NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin
Yassin dan Dr. Rais Yatim menyertai perhimpunan meriah bersama ribuan
rakyat pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala
Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD NAIM AZIZ
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan,
kerajaan akan terus memastikan negara ini kekal stabil, makmur dan
sejahtera selaras dengan slogan Janji Ditepati.
Menurut Perdana Menteri, penegasan serta komitmen itu adalah demi
masa depan generasi muda yang akan mengemudi negara satu hari nanti.
Bila kita kata janji ditepati, kita janji apa? Kita janji
kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan. Selama 55 tahun kita telah
dapat memperlihatkan negara yang stabil, semakin makmur dan rakyat
sejahtera.
Itu janji ditepati. Dan kita lakukan ini untuk generasi baru, untuk anak-anak kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di pentas khas di tengah
Dataran Merdeka sejurus berakhir atur cara sambutan Hari Kemerdekaan
Ke-55 di sini pagi ini.
Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee
Abdul Rahman sebelum itu dilihat turun dari pentas utama untuk ke pentas
berkenaan bagi menyampaikan ucapan penghargaan kepada setiap peserta
perbarisan.
Bertemakan 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati, sambutan kali ini
dimeriahkan dengan penyertaan lebih 14,000 peserta yang didominasi
golongan belia dalam persembahan yang merangkumi empat segmen iaitu
segmen Rukun Negara; Pemimpin Masa Hadapan; Janji Ditepati dan Gegar
Merdeka.
Sambutan diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku
Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah
Haminah.
Hadir sama menteri-menteri Kabinet dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Najib berkata, bagi membolehkan generasi muda meneruskan kemakmuran
yang dikecapi hari ini, kerajaan akan menyediakan sebuah negara yang
stabil untuk diwarisi.
Kami (kerajaan) berada di sini untuk anda (generasi muda). Kami
melakukan ini semua untuk anda. Inilah maknanya sambutan Hari
Kemerdekaan Ke-55," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan