ABDUL Azeez Abdul Rahim (kanan) dan
Abdul Rahman Palil (kiri) melihat barangan keperluan hasil sumbangan
orang ramai dalam misi menghantar bantuan ke Rohingya di Pelabuhan
Utara, Pelabuhan Klang, Selangor, semalam.
*****
PELABUHAN KLANG 31 Ogos - Kain kapan adalah
antara barangan sumbangan rakyat negara ini yang akan dibawa Kelab
Putera 1Malaysia ke Myanmar bagi membantu etnik Rohingya yang ditindas
di negara itu.
Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim
berkata, pada Misi Bantuan Kemanusiaan Tabung Rohingya itu pihaknya
mengambil inisiatif untuk turut menyumbangkan kain kapan selepas
mendapat maklumat etnik berkenaan tidak mempunyai kelengkapan tersebut
secukupnya.
Menurutnya, disebabkan kekurangan kain kapan juga etnik Rohingya
selama ini hanya membalut jenazah menggunakan tikar sebelum ia
dikebumikan.
"Sebab itulah kami mengambil inisiatif menyumbangkan kain kapan untuk
15,000 orang dan diharapkan ia sedikit sebanyak dapat memenuhi
keperluan mereka.
"Daripada jumlah itu, 12,000 adalah untuk orang dewasa manakala 3,000
lagi untuk kanak-kanak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di
Pelabuhan Utara, di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil.
Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, jumlah keseluruhan barangan
yang dibawa pihaknya menggunakan kapal KD Sri Indera Sakti milik Tentera
Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk etnik Rohingya itu adalah 480 tan
melibatkan barangan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan serta
keperluan harian lain.
Tambahnya, kesemua sumbangan itu membabitkan perbelanjaan sebanyak
RM9.67 juta dan ia adalah hasil sumbangan rakyat berbilang kaum di
negara ini dalam tempoh hanya lapan hari.
"Kita juga bukan sahaja akan menyampaikan sumbangan ini kepada
masyarakat beragama Islam, tetapi masyarakat bukan Islam yang hidup
dalam serba kesukaran di Myanmar.
"Ini kerana, mereka yang menyumbang untuk penduduk di Myanmar terdiri
daripada rakyat berbilang kaum di negara ini dan sebab itulah bantuan
ini juga akan diberi kepada sesiapa sahaja termasuk mereka yang bukan
beragama Islam tetapi memerlukan bantuan daripada kita," jelasnya.
Abdul Azeez berkata, pihaknya menerima 96 permohonan sukarelawan yang
menyatakan kesediaan menyertai misi kali ini tetapi terpaksa
mengehadkannya kepada hanya 38 orang atas sebab-sebab logistik.
Katanya, sukarelawan yang akan menyertai misi tersebut terdiri
daripada doktor pakar, pengamal media serta artis popular seperti Datuk
DJ Dave dan Datuk Malek Ridzuan.
"Setibanya di sana nanti, kami akan dibantu beberapa pertubuhan bukan
kerajaan di Myanmar yang telah menyatakan kesediaan membantu kami bagi
menyampaikan sumbangan ini," ujarnya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, kesemua sukarelawan itu akan
menaiki KD Sri Indera Sakti untuk ke Pelabuhan Sittwe, Myanmar bagi
menghantar sumbangan tersebut dan misi berkenaan secara keseluruhannya
akan mengambil masa selama 11 hari.
Jelasnya, mengikut perancangan, misi itu sepatutnya berlepas hari ini
tetapi atas sebab-sebab keselamatan mereka terpaksa mengubah laluan
asal dan kini sedang menunggu kebenaran dari Wisma Putra untuk berlepas.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan