MUNGKIN ramai penyokong Nasharudin Mat Isa menarik nafas lega apabila
beberapa pemimpin terkenal dalam Pas bertaraf ulama tampil
mempertahankan bekas Timbalan Presiden Pas itu.
Selain Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, Timbalan Mursyidul
Am Pas, Datuk Haron Din turut berbuat demikian. Malahan Nasharudin juga
mendapat sokongan daripada beberapa ulama Pas di negeri-negeri. Namun
begitu ia tidak boleh dianggap kemenangan awal untuk Nasharudin,
perjalanan beliau untuk mempertahankan diri masih panjang.
Nasharudin mungkin tidak akan menghadapi masalah untuk memberi
penjelasan kepada Majlis Syura Ulama kerana beliau yakin berada di pihak
yang benar. Pandangan beliau meminta Pas mengkaji semula kedudukan
dalam pakatan pembangkang seperti mana kata Haron Din bukan satu
kesalahan.
Tetapi bagi kelompok Anwarinas yang meletakkan kepentingan kerjasama
dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengatasi segala-galanya
mereka tidak akan duduk diam.
Mereka pasti akan terus melakukan desakan, tekanan dan gerakan bagi
memastikan Nasharudin dikenakan tindakan, mereka mahu menghumbankan Ahli
Parlimen Bachok untuk berada satu kelab dengan bekas Pesuruhjaya Pas
Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
Berbanding Hasan, Nasharudin jauh lebih bernasib baik kerana diberi
peluang membela diri dan membuat penjelasan kepada Majlis Syura Ulama,
tetapi Hasan tidak mendapat peluang berkenaan.
Hasan disingkirkan kerana kepimpinan Pas tidak mampu menahan
gertakan dan desakan pemimpin-pemimpin PKR. Bagaimanapun, Nasharudin
tidak dibiarkan bernafas dengan selesa, buat permulaan beliau diberikan
isyarat bahawa kerusi Parlimen Bachok bukan lagi miliknya atas alasan
beliau sudah ditolak oleh akar umbi. Tanggapan yang sama diberikan oleh
Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang baru-baru ini apabila mengulas
mengenai kedudukan Nasharudin.
Sebab itulah ramai yang melihat biar apa pun keputusan Majlis Syura
Ulama pada 9 September ini menyebelahi Nasharudin namun percayalah
Nasharudin bagaikan berada di atas pagar berduri biar pun disuapkan
dengan jus yang manis.
Apatah lagi secara tiba-tiba kita mendengar kenyataan bahawa nasib
Nasharudin akan ditentukan melalui mesyuarat agung Pas, maknanya
keputusan Majlis Syura Ulama jika menyebelahi Nasharudin bukan penamat.
Bagi puak-puak Anwarinas, inilah peluang untuk mereka terus
menggunakan pengaruh dan kekuatann untuk memastikan Nasharudin tidak
akan mampu mengembangkan karier politiknya dalam Pas.
Ini kerana mereka memahami Nasharudin sudah dilihat pemimpin masa
depan Pas oleh banyak pihak. Puak-puak Anwarinas atau liberal dalam
parti itu sudah tentulah tidak mahu ia menjadi kenyataan.
Bagi mereka, era kepimpinan ulama dalam Pas sudah tidak relevan
dengan perkembangan politik semasa, sekarang adalah masa untuk golongan
bukan ulama menguasai Pas sepenuhnya.
Tetapi selagi ada Nasharudin impian mereka mungkin tidak akan
tercapai, justeru mahu tidak mahu Nasharudin harus disingkirkan sama ada
terkeluar terus daripada parti atau berada dalam parti namun sekadar
ahli biasa sahaja.
Puak-puak Anwarinas amat memahami kekuatan mereka, sebab itulah
kalau ada pemimpin di kalangan mereka bercakap soal yang dilihat
bertentangan dengan parti, mereka hanya mendiamkan diri sahaja tetapi
apabila ada golongan pro ulama menyatakan sesuatu biar pun benar maka
mereka akan mencari fasal supaya individu berkenaan dikenakan tindakan.
Tugas mereka menjadi mudah kerana mereka rapat dengan
pemimpin-pemimpin berpengaruh dalam parti dan keadaan itu kesudahannya
menjadikan siapa juga yang tidak sehaluan dengan puak Anwarinas ini
berada dalam bahaya.
Usaha menyingkirkan Nasharudin boleh dianggap misi terakhir
puak-puak Anwarinas dalam menguasai Pas sepenuhnya. Sebab itulah sikap
konsisten ulama-ulama Pas dalam mempertahankan Nasharudin amat penting.
Jika mereka tidak sepakat dalam soal berkenaan, percayalah
Nasharudin tidak akan lama dalam Pas, ia memandangkan mainan politik
puak-puak tersebut amat hebat. Mereka akan cuba mewujudkan tekanan demi
tekanan bagi meletakkan kepimpinan kanan Pas berada dalam keadaan serba
salah dan seterusnya mengikut telunjuk mereka untuk menyingkirkan
Nasharudin.
Perkara ini tidak dinafikan oleh Hasan Ali yang sudah merasai betapa
dahsyat mainan politik puak Anwarinas tersebut. Atas sebab itulah,
golongan ulama di dalam Pas perlu berdiri teguh mempertahankan
Nasharudin. Ramai yang berpendapat memang Nasharudin berhak dihukum
kalau beliau benar-benar melakukan kesalahan.
Tetapi kenyataan beliau mengenai kedudukan Pas dalam pakatan
bukannya satu kesalahan, sebagai bekas pemimpin nombor dua dan sayangkan
perjuangkan Islam Pas, Nasharudin berhak memberi pandangannya bagi
mengelak parti itu terus diperkotak-katikkan.
Sekurang-kurangnya keberanian Nasharudin memberi isyarat kepada
pemimpin-pemimpin pembangkang lain bahawa tidak semua pemimpin Pas
sanggup menjadi pak turut semata-mata memburu kuasa ke Putrajaya.
Apa pun, kes Nasharudin ini semakin menampakkan dengan jelas
pertembungan antara golongan ulama - satu kumpulan yang bertanggungjawab
menubuhkan Pas dengan kumpulan Anwarinas yang semakin teruja memburu
kuasa.
Sudah tentulah kita tidak akan mampu menduga siapa yang akan menang
tetapi apa yang pasti seandainya kumpulan ulama tewas dan Nasharudin
tersingkir, maka ia akan menjadi permulaan kepada perjalanan terakhir
golongan ulama dalam perjuangan politik Pas.
Ia memandangkan Pas ketandusan pemimpin bertaraf ulama yang seusia
dengan Nasharudin. Kalau ada pun mereka tidak begitu menonjol. Pengaruh
dan kewibawaan mereka tidak sehebat Nasharudin yang dianggap anak
didik Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan beliau pernah menjadi
Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden Pas.
Inilah rekod perjalanan politik Nasharudin yang menggerunkan
puak-puak Anwarinas dalam Pas, tambahan pula Nasharudin kental dengan
prinsip perjuangan Islam yang sudah tentu amat tidak digemari oleh puak
berkenaan demi menjaga hubungan dengan PKR dan DAP.
Mungkin sekali lagi kita akan mendengar pihak-pihak tertentu di
dalam Pas akan menuduh bahawa media sengaja mewujudkan istilah Anwarinas
ini. Namun perjalanan politik Pas sejak kebelakangan ini telah
membuktikan bahawa jati diri Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam
sudah terhakis.
Dan kalau benar puak berkenaan tidak wujud kenapakah Nasharudin
hendak diadili semata-mata beliau mempertahankan martabat, maruah dan
prinsip perjuangan Pas?
Kenapakah Dr. Hasan disingkirkan tanpa diberi peluang membela diri, hanya kerana beliau dilihat berusaha memartabatkan Islam?
Kesimpulannya, kes Nasharudin bukan sekadar penentuan nasib seorang
pemimpin bertaraf ulama dalam Pas tetapi jauh daripada itu, ia bakal
menentukan golongan manakah paling berkuasa di dalam Pas.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan