2 September 2012

Kerajaan Kelantan terus berdolak-dalik laksana hudud

KOTA BHARU 31 Ogos - Pelaksanaan undang-undang syariah, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan atau hukum hudud di negeri ini kelihatan masih samar biarpun mendapat desakan banyak pihak supaya ia dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mengatasi masalah sosial yang dikatakan semakin serius terutama membabitkan kes ragut.
Ia berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bahawa pelaksanaan undang-undang tersebut masih di peringkat dalaman Jawatankuasa Teknikal Hudud.
Untuk rekod, jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada 4 Oktober 2011 oleh kerajaan Pas Kelantan untuk mengkaji pelaksanaan enakmen itu dan sehingga hari ini ia masih belum bermesyuarat.
Ahmad yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut berkata, pihaknya akan mengadakan sidang meja bulat terlebih dahulu bagi membincangkan semua perkara membabitkan pelaksanaan hukum Allah itu.
Pada masa sama, beliau berkata, belum sampai masanya kerajaan Pas Kelantan mendapatkan maklum balas daripada ketua jabatan yang dilantik untuk menyertai Jawatankuasa Teknikal Hudud biarpun surat telah dihantar kerana fokus diberikan untuk membincangkan topik pada sesi meja bulat nanti.
"Itu (gesaan supaya laksana hukum hudud secepat mungkin) saya tak nak komen sebab perkara ini dalam usaha semua pihak, sesiapa saja umat Islam mahu melihat perkara ini dilaksanakan secepat mungkin dan jawatankuasa hudud dalam perbincangan dalaman.
"Kita akan adakan meja bulat bincang topik dahulu, supaya dapat dilihat semua bidang dan kaitan, dalam keputusan Exco lepas kita sudah putuskan, saya kira secepat mungkin ia akan diadakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) supaya undang-undang syariah iaitu hukum hudud yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) kira-kira 20 tahun lalu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengatasi jenayah termasuk ragut yang semakin membimbangkan masyarakat di negeri ini.
Langkah itu perlu bagi membolehkan pelaksanaan hukum tersebut tidak hanya dijadikan modal politik, sebaliknya benar-benar dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Cadangan tersebut dikemukakan ekoran kejadian seorang pembantu klinik, Rohairani Abdullah, 36, yang hampir putus pergelangan tangan akibat ditetak peragut di Jalan Sultanah Zainab kelmarin.
Sementara itu, Ahmad menafikan kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menyifatkan kejadian ragut dan tetak yang menimpa seorang wanita di Kota Bharu, semalam adalah isyarat jelas gejala sosial di negeri ini semakin parah.
"Masalah gejala sosial, perkara ini berlaku kita tidak dapat katakan serius kerana laporan selama ini ada turun naik, mereka yang melakukan jenayah sentiasa memerhati peluang yang ada.
"Ia berpunca kerana tidak ada kefahaman hidup secara Islam dan beragama tidak kira di mana saja mereka berada sama ada di Kelantan dan di mana saja," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12 

Tiada ulasan: