulai hujung bulan ini selama tiga minggu sebelum kongres nasional parti November ini.

Sebelum ini, Zaid yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ditemubual akhbar arus perdana.

/hwa: bharian.com.my/

Pemilihan cabang PKR beberapa negeri kecoh

PETUGAS menenteramkan beberapa penyokong calon ketua cabang, V Chandrasekharan dan Shamsulanuar Abdullah kerana membantah proses pengundian dijalankan.

BH - 2010/10/04

Oleh Kandau Sidi, Nazura Ngah, Nahar Tajri, Mohd Azrone Sarabatin, S Anand Kumar, Haspaizi Mohd Zain dan Zanariah Abd Mutalib

Ahli parti dakwa berlaku kelemahan dalam proses pengundian


KUALA LUMPUR: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat cabang di beberapa negeri semalam terus menyaksikan kekecohan apabila segelintir ahli parti mendakwa berlaku kelemahan dalam proses pengundian.

Di KULIM, cabang PKR Padang Serai kecoh apabila dua calon yang bertanding membantah proses pengundian yang didakwa tercemar dengan penipuan membabitkan pengundi bawah umur.

Kekecohan berlaku 10 minit sebelum tempoh pengundian tamat apabila calon Ketua Cabang, V Chandrasekharan dan penyokongnya meminta proses pengundian dibatalkan kerana mendakwa penyandang jawatan itu, P Gobalakrishnan yang juga Ahli Parlimen Padang Serai menggunakan pengundi bawah umur serta meletakkan penyokongnya sebagai petugas pemilihan.

Keadaan bertambah hangat apabila penyokong seorang lagi calon, Shamsulanuar Abdullah pula mengemukakan protes atas alasan sama.

Sementara itu, 20 anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang didakwa sebagai pengundi bawah umur dan baru keluar dari mesyuarat AMK ditahan oleh penyokong calon yang memprotes. Keadaan itu menyebabkan beberapa AMK terbabit dan kumpulan penyokong berkenaan hampir bergaduh.

Di PENAMPANG, mesyuarat cabang itu kecoh lagi apabila seorang calon ketua cabang membuat laporan polis kerana mendakwa perjalanan mesyuarat bercanggah dengan perlembagaan apabila ramai perwakilan didapati tidak layak mengundi.

Sebelum ini, mesyuarat diadakan pertengahan bulan lalu turut kecoh dan tidak sah menyebabkan pemilihan diadakan semula semalam.

Seorang calon ketua Cabang, Innocent Makajil, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 11.30 pagi akibat tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat yang berlangsung di Pusat Komuniti Tuavon.

Di SELAYANG, kira-kira 500 ahli tidak dapat mengundi kepemimpinan cabang kerana nama tidak tersenarai dalam daftar ahli.

Calon ketua cabang yang juga Ahli Parlimen Selayang, William Leong, berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan ada di kalangan ahli terbabit aktif dalam aktiviti PKR sebelum ini.

Di AMPANG, berlaku pertengkaran mulut apabila seorang ahli parti mendakwa terdapat individu yang meraih undi bagi calon tertentu di kawasan pengundian.

Di MIRI, mesyuarat di cabang Sibuti terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditentukan berikutan kekurangan ‘kuorum’.

/hwa: bharian.com.my/

Tun Mahathir kian sihat

Bernama - 2010/10/04

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi respons baik terhadap rawatan yang beliau terima di Epworth Hospital Melbourne Australia, selepas dimasukkan ke hospital itu kerana mengadu sakit dada kelmarin.

“Doktor gembira dengan perkembangan kesihatan Dr Mahathir dan beliau memberi respons baik kepada rawatan anti-biotik serta fisioterafi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat bekas Perdana Menteri itu di sini semalam.

Pagi semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir melawat bapanya di hospital itu dan menikmati sarapan bersama beliau dan ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Kenyataan berkenaan berkata, doktor menasihati Dr Mahathir terus berehat dan memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu diletakkan di bawah pengawasan di wad biasa hospital berkenaan selama beberapa hari lagi.

“Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah juga menyampaikan salam dan penghargaan mereka kepada semua yang mengutuskan ucap selamat dan mendoakan agar beliau lekas sembuh,” kata kenyataan itu.

Dr Mahathir yang ditemani Dr Siti Hasmah, tiba di sini pada Khamis dan dijadual berucap pada seminar pembangunan insan anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne, semalam.

Oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan Dr Mahathir meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang singgah di Melbourne selepas menghadiri Persidangan Forbes Global CEO di Sydney, berucap bagi pihak beliau pada seminar itu. – BERNAMA

/hwa: bharian.com.my/

RPK kecewa dengan Anwar

BH - 4/10/10

Oleh Faiza Zainudin

Penulis blog tak puas hati pembangkang tidak tunai janji

KUALA LUMPUR: Penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin berhasrat menarik balik sokongan terhadap Pakatan Pembangkang yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berikutan perikatan tiga parti politik pembangkang itu gagal menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Ancaman itu disuarakannya kepada Anwar dalam satu sesi dialog bersama kira-kira 350 rakyat Malaysia di London semalam yang menyaksikan penulis yang menjadi buruan polis itu hilang sabar dan memberi kata dua kepada Anwar yang juga ketua pembangkang supaya menunaikan janji yang dibuat sebelum ini untuk mengubah landskap politik negara.

Kenyataan Raja Petra itu kemudian disiarkan beberapa blog di negara ini, selain portal berita.

Berita Harian turut mendapat pengesahan daripada seorang penulis blog yang menghubungi penganjur majlis itu di London, Ben Singh, yang turut mengesahkan kenyataan Raja Petra berkenaan.

Pada majlis dialog itu yang turut dihadiri Anwar dan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, Raja Petra turut memaksa Anwar menyatakan pendiriannya terhadap masyarakat madani yang menjadi tumpuan pelbagai gerakan akar umbi di Malaysia dan mencabar pakatan pembangkang berhubung komitmen mereka terhadap pembaharuan yang hendak dibawa dan dilaksanakan.

Raja Petra berkata, sebelum Mac 2008, mereka berbincang dalam tempoh berbulan dan merangka Deklarasi Rakyat yang menjadi versi kemas kini kepada Agenda Untuk Perubahan yang dirangka Anwar sendiri ketika berada di penjara.

Beliau berkata, deklarasi itu yang merangkumi pelbagai isu membabitkan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik dikemukakan kepada tiga parti politik yang membentuk pakatan pembangkang dan parti pembangkang lain.

Katanya, mereka kemudian menemui rakyat dan berkempen di seluruh negara.

“Bagaimanapun, saya tidak puas hati kerana pakatan pembangkang belum lagi menunaikan janji yang digariskan dalam manifesto walaupun menguasai pemerintahan beberapa kerajaan negeri sepanjang dua setengah tahun lalu.

“Saya juga kecewa dengan sikap tidak berkaliber calon pakatan pembangkang yang bertanding dalam PRU lalu dan menawarkan ‘calon yang berwibawa untuk bertanding mewakili pakatan pembangkang’,” katanya.

Raja Petra turut mempersoalkan isu ramai pemimpin pakatan pembangkang terpaksa bertanding di dua kerusi Parlimen dan DUN, manakala beberapa wakil rakyat yang dipilih pula akhirnya bertindak keluar parti, menyebabkan Barisan Nasional (BN) mengambil alih Perak awal 2009.

Raja Petra berkata, pakatan pembangkang diberi tempoh dua setengah tahun, tetapi tiada pembaharuan tunggal dilaksanakan sehingga kini.

Beliau berkata, rakyat memahami sesetengah pembaharuan boleh dilaksanakan segera atau dalam tempoh dua tahun dan ada yang akan mengambil masa sehingga 20 tahun.

“Jika ada pelaksanaan, kita akan gembira dan terus menyokong pakatan pembangkang dalam setiap pilihan raya kecil seperti di DUN Galas dan pilihan raya umum,” katanya.

Raja Petra berkata, pakatan pembangkang perlu menyedari ‘rakyat adalah tuan’ dan perikatan pembangkang berusia dua setengah tahun itu perlu menyelesaikan beberapa isu jika mahu membentuk Kerajaan Pusat.

/hwa: utusan.com.my/

BN Kelantan guna modul di Manek Urai

UM - 4/10/10

BACHOK 3 Okt. - Barisan Nasional (BN) negeri akan menggunakan modul di Manek Urai pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang bakal diadakan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, modul dan gerak kerja serta kempen politik di Manek Urai adalah yang terbaik pernah dicapai oleh BN sebelum ini berbanding pilihan raya kecil lain yang pernah diadakan di negeri ini.

"Bagaimanapun ia perlu diubah suai sedikit mengikut keperluan dan lokasi setempat terutama di Galas yang berbeza dari segi latar belakang penduduknya," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata kepada pemberita semasa menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Bachok (PPD) Tangok di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima daripada Pas akibat barah paru-paru pada 27 September lalu.

Pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai, calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tewas tipis 65 undi kepada calon Pas, Fauzi Abdullah berbanding majoriti yang di perolehi Pas pada pilihan raya Umum lepas sebanyak 1,352 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan pengundian untuk Pilihan Raya Kecil DUN Galas.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, antara perbezaan di DUN Galas adalah kewujudan pengundi masyarakat Orang Asli dan kaum Cina yang tidak terdapat di Manek Urai.

Katanya, ini bermakna tumpuan khusus akan diberi terutama di kawasan perkampungan Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman Gua Musang.

"Selain itu, pengundi Galas juga tidak suka kehadiran petugas yang ramai sehingga mengganggu kehidupan mereka seharian dan kaedah untuk mengatasinya perlu dirangka mulai sekarang," katanya.

Beliau berkata, bagi membolehkan UMNO dan BN memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil itu, Konvensyen UMNO Kelantan yang dijadual pada 15 Oktober ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang ditunda ke tarikh lain.

/hwa: utusan.com.my/

Raja Petra ancam berhenti sokong pakatan pembangkang

UM - 4/10/10

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengkritik secara terbuka pakatan pembangkang kerana masih gagal menunaikan beberapa janji walaupun menguasai beberapa negeri.

Serentak dengan itu, beliau mengancam untuk berhenti menyokong pakatan pembangkang jika segala janji yang dibuat pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 tidak dipenuhi.

Beliau menyatakan pendirian itu pada satu sesi dialog bersama rakyat Malaysia di London yang turut disertai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan disiarkan melalui portal berita propembangkang, Malaysian Insider hari ini.

Raja Petra yang tidak berpuas hati terhadap pencapaian pakatan pembangkang setelah dua tahun memerintah beberapa negeri, memberi kata dua kepada Anwar supaya segera menunaikan beberapa janji jika mahu membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

Menjawab kenyataan Raja Petra itu, Anwar berkata, rakyat perlu memahami bahawa pembaharuan yang dilaksanakan pakatan pembangkang membantu pihaknya untuk berada di Putrajaya bagi melakukan semua pembaharuan yang dijanjikan itu.

Bagaimanapun, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari (gambar) percaya ancaman Raja Petra yang mahu menarik diri daripada menyokong pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas merupakan satu lagi sandiwara yang dirancang penulis blog itu bersama Penasihat PKR itu.

Beliau ketika dihubungi hari ini memberitahu, tindakan itu bagi mengalih perhatian rakyat terhadap krisis dalaman yang berlaku dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung di seluruh negara kini.

Kata Anuar, kenyataan yang dibuat penulis blog Malaysia Today itu bukan sesuatu yang mengejutkan atau perkara baru.

"Ia adalah kenyataan yang diulang semula, kali ini untuk mengalihkan perhatian semua terhadap isu dalaman PKR. Raja Petra selalu berkata demikian terutama apabila ada pilihan raya, jadi ia bukan perkara baru," katanya.

Anuar menambah, jelas sekali sandiwara terbaru Raja Petra itu menunjukkan bahawa selama ini dia sememangnya ditaja dan dibiayai oleh PKR.

"Jika benar Raja Petra mahu berhenti sokong Anwar ataupun pakatan pembangkang kerana gagal penuhi manifesto pilihan raya umum, dia sepatutnya sudah lama berbuat demikian.

"Kenapa dia masih tidak tinggalkan pakatan pembangkang sedangkan banyak perkara yang tidak ditunaikan mereka sebelum ini," katanya.

Malah Anuar berkata, Anwar sendiri tidak terkejut atau bimbang dengan ancaman Raja Petra itu kerana ia adalah sandiwara mereka berdua.

/hwa: utusan.com.my/

Kuala Selangor tak calon Khalid, Azmin

UM - 4/10/10

KUALA SELANGOR 3 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor tidak mencalonkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau pun Naib Presiden, Azmin Ali untuk merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan peringkat pusat parti itu pada November ini.

Kedua-dua pemimpin itu sebaliknya dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden bersama dua lagi calon iaitu Mustafa Kamil Ayob (penyandang naib presiden) dan Suresh Kumar (Cabang Puchong) selepas diputuskan dalam mesyuarat agung cabang itu yang berlangsung selama dua setengah jam bermula pada pukul 2 petang ini.

Mesyuarat yang dihadiri 90 daripada 6,218 orang itu juga memutuskan mencalonkan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden dan presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

Menurut Abdul Khalid, pada mulanya beliau dicalonkan sebagai Timbalan Presiden, tetapi selepas nama Wan Azizah turut dinamakan sebagai calon, beliau mengambil keputusan untuk mengundur diri bagi memberi laluan kepada wanita itu.

Katanya, beliau juga mencadangkan agar Wan Azizah dicalonkan sebagai Presiden tetapi mesyuarat sebulat suara memilih Anwar.

"Bila terdapat pertandingan antara Wan Azizah dan saya untuk jawatan Timbalan Presiden, saya rasa beliau lebih pengalaman.

"Bagaimanapun keputusan itu tidak akan menyekat saya untuk bertanding jawatan tersebut.

"Apa pun keputusan sama ada bertanding atau tidak (untuk jawatan Timbalan Presiden) hanya akan saya putuskan pada 5 Oktober nanti," kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat berakhir di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini petang ini.

Sementara itu, keputusan pemilihan bagi Cabang Kuala Selangor lewat malam ini menyaksikan Abdul Khalid masih mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang.

Abdul Khalid yang mendapat 722 undi mengalahkan dua pencabarnya iaitu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, Mazli Saring dan seorang anggota biasa yang juga bekas guru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah.

Ahli-ahli PKR Cabang Kuala Selangor turut memilih K. Tanarshu sebagai Timbalan Ketua Cabang, Lim Lai Seng sebagai Naib Ketua, Ketua Wanita, Mariana Abdullah dan M. Rajendran sebagai Ketua AMK.

Kemenangan Abdul Khalid ini sekali gus membuktikan kepimpinan beliau masih diperlukan di Kuala Selangor dan usaha-usaha untuk menamatkan kuasa politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu tidak berhasil.

/hwa: utusan.com.my/

3 Oktober 2010

Dikir Besut Versi Raya

Dikir Besut... YB. Dato' Seri Hisamuddin bersama Menteri Besar Terengganu dan Dato' Seri Idris sama berdikir.

***

Beruntung benar menjadi ore Besut
ada Pusat Minda fikiran tidak kusut
budak-budak baik fiil perangai meme good
jadi ore hebat dari awal pah ko sut.

Ada Sekolah IMTIAZ sekolah meme hebat
generasi pintar generasi Ulul Albab
ilmu dunia serta ilmu akhirat
supaya menjadi pembimbing masyarakat.

Masjid Hadhari masjid terkini
tengah bandar Jertih meme comey sekali
tempat beribadat menyucikan diri
Islam Hadhari jadi inpirasi.

***chorus
Beruntung benar menjadi ore Besut
ada Pusat Minda fikiran tidak kusut
budak-budak baik fiil perangai meme good
jadi ore hebat dari awal pah ko sut.


Rakyat hidup makmur rakyat hidup aman
derak gi mari banyak tempat comey-comey
ado perhentian, Pulau Rhu, Bukit Keluang
mari ramai-ramai kita pakat gi jale.

Masyarakat hidup bersatu padu
tidak kira bangsa India, Cina, Melayu
laki lawa-lawa perempuan beautiful
Itulah special daerah Besut ku.

***chorus
Beruntung benar menjadi ore Besut
ada Pusat Minda fikiran tidak kusut
budak-budak baik fiil perangai meme good
jadi ore hebat dari awal pah ko sut.


(Lirik: YB Dato' Seri Idris Jusoh)

Jangan terlepas kuasa politik

MM - 3/10/10


NAJIB Tun Razak bersama sebahagian ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia melaungkan 1Malaysia selepas menerima Anugerah Sandang Mahkota Seri Bintang Pelangi yang membawa gelaran Imam Khalifah Agong PSSGM Kebangsaan di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Okt. - Orang Melayu diingatkan bahawa kuasa politik yang diperoleh mereka menerusi pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah senjata paling tajam yang perlu dipertahankan supaya tidak terlepas ke tangan orang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sokongan terhadap BN adalah penting kerana ia satu-satunya parti yang benar-benar berjuang atas landasan bangsa, agama dan tanah air.

"Ingatlah bahawa senjata yang paling tajam sekali bukan keris, sebaliknya adalah kuasa politik di tangan kita.

"Sebab itu, pesanan oleh pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Mohd. Hashim satu ketika dahulu adalah 'kalau ada dulang jangan biar ia terhempas, kalau ada kuasa jangan biar kuasa ini terlepas ke tangan orang lain.'

"Inilah asas kepada segala-galanya. Selagi ada kuasa, insya-Allah ada esok lagi untuk kita semua. Sebab itu, rapatlah barisan kita, masuklah dalam barisan dan teruskan perjuangan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Gayong Perdana 2010 dan sambutan Hari Raya Aidilfitri PSSGM yang dihadiri kira-kira 5,000 ahli pertubuhan itu di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Penaung Agung PSSGM Kebangsaan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Yang Dipertua pertubuhan itu, Datuk Adiwijaya Abdullah.

Dalam pada itu, Najib menggesa supaya segala nilai-nilai murni dalam amalan persilatan termasuk yang diterapkan oleh PSSGM dijadikan wadah dan pemangkin untuk mewujudkan bangsa Malaysia maju pada abad ke-21.

Menurut Perdana Menteri, perkara sama telah dibuat oleh masyarakat Jepun sebelum ini apabila menggunakan kod prinsip-prinsip moral pahlawan Samurai yang dikenali sebagai 'bushido' bagi mewujudkan bangsa yang berjaya.

"Abad ke-21 bukan abad yang mana kekuatan tentera merupakan kuasa yang dapat kekal selama-lamanya, sebaliknya kejayaan sesuatu tamadun ini adalah berdasarkan kepada kekuatan minda dan nilai.

"Kita juga tidak boleh berjaya sebagai sebuah bangsa atas semangat atau laungan semata-mata. Untuk maju, semua pihak termasuk pengamal seni silat perlu tahu hala tuju dan landasan perjuangan mereka," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, pengamal seni silat termasuk ahli-ahli PSSGM boleh dianggap sebagai barisan ketiga pertahanan yang sanggup berkorban dan menyumbang untuk mempertahankan kedaulatan negara jika diserang musuh.

Beliau menjelaskan, barisan pertama pertahanan negara adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala barisan kedua adalah Askar Wataniah.

"Hari ini apabila saya melihat anak-anak muda di hadapan saya ini, ia seolah-olah saya berhadapan dengan sebuah angkatan anak-anak Melayu yang sudi menghadapi apa juga yang mungkin mencabar kedaulatan negara," katanya.

Pada majlis itu, Najib dianugerahkan sandang tertinggi PSSGM yang membawa gelaran 'Mahkota Agung Seri Bintang Pelangi', sekali gus menjadikan beliau sebagai 'Imam Khalifah Agung' kepada kira-kira tiga juta ahli pertubuhan berkenaan di seluruh negara.

Tokoh terakhir yang menerima anugerah itu sebelum ini ialah bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Anugerah sandang itu tergolong di dalam susunan sandang kehormat PSSGM yang hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu, pemimpin tertinggi negara atau negeri bagi melambangkan ketaatan ahli silat seni gayong kepada kepimpinan sedia ada.

Najib dalam ucapannya turut melahirkan perasaan terharu diberikan anugerah itu yang disifatkan sebagai penghormatan besar terhadap dirinya.

/hwa: utusan.com.my/

Hak Melayu dalam MBE terjamin - TPM

MM - 3/10/10


TUANKU Mizan Zainal Abidin diiringi Muhyiddin Yassin di Majlis Malam Simfoni Amal Diraja 'Harmoni Itu Indah' di Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Orang Melayu dan bumiputera tidak perlu khuatir dengan kedudukan hak mereka dalam Model Baru Ekonomi (MBE) kerana ia akan terus dilindungi, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun ia tidak dihuraikan secara terperinci, terangkum di dalam model berkenaan adalah aspek penyertaan usahawan Melayu dan bumiputera.

Katanya, pemimpin Melayu dan bumiputera juga sedia maklum bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa kerajaan menjadikan perkara berkenaan satu komitmen.

"Saya sendiri menerima maklum balas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pengusaha bumiputera yang melawat dari satu galeri ke satu galeri pada hari terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini dan mereka bertanya di mana agenda bumiputera?

"Pastinya kita tidak jelaskan itu tapi tanpa menghuraikannya satu persatu (sekalipun), pastinya pimpinan ekonomi Melayu tahu bahawa penglibatan bumiputera dalam MBE telah menjadi komitmen yang dinyatakan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan ringkas pada Majlis Mesra Aidilfitri Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay, Presiden DPMM, Syed Ali Al Attas dan Timbalannya, Datuk Muhammad Alayuddin.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut memberikan sokongan penuh terhadap penubuhan makmal 'Agenda Melayu' oleh DPMM sebagaimana diumumkan oleh Syed Ali dalam ucapan alu-aluannya.

Beliau yakin inisiatif DPMM itu selari dengan kehendak pimpinan kerajaan yang mahu memastikan dasar afirmatif terhadap orang Melayu dan bumiputera kekal dalam MBE.

Beliau berkata, apa yang lebih penting pimpinan DPMM boleh membantu kerajaan menterjemahkan hasrat berkenaan secara terperinci.

"Sebab itu kita mahu pengusaha bumiputera berganding bahu mengambil ini (MBE) sebagai satu tawaran dan bukan sebagai cabaran.

"Melaluinya, kita berpeluang meneliti secara dekat bagaimana masyarakat bumiputera boleh terlibat dalam 12 NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) yang telah dikenal pasti," katanya.

NKEA yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) adalah minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan, komunikasi, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.

Daripada 12 NKEA itu, 11 daripadanya membabitkan sektor industri dan satu - Greater Kuala Lumpur - adalah kawasan geografi.

/hwa: utusan.com.my/

Dikir Besut

MM - 3/10/10


Hishamuddin Tun Hussein, Ahmad Said, Idris Jusoh dan sebahagian pemimpin UMNO Terengganu bersemangat ketika mempersembahkan Dikir Besut di Kampung Raja, semalam. – MINGGUAN/azlan baharum

Kira-kira 10,000 orang yang memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dataran Putera, Jerteh, Terengganu teruja dengan aksi spontan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mencuit hati dengan berdikir bersama para pemimpin UMNO negeri di atas pentas.

Ia bermula sewaktu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menyampaikan ucapan sebelum meminta kumpulan dikir Gabungan Muzik Tradisional (Gamutra) yang dinaungi Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh memainkan semula lagu Dikir Besut.

Sejurus selesai berucap, beliau kemudian mempelawa semua pemimpin tertinggi UMNO negeri yang hadir untuk naik ke pentas sebelum duduk bersila bersama-sama mempersembahkan lagu Dikir Besut.

/hwa: utusan.com.my/

Pertahan kuasa politik

BM - 2010/10/02

PM terima anugerah kehormat Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta orang Melayu supaya 'rapat dan masuk barisan' untuk meneruskan perjuangan kerana kuasa politik adalah senjata paling tajam yang perlu dipertahankan.

Perdana Menteri mengingatkan, kuasa yang dimiliki adalah asas kepada segala perjuangan dalam landasan agama, bangsa dan negara, justeru jangan membiarkannya terlepas ke tangan orang lain.

"Ingatlah bahawa senjata paling tajam bukan keris tetapi kuasa politik yang ada di tangan kita. Selagi ada kuasa, Insya-Allah, ada esok lagi untuk kita semua(meneruskan perjuangan).

“Sebab itu, rapatlah barisan kita, masuklah dalam barisan, dan teruskan perjuangan kerana kitalah satu-satunya parti yang berjuang benar-benar atas landasan bangsa, agama dan tanah air kita,” katanya berucap merasmikan Majlis Perdana Gayong Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) dan Sambutan Hari Raya bersama Perdana Menteri di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan bahawa hanya bangsa yang dapat menguasai minda mengatasi orang lain akan berjaya dalam persaingan abad ke-21 ini.

Beliau berkata, abad ke-21 bukan abad di mana kekuasaan ketenteraan menjadi kuasa yang dapat kekal selamanya, malah jika diimbau kembali sejarah dan tamadun manusia, empayar yang bersandarkan kepada kekuatan ketenteraan tidak kekal.

“Tamadun akan naik dan tamadun akan runtuh pada akhirnya sekiranya sesebuah tamadun itu tidak didasarkan kepada kekuatan minda dan nilai. Sebab itulah saya ingin kita semua menyedari hakikat ini bahawa kita perlu menjadi anak Gayong dan bangsa Melayu yang cemerlang dalam abad ke-21 ini.

“Kita tidak mahu melihat sesiapa menghina, memperlekeh dan memperkotak-katikkan kita. Ingatlah hanya kekuatan hakiki yang boleh menentukan kelangsungan bangsa, agama dan negara kita, insya-Allah,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Memahami isu ‘rasis’ di sebalik fasal 153

MM - 3/10/10

MENARIK sekali apabila kita mengenangkan begitu banyak pihak yang merujuk Fasal 153 Perlembagaan ketika memperkatakan hal-hal hak keistimewaan orang Melayu dan Pribumi di Sabah dan Sarawak. Sebelum berganjak daripada hakikat ini, elok juga disebutkan bahawa Fasal 153 juga menjamin hak bukan Melayu/Pribumi menghayati apa yang telah mereka hayati selama ini.

Fasal 153 juga boleh diibaratkan seperti serampang dua mata atau pisau yang tajam dua belah. Disamping menjamin hak-hak Melayu/Pribumi secara langsung, ia mempastikan bahawa tiada undang-undang yang boleh dibuat bagi menjejas atau menghakiskan apa yang sudah dihayati oleh bukan Melayu/Pribumi dalam semua lapangan.

Premis ini mencerminkan kesimpulan yang dicapai setelah berlakunya proses tawar menawar dan tolak ansur antara kedua-dua pihak sebelum ianya dimasukkan sebagai satu peruntukan perlembagaan sebelum Tanah Melayu atau Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 ataupun dalam proses melalui tempoh kemerdekaan sehinggalah penubuhan Malaysia dan seterusnya.

Mengkaji Fasal ini membawa kita kepada realiti kehidupan masyarakat majmuk dan segala permasaalahannya dalam sinario sebuah negara. Di suatu peringkat, soal-soal berkenaan kuota peratusan Melayu/Pribumi dalam universiti diperuntukkan, dan di peringkat lain pula kuota dan jumlah permit/lesen Melayu/Pribumi, berbanding dengan etnik lain, dalam pelbagai aspek perniagaan, diberikan jaminan.

Suatu yang menarik dalam Fasal 153 ini ialah ia memberikan hak kepada pihak negeri membuat peruntukan yang sama dalam perlembagaan masing-masing. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah hendak menguatkan lagi maksud dan penguatkuasaan Fasal 153 ini takut kalau-kalau terdapat sebarang lacuna atau halangan kecil dan besar di peringkat negeri atau setempat, baik berbentuk undang-undang atau sebagainya, yang boleh mengakibatkan maksud Fasal 153 ini menghadapi masalah pelaksanaan dan penguatkuasaan.

Peruntukan perlembagaan atau mana-mana undang-undang di seantero dunia kini diberikan interpretasi menurut pertama, bahasa dan pengertian biasa bagaimana sesuatu undang-undang ditulis, dan kedua, sekiranya yang pertama itu masih lagi tidak jelas, konsep teleological dipakai. Teleological atau sinominnya purposive ialah pendekatan yang menekankan apakah maksud asal disebalik sesuatu undang-undang itu dibuat.

Ini dengan sendirinya membawa kita kepada suatu masa dan sinario, mungkin berdekad dan berpuloh tahun dulu, ketika berlakunya sesuatu perkembangan sosial-budaya, ekonomi dan politik yang memungkinkan sesuatu peruntukan undang-undang digubalkan. Undang-undang, seperti juga dalam hal-hal lain, tidak wujud dalam kekosongan. Ia terangkum dalam hukum sebab-akibat yang lebih luas.

Bercakap tentang perlembagaan, adalah relevan disebut bahawa Perlembagaan British sentiasa dirujuk zaman berzaman sebagai tidak bertulis. Sebenarnya ianya bertulis, tetapi bukan dalam bentuk sebuah buku genap seperti Perlembagaan Malaysia.

Mendekati

Sesiapa yang memahami kaedah bahasa Inggeris sedar bahawa pemeriannya, atau expressionnya, sering abstrak untuk menarik naluri ingin tahu agar kita mendekatinya lebih mendalam. Ketika mendekati perlembagaan British, kita akan dapati ianya satu pengumpulan keputusan para hakim atau pemimpin masyarakat, di buat dalam mahkamah atau institusi adat istiadat dari satu masa ke satu masa.

Jelaslah keputusan-keputusan itu mencerminkan percubaan menyelesaikan masalah hidup dari peringkat istana ke peringkat rakyat biasa, dari peringkat hubungan antarabangsa hingga hubungan keluarga dan individu dalam serbi serbi kepelbagaian. Ianya dihimpunkan begitu tebal, jelas sekali ianya tidak dibuat menurut satu inisiatif khas dalam satu jangkawaktu yang ditetapkan.

Justeru itu, wujudlah pemikiran di kalangan pengamal undang-undang, terutama hakim-hakim dan peguam-peguam yang berwibawa di Britain, iaitu membuat interpretasi undang-undang harus jangan lari daripada memahami latar belakang maksud sesebuah undang-undang itu dibuat.

Maka sejarah dan peringkat-peringkat peradaban menjadi faktor rujukan. Memandangkan Britain menjadi negara industri pertama mencapai tahap negara maju melalui Revolusi Industrinya dari abad 18 hingga abad 19, maka banyak peruntukan perlembagaannya mencerminkan masalah dan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan kerenah kehidupan dan perdagangan dalam proses penerusan revolusi itu yang memakan masa amat lama.

Sebaliknya di Malaysia, perjalanan negara amat berbeza daripada di Britain. Kita tiada revolusi industri dan revolusi lain. Sebaliknya di sana masalah ras dan hubugan ras amat kecil berbanding dengan apa yang dihadapi Malaysia. Rakyat imigrannya hanya dua peratus daripada jumlah rakyatnya. Maka masalah 'rasisme' tidaklah seberapa. Itupun sebahagian besar imigran hanya terdiri daripada orang India dan Pakistan, ekoran pemisahan dan kemerdekaan India dan Pakistan lebih 60 tahun dulu. Mereka yang bekerja rapat dengan penjajah British diberikan keutamaan berhijrah ke sana.

Disebabkan kecilnya peratusan rakyat imigran, maka perlembagaan Britain tidak begitu genap bagi menampung masalah yang ditimbulkan oleh rakyat imigran. Baru sekarang undang-undang dan perlembagaan hendak dikemaskinikan, tetapi bukan tanpa masalah besar memandangkan semua pihak amat termaklum dan berpendidikan.

Walaupun British mengenakan syarat dan kuota amat ketat, 1 hingga 2 peratus, untuk menerima rakyat imigran, namun untuk Tanah Melayu atau Malaya, British bersikap amat liberal. Ia mengenakan kuota 25 hingga 30 peratus untuk kemasukan imigran dari negara China dan 5 hingga 10 peratus dari India. Semuanya demi sumbangan kepada ekonomi British. Mereka berfungsi di ladang kopi, lombong bijih timah, ladang getah serta cetusannya.

Jika negara-negara jiran yang mempunyai rakyat yang rata-rata satu ras, atau homogenous, menghadapi masalah hubungan kemanusiaan, maka Malaysia yang mempunyai rakyat yang heterogenous (pelbagai ras/etnik) sewajarnya tidak kurang masalahnya. Maka Fasal 153 adalah satu percubaan untuk mengurangkan masalah itu, walaupun mustahil menghapuskannya.

/hwa: utusan.com.my/

Judi dan kelas

MM - 3/10/10

Sekali lagi reputasi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjadi tanda tanya besar. Terbaru, dalam isu kerajaan negeri menggunakan wang daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan.

Sebelum ini, beliau bermati-matian menafikan kerajaan pimpinannya berbuat demikian.

Tetapi apabila bukti penerimaan wang itu didedahkan, beliau akhirnya terpaksa mengaku.

Apa yang turut mengecewakan ialah sikap pemimpin PKR dan Pas dalam kerajaan negeri yang sama bersubahat dengan Guan Eng.

Awang faham mereka mahu menjaga kedudukan. Namun ia tidak bermakna yang haram mahu dihalalkan. Haram tetap haram.

Seperti biasa apabila isu seperti itu dilihat menjejaskan imej pembangkang maka pihak lain termasuk UMNO pula dituduh dan dijadikan sasaran.

Mengalihkan dan mengelirukan isu sebenar memang kepakaran DAP dan PKR. Amat mudah untuk mengenal karakter pemimpin mereka walaupun berselindung di sebalik kostum badut.

Nasihat Awang kepada Guan Eng, berhentilah daripada menjaja falsafah Khalifah Umar Abdul Aziz, kalau beliau sendiri kelihatan tidak bersih.

Janganlah mempergunakan Islam sekadar untuk meraih sokongan. Ironinya, ramai orang Islam di negeri itu merasa tertekan di bawah kepimpinan beliau. Itu belum bercakap tentang ketidakadilan dan penyisihan kaum secara terancang.

Selama ini pemimpin DAP kerap melaung-laungkan tentang mentaliti pengurusan kelas pertama jika mereka memerintah sama ada di negeri mahu pun pusat. Kononnya akan setaraf dengan Singapura.

Yang Awang nampak dalam pentadbiran Guan Eng - bercakap dan berjanji - mungkin bertaraf kelas pertama tetapi dari segi pengurusan, belum ada kelas.

/hwa: utusan.com.my/

Kulasegaran batal hasrat lepas jawatan

MM - 3/10/10

IPOH 2 Okt. - Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang diuar-uar akan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi DAP negeri, membatalkan hasratnya itu setelah dikatakan dipujuk oleh pucuk pimpinan parti.

Beliau sepatutnya mengumumkan pendiriannya itu dalam satu sidang akhbar di Wisma DAP negeri pada pukul 10.30 pagi ini, tetapi membatalkannya kira-kira 15 minit sebelum masa yang dijanjikan.

Semalam, khabar angin bertiup kencang mengatakan Kulasegaran akan meninggalkan DAP selepas beliau menulis dalam laman Twitter akan mendedahkan apa yang kurang dalam pimpinan DAP Perak dan kenapa beliau perlu pergi dalam sidang akhbar hari ini.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasannya, Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut perkara tersebut.

''Tak apalah. Saya tidak mahu cakap apa-apa. Saya mahu pergi ke luar negara dengan keluarga selama seminggu," katanya di sini hari ini.

/hwa: utusan.com.my/

14 AJK Pas letak jawatan

MM - 3/10/10

ALOR SETAR 2 Okt. - Seramai 14 ahli jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Pendang termasuk Yang Dipertuanya, Abd. Rahim Abd. Rahman meletak jawatan selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri yang gagal menyelesaikan masalah dibangkitkan mereka.

Selain Yang Dipertua Pas Pendang, turut meletak jawatan ialah Naib Yang Dipertua, Setiausaha, Ketua Penerangan dan 10 orang AJK.

AJK terbabit bertindak demikian selepas berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk membangkitkan beberapa masalah dan mengemukakan cadangan.

Bagaimanapun, AJK berkenaan mengumumkan peletakan jawatan dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Pas Pendang selepas mendapati kepimpinan negeri masih gagal memenuhi permintaan mereka.

Surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pendang, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, baru-baru ini.

Mohamed Taulan yang ditemui pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri Persatuan Alumni Maktab Mahmud, dekat sini, hari ini mengesahkan beliau telah menerima surat tersebut dan satu mesyuarat akan diadakan Rabu ini bagi memutuskan perkara itu.

"Surat itu hanya menyatakan mengenai peletakan jawatan tanpa mengemukakan sebarang sebab," katanya.

Mingguan Malaysia difahamkan, tindakan itu diambil selepas kumpulan itu berpendapat suara akar umbi semakin dipinggirkan oleh kepimpinan parti yang kini menjadi kerajaan selepas menang dalam pilihan raya umum lalu.

Tujuan akar umbi membangkitkan perkara tertentu kepada kepimpinan parti adalah untuk membantu kerajaan negeri memperkemas dan memantapkan jentera pentadbiran.

"Bagi mereka, perjalanan pentadbiran negeri ketika ini tidak mencapai matlamat yang dimahukan oleh kebanyakan pemimpin Pas di peringkat kawasan," kata satu sumber kepada Mingguan Malaysia.

Azizan yang ditemui pada majlis sama mengakui terdapat beberapa isu yang menyebabkan kumpulan itu tidak berpuas hati dan bertindak meletak jawatan.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tidak ada masalah daripada tindakan tersebut dan Pas Kawasan Pendang juga tidak lumpuh kerana masih terdapat 16 AJK yang tidak mengambil tindakan sama.

Pesuruhjaya Pas Kedah itu juga menafikan tindakan itu berpunca daripada perasaan tidak puas hati AJK berkenaan terhadap beliau.

"Semua ahli Pas sayangkan saya. Tindakan meletak jawatan ini biasa. Anak-anak ini (ahli-ahli Pas) kadang-kadang merajuk. Tak ada masalah apa-apa," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/