2 September 2012

Pemuda UMNO hantar hadiah untuk Siti Norzana

MUHD. Khairun Aseh (tengah) bersama Nordi Adi (kanan) menunjukkan gambar Siti Norzana yang kini berada di Lampung, Indonesia, semalam. Turut memerhati tiga anak Nordi, Nurul Safiza Fitri (dua dari kiri), Muhammad Nurhan dan Nurmasyita Amiera (kanan) 
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Ulang tahun ke-12 Siti Norzana Nordi yang terkandas di Lampung, Indonesia hari ini akibat masalah keluarga, pastinya menjadi yang paling istimewa dan tidak dapat dilupakan oleh kanak-kanak itu.
Ini kerana dalam usaha membawanya pulang ke tanah air selepas dia dilaporkan telah dijual kepada keluarga angkat di negara jiran, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO tidak lupa untuk mengutuskan beberapa hadiah istimewa kepadanya.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, hadiah tersebut dibawa oleh wakil biro tersebut yang berlepas ke Lampung pagi ini untuk berbincang dengan keluarga angkat kanak-kanak itu.
"Kita harap hadiah berkenaan dapat menggembirakan Siti Norzana yang begitu berharap dapat pulang ke negara ini secepat mungkin untuk memulakan kehidupan barunya bersama ayah dan tiga lagi adiknya.
"Siti Norzana ada menghubungi ayahnya pada raya ketiga lalu dan dengan nada hiba, kanak-kanak itu menyampaikan hasrat untuk pulang dan tinggal bersama keluarganya di negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Siti Norzana merupakan seorang daripada empat beradik warganegara Malaysia yang terkandas di Lampung, Indonesia sejak dua tahun lalu selepas ibu tiri mereka menghilangkan diri.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Tiada ulasan: