SEMALAM negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-55. Sejak merdeka,
kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan impak
kepada ekonomi bumiputera di negara ini. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang
dilancarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1971 banyak
mengangkat taraf hidup bumiputera di negara ini.
Kadar kemiskinan turun dari 64.8% pada 1970 kepada sekitar 5.3% pada
tahun 2009; dan bilangan profesional bumiputera meningkat dari 5% kepada
45% (51,306 orang) daripada jumlah keseluruhan profesional dalam tempoh
yang sama. Begitu juga peratusan bumiputera dalam pengurusan meningkat
daripada 22% pada 1970 kepada 43% pada 2009; walaupun sebahagian besar
mereka menjawat jawatan ini dalam sektor kerajaan dan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC).
Sementara kita berbangga dengan pencapaian ini, masih ada isu dalam
ekonomi bumiputera yang perlu diberikan perhatian. Antaranya ialah
penglibatan bumiputera dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang
merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara.
SME Corp mentakrifkan PKS sebagai syarikat yang mempunyai jualan
tahunan di bawah RM25 juta atau pekerja sepenuh masa di bawah 150 orang.
Menggunakan takrifan ini, sekitar 99.2% atau 548,267 buah syarikat
dikategorikan sebagai PKS. Secara keseluruhannya, 79% PKS adalah dalam
kategori mikro, iaitu mencatat jualan tahunan di bawah RM250,000 atau
mempunyai lima orang pekerja dan ke bawah.
Bagaimanapun, hampir sembilan daripada 10 syarikat bumiputera berada
dalam kategori mikro. Sekiranya dilihat secara keseluruhan, jumlah
sebenar syarikat bumiputera (termasuk mikro) lebih kecil disebabkan
daripada kesemua syarikat yang berdaftar di negara ini, hanya satu per
empat saja dimiliki oleh bumiputera.
Implikasi yang ketara daripada senario ini adalah walaupun ada
peningkatan daripada 2.4% daripada 1970 kepada 21.9% pada 2008 dan
seterusnya 23.09% pada 2010, namun pemilikan ekuiti korporat bumiputera
secara relatifnya masih rendah. Apabila kekayaan tidak berlegar di
kalangan bumiputera, ia memberikan impak ekonomi dan sosial yang
melebar.
Dalam sektor ekonomi, bumiputera tidak menguasai entiti perniagaan
besar atau rantaian nilai dalam banyak sub-sektor ekonomi. Malah,
penyertaan bumiputera dalam sub-sektor seperti halal (makanan dan bukan
makanan) adalah terlalu rendah.
Sementara dalam sektor sosial ia memberikan kesan kepada peluang
untuk bumiputera memegang jawatan kanan dalam sektor swasta, mobiliti
sosial dan akses kepada pendidikan di luar sektor awam.
Cabaran bumiputera sekarang adalah persekitaran di mana kita
beroperasi sudah berubah. Perubahan landskap sosio-politik dan
peningkatan globalisasi memberikan kesan kepada pembangunan ekonomi
bumiputera secara keseluruhannya. Ini bermaksud bumiputera tidak lagi
boleh berfikir dan bertindak seperti sebelumnya. Maka, di sinilah
letaknya keperluan kepada transformasi ekonomi bumiputera.
Sebagai satu inisiatif kepada anjakan paradigma ini, Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi
Bumiputera" pada 26 November lalu. Ia merupakan sebahagian program
transformasi negara yang diperkenalkan Najib sejak memegang jawatan itu.
Dokumen hala tuju ini yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai
satu living document" menggariskan enam prinsip transformasi ekonomi
iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, berdasarkan merit, telus,
pro-pertumbuhan dan mampan. Sebarang inisiatif pembangunan ekonomi
bumiputera harus dilakukan dengan mengambil kira prinsip-prinsip ini.
Hala Tuju Transformasi Ekonomi bumiputera" juga mempunyai aspirasi
untuk melihat perubahan kepada instrumen polisi dan rasionalisasi sistem
penyampaian, mengukuhkan pendidikan dan kapasiti bumiputera, dan
membangunkan perniagaan yang mempunyai skala yang mencukupi untuk
menghadapi persaingan.
Ini bermaksud, kita perlu melakukan penilaian semula kepada program
pembangunan ekonomi bumiputera dan koordinasi yang lebih baik antara
agensi-agensi kerajaan, sekali gus mengelakkan pertindihan fungsi dan
kumpulan sasar.
Berdasarkan analisis awal, sebahagian besar program pembangunan dan
pembiayaan perniagaan bertumpu kepada keperluan dan peluang (necessity
and opportunity driven); manakala yang dipandu oleh inovasi (innovation
driven) masih kurang.
Sejak 2006, sejumlah 26.3% atau RM16.1 bilion untuk pembangunan PKS
diperuntukan khusus untuk bumiputera. Untuk 2012, sejumlah RM5.7 bilion
daripada jumlah keseluruhan RM19.9 bilion diperuntukan untuk syarikat
dan usahawan bumiputera; menjadikannya jumlah paling tinggi dalam tempoh
enam tahun. Persoalannya, apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan
bagi meningkatkan impaknya kepada usahawan bumiputera?
Perdana Menteri juga menyebut mengenai pembinaan kapasiti dan ini
juga merupakan asas yang penting dalam transformasi ekonomi bumiputera.
Dengan perubahan landskap yang disebutkan terdahulu, bumiputera harus
bersaing di pasaran terbuka dan mengurangkan kebergantungan kepada
kerajaan.
Penubuhan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) sebagai
contoh, adalah merupakan satu inisiatif Hala Tuju Transformasi Ekonomi
Bumiputera" bagi membina kapasiti bumiputera. Dalam tempoh kurang
setahun sejak dilancarkan, ia menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar
dari persekitaran mencabar di seluruh negara. Manakala program
pembangunan profesional dalam bidang-bidang terpilih seperti akauntan
baru dimulakan; sementara beberapa siri pembangunan skil tinggi akan
dimulakan pada tahun depan.
Satu lagi aspek penting dalam hala tuju ini adalah membangunkan
perniagaan berskala mencukupi dan menyediakan mereka untuk menghadapi
persaingan. Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) yang
dilaksanakan oleh Teraju bertujuan mengangkat syarikat-syarikat ini ke
tahap yang lebih tinggi dan menyediakan mereka untuk persaingan terbuka.
Pelupusan aset syarikat berkaitan kerajaan kepada bumiputera yang
sedang dilaksanakan melalui Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan
Nasional Berhad adalah satu lagi inisiatif quick win" untuk
meningkatkan pemilikan ekuiti dan membangunkan perniagaan berskala
besar.
Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana
Menteri memutuskan untuk kedua-dua agensi ini melupuskan 10 aset bukan
teras kepada syarikat bumiputera yang layak.
Apa yang disebutkan di sini hanyalah sebahagian inisiatif Hala Tuju
Transformasi Ekonomi Bumiputera." Dalam tempoh satu setengah tahun,
Teraju menyediakan peluang perniagaan dan pembiayaan untuk bumiputera
melebihi RM13 bilion.
Pun begitu, agenda transformasi ekonomi bumiputera bukanlah
dilaksanakan oleh Teraju atau mana-mana agensi secara terpinggir.
Transformasi ini harus dilakukan merentasi sektor dan kementerian. Atas
sifat itulah, transformasi ekonomi bumiputera harus menjadi agenda
nasional!
PENULIS ialah Pengarah Kanan, Pengurusan Stakeholder, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Perdana Menteri.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan