TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan
Tuanku Hajah Haminah bersama Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor
pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur,
semalam. Turut hadir (barisan depan) Muhyiddin Yassin (tiga kiri), Dr.
Mahathir Mohamad (kiri), Hishammuddin Hussein (dua kanan) dan Dr. Rais
Yatim (dua kiri). - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Perbarisan sempena Hari
Kemerdekaan ke-55 peringkat nasional di Dataran Merdeka di sini hari ini
disambut meriah dengan penyertaan kira-kira 14,000 peserta terdiri
daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda yang
menunjukkan kemakmuran dan kesejahteraan perpaduan negara.
Ribuan rakyat Malaysia termasuk pelancong mula membanjiri Dataran
Merdeka seawal 6.30 pagi selain jutaan lagi menonton menerusi siaran
langsung di beberapa rangkaian televisyen, bukti semangat patriotik
masih tertanam di jiwa masing-masing.
Dengan tema 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati, perhimpunan
bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku
Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah
Haminah tepat pukul 8 pagi yang disambut Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Yang di-Pertuan Agong kemudian menerima tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan barisan anggota Kabinet.
Pada masa sama, tujuh buah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bendera ketiga-tiga cabang pasukan
keselamatan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan
kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.
Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan
Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat I
RAMD, diikuti dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali sebelum
upacara menaikkan Jalur Gemilang sambil diiringi lagu Negaraku serta 14 das tembakan meriam.
Acara sambutan bermula dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh 55
peserta yang mewakili pelajar dan guru, pelajar institusi pengajian
tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan badan berkanun serta orang
kurang upaya (OKU).
Ia disusuli dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diikuti laungan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali.
Acara diteruskan dengan persembahan segmen pertama mengenai Rukun
Negara oleh para pelajar melalui teknik penyampaian bicara berirama yang
penuh warna-warni.
Bagi sambutan kali ini, perbarisan kontinjen agensi kerajaan mencipta
sejarah apabila diketuai Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali
Hamsa dengan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri
Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Kontinjen badan beruniform generasi muda di bawah segmen Pemimpin Masa Hadapan mencuri perhatian hadirin yang hadir apabila tampil dengan persembahan tarian IM4U yang sangat menghiburkan.
Perarakan tersebut turut disertai oleh kontinjen pengangkutan awam
bandar terdiri daripada empat kereta peronda Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat (SPAD), 55 buah teksi dan dua bas RapidKL yang menjadi
simbolik kepada transformasi pengangkutan awam negara.
Bagi segmen keempat iaitu Gegar Merdeka, ia memperlihatkan
kontinjen pasukan keselamatan negara yang turut dianggotai oleh anggota
wanita serta disertai oleh kontinjen perwira veteran dengan menaiki
kenderaan-kenderaan antik yang pernah digunakan oleh pemimpin negara
dalam menuntut kemerdekaan dan diikuti pertunjukkan formasi udara oleh
pasukan keselamatan.
Perarakan sambutan kali ini diakhiri dengan segmen kelima iaitu Bangga Menjadi Rakyat Malaysia yang dimulakan dengan persembahan oleh generasi muda melalui pergerakan cergas dan bertenaga dengan diiringi lagu Drumline dan medley lagu-lagu patriotik Nadi Rakyat, IM4U, Janji Ditepati, Tanggal 31, 1Malaysia dan Jalur Gemilang.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan