Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah
Cabaran Perniagaan Luar Bandar kepada pengusaha telur masin, Nur
Amalina Abdullah sempena Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium
Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Datuk Seri Najib
Tun Razak menyeru rakyat kekal bersatu bagi mempertahankan kemerdekaan
dan mengukuhkan lagi kekayaan, kemakmuran serta kekuatan negara.
Perdana Menteri berkata, kesemua perkara itu boleh dicapai melalui
kerjasama tidak berbelah bahagi rakyat yang kini hidup dalam fasa ketiga
merdeka, iaitu membawa makna kepada kemerdekaan.
Katanya, rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam menghadapi
cabaran global alaf baru serta membantu Malaysia mencapai status negara
maju seperti dirancang.
Beliau mengingatkan, perkongsian di antara rakyat dan kerajaan bukan
hanya melibatkan janji kerajaan kepada masyarakat, malahan menuntut
janji serta komitmen masyarakat terhadap negara.
"Kalau kita dakap janji ini, maka negara akan melonjak ke hadapan
dengan lebih maju dan ingatlah sesungguhnya kemerdekaan hanya membuka
pintu kepada setiap pertiwi sekali sahaja.
"Mari kita berganding, berjuang di setiap penjuru dan setiap ketika
dengan lebih rapat lagi daripada seteru dan pembangkang yang hendak
memporakperandakan negara," katanya ketika menyampaikan amanat pada
Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil di
sini malam ini.
Najib menambah, rakyat perlu setia bersama pimpinan negara untuk
melaksanakan agenda transformasi kerajaan ke arah kejayaan, keunggulan
dan kehebatan.
Beliau berkata, pimpinan kerajaan sekarang sejak kemerdekaan 55 tahun
lalu telah terbukti berjaya mengubah landskap sosioekonomi negara ke
arah yang jauh lebih baik.
Sebagai contoh, menurutnya, kerajaan melalui Program Transformasi
Ekonomi (ETP) telah mencatatkan kejayaan perkembangan ekonomi sebanyak
5.4 peratus pada suku kedua tahun ini yang disifatkan sebagai menongkah
arus oleh akhbar antarabangsa, International Times.
Selain itu, katanya, nilai Bursa Malaysia yang meningkat sebanyak 116
peratus sepanjang tiga tahun bermula 2009 sehingga 2011 dan kedudukan
Malaysia dalam tawaran awam permulaan (IPO) di tempat ketiga dunia
selepas Amerika Syarikat (AS) dan China membuktikan kemakmuran negara.
"Kejayaan negara merangkumi setiap lapisan masyarakat sama ada
Melayu, Cina dan India sehinggakan kaum minoriti seperti Bidayuh, iaitu
Pandelela Rinong turut mendapat manfaat apabila berjaya mendapatkan
pingat gangsa pada Sukan Olimpik London baru-baru ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan