4 September 2012

Tawar hati dengan Pas

 Mukadimah
Pada 22 Ogos 2012 bersamaan 4 Syawal 1433H, seorang insan istimewa berstatus orang kelainan upaya (OKU) iaitu Mohd. Hidzir Othman dari Kampung Rendah, Rembau, Negeri Sembilan berkunjung ke Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Mohd. Hidzir, 45, dilahirkan tanpa kedua-dua belah kaki namun beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia (PKIPM) Negeri Sembilan dan Exco PKIPM pusat tetap gagah bergerak menggunakan tangan kanan dan kirinya ‘melangkah’ memasuki pejabat Utusan Melayu.
Status OKU bukan penghalang kepada Mohd. Hidzir untuk berkecimpung dalam bidang politik. Manusia cekal ini mula menyertai UMNO sekitar 1980-an sebelum memasuki Pas pada 1990 hingga 2001 dan pernah memegang jawatan dalam parti itu. Kini, beliau kembali ke pangkuan UMNO sebagai ahli seumur hidup mulai 2004.
Pelbagai pengalaman pahit getir pernah dilaluinya semasa bersama Pas: dituduh kafir kerana mengkritik Pas dan pemimpinnya’ malah dilabel pengintip kerana menjaga silaturahim dengan rakan-rakan dalam UMNO.
Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurufoto, IRWAN MAJID bersama Mohd. Hidzir tentang pandangannya berdasarkan pengalamannya selama 11 tahun bersama parti itu dan perkembangan politik semasa negara.
UTUSAN: Boleh jelaskan penglibatan saudara dalam Pas?
MOHD. HIDZIR: Saya menyertai Pas pada 1990 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Teluk Kemang serta Setiausaha Pas Cawangan Kampung Rendah, Rembau mulai 1996 hingga 2001. Selain itu, saya terlibat secara langsung sebagai tenaga penggerak kepada penubuhan cawangan baru Pas di enam lokasi sekitar Rembau iaitu Kampung Rendah, Kampung Tanjung Sena, Pekan Rembau, Kampung Air Hitam, Kampung Pedas Gaing dan Kampung Senama serta pemulihan semula Pas Cawangan Kampung Seberang Batu Hampar dan Pas Cawangan Kampung Tanjung Berangan.
Sebelum itu, saya pernah menjadi ahli UMNO tetapi dasar Pas tentang penubuhan sebuah negara Islam dan perjuangan melaksanakan hukum hudud telah mencuit hati saya untuk memasuki parti itu. Bagaimanapun, pemerhatian saya selama 11 tahun dalam Pas mendapati parti itu tidak konsisten dan tidak istiqamah dari segi dasar perjuangan, hala tuju serta strategi politik.
Lebih memburukkan keadaan, apa sahaja perkara yang melibatkan Pas dan pemimpin-pemimpinnya tidak boleh ditegur atau dikritik. Bila saya kritik, mereka tuduh saya kafir. Saya pernah dimarahi dalam mesyuarat kerana mengkritik parti dan pemimpinnya. Saya dikatakan tidak menghormati pemimpin dan parti. Macam-macam gelaran pernah saya terima termasuk pengkhianat, petualang malah saya dituduh sebagai pengintip yang diupah UMNO untuk membongkar rahsia Pas.
Saya tidak boleh menerima perjuangan seumpama itu. Memang saya amat kecewa dengan sikap dan mentaliti Pas sehingga memaksa saya mengambil keputusan meninggalkan parti itu pada 2001.
Dasar-dasar Pas yang mana kena kritik?
Saya cuma menyuarakan kritikan terhadap hasrat Pas membuka keahlian kepada orang bukan Islam. Saya juga minta Pas jangan amalkan politik kafir mengkafir, jangan memaki hamun UMNO dan jangan mencaci serta menghina orang Islam daripada parti lain. Sebaik-baiknya, Pas jauhi dasar perjuangan sebegitu. Pas melakukan kesilapan besar apabila menanam sifat kebencian di kalangan ahli-ahlinya dan rakyat. Pemimpin-pemimpin negara dan orang Melayu yang sebangsa dan seagama menjadi sasaran kebencian. Sikap ini amat mengecewakan saya kerana Pas boleh berpeluk dengan DAP tetapi dengan UMNO hendak berjabat tangan pun tidak mahu. Bila timbul cadangan muzakarah dengan UMNO, Pas letak banyak syarat.
Walhal pemimpin Pas yang mula cetuskan hasrat bermuzakarah. Namun, setelah UMNO memberi respons positif, Pas juga yang tolak muzakarah. Pas terlalu ghairah bermain politik hingga terlupa tentang kepentingan ummah dan bangsa. Mungkin Pas takut dengan sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang. Kononnya memperjuangkan Islam tetapi dasar parti sering berubah. Saya juga dibiarkan terkontang-kanting keseorangan setiap kali dikenakan tindakan ekoran mengkritik Pas dan pemimpinnya. Tiada sokongan dan bantuan daripada ahli-ahli Pas yang lain walaupun ada di antara mereka yang menyokong saya. Namun mereka hanya berani ‘cakap-cakap belakang’ sahaja. Kalau secara terbuka mereka tak berani.
Mengapa saudara tawar hati dengan Pas?
Saya paling kecewa apabila Pas membuat keputusan untuk menerima ahli bukan Islam. Saya pernah mengemukakan surat bantahan secara terbuka dan berbincang dengan beberapa pemimpin Pas pada masa itu meminta parti jangan mengubah hala tuju perjuangannya. Jangan sesekali menerima cadangan membuka keahlian parti kepada bukan Islam. Kalau Pas terima ahli bukan Islam maknanya kita cakap tak serupa bikin.
Dulu Pas kata UMNO kafir sebab bekerjasama dengan bukan Islam tetapi Pas akhirnya mengambil tindakan yang lebih teruk daripada itu. Sekarang kita dapat melihat Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) diwujudkan. Anggota DHPP bukan lagi sekadar ahli bersekutu kerana ia telah diiktiraf sebagai salah satu sayap Pas. Maknanya ahli DHPP boleh bertanding, boleh mengundi dan boleh diundi. Jadi, orang bukan Islam pun boleh menentukan hala tuju perjuangan Pas. Bagi saya, ini satu kelemahan dan kesilapan besar yang dilakukan oleh Pas.
Adakah pemimpin-pemimpin Pas benar-benar memahami hasrat dan kehendak akar umbi?
Mereka tidak nampak kesilapan sendiri dan masalah-masalah dalaman parti kerana terlalu sibuk mencari kesalahan orang lain terutamanya pemimpin-pemimpin UMNO. Pemimpin-pemimpin Pas tidak mahu bermuhasabah diri. Sikap negatif ini sepatutnya dihapuskan sekiranya mereka benar-benar ikhlas ingin memperjuangkan Islam. Sebaliknya, mereka sentiasa mengamalkan syak wasangka, memburuk-burukkan, mencaci dan menghina umat Islam yang lain. Mana boleh buat begitu. Itulah salah satu punca umat Islam dipandang rendah oleh penganut-penganut agama lain.
Sebilangan kecil pemimpin Pas mempunyai pandangan berbeza dengan pucuk pimpinan parti. Akar umbi selalunya memihak kepada siapa?
Akar umbi Pas lebih cenderung kepada pucuk pimpinan. Mereka tidak kisah siapa yang berada di atas. Mereka tetap sokong walaupun pucuk pimpinan membuat kesilapan. Walaupun bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali pernah membuat teguran, akar umbi sukar menerimanya. Kedua-dua tokoh itu dianggap sebagai penentang pucuk pimpinan Pas. Bagi mereka, pucuk pimpinan parti tidak boleh ditegur, tidak boleh dikritik. Jika tokoh-tokoh berkaliber seperti Nasharudin dan Hasan pun tidak boleh diterima, inikan pula pandangan pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi. Semua itu berlaku kerana ahli-ahli Pas terlampau taksub kepada individu bukan kepada perjuangan.
Apakah Pas kini tidak lagi agresif memperjuangkan penubuhan negara Islam?
Secara terbuka, saya berpandangan perjuangan Pas sekarang ini sudah menyeleweng dan menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya. Saya tidak faham mengapa Pas tergamak menukar konsep perjuangannya daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Bila dikritik, pemimpin-pemimpin Pas pula berdolak-dalik dengan hujah-hujah kabur bagi mengelabui mata rakyat. Mengapa tidak berterus-terang sahaja mengatakan Pas terpaksa menggugurkan perjuangan menegakkan negara Islam kerana tekanan rakan-rakan politik dalam pakatan pembangkang. Begitu juga dengan isu hudud.
Kita tidak dapat melihat ketegasan pemimpin-pemimpin Pas bila berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mulutnya begitu celupar memperlekehkan hukum hudud. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin Pas lebih suka membuat aksi lawak murahan dengan menuding jari menyalahkan UMNO sebagai punca hudud tidak dapat dilaksanakan, sedangkan dengan Karpal - hendak angkat muka pun tak berani.
Dalam isu negara Islam dan hudud, Pas sepatutnya jangan mengalah dengan DAP. Teruskan perjuangan itu walaupun mendapat tentangan hebat daripada sekutu politiknya. Pas mesti berani kerana benar dan komited untuk mengotakan janjinya. Jangan beralah sebab tekanan daripada DAP namun dengan UMNO, Pas sentiasa tunjuk kuat dan hebat.
Mengapa menyertai semula UMNO?
Saya sebenarnya mendaftar dengan Pas sebagai ahli seumur hidup. Semasa masih di dalam Pas, saya pernah menghadiri majlis-majlis keramaian dan kenduri-kendara anjuran rakan-rakan saya dalam UMNO. Saya tetap berusaha memenuhi jemputan rakan-rakan dari UMNO kerana fahaman politik yang berbeza tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memutuskan silaturrahim. Malangnya, saya ditegur oleh pucuk pimpinan parti dan saya dikatakan membelakangkan perjuangan parti. Mungkin mereka mahu saya menjadi seperti katak di bawah tempurung yang tidak bercampur dengan masyarakat.
Selepas keluar dari Pas, saya kerap menghadiri majlis-majlis anjuran UMNO dan dari situ, pintu hati saya mula terbuka semula kepada UMNO. Pada 2004, saya mendaftar di Ibu Pejabat UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur sebagai ahli seumur hidup.
Sejak itu, saya disisihkan oleh rakan-rakan yang masih di dalam Pas. Mereka anggap saya seperti sampah. Saya dituduh sebagai pengkhianat dan petualang yang berpaling tadah. Kononnya saya diberi wang oleh UMNO untuk mengubah haluan. Saya pernah cuba menjelaskan kepada mereka bahawa tindakan saya itu adalah atas kesedaran sendiri semata-mata untuk memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Tiada sesiapa mempengaruhi saya. Mereka tidak mahu menerima penjelasan saya kerana terlalu taksub dengan perjuangan Pas.
Mereka tidak mahu terima hakikat perjuangan Pas kini telah tersasar. Amat sukar untuk mereka menerima pandangan pihak lain. Rakan-rakan saya dalam Pas mempertahankan pucuk pimpinan dengan mengatakan apa yang berlaku itu hanya strategi politik. Itu bukan strategi politik.
Perjuangan Pas kini bukan lagi kerana Allah SWT dan Islam, sebaliknya cuma untuk kepentingan politik dan meraih undi. Berbeza dengan UMNO, saya melihat pemimpin dan ahli-ahlinya bersikap terbuka dan bersedia menerima sesiapa sahaja menyertai perjuangannya tanpa memandang serong.
UMNO juga lebih komited menjaga kebajikan rakyat dan ahli-ahlinya sedangkan Pas lebih banyak retorik tetapi banyak janjinya tidak dilaksanakan. Sebagai sebuah parti Islam, Pas sepatutnya berdakwah kepada saudara seagama dengan menunjukkan teladan yang baik. Kalau hendak kritik pun, lakukan secara baik. Amalkan sikap terbuka dan bersedia berunding. Malangnya, semua itu tidak berlaku.
Pada pandangan saudara, antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, siapa yang lebih layak diberi mandat mentadbir negara?
Seperti yang kita sering lihat, parti-parti pembangkang iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak sehaluan dan sependapat. Apa yang berlaku di negeri-negeri yang kini ditadbir pembangkang menunjukkan wajah sebenar mereka yang hipokrit. Sebelum berkuasa, banyak janji ditaburkan tetapi bila diberi peluang tidak mampu ditepati. Kemudian mereka ambil jalan mudah menyalahkan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu di bawah BN sedangkan masalah berlaku selepas pembangkang berkuasa. Cara pembangkang berkempen juga agak agresif dan gemar mencetuskan provokasi. Mereka sentiasa menghasut agar rakyat melihat kerajaan BN sebagai zalim.
Saya tidak faham apa yang mereka maksudkan kerajaan BN zalim. Adakah kerana kerajaan tidak memberi dengan segala yang mereka tuntut seperti yang cuba mereka lakukan pada perhimpunan haram Bersih 3.0 April lalu? Saya tidak melihat BN sebagai sebuah parti yang zalim sebaliknya BN merupakan sebuah parti pemerintah yang terbaik di dunia dari segi pentadbiran, politik, ekonomi dan sosial.
Permuafakatan parti-parti komponen BN mencerminkan semangat toleransi antara masyarakat berbilang kaum di negara ini. Saya harap rakyat membuat pilihan terbaik pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan memilih BN yang terbukti mampu menjamin kemajuan, kestabilan dan keselamatan negara. Jika pembangkang sendiri tidak sepakat dalam menentukan dasar pejuangan bersama, bagaimana hendak menentukan dasar pemerintahan negara? Silap-silap negara boleh huru-hara sekiranya pembangkang memerintah.
Pembangkang sebenarnya rasa terancam dengan keberkesanan formula yang diamalkan BN selama ini. Sebab itulah mereka menggunakan taktik kotor memesongkan pemikiran rakyat dengan dakyah-dakyah palsu. Saya nasihatkan rakyat terutamanya anak-anak muda agar jangan percaya dengan segala maklumat yang tertera pada laman web atau media pro pembangkang. Jangan percaya bulat-bulat kerana banyak maklumat yang dipaparkan boleh mempengaruhi rakyat membenci kerajaan dan UMNO.
/hwa: utusan.com.my | 3/9/12

Pas bersedia hadapi pilihan raya - Nik Aziz

KUALA KRAI 3 Sept. - Pas tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu membubarkan Dewan Rakyat pada November ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkat, ini kerana parti itu telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum yang dikatakan paling sengit dalam sejarah.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pilihan raya tersebut perlu dilakukan dengan adil supaya rakyat dapat memilih pemimpin yang mereka mahukan.
"Saya selalu sebut pilihan raya nak buat bila pun tidak apa tetapi kita mesti pastikan undi adalah untuk pakatan pembangkang. Kita bersedia pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Makanan dan Buah-Buahan Negeri Kelantan di Dataran Cintawangsa di sini hari ini. - UTUSAN.

/hwa: utusan.com.my | 3/9/12

Pastikan UMNO terus relevan

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Telok Kemang, Negeri Sembilan, semalam. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (depan, kanan). - MD.SHAHJEHAN MAAMIN
*****
TELOK KEMANG 2 Sept. - Setiap ahli UMNO perlu menjadikan sindrom 'selesa' dan 'terpukul' sebagai iktibar ke arah mengukuhkan serta memastikan parti terus relevan di hati rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua sindrom tersebut wajar menjadi pedoman dan pengajaran sebagai persediaan memperkasakan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang akan datang.
''Dua sindrom itu berlaku pada pilihan raya umum 2004 dan 2008. Ia bermula dengan sindrom selesa iaitu apabila sampai satu tahap, kita menjadi terlalu yakin dan merasa diri kita kuat. Ketika itu kita mula rasa kita pemimpin terbaik dan sempurna.
''Pada masa itu, nasihat sudah tidak didengar, pandangan ditolak dan mula timbul hasad dengki, tamak , 'cah keting' dan cantas mencantas antara satu sama lain. Dalam sindrom itu juga, kita mula menghindarkan keperluan anak buah dan rakyat serta kita mula berpeluk tubuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Telok Kemang 2012, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Jelas Ahmad Zahid, sindrom selesa yang menghantui parti kemudian telah mengakibatkan parti dilanda sindrom terpukul pada Pilihan Raya Umum Ke-12 2008.
''Orang ramai mengatakan negara dilanda tsunami politik, tetapi bagi saya ia sebenarnya adalah sindrom terpukul yang berpunca daripada sindrom selesa.
''Sindrom terpukul itu telah mengakibatkan kita hilang negeri seperti Kedah, Perak, Selangor, dan Pulau Pinang kepada pembangkang dan negeri ini juga nyaris-nyaris kalah,'' ujarnya.
Beliau menambah, sindrom terpukul juga telah melemahkan semangat ahli parti, kurang berkeyakinan selain ada yang malu untuk mengaku sebagi ahli parti.
''Sebab itu, saya ingin menasihatkan setiap ahli di setiap peringkat termasuk parti komponen menjadikan sindrom tersebut sebagai pengajaran agar mereka mengenepikan sindrom selesa dan terpukul dalam usaha kita membirukan semua kerusi yang kita tewas sebelum ini," ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, inisiatif itu selari dengan perjuangan dan transformasi yang dilaungkan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
/hwa: utusan.com.my | 3/9/12 

Pemimpin AMK mengaku reka bendera

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Najwan Halimi mendakwa dirinya adalah pereka bendera yang didakwa oleh penyokong Himpunan Janji Bersih akan menggantikan Jalur Gemilang.
Bendera merah putih seakan bendera Singapura itu dibawa penyokong himpunan tersebut di Dataran Merdeka, 30 Ogos lalu dan dinamakan sebagai ‘Sang Saka Malaya’.
Berdasarkan laman Twitter @NajwanHalimi, pemimpin muda daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilaporkan berkata, ‘Sang Saka Malaya akhirnya dikibarkan oleh anak-anak muda!'
Mohd. Najwan juga telah membuat penjelasan terperinci di laman blognya di http://www.najwanhalimi.com/2009/08/sang-saka-malaya.html dengan memberitahu bendera tersebut direkanya sempena memperingati sambutan kemerdekaan pada tahun 2007.
Jelasnya, corak tersebut diadaptasi daripada bendera Sang Saka yang diguna pakai oleh negara Indonesia dan Singapura yang juga merupakan panji warisan kerajaan Nusantara.
“Bendera Malaysia yang digunakan pada hari ini jika diteliti sebenarnya diadaptasi daripada bendera Amerika Syarikat yang bernama Stars and Stripes, dan ia dibezakan menerusi bulan sabit dan bintang bucu empat belas berwarna kuning.
“Barangkali ini menjawab persoalan mengapa warga Malaysia semakin tidak ghairah mengibarkan bendera. Jiwa dan warisan silam negara ini jelas tidak terzahir menerusi panji yang bernama Jalur Gemilang!" katanya yang dipetik daripada tulisan blog bertarikh 30 Ogos 2009.
Pada 30 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan tindakan biadab beberapa peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka yang mengibarkan bendera yang didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa.
Selain dikibarkan di khalayak ramai, beberapa risalah juga diedarkan semasa sambutan ambang merdeka itu yang mengajak rakyat untuk mengatakan ‘tidak’ kepada Jalur Gemilang dan menyokong bendera merah putih itu.
Mohd. Najwan bukan pemimpin pakatan pembangkang pertama yang mempersoalkan Jalur Gemilang kerana pada September tahun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah daripada DAP, M. Manoharan pernah menegaskan pembangkang akan menukar bendera negara jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.
Selain itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pernah mengeluarkan kenyataan mempersendakan Jalur Gemilang dengan menggelarkan sebagai ‘jalur malang’.
/hwa: utusan.com.my | 3/9/12

3 September 2012

UMNO ditubuh atas dasar perjuangan suci

PERDANA Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak diberi sambutan meriah setibanya di Dewan Serbaguna Sri Libaran, Sandakan, semalam. - Foto Zunnur Al Shafiq  
PERDANA Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak diberi sambutan meriah setibanya di Dewan Serbaguna Sri Libaran, Sandakan, semalam. - Foto Zunnur Al Shafiq
*****
Najib yakin rakyat tolak hasutan pembangkang

Sandakan: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berkata penubuhan UMNO kira-kira 66 tahun lalu oleh pemimpin terdahulu adalah atas dasar perjuangan suci untuk membela kedaulatan agama, bangsa dan negara.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, UMNO tidak sama dengan parti politik lain kerana asas perjuangan UMNO ialah bagi membebaskan negara daripada belenggu penjajahan dan membolehkan negara dan bangsa bebas menentukan masa depan sendiri tanpa kongkongan pihak luar.
"Jadi UMNO bukan sebarang parti. UMNO tidak lahir kerana kerakusan hendakkan kuasa untuk mana-mana pemimpin”. - Najib Razak, Perdana Menteri
“UMNO bukan sebarangan parti, UMNO bukan parti yang lahir di tepi jalan, UMNO bukan parti ditubuh di tengah rusuhan rakyat, UMNO adalah parti yang ditubuhkan kerana perjuangan, kerana niat yang suci, kerana jika tidak, negara ini tidak bebas, merdeka.

“Jadi UMNO bukan sebarang parti. UMNO tidak lahir kerana kerakusan hendakkan kuasa untuk mana-mana pemimpin. UMNO bukan parti yang lahir kerana orang dengki hendak sangat jawatan Perdana Menteri. UMNO lahir atas niat besar,” katanya berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Zon Lima merangkumi Libaran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Beluran di Dewan Sri Libaran di sini, semalam.

Hadir sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman; isterinya, Datin Seri Faridah Tussin dan barisan pemimpin UMNO serta komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Tolak pemimpin
Najib juga menegaskan bahawa UMNO sedia melepaskan pemimpin yang cuma mengejar kekayaan dan jawatan, kerana sejarah membuktikan tiada pemimpin UMNO yang lebih besar daripada parti.

Justeru, beliau melahirkan keyakinan terhadap kematangan rakyat, terutama di Sabah dalam menolak hasutan pembangkang yang dilihat mula beralih ke Negeri Di Bawah Bayu.

“Dalam parti, memang ada pergolakan atau berkocak sikit tapi itu biasa. Kita nampak pembangkang dah mula ‘cucuk’ (menghasut) di Sabah sebab dia buat di Sarawak tak menjadi. Kita dah kenal mereka dan tahu waktu dalam kerajaan apa yang dia buat tetapi sekarang nak janji macam-macam,” katanya.

Ajak rakyat bersatu

Di KOTA BELUD; Najib mengajak masyarakat majmuk negara ini supaya bersatu dalam satu payung politik yang menjadi kekuatan utama dalam memastikan kemajuan serta pembangunan negara pada masa depan.

Sambil meminta rakyat mengambil iktibar kesan penjajahan selama 400 tahun, termasuk perpecahan dalam kelompok kecil kumpulan, Perdana Menteri berkata, Malaysia terutama Sabah mempunyai keunikan menerusi kepelbagaian kaum dan budaya serta cara hidup.

“Saya tertarik dengan keunikan ditonjolkan di Negeri Bawah Bayu ini tetapi saya hendak nyatakan tidak mengapa kita berbeza budaya, tetapi kita mesti bersatu dari segi politik.

“Kita harus bersatu padu di bawah panji-panji UMNO dan BN supaya Sabah boleh menjadi kubu kuat BN,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) di Kampung Rampayan Laut yang dihadiri kira-kira 25,000 orang di sini, semalam.

Najib berkata, UMNO ditubuhkan kerana hendak memecahkan tembok kesukuan di negara ini dan di Sabah ia mula bertapak di Kota Belud apabila Tun Datu Mustapha membubarkan USNO. 
 
/hwa: bharian.com.my | 3/9/12

Perhimpunan Bulanan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkatakan sesuatu kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berjalan masuk ke Jabatan Perdana Menteri selepas selesai perhimpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Sep 3, 2012 10:30 am

Tukar Jalur Gemilang dan pijak gambar PM: KDN akan bertindak tegas

SUNGAI PETANI 2 Sept. - Kementerian Dalam Negeri akan bertindak tegas dan menyegerakan proses undang-undang terhadap pelaku tindakan biadab melakukan provokasi mahu menukar Jalur Gemilang, memijak gambar Perdana Menteri serta memaki hamun pemimpin negara pada satu perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mahu dalang dan "desperado" atau golongan terdesak politik itu dihadapkan ke muka pengadilan kerana kepentingan rakyat yang majoritinya mahu melihat mereka diadili mengikut peraturan dan undang-undang yang ada.
"Rakyat kebanyakannya kini sudah jemu dan meluat dengan tindakan desperado politik ini yang sudah merasa mereka akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lantas bertindak dan mencipta isu membangkitkan kebencian rakyat terhadap pemimpin kerajaan kini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Merbok yang dihadiri kira-kira 300 perwakilan di Dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini hari ini.
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12

1MB sifatkan pakatan pembangkang sebagai tali barut penjajah era moden

GEORGE TOWN 2 Sept. - Kelab 1Malaysia Brother"s (1MB) menyifatkan tindakan pakatan pembangkang yang terus menakutkan rakyat dengan mengatakan Pulau Pinang akan rosak jika Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu tidak ubah seperti tali barut penjajah era moden.
Penaung pertubuhan bukan kerajaan itu, Datuk Hamzah Zainuddin berkata sebaliknya pakatan pembangkang yang perlu berasa takut kerana banyak janji pilihan raya mereka gagal ditunaikan.
"Kesedaran rakyat Pulau Pinang sudah ada sebenarnya. Mereka sendiri lihat, masalah penjualan tanah, masalah pembinaan kos rumah rendah dan peniaga kecil masih belum selesai," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kelab 1MB di Bukit Saujana, Paya Terubong, malam tadi.
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12

"Esok jangan panggil kami tuan"

KHAMIS lalu, 30 Ogos 2012, aku membawa ayahku ke RSAT untuk pemeriksaan kesihatan berkalanya. RSAT adalah panggilan askar terhadap hospital mereka di Kementerian Pertahanan Kuala Lumpur.
Ia kependekan kepada Rumah Sakit Angkatan Tentera. Sebenarnya itu nama lama. Mana ada orang sekarang panggil hospital rumah sakit.
Nama kini ialah Pusat Perubatan Kementah (Kementerian Pertahanan).
Kalau aku masuk ke pintu pengawal dan memberitahu askar bertugas itu bahawa aku mahu pergi ke hospital, dia akan jawab “Apa?". Jadi aku kena sebut “RSAT"
Maka dalam perjalanan ke RSAT itu, aku bertanya kepada ayahku: “Ingat tak, apa abah buat pada 31 Ogos 1957?"
Aku pasti mesti dia ingat sebab tarikh-tarikh bersejarah sebegini akan membuatkan seseorang ingat di mana mereka berada dan apa yang mereka lakukan.
“Ingat. Masa itu berada di hutan di sekitar Slim River, Perak. Operasi tentera," katanya.
“Banyak komunis lagi?" tanya aku.
“Banyak. Masa itu masih darurat. Dalam hutan, dari utara sampai ke Johor, komunis masih banyak," ceritanya. Maknanya ketika Tunku Abdul Rahman memasyhurkan kemerdekaan di Tanah Melayu, perang masih berlaku antara komunis dan pihak berkuasa penjajah British.
“Operasi itu berjaya?" tanya aku lagi.
“Berjaya. Dua orang komunis dibunuh. Masa itu abah dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kelima. Tetapi pegawai CO dan IO orang putih," katanya.
CO ialah Commanding Officer atau pegawai pemerintah. IO pula ialah Intelligence Officer atau Pegawai Perisikan.
“Sehari sebelum perisytiharan merdeka, 30 Ogos 1957, kami diminta berhimpun dan mendengar ucapan CO.
“CO itu kata, esok kamu merdeka. Malaya merdeka. Jadi mulai esok jangan panggil kami tuan lagi. Kamu sudah merdeka. Kita sama saja. Kita semua soldadu."
Keesokannya iaitu 31 Ogos 1957, mereka mengadakan majlis makan-makan bagi meraikan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.
Kini perkataan soldadu sudah tidak digunakan lagi. Soldadu adalah perkataan asal Portugis yang telah diserapkan ke bahasa Melayu, tetapi kini ia sudah pun ditinggalkan.
Pada tahun kemerdekaan itu, Tanah Melayu masih dalam peperangan, antara komunis dengan kerajaan.
Tetapi kerajaan penjajah tidak mahu menamakannya sebagai peperangan. Ia mahu secara rasmi peperangan ini dianggap sebagai kecemasan ataupun Emergency. Iaitu suatu keadaan yang tiba-tiba timbul (emerge) untuk ditangani. Maka istilah Melayu yang diambil sebagai terjemahan ialah Darurat yang berasal daripada perkataan Arab, darurah, keadaan luar biasa yang memaksa seseorang menanganinya dengan cara di luar peraturan untuk sementara waktu.
Kerajaan penjajah British mengelak menamakannya sebagai peperangan kerana tidak mahu ekonomi Tanah Melayu lumpuh. Ini kerana jika diisytiharkannya sebagai perang, maka syarikat-syarikat insurans di Britain pasti enggan mengatur pembiayaan untuk ladang dan lombong di Malaya.
Lihatlah betapa hanya dengan penggunaan istilah berbeza dan peraturan undang-undang, pihak British dapat mencapai apa yang dikehendakinya.
Namun apa yang disebut Darurat adalah pada hakikatnya merupakan peperangan apabila ramai orang mati terbunuh dan pertempuran antara kedua-dua pihak.
Bagi pihak komunis, ia merupakan Perang Kemerdekaan dan mereka adalah pejuang untuk membebaskan Malaya. Bagi kerajaan pula, pihak komunis adalah pengganas yang matlamatnya menghambakan rakyat Malaya di bawah sistem kuku besi berpusat di Peking (sekarang Beijing) dan Moscow.
Justeru strateginya adalah untuk menjadikan peperangan ini antara pengganas komunis dengan rakyat dan Tanah Melayu yang berdaulat.
Maka Tanah Melayu mestilah dimerdekakan dan rakyatnya diberi suara. Apabila keadaan ini berlaku, perjuangan kemerdekaan komunis akan jelas palsu dan rakyat akan bersama dengan pihak kerajaan.
Maka langkah pertama adalah membatalkan gagasan yang hendak menjadikan Malaya sebagai tanah jajahan British secara lebih jelas iaitu Malayan Union dan memulihkan kedudukan Raja-raja Melayu dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1950 bersama majlis perundangan antara pemimpin tempatan dan pihak penjajah.
Langkah kedua adalah pemerintahan sendiri melalui pilihan raya umum melibatkan parti-parti politik tempatan yang diadakan pada 1955. Maka jawatan Ketua Menteri Tanah Melayu pun diwujudkan dengan disandang oleh Tunku Abdul Rahman yang partinya, Perikatan berjaya meraih kerusi terbanyak. Tunku diberikan mandat untuk berunding dengan pihak komunis bagi menamatkan Darurat.
Berdaulat
Langkah ketiga adalah kemerdekaan Tanah Melayu dengan Tunku menjadi Perdana Menteri pertama. Tiga langkah ini menjadikan Tanah Melayu berdaulat dengan sistem di mana rakyat dapat menentukan nasibnya sendiri. Justeru, perjuangan kemerdekaan komunis menjadi tidak relevan.
Langkah-langkah ini menyumbang kepada kekalahan komunis yang akhirnya membawa kepada -penamatan Darurat pada 1960.
Setelah Darurat berakhir, tidak ada sebab perlunya ada ramai tentera. Ayah aku bersama beribu-ribu lain ditamatkan perkhidmatannya mengikut tempoh masing-masing.
Ketika Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, ayah aku menjadi penjaja air di bandar Batu Pahat. Aku masih ingat pada satu hari hujan, beliau mengayuh pulang kereta sorongnya dengan balang penuh tidak terjual.
Tetapi pada tahun berakhirnya Darurat, Singapura dikhuatiri akan jatuh ke tangan komunis. Walaupun komunis kalah di hutan Malaya, tetapi kedudukannya kukuh di bandar Singapura. Anasir-anasirnya menyusup masuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Lee Kuan Yew bertarung untuk mengalahkan mereka.
Lee Kuan Yew berjaya mengeluarkan mereka daripada PAP di mana golongan ini masuk bertanding pilihan raya melalui Barisan Sosialis. Kalau komunis berjaya menguasai Singapura, ia akan menjadi pangkalan berbahaya. British bimbang.
Maka satu kaedah bagi menyelamatkan keadaan adalah dengan penggabungan Singapura dengan Malaya. British setuju.
Tetapi jika kedua-duanya bergabung, kaum Cina akan menjadi majoriti. Tunku tidak bersetuju. Kaedah lain perlu dicari. Maka dicadangkan penyertaan Sarawak, Brunei dan Sabah ke dalam gabungan Malaya-Singapura. Maka muncullah gagasan Malaysia.
Setelah Malaysia diisytiharkan. Indonesia melancarkan Konfrontasi Ganyang Malaysia kerana menyifatkan negara baru ini merupakan langkah untuk mengepungnya.
Sukarno melancarkan Trikora (Tiga Komando Rakyat) untuk menyerang wilayah Malaysia.
Maka satu hari pada 1964, ayahku menerima surat tawaran untuk menyertai semula Askar Melayu Diraja bagi mempertahankan negara daripada serangan Indonesia.
Beliau ditempatkan di Kem Sungai Besi. Kuarters tidak mencukupi. Maka banyaklah anggota askar menyewa di rumah-rumah papan yang dibina di ladang getah berhampiran. Penempatan itu kemudian dinamakan Kampung Malaysia Raya.
Operasi ayahku yang makan masa berbulan-bulan banyak berkisar di pantai Port Dickson dan Morib bagi mengawal pantai negara daripada diceroboh oleh komando Indonesia.
Darurat dan Konfrontasi telah memberi pekerjaan kepada ayahku. Tetapi menjadi tentera pada zaman negara diancam komunis bukanlah suatu pekerjaan makan gaji biasa. Ia menuntut pengorbanan diri dan keluarganya yang tidak dapat dinilai dengan gaji dan pencen.
Kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia tidak dicapai melalui dulang emas. Walaupun peristiwa-peristiwa ini melibatkan rundingan tetapi ia tidak berlaku secara aman. Kemerdekaan tetap diraih melalui darah, keringat dan air mata.
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12

Bisik-Bisik Awang Selamat

Lagi kisah biadap

APA sudah jadi dengan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim apabila tidak memaklumkan kepada Sultan Selangor berhubung sambutan malam kemerdekaan anjuran kerajaan negeri itu.
Sudahlah begitu, beliau mengundang pula Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menjadi tetamu utama dan menyampaikan ucapan. Kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang dan pemimpin parti, belum cukup untuk melayakkan beliau diberi penghormatan luar biasa. Seolah-olah kedudukan Anwar lebih besar daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Perkara seperti itu tidak pernah berlaku. Apa makna menjadi Menteri Besar jika tidak tahu protokol dan tidak mengutamakan sultan pada majlis seperti itu. Tetapi Awang percaya apa yang berlaku sudah dirancang. Difahamkan, ada pihak yang telah mengingatkan kerajaan negeri tentang hal tersebut termasuk Anwar tidak layak dijemput tetapi tidak dihiraukan. Awang tidak terkejut kerana PKR sememangnya makin terdesak untuk mempolitikkan apa sahaja. Sehingga semalam, Khalid berdolak-dalik. Dari awal lagi penjelasan beliau tidak menyakinkan. Pada mulanya Khalid mempertahankan tindakan tidak memaklum kepada Sultan kerana mendakwa itu amalan biasa. Sedangkan pihak istana Selangor menegaskan, memaklumkan kepada Sultan adalah amalan biasa sebelum ini. Setelah mendapat bantahan banyak pihak, nada Khalid berubah pula dengan menyalahkan pihak lain. Ada yang bertanya apakah Anwar yang mendesak Khalid agar beliau diberi ruang untuk hadir dan berucap, Awang tidak pasti. Apa pun, Awang ucapkan tahniah kepada pasukan tentera dan polis yang segera menarik diri daripada majlis tersebut apabila mendapat tahu berlaku manipulasi. Ia adalah mesej yang sangat jelas untuk ditafsir oleh semua.
Khalid selaku Menteri Besar sepatutnya merasa malu. Sekali lagi beliau telah bertindak biadap. Jika hal ini tidak ditentang habis-habisan, kedudukan Institusi Raja Melayu dan Perlembagaan negara akan terhakis. Seperti titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, pencerobohan besar bermula dengan pencerobohan kecil. Pencerobohan itu semakin menjadi-jadi sejak pembangkang memerintah beberapa negeri. Ini termasuk sikap Khalid - pemimpin Melayu dan Islam - yang umpama pagar makan padi.

Bendera baru?

SEORANG pemimpin pembangkang, M. Manoharan (DAP) menyatakan hasrat untuk menukar bendera Malaysia jika pakatan pembangkang memerintah negara pada PRU-13.
Bukan sekadar mengeluarkan kenyataan itu, beliau turut menolak untuk mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada tahun lalu.
Tindakan tersebut mencetuskan bantahan rakyat Malaysia. Tahun ini, ada juga kisah yang seumpama. Beberapa aktivis pembangkang bertindak lebih jauh dengan mengibarkan bendera merah putih seakan bendera Singapura di Dataran Merdeka pada malam ambang kemerdekaan, Khamis lalu.
Mereka yang merupakan peserta Himpunan Janji Bersih tanpa rasa malu dan bersalah berbuat demikian di khalayak ramai. Mereka mendakwa bendera itu akan menggantikan Jalur Gemilang sekiranya pakatan pembangkang berkuasa.
Ramai yang menganggap perbuatan tersebut sebagai biadap dan kurang ajar. Memang benar tetapi Awang melihat lebih daripada itu. Ia adalah ancaman kepada keselamatan negara, yang pihak berkuasa mesti bertindak segera. Sesiapa yang berkenaan perlu disiasat dan jika perlu didakwa. Seandainya perkara itu dibiarkan begitu sahaja, ia akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia.
Awang tidak terkejut perbuatan seumpama itu akan berulang lebih kerap sekiranya pihak berkuasa tidak bertegas. Di negara-negara lain terutama China, Singapura dan Indonesia, penghinaan terhadap bendera negara tidak boleh dikompromi. Apatah lagi mengibarkan bendera lain, yang merupakan perbuatan khianat terhadap negara sendiri. Pernah ada individu yang dijatuhi hukuman mati atas perbuatan seumpama itu.
Yang Awang hairan, mengapa mereka sampai boleh terlepas melakukan perbuatan itu dan pulang ke rumah. Di mana agensi pihak berkuasa kita? Selain kejadian tersebut, Awang sangat terganggu dengan perbuatan beberapa peserta Himpunan Bersih yang bertindak biadap dan memalukan. Ada yang melondehkan seluar menunjukkan punggung sebagai tanda menghina pemimpin negara.
Sekali lagi, Awang hairan, mereka juga boleh terlepas. Inilah akibat daripada budaya politik ekstrem yang dibawa oleh pembangkang. Persoalannya, mengapa mereka berani melakukan provokasi dan penghinaan keterlaluan, apakah mungkin pihak berkuasa kita berlembut dan tidak lagi digeruni?
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12 

Sekat impian pembangkang

Najib Tun Razak bersama sebahagian para pemerhati selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, semalam. - BERNAMA 
*****
PUTRAJAYA 1 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu barisan kepimpinan dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) berganding bahu bagi membentuk 'sekatan politik' terhadap impian pakatan pembangkang yang mahu menduduki Putrajaya menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perdana Menteri berkata, pakatan pembangkang sebenarnya tidak mampu memerintah negara dan mencipta kemajuan demi kemajuan dan kejayaan demi kejayaan seperti yang dilakukan oleh UMNO dan BN sejak 55 tahun lalu.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, sebab itu UMNO dan parti komponen BN yang lain perlu muncul sebagai parti yang bukan sahaja boleh menang tetapi menang besar pada pilihan raya nanti.
"Kalau mereka ada slogan 'Road to Putrajaya', kita nak sekat mereka jangan sampai ke Putrajaya, tetapi bukan buat sekatan polis tetapi dengan politik.
"Ini kerana mereka tidak layak duduk (memerintah) Putrajaya sebab kita yang membangunkannya dan mereka juga telah lakukan pembohongan demi pembohongan, janji tidak pernah dikotakan serta mereka ada banyak cerita yang masih tidak selesai," tegasnya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau turut menghadiri Rumah Terbuka Parlimen Putrajaya sempena Aidilfitri.
Najib berkata, barisan kepimpinan dan ahli UMNO serta BN perlu bekerja kuat bagi memastikan BN bukan hanya mempertahankan Putrajaya, malah meraih kemenangan lebih besar dalam pilihan raya nanti.
Beliau berkata, mereka juga seharusnya memahami realiti dan persekitaran baru hari ini yang berpegang kepada amalan demokrasi berparlimen iaitu tidak wujud kekebalan politik.
"Sebab itu saya minta kita semua bersemangat dan jangan letih kerana dalam perjuangan kita tidak akan berundur seinci atau satu saat pun untuk jamin masa depan cukup hebat.
"Secara simboliknya, UMNO Bahagian Putrajaya mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya, maka maju mundur bahagian ini menjadi penentu kepada usaha untuk mempertahankan tampuk pemerintahan negara," katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan barisan kepimpinan dan ahli parti yang rata-rata lahir selepas merdeka supaya tidak lupa intipati perjuangan parti iaitu berkorban apa sahaja dan bersatu-padu untuk mencapai kejayaan.
"Malah, kira-kira 45 peratus pengundi hari ini adalah generasi muda dan persoalan timbul apakah pemikiran dan jangkaan mereka sama dengan generasi terdahulu.
"Walaupun mereka lahir selepas merdeka dan mendapat pendidikan serta biasiswa hasil perjuangan UMNO dan BN, persoalannya apakah mereka menyokong kita sepenuh hati," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12 

Ulama Pas pertahan Nasharudin

PARANOIA Pas kepada sekeping gambar bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa (gambar) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah baru-baru ini, agak sukar diterima oleh kalangan pemimpin kanan dan ulama parti itu.
*****
Nampaknya menjadi ‘dosa politik’ yang besar pula bagi Pas apabila seorang pemimpin parti politik duduk bergambar dengan seorang pemimpin yang berbeza ideologi politiknya.
Mengapa tidak dilihat dari sudut hidayah Islam apabila Nasharudin sanggup berada dalam saf yang sama dengan Perdana Menteri semasa pertemuan muhibah bersama para ulama Arab Saudi tersebut?
Nasharudin secara jelas merujuk bahawa perbincangan yang dilakukan di Mekah adalah berkenaan isu-isu yang jauh lebih besar daripada isu Pas-UMNO. Antaranya, isu konflik pergolakan di Syria dan kekejaman junta Myanmar ke atas etnik Rohingya.
Tetapi mujurlah masih ada ulama dalam Pas yang berfikiran dengan pandangan matang menolak kecaman terhadap Nasharudin termasuk desakan supaya memecat dari parti, hanya kerana beliau menggesa Pas supaya mengkaji semula hubungan dengan pakatan pembangkang berikutan keceluparan Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertikaikan perjuangan Pas mahu mewujudkan negara Islam di negara ini.
Nasharudin membawa imej politik sederhana berbanding fahaman politik yang membudaya semangat kebencian.
Berikut antara petikan sokongan terbuka yang diterima oleh Nasharudin daripada sebahagian pemimpin Pas di seluruh negara.
Beliau ialah bekas Timbalan Presiden, sudah tentu masih relevan walaupun beliau dilihat mengambil pendekatan menongkah arus dalam mempertahankan maruah Pas. Mungkin ramai yang tidak senang dengan tindakan beliau kebelakangan ini yang dilihat cukup lantang, tetapi untuk menidakkan sumbangan yang boleh dimainkan Nasharudin adalah tidak wajar. (27 Ogos 2012)
NOR AZMI MUSA
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak
SAYA sudah cakap dari dulu lagi, Nasharudin masih relevan. Beliau bekas Timbalan Presiden dan meskipun tidak terpilih pada muktamar lalu, Nasharudin masih mampu menyumbang kepada perjuangan Pas."(27 Ogos 2012)
DATUK HARUN TAIB
Ketua Dewan Ulama Pas
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12

MPPP campak Jalur Gemilang, bendera BN

PULAU PINANG 1 Sept. - Persiapan majlis pelancaran penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 1Malaysia Brothers (1MB) yang dijadualkan berlangsung malam ini terjejas apabila Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bertindak menurunkan termasuk mencampak ratusan bendera Malaysia dan bendera Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung 1MB, Zainudin Jaafar berkata, beliau dimaklumkan oleh ahlinya mengenai tindakan MPPP itu dan terus bergegas ke situ bagi mendapatkan penjelasan namun kecewa kerana dimaklumkan tindakan itu merupakan 'satu arahan'.
"Kami mula memasang kira-kira 1,000 Jalur Gemilang dan bendera BN pada 31 Ogos lalu untuk menyambut ketibaan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin yang akan melancarkan kelab kami dan kecewa kerana program ini cuba disabotaj pihak tertentu.
"Ini bukanlah program haram kerana telah dimaklum kepada pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini, namun saya kesal kerana MPPP bertindak tanpa berunding atau memberi amaran terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi 1MB, Khoo Boon Eam.
Menurut Zainudin, mungkin terdapat pihak-pihak tertentu yang berasa terancam dengan sokongan padu pihaknya kepada BN dan mengarahkan MPPP pergi ke tempat berkenaan seawal pukul 2 pagi.
Sementara itu, Boon Eam berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan MPPP mempersendakan Jalur Gemilang apabila bertindak mencampakkan ratusan bendera kebangsaan itu ke atas tanah.
"Majlis ini akan tetap diteruskan dan semangat kami tidak akan luntur untuk terus bersama BN bagi menjadi penyuntik semangat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Menurutnya, seramai 283 ahli NGO itu terdiri daripada pelbagai bangsa dan penduduk Pulau Pinang terutama di pulau, kampung dan taman perumahan.
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12

Pas di ambang perpecahan serius - Khairy

TELUK INTAN 1 Sept. - Kepimpinan Pas kini diambang perpecahan yang semakin serius ekoran wujud percanggahan ketara antara golongan ulama dan kelompok 'Anwarinas' berhubung kedudukan bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sokongan terbuka golongan ulama Pas terhadap Nasharudin menyebabkan kepimpinan Pas makin tersepit ekoran menerima tekanan daripada kelompok 'Anwarinas' yang bersekongkol dengan DAP supaya pemimpin itu disingkirkan.
"Mereka (Pas) takut hendak buat keputusan kerana mereka tersepit. Jika mereka menyingkirkan Nasharudin, maka mereka akan berdepan kemarahan golongan ulama.
"Kepimpinan Pas semakin tersepit kerana mereka juga mahu menjaga hati DAP yang tidak mahu Nasharudin terus berada dalam parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Teluk Intan, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Idris Hashim; Timbalannya, Azhar Jamaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Harun.
Khairy diminta mengulas sokongan terbuka Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang mempertahankan Nasharudin sambil menegaskan gesaan pemimpin itu supaya Pas mempertimbangkan semula hubungan dengan pakatan pembangkang bukannya satu kesalahan.
Pendirian tegas itu dilihat memberi tamparan hebat kepada golongan 'Anwarinas' yang memberi tekanan supaya tindakan dikenakan ke atas Nasharudin menjelang mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 9 September ini.
Menurut Khairy, pergeseran dalam Pas menyebabkan parti itu semakin hilang hala tuju sehingga mengundang kritikan daripada ahli akar umbi terutama melibatkan pendirian dan dasar menubuhkan negara Islam yang semakin kabur.
"Ini timbul kerana wujud puak-puak dalam Pas, satu puak masih tegar dalam perjuangan menubuhkan negara Islam dan satu lagi golongan mengetepikan perjuangan untuk bersama-sama DAP mengejar kuasa," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12

2 September 2012

LEGOLAND - Taman tema di Nusajaya, Johor

LEGOLAND tarikan terbaru - Taman tema di Nusajaya, Johor yang dibangunkan dengan kos RM720 juta akan dibuka pada 22 September ini.  - Foto Anja Asmara.
Sep 2, 2012 4:36 am

Rumah Terbuka Aidilfitri BN Selangor

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BN Selangor di Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) di Sungai Buloh, di sini, hari ini. - Foto Mustaffa Kamal
Sep 1, 2012 5:03 pm

Kerajaan janji kestabilan, kemakmuran negara - Najib

NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin dan Dr. Rais Yatim menyertai perhimpunan meriah bersama ribuan rakyat pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD NAIM AZIZ
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan akan terus memastikan negara ini kekal stabil, makmur dan sejahtera selaras dengan slogan Janji Ditepati.
Menurut Perdana Menteri, penegasan serta komitmen itu adalah demi masa depan generasi muda yang akan mengemudi negara satu hari nanti.
“Bila kita kata janji ditepati, kita janji apa? Kita janji kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan. Selama 55 tahun kita telah dapat memperlihatkan negara yang stabil, semakin makmur dan rakyat sejahtera.
“Itu janji ditepati. Dan kita lakukan ini untuk generasi baru, untuk anak-anak kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di pentas khas di tengah Dataran Merdeka sejurus berakhir atur cara sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di sini pagi ini.
Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman sebelum itu dilihat turun dari pentas utama untuk ke pentas berkenaan bagi menyampaikan ucapan penghargaan kepada setiap peserta perbarisan.
Bertemakan 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati, sambutan kali ini dimeriahkan dengan penyertaan lebih 14,000 peserta yang didominasi golongan belia dalam persembahan yang merangkumi empat segmen iaitu segmen Rukun Negara; Pemimpin Masa Hadapan; Janji Ditepati dan Gegar Merdeka.
Sambutan diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama menteri-menteri Kabinet dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Najib berkata, bagi membolehkan generasi muda meneruskan kemakmuran yang dikecapi hari ini, kerajaan akan menyediakan sebuah negara yang stabil untuk diwarisi.
“Kami (kerajaan) berada di sini untuk anda (generasi muda). Kami melakukan ini semua untuk anda. Inilah maknanya sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12