9 Ogos 2009

Anwar pengkhianat Melayu?

[MM - 09/08/09]
Dua isu menarik perhatian Awang sepanjang minggu ini. Salah satunya ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu pada Khamis lalu.
Akhbar Utusan Malaysia pada muka depannya menggariskan kesemua tujuh wasiat itu untuk dijadikan renungan rakyat semua kaum.
Awang menjunjung kasih kepada baginda kerana tidak putus-putus memperingatkan rakyat tentang asas kenegaraan dan realiti sejarah Malaysia yang berpaksikan Melayu.
Walaupun Raja Nazrin turut menjadi sasaran kritikan dan penghinaan oleh pihak tertentu dan ramai individu di laman-laman web dan blog, baginda tidak pernah berhenti menyuarakan kebenaran berdasarkan fakta dan hujah yang bernas. (Belum pernah dalam sejarah, raja-raja Melayu dihina sebagaimana yang berlaku selepas pilihan raya umum lalu)
Satu lagi isu yang panas ialah kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang menyifatkan pemimpin pembangkang dan peneraju PKR, Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.
Kenyataan Muhyiddin mendapat gelombang reaksi banyak pihak yang menyokong beliau. Tindakan Anwar yang dikatakan mahu menyaman Muhyiddin sebanyak RM100 juta selain media yang melaporkannya, tidak menghalang banyak pihak mengeluarkan kenyataan melabel Anwar sebagai pengkhianat Melayu.
Awang percaya Anwar juga faham tentang sentimen masyarakat Melayu yang rata-rata marahkan beliau atas banyak tindak-tanduknya menggugat kepentingan Melayu semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri.
##

DAP anti Islam?

[Utusan - 09/08/09]
Beberapa kenyataan pemimpin DAP yang didakwa menghina Islam telah menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.
Terbaru ialah tindakan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremisme sementara Exco Selangor, Ronnie Liu campur tangan dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa tempatan merampas arak di kedai serbaneka di kawasan penduduk majoriti Islam.
Pemimpin utama DAP hanya berdiam terhadap kenyataan tersebut. Maka tercetus persoalan apakah parti itu yang memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia bersikap anti Islam?
Persoalan itu berbangkit kerana sebelum ini banyak tindak tanduk dan kenyataan DAP termasuk di laman-laman web dan blog yang mengguris perasaan orang Islam.
Mungkin atas dorongan politik, penghinaan terhadap Islam, institusi raja dan orang Melayu oleh sebahagian bukan Islam atas nama individu juga menjadi-jadi. (Anehnya tiada tindakan tegas daripada kementerian Dalam Negeri yang lebih banyak memberi peringatan dan amaran).
Isyarat yang diterima oleh umat Islam terutama selepas pilihan raya umum ke-12, DAP makin tidak menjaga sensitiviti umat Islam.
Parti lain dalam pakatan pembangkang iaitu Pas dan PKR (parti pelbagai kaum yang diketuai oleh Anwar Ibrahim) tidak berupaya mengawal DAP yang jauh lebih dominan dan berani. Para pemimpin Pas tunduk walaupun perasaan ramai ahlinya bergelora mahu membela kepentingan Islam. Mungkinkah Pas sedang bertukar ideologi menjadi parti liberal Islam atau sememangnya pengaruh Anwar sudah meresap kuat dalam parti itu?
Bayangkanlah jika pembangkang memerintah negara, Islam akan terus diperlekehkan dan Pas dengan dayus hanya mampu memerhati. Pada Awang, adalah kurang waras, jahil dan kurang beriman bagi mana-mana orang Islam untuk menyokong parti yang secara terang-terang dan tersirat mahu melemahkan Islam, yang menjadi teras negara ini.
Kalau selama ini ada banyak pihak yang senada dengan DAP menuduh Melayu sebagai ancaman, sebenarnya merekalah ancaman terbesar yang mesti ditentang habis-habisan. Kalau di negara barat sekalipun, sesiapa sahaja yang menghina Islam menerima tamparan hebat oleh golongan minoriti Islam. Itu belum keadaannya di negara-negara Islam lain seperti di dunia Arab dan Indonesia yang akan merusuh. Tetapi di Malaysia, percaturan politik menyebabkan sesetengah umat Islam dilihat menjadi bacul dan boleh dihina sesuka hati.
Sudah sampai masanya umat Islam mesti bersatu dan bangkit hadapi ini semua. Para pemimpin Islam mana-mana parti janganlah berlembut lagi. Apakah mereka akan bertanggungjawab jika tanah air ini menjadi seumpama Palestin ditindas oleh Yahudi suatu hari nanti? Petunjuk ke arah itu sudah jelas. Awang setuju dengan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali bahawa jika penghinaan terhadap Islam tidak dibendung ia dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Perkembangan terbaru ini mengesahkan lagi bahawa DAP adalah parti ekstrem yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum itu dan bukan kepentingan rakyat Malaysia seperti yang selalu dilaung-laungkan.
Kalau Pas dianggap dayus, apa lagi boleh diharapkan kepada PKR yang sudah menjadi seumpama musuh dalam selimut kepada umat Islam.
Kerajaan pimpinan PKR di Selangor bukan sahaja tunduk kepada DAP malah banyak isu seperti projek penternakan babi besar-besaran dan cadangan mahu mengagihkan wang zakat kepada bukan Islam, menampakkan kepentingan Islam terhakis dengan mudahnya.
Apa makna menjadi orang Islam jika kita tidak tahu dan tidak berani mempertahankan kepentingan Islam sedangkan penganut agama lain jauh lebih agresif di tanah air ini yang Islam adalah agama rasmi? Lebih baik kita berdoa agar dicabut nyawa kita daripada membiarkan Islam terus dihina.
##

8 Ogos 2009

Arak: Selangor tidak larang

[Utusan - 08/08/09]
Oleh AZIAN AZIZ pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 7 Ogos - Kerajaan negeri Selangor hari ini membuat keputusan tidak akan melarang penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam di negeri ini.
Sebaliknya, kerajaan negeri meminta semua premis perniagaan, pasar raya dan kedai serbaneka yang menjual arak mengamalkan konsep kawalan sendiri bagi membendung penjualan minuman keras kepada orang Islam dan remaja bawah umur.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa mengumumkan perkara itu berkata, buat permulaan konsep kawalan sendiri akan dikuatkuasakan di 52 premis perniagaan dan kedai serbaneka di Shah Alam dengan menumpukan 17 premis di Seksyen 1 hingga Seksyen 24.
Menurut beliau, ia akan diseleraskan di seluruh negeri jika konsep itu berjaya mencapai tujuannya selepas tempoh sebulan.
''Kerajaan negeri berpendapat baik guna konsep kawalan sendiri yang mana penjual faham kehendak pengguna iaitu di kawasan yang tidak ada permintaan atau tidak perlu penjualan dibuat, maka mereka tidak perlu jual atau pamer minuman keras.
''Jadi dengan konsep ini, tidak perlulah banyak undang-undang digubal dan saya tahu ini memang keputusan yang orang tidak sangka.
''Dengan ini juga, draf yang dicadangkan oleh Pas itu takkan dilaksanakan kerana kita pilih nak belajar bagaimana laksanakan konsep ini (kawalan sendiri)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mazalan Md. Noor serta wakil kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven dan Kumpulan Syarikat KK di sini hari ini.
Selasa lalu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali mendesak agar portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Ronnie Liu ditarik balik ekoran beberapa masalah yang ditimbulkan wakil rakyat DAP itu berhubung isu penjualan arak.
Pas turut memaklumkan akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasakan di peringkat pihak berkuasa tempatan dan mencadangkan agar minuman keras tidak boleh dijual di kawasan yang majoriti penduduk Islam.
Bagaimanapun, desakan menarik balik portfolio Ronnie telah ditolak mentah-mentah dan hari ini cadangan mereka agar minuman keras tidak boleh dijual di kawasan yang majoriti penduduk Islam pula diketepikan.
Mengulas lanjut konsep kawalan sendiri, Abdul Khalid berkata, konsep yang mendapat kerjasama pemilik premis kedai serbaneka itu diharap dapat mengekang masalah sosial.
Selain itu, kata beliau, ia juga menunjukkan toleransi kerajaan negeri kepada peniaga serta memahami keperluan serta tanggungjawab kepada rakyat yang pelbagai budaya, kaum dan agama.
Ditanya sama ada kedai serbaneka di Seksyen 8 di sini akan turut serta dalam konsep itu, beliau berkata, mereka juga sedang membuat kajian sama ada untuk menarik semula penjualan minuman keras di premis itu atau sebaliknya.
Sementara itu, Mazalan ketika ditemui berkata, pihaknya akur dengan keputusan tersebut dan akan bekerjasama dengan semua premis perniagaan serta kedai serbaneka di bandar raya ini untuk merealisasikan konsep tersebut.
''Dalam sebulan ini, kita akan tumpukan di Seksyen 1 hingga Seksyen 21 Shah Alam di mana terdapat 17 kedai serbaneka yang akan melaksanakan sistem ini," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KK, Datuk Dr. Doughlas KK Chai pula berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan konsep itu kerana hanya mempunyai satu cawangan di Shah Alam iaitu di Seksyen 9 di sini.
Menurutnya, konsep itu mungkin memberi kesan kepada perniagaannya, tetapi ia akan membawa kebaikan kepada semua pihak terutama dalam mencegah masalah sosial yang berpunca daripada arak.
##

Ezam sedia jadi saksi utama

[Utusan - 08/08/09]
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 7 Ogos - Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Nor bersedia tampil sebagai saksi utama kes tuntutan saman Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membuktikan siri pengkhianatan yang pernah dilakukan oleh Penasihat PKR itu.
Katanya, beliau bersedia berbuat demikian kerana mahu bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan lebih banyak lagi tindakan khianat Anwar terutama terhadap orang Melayu.
Sebagai contoh beliau berkata, Anwar pernah menghina Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertujuan mendapatkan semaksimum undi kaum Cina serta India dalam satu mesyuarat yang turut dihadirinya.
''Akhirnya saya keluar dari PKR apabila melihat Anwar sanggup menghina DEB iaitu sebuah institusi bagi orang Melayu. Saya tidak sangka dia bertindak sebegini rupa hanya semata-mata untuk mendapatkan undi Cina dan India.
''Memang tidak salah untuk kita mengkritik tetapi apa yang dilakukan oleh Anwar ini sudah sampai ke tahap menghina dan sebagai seorang Islam dan seorang Melayu saya tidak boleh terima apa yang berlaku,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahad lalu, Muhyiddin dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading membidas Anwar sebagai pengkhianat perjuangan Melayu.
Berikutan kenyataan tersebut, Anwar menerusi peguamnya menghantar surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada Muhyiddin dan Utusan Malaysia.
Selain Utusan Malaysia, kenyataan Muhyiddin itu turut disiarkan oleh New Sunday Times dan Berita Harian.
Ezam berkata, sepatutnya amalan politik Anwar itu ditolak kerana ia telah menjadi penyebab kepada wujudnya banyak pihak khususnya bukan Melayu yang semakin berani mempertikaikan hak istimewa orang Melayu.
''Anwar sebenarnya telah tersilap menafsir keadilan. Keadilan bukan kesamarataan tetapi keadilan itu ialah meletakkan sesuatu itu pada haknya,'' katanya.
Beliau berkata, satu lagi siri pengkhianatan Anwar adalah terhadap Islam apabila pemimpin pembangkang itu dengan jelas mahu memperkenalkan amalan kesamarataan di dalam PKR.
Katanya, amalan tersebut amat bertentangan dengan prinsip politik Rasulullah kerana di dalam Islam tidak ada konsep kesamarataan.
''Rasulullah tidak pernah berkompromi dalam soal ini. Maksudnya dalam apa jua keadaan sekalipun Islam mesti menjadi dominan. Islam wajib diutamakan berbanding perkara-perkara lain,'' katanya.
Beliau menambah, dalam prinsip politik Islam, orang bukan Islam yang bernaung di bawah pemerintah Islam tidak akan mendapat hak sama rata sebaliknya akan menerima hak mereka seperti mana dipersetujui.
Dalam pada itu Ezam berkata, kerajaan sedia ada tidak pernah menzalimi rakyat bukan bumiputera sebaliknya mereka memperoleh nikmat yang melimpah ruah jika dibandingkan dengan orang Melayu dan bumiputera.
''Ini merupakan satu fakta dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Oleh itu, saya amat berharap orang Cina, India dan sebagainya tidak mudah tertipu dengan permainan politik Anwar,'' jelasnya.
##

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

"Akhbar semalam melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang memuji layanan luar biasa Perdana Menteri sepanjang lawatannya itu. Mursyidul Am Pas itu berkata, penghormatan yang tidak pernah ditunjukkan Perdana Menteri sebelum ini dilihat sungguh cantik, di samping senyuman pemimpin Kerajaan Pusat serta kehebatan kawasan berkenaan yang tiada tolak bandingnya."
- BH - 07/08/09

7 Ogos 2009

PM hargai pujian Nik Aziz

[BH - 07/08/09]
Oleh Veena Rusli di Bandar Seri Begawan bhnews@bharian.com.my
Najib ikhlas beri layanan adil, sama rata kepada rakyatDATUK Seri Najib Razak bersyukur dengan pujian Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap layanan yang diberikannya ketika Menteri Besar Kelantan itu menghadiri pelancaran Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (SEZ-ECER) di Pekan, Pahang, pada Selasa lalu.
Sambil menyatakan penghargaannya terhadap kenyataan Nik Abdul Aziz itu, Najib berkata, beliau melakukannya secara ikhlas atas kedudukan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
"Ya ke?... Alhamdulillah. Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan saya nak berlaku adil kepada semua rakyat. Saya amat menghargai komen Datuk Nik Aziz dan saya menghargai kesudian beliau mengikuti program sepanjang jalan di Pekan.
"Bagi saya, ini menunjukkan beliau juga ingin menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat." katanya ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada akhir lawatan tiga harinya sempena Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-13 di Istana Darut Taqwa, di sini semalam.
Akhbar semalam melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang memuji layanan luar biasa Perdana Menteri sepanjang lawatannya itu. Mursyidul Am Pas itu berkata, penghormatan yang tidak pernah ditunjukkan Perdana Menteri sebelum ini dilihat sungguh cantik, di samping senyuman pemimpin Kerajaan Pusat serta kehebatan kawasan berkenaan yang tiada tolak bandingnya.
Ditanya sama ada keterbukaan Nik Aziz itu akan membuka lembaran baru di antara Kerajaan Pas Kelantan dengan Kerajaan Pusat, Najib berkata, hubungan peringkat Persekutuan dengan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang perlu dibangunkan berlandaskan tahap keserasian.
"Bagaimanapun, tahap keserasian yang tinggi ini tidak boleh berlaku dalam masa singkat. Apa yang penting ialah keikhlasan kita dan sikap saling menghormati kedua-dua pemimpin.
"Inilah yang menjadi hasrat saya dan ini saya lakukan secara ikhlas kerana yang saya pentingkan ialah rakyat kita, rakyat Kelantan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan," katanya.
#

DAP gesa tindakan disiplin terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor

[Bernama - 07/08/09]
PETALING JAYA: Perbalahan terbuka antara parti dalam Pakatan Rakyat di Selangor semakin berlarutan dengan DAP hari ini menuntut supaya diwujudkan jawatankuasa disiplin bagi membincangkan tindakan terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kerana tindakannya meminta agar Ronnie Liu dari DAP dilucutkan daripada jawatannya sebagai Exco Selangor, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, berkata tindakan Dr Hasan dalam kes itu dilihat "tidak sesuai serta tidak adil", dan menambah bahawa ia diburukkan lagi dengan tindakan Pemuda Pas mengadakan demonstrasi menentang Ronnie Liu, serta rancangan Pas mengadakan kempen besar-besaran di masjid-masjid berhubung isu itu sebagaimana yang dilaporkan media.
"Apa yang membuatkan tindakan (Hasan) itu tidak dapat diterima ialah kenyataan bahawa Ronnie Liu menjalankan tanggungjawabnya dengan tekun, apabila mengarahkan supaya dipulangkan barang yang diambil secara tidak sah kepada pemiliknya," kata Pua kepada pemberita di pejabat DAP Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata DAP memiliki hubungan yang baik dengan Pas di peringkat persekutuan, namun menurutnya parti itu benar-benar bingung dengan apa yang berlaku di Selangor yang dilihat berbeza sama sekali dengan hubungan yang wujud di peringkat nasional.
Pua berkata DAP akan menghantar surat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat hari ini bagi menggesa supaya ditubuhkan satu jawatankuasa disiplin.
Minggu lalu, Ronnie Liu selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam.
Ekoran tindakan itu, Dr Hasan Mohamed mendesak kerajaan negeri menarik balik portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Liu.
#

7 wasiat raja Melayu

[Utusan - 07/08/09]
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:
  • Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
  • Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
  • Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
  • Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
  • Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
  • Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
  • Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

##

6 Ogos 2009

MB pertahan Exco DAP

[BH - 06/08/09]
Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Haspaizi Mohd Zain bhnews@bharian.com.my
Khalid tak tunduk desakan Pas Selangor gugur Ronnie Liu
SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tidak tunduk terhadap desakan Pas Selangor yang mahu wakil rakyat DAP, Ronnie Liu, digugurkan daripada barisan Exco negeri kerana didakwa mengguris hati umat Islam.
Abdul Khalid pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini semalam, menegaskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan negeri itu tidak akan digugurkan kerana ia bukan isu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya hanya menjawab tiada komen setiap kali ditanya pemberita mengenai desakan Pas Selangor itu.
Kelmarin, Pas Selangor mendesak kerajaan negeri menggugurkan Liu sebagai Exco kerana mendakwa tindakan wakil rakyat DAP itu campur tangan dan menghalang pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas minuman keras telah mengguris perasaan umat Islam.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali juga mendakwa Liu banyak kali campur tangan dalam urusan PBT hingga menjejaskan moral dan semangat kakitangan agensi itu.
Kira-kira jam 3 petang semalam, Dewan Pemuda Pas Selangor turut menyerahkan memorandum kepada Liu. Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan, berkata Dewan Pemuda Pas Selangor menghantar memorandum itu bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan Liu dan meminta wakil rakyat DAP itu menghormati sensitiviti umat Islam.
"Pemuda Pas juga meminta supaya tindakan yang diambil pihak berkuasa tempatan merampas arak dihormati dan penjualan arak di kawasan itu tidak sepatutnya berlaku kerana majoriti, masyarakatnya adalah umat Islam," katanya.
Terdahulu, Abdul Khalid berkata, isu yang dibangkitkan Pas Selangor itu akan diselesaikan selepas kerajaan negeri membuat keputusan mengenai peraturan kecil penjualan minuman keras pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), esok.
Sehingga keputusan muktamad dibuat, katanya, semua Exco dan pegawai kerajaan negeri dilarang bercakap atau membuat sebarang komen mengenai isu penjualan minuman keras.
"Arahan ini diputuskan pada mesyuarat Exco selepas beberapa Exco membangkitkan isu penjualan minuman keras di kawasan majoriti Islam. Langkah ini diambil bagi mengelak kekeliruan yang boleh menyebabkan ketegangan di kalangan masyarakat majmuk di Selangor," katanya.
Beliau berkata, peraturan kecil penjualan minuman keras di Selangor yang akan diumumkan esok mengambil kira semua pihak, terutama sensitiviti umat Islam dan kepentingan bukan Islam. "Kita telah adakan dialog umum dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk dan sektor perniagaan berhubung isu ini. Kami yakin dapat mencapai penyelesaian yang munasabah bagi semua kaum di Selangor," katanya.
Difahamkan, kerajaan negeri akan menguatkuasakan peraturan kecil melarang penjualan minuman keras di kawasan majoriti Islam di semua 12 PBT di Selangor.
Peraturan itu telah ada sejak 1996, tetapi hanya dikuatkuasakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggunakan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1996.
Apabila dikuatkuasakan, semua premis termasuk kedai serbaneka di kawasan membabitkan Seksyen 1 sehingga 24 di bandar raya ini dijangka tidak dibenarkan menjual minuman keras.
##

5 Ogos 2009

SPRM tahan dua individu diragui status kontraktor

[Utusan - 05/08/2009 9:13pm]
Oleh Umavathi Ramayah
KUALA LUMPUR 5 Ogos — Dua lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu negara dan Shah Alam hari ini kerana status kontraktor mereka meragukan walaupun terbabit dalam projek milik kerajaan negeri Selangor.
Mereka ditahan hari ini setelah siasatan SPRM mendapati, syarikat kontraktor masing-masing memasukkan sejumlah wang sebagai bayaran projek ke dalam akaun milik DAP Selangor.
Turut ditemui, empat keping cek bernilai antara RM500 hingga RM1,500 setiap satu yang dikeluarkan oleh dua syarikat, dipercayai ada kaitan dengan kedua-dua individu itu.
#

220,000 pekerjaan baru

[Utusan - 05/08/09]
Oleh YUSRI SAHAT dan ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my
Najib Tun Razak melihat pelan pembangunan SEZ-ECER dan Agropolitan Pekan selepas merasmikannya di Pekan, semalam. Turut hadir (dari kiri) Nik Aziz Nik Mat, Adnan Yaakob, Ahmad Said dan Jebasingam Issace John. – BERNAMA
*****
PEKAN 4 Ogos – Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (SEZ-ECER) mampu menarik pelaburan RM90 bilion dan menyediakan 220,000 peluang pekerjaan menjelang 2020, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, ia yang merupakan zon ekonomi khas pertama di Malaysia meliputi Kerteh, Terengganu hingga ke Tanjung Agas di sini turut menyumbang sebanyak 80 peratus hasil keluaran ekonomi di kawasan ECER.
“Oleh kerana ia meliputi 51 peratus kawasan Semenanjung dan sangat luas, ia mampu menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi terbesar di negara ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan SEZ-ECER dan Agropolitan Pekan di Kampung Runchang di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, SEZ-ECER membabitkan kawasan pembuatan bernilai tinggi, industri asas tani, gas dan petrokimia, pelancongan dan hartanah; pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta logistik.
Menurutnya, bagi merangsang pertumbuhan SEZ-ECER, Insentif Galakan Istimewa akan diberi kepada para pelabur asing dan domestik yang berkelayakan.
“Beberapa insentif fiskal dan bukan fiskal yang baru akan disediakan agar ia mampu menarik pelaburan dan membolehkan ia terus berdaya saing dan berpotensi,” jelasnya.
Najib berkata, serentak itu Pelabuhan Kuantan akan dinaik taraf supaya mampu mengendalikan lebih 30 juta metrik tan muatan kargo setahun menjelang tahun 2020 berbanding 16.8 juta metrik tan pada masa ini.
“Pembinaan dermaga-dermaga tambahan dan pemecah ombak dijangka mampu mencapai peranannya sebagai sebuah pelabuhan utama di Pantai Timur serta sebagai pintu masuk perdagangan bagi pasaran Asia Pasifik,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, SEZ-ECER bukan merupakan satu projek yang hanya memberi tumpuan kepada pelabur semata-mata malah lebih mengutamakan kepentingan rakyat.
“Peranan pelabur penting kerana tanpa pelaburan tidak mungkin kita dapat menjana kekayaan malah penduduk di sini juga tidak mendapat pekerjaan,’’ katanya.
Najib berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan mewujudkan SEZ di beberapa koridor pembangunan wilayah lain di negara ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John.
#

SPRM gagal masuk pejabat Rodziah

[Utusan - 05/08/2009 5:36pm]
SHAH ALAM 5 Ogos _ Sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor cuba masuk ke pejabat Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail di sini hari ini dipercayai berhubung siasatan salah guna wang peruntukan kerajaan negeri.
Lima pegawai itu tiba pukul 2.45 petang tetapi dihalang kerana Rodziah tidak ada di pejabat menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri.
Namun setelah campur tangan peguam perunding kumpulan pegawai SPRM itu meninggalkan pejabat yang terletak di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini kira-kira sejam kemudian.
Tindakan SPRM itu dipercayai susulan daripada dokumen mengenai penyelewengan wang peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM375,000 oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diserahkan oleh Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) kepada agensi berkenaan baru-baru ini.
##

Pas desak tarik portfolio Ronnie

[Utusan - 05/08/09]
SHAH ALAM 4 Ogos - Pas Selangor hari ini mendesak kerajaan negeri menarik balik portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Ronnie Liu berikutan beberapa masalah yang ditimbulkan wakil rakyat DAP itu.
Portfolio itu diminta diserahkan kepada Exco lain atau dipegang oleh Menteri Besar sendiri. Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, antara masalah yang ditimbulkan Ronnie yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri itu ialah sering campur tangan dalam tugas pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga menyukarkan penguatkuasaan dijalankan.
Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, campur tangan itu telah mengganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan terlibat.
"Beberapa aduan mengenai tindakan Ronnie termasuk campur tangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai lalu dengan mempertikaikan keputusan PBT dan para pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan tugas ternyata mengingkari saluran pentadbiran yang sepatutnya.
"Juga dalam operasi arak dan maksiat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Bandar Sunway dekat sini beberapa hari lalu," katanya di sini hari ini.
Kata Hassan, Ronnie telah mempersoalkan operasi itu dengan menghubungi Yang Dipertua MPSJ.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas untuk menyatakan pendirian Pas berhubung tindakan Ronnie mencampuri tugas PBT termasuk mengarahkan MBSA memulangkan minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8 di sini Khamis lalu.
Bagi Pas Selangor, kata Hassan, apa yang dilakukan Ronnie adalah sesuatu yang tidak sihat kerana seseorang Exco boleh campur tangan jika hanya membabitkan polisi bukannya hal-hal seperti itu.
Menurut beliau, desakan Pas itu akan disampaikan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan semua pemimpin pakatan pembangkang dalam mesyuarat yang diadakan petang ini selain membawanya ke mesyuarat Exco esok.
Lanjutan itu katanya, Pas Selangor juga mendesak kerajaan negeri agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri bagi menyekat kontroversi seumpama itu berulang.
Katanya, arahan turut akan dikeluarkan kepada seluruh ahli Pas negeri untuk mengambil langkah-langkah wajar agar usaha membebaskan umat Islam daripada arak dilakukan secara lebih serius dan berterusan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.
Tambahnya, Pas Selangor juga akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasakan di peringkat PBT bagi membolehkan undang-undang sedia ada dapat digunakan dengan lebih berhemah.
''Kita juga akan mencadangkan agar minuman keras tidak boleh dijual di kawasan majoriti penduduk Islam seperti di beberapa kawasan di Shah Alam dan Bangi dan bagi kedai yang menjual minuman keras pekerjanya haruslah bukan beragama Islam.
''Bagaimanapun Pas Selangor tidak pernah menuntut arak ini diharamkan daripada dijual atau diminum di kalangan masyarakat bukan Islam," tegas beliau.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohamad Shahir yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, Pemuda Pas Selangor akan menghantar memorandum kepada Ronnie pada hari ini atau esok bagi membantah tindakannya campur tangan dalam tugas penguatkuasaan PBT.
Selain itu, Pemuda Pas juga melakukan demonstrasi aman di kawasan masjid pada Jumaat ini bagi mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan ke atas Ronnie dengan menukar portfolionya.
#

'Saya tidak akan minta maaf'

[Utusan - 05/08/09]
Oleh ZABRY MOHAMAD zabrymohamad.madzlan@utusan.com.my
PUTRAJAYA 4 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Pahat, Johor, Ahad lalu.
Timbalan Perdana Menteri turut mengakui kenyataan tersebut datang dari mulutnya sendiri dan bukan satu pembohongan.
"Saya nak beritahu, saya tak kan minta maaf. Memang itu kenyataan yang saya buat, saya bukan bohong," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tuntutan Anwar yang mahu dirinya menarik balik kenyataan yang dibuat semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Ahad lalu.
Berikutan kenyataan tersebut, Anwar menerusi peguamnya menghantar surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada Muhyiddin dan Utusan Malaysia.
Selain Utusan Malaysia, kenyataan Muhyiddin itu turut disiarkan oleh New Sunday Times dan Berita Harian.
Muhyiddin memberitahu, beliau sudah menerima surat tuntutan tersebut dan telah menyerahkannya kepada peguam untuk tindakan lanjut.
Mengenai gesaan supaya kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan dalang demonstrasi haram di ibu negara Sabtu lalu, beliau menjelaskan, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
Timbalan Perdana Menteri menambah, beliau tidak mahu sebarang tindakan termasuk penggunaan ISA dijadikan perangkap oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi memburuk-burukkan kerajaan.
Menurutnya, kerajaan juga tidak pernah tidak mengendahkan suara rakyat supaya ISA dikaji semula bahkan telah pun memulakannya.
"Sebarang kajian akan mengambil masa kerana kita perlu mendengar pandangan pelbagai pihak dan saya harap semua pihak bersabar," jelasnya.
#

4 Ogos 2009

Ronnie mesti hormati Islam dan Perlembagaan

[Utusan - 03/08/09]
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Tindakan Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjalankan tugas dengan membenarkan penjualan minuman keras kepada umat Islam di Selangor disifatkan sebagai biadab.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, Ronnie selaku antara 'orang besar' dalam kerajaan negeri seharusnya memahami, mendalami serta menghormati erti Perlembagaan negara sebelum mengambil sesuatu tindakan.
Menurutnya, dari segi undang-undang, minuman beralkohol yang mengandungi kurang daripada 18 peratus alkohol memang dibenarkan dijual kepada sesiapa sahaja tanpa memerlukan sebarang lesen dari pihak kastam.
"Namun, dalam Islam sedikit atau banyak jumlah alkohol, minuman itu tetap haram. Apabila ia dijual secara berleluasa kepada sesiapa sahaja, sudah tentu itu menimbulkan kemarahan.
"Itu perlu difahami. Tambahan, Perlembagaan negara meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Maka, sensitiviti umat Islam di negara ini perlu diletakkan di tangga teratas dalam sebarang tindakan diambil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ni.
Beliau mengulas tindakan Ronnie yang mengarahkan MBSA memulangkan semula minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam Khamis lalu setelah merampasnya dalam satu operasi yang dijalankan ke atas kedai itu sehari sebelumnya.
Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.
Maamor menambah tindakan Ronnie juga sebenarnya adalah tidak beretika dengan mencampuradukkan kekuasaan politik dan urusan harian penjawat awam.
Tambahnya, ia sama sekali bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menetapkan kepentingan politik dengan penguatkuasaan undang-undang adalah sama sekali berbeza dan harus dipisahkan.
"Perkara ini diharap mampu menyedarkan umat Islam dalam pakatan pembangkang ada di antara puak-puak di dalam DAP yang tidak menghormati Islam dan Perlembagaan," katanya.
Beliau dalam pada itu turut mencadangkan kerajaan menguatkuasakan larangan menjual dan meminum arak di tempat-tempat awam serta kepada umat Islam.
"Meminum arak bukan sahaja haram malah turut membawa banyak implikasi negatif. Kalau boleh, biarlah penjualan serta aktiviti meminum arak itu hanya dibenarkan di kelab-kelab dan tidak di tempat awam," katanya.
Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid ketika dihubungi meminta semua pihak bersabar menunggu keputusan mesyuarat exco pada Rabu ini.
"Saya diberitahu mesyuarat exco akan berjalan Rabu ini. Kita tunggulah keputusannya nanti," katanya.
#

Pasal duit Nik Aziz rela melutut

Apa yang anda boleh fikirkan bila melihat gambar ini?
Masih kita ingat kata-kata Nik Aziz, "Pergi jahanam dengan UMNO". Saya akan ingat sampai akhir hayat saya, kerana saya amat menyayangi UMNO.
Bila melihat kembali gambar ini, kesimpulan saya, kalau pasal duit Nik Aziz sanggup melutut tak kira pada siapa.
Tok Guru ke macam ini?

Anak saya diperguna sertai demonstrasi: Bapa

[Bernama - 03/08/09]
BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori hari ini berkata anaknya berusia 15 tahun telah diperguna untuk menyertai demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara pada Sabtu lalu.Abdul Aziz Ibrahim, 45, berkata anaknya Muhamad Azreen dibawa oleh penganjur dari sebuah parti pembangkang tanpa kebenarannya.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, anaknya dan 25 lagi peserta yang mengikuti rombongan itu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Beruntung tidak jauh dari Kuala Lumpur pada 6 pagi Sabtu lalu."Anak saya cedera di bahagian mata kanan dan mulut. Pihak penganjur bersikap lepas tangan selepas kejadian itu," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini.
Beliau berkata anaknya dan beberapa peserta lagi yang cedera dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Muhamad Azreen dihantar pulang ke rumah di Permatang Rawa pada pagi Ahad.
"Semalam wakil penganjur bawa anak saya ke hospital di sini tetapi hari ini kami terpaksa membawa Azreen sendiri ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Abdul Aziz berkata beliau tidak pernah memberi kebenaran untuk anaknya menyertai sebuah unit dalam parti pembangkang itu mahupun untuk menyertai demonstrasi itu.
"Anak saya tidak pernah ke Kuala Lumpur, sebab itu dia beriya-iya sangat untuk pergi apabila diberi peluang," katanya.Muhamad Azreen pula berkata 20 daripada peserta rombongan yang terdiri pelbagai lapisan umur itu adalah penduduk kampung dan enam lagi adalah orang luar.
"Saya bayar RM35 untuk mengikuti rombongan itu dan saya diberitahu oleh penganjur bahawa kami pergi untuk menjaga keselamatan dan kami diberi sehelai baju berwarna merah untuk dipakai," kata pelajar Sekolah Menengah Permatang Rawa itu.
Muhamad Azreen, yang menyertai unit itu sejak tiga tahun lepas, berkata dua peserta rombongan itu mengalami kecederaan teruk dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah yang melawat Muhamad Azreen di rumahnya, menasihati ibu bapa membuat laporan polis jika mendapati anak mereka dipergunakan untuk tujuan demonstarsi itu.
Sabtu lalu, sekitar 10,000 orang menyertai perarakan dan perhimpunan haram di ibu negara membantah ISA.
#

Peserta demo diupah?

[Utusan -3/08/09]
Oleh ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 3 Ogos - Sebahagian individu yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara, Sabtu lalu dipercayai telah diupah oleh pihak tertentu.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sumber yang diperoleh pihaknya turut mendapati motif perhimpunan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat terhadap beberapa kes mahkamah termasuk kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
''Anak-anak muda yang mengambil bahagian ini secara sinis mengatakan mereka terima upah untuk berarak. Ini agak mengejutkan pihak penganjur kerana mungkin tidak menyangka rahsia mereka akhirnya bocor juga.
''Motif perhimpunan juga mahu mengalih perhatian rakyat terhadap kes mahkamah tertentu dan ini diperoleh daripada maklum balas yang diperoleh ," katanya ketika dihubungi hari ini.
Perhimpunan haram anjuran Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) itu mengakibatkan orang ramai terperangkap dalam kesesakan jalan raya manakala peniaga menutup premis masing-masing.
Berikutan itu, banyak pihak menuntut tindakan tegas harus dikenakan terhadap dalang di sebalik GMI supaya kejadian tersebut tidak berulang.
#

3 Ogos 2009

Bertempik biarlah bertempat

MUAR 2 Ogos – “Di Selangor ada stadium yang dikuasai kerajaan negeri mereka... bertempiklah sampai subuh tapi jangan kacau jalan dan lalu lintas orang ramai.”
Demikian reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai demonstrasi jalanan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menjejaskan keamanan dan ketenteraman awam di sekitar ibu negara semalam.
Najib berharap, tidak ada lagi demonstrasi seperti itu yang memberi masalah kepada rakyat.
“Pihak berkuasa khususnya, Polis Diraja Malaysia mempunyai tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman awam, ini amat penting. Jadi, kita tidak mahu apa yang berlaku seperti semalam berterusan.
“Kalau hendak berkumpul, kita boleh sediakan tempat tertentu mereka boleh berkumpul tetapi demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang tidak patut berterusan dan pihak berkuasa boleh ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Seri Pekembar, di sini hari ini.
Ditanya sama ada terdapat pemimpin pembangkang akan ditahan berikutan demonstrasi semalam, Perdana Menteri menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, kita tak nak jadikan ini sebagai bahan politik mereka, seolah-olah kerajaan ini kejam, seolah-olah kerajaan ini tidak adil, tidak demokratik dan undang-undang kita ‘draconian’.
“Perkara ini kita mesti beri penjelasan jelas kepada rakyat. Apa-apa tindakan kerajaan mesti dapat diterima rakyat, barulah penguatkuasaan undang-undang di negara kita berkesan,” katanya.
Pada demonstrasi di ibu kota semalam, lebih 500 orang ditahan polis.
ISA: Orang Melayu diperguna
"Untuk menekan kerajaan dengan membuat demonstrasi, itu bukan budaya kita, ini budaya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkan budaya politik jalanan. Saya tidak setuju dengan cara itu, ada cara lain boleh menjayakan sesuatu perjuangan"
#

Kenapa takut ISA?

[Utusan - 01/08/09]
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL rencana@utusan.com.my
Kebanyakan peranan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam melindungi keselamatan negara sebelum ini hanya dilihat sebagai kes-kes sampingan dan tidak begitu diberi perhatian.
Sehinggalah apabila ISA digunakan ke atas individu tertentu terutamanya ahli politik, maka ia disensasikan dan dinilai tidak berperikemanusiaan.
Polemik inilah yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak terutamanya mereka yang tidak sealiran dengan kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Lebih malang, ISA dituduh melanggar hak asasi manusia dan dijadikan kambing hitam untuk memperlihatkan seolah-olah kerajaan bertindak kejam.
Sentimen sama turut menggerakkan kemungkinan terjadinya demonstrasi membantah ISA yang dirancang oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini.
Apa yang mencetuskan kebimbangan ialah demonstrasi itu pula bakal ditentang oleh kumpulan penyokong ISA. Antaranya Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) yang akan disertai oleh 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang lain.
Lautan manusia yang berbeza kepentingan dan emosi ini akan berarak menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bayangkan sekiranya kumpulan ini gagal dikawal oleh pihak berkuasa, tidak mustahil demonstrasi itu akan bertukar kepada situasi yang tegang. Kerana itu juga orang ramai berharap apa yang dirancang, baik oleh kumpulan penyokong atau penentang ISA itu tidak menjadi kenyataan.
Sesungguhnya kita mempunyai saluran untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara, dan di jalanan bukanlah caranya.
Tidak tepat seandainya dikatakan kerajaan hanya memekakkan telinga dalam memberi reaksi terhadap polemik mengenai ISA ini.
Hakikatnya Malaysia tidak bersendirian dalam pelaksanaan akta seperti ISA ini. Contoh paling dekat ialah Singapura yang semestinya lebih maju dan moden, masih melihat akta seperti ini perlu dilaksanakan. Akta itu di Singapura dikenali sebagai Internal Security Act of Singapore 1960.
India juga pernah lama mengamalkan akta seperti ISA iaitu Maintenance of Internal Security Act (MISA) yang diperkenalkan oleh Parlimen negara itu pada 1973 ketika era Indira Gandhi. Tetapi akta yang hampir sama iaitu Terrorism and Disruptive Activities (Prevention) Act dan Prevention of Terrorism Act kekal digunakan sehingga ke hari ini.
Ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa akta ini diperlukan sama ada di negara yang sering diancam keganasan seperti India, waima negara yang maju dan moden seperti Singapura.
Perkara yang sama turut dikongsi oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian. Malah beliau turut memberikan satu senario untuk dibandingkan.
Menurut Pandian, kebanyakan negara ketika ini sedang berdepan dengan keadaan yang mana tidak ada peruntukan perundangan yang membolehkan dakwaan dan tangkapan dilakukan.
Ini kerana undang-undang sedia ada tidak memberi akses sepenuhnya dalam mencari kebenaran. Senario itu dengan sendirinya menjawab mengapa ISA masih lagi dilihat relevan untuk dipertahankan.
ISA juga dilihat sesuai dalam konteks kemajmukan ahli masyarakat dan proses modenisasi yang dikecapi negara hari ini. Ini kerana dalam proses pembangunan negara, tidak bermakna masyarakat kita semakin matang dalam menangani isu yang bersifat ekstremis dan radikal.
Pandian turut mengambil contoh Amerika Syarikat (AS) yang memperkenalkan akta mirip ISA sebagai pengajaran daripada peristiwa serangan 11 September 2001.
Adakah apabila ia digunakan secara meluas oleh negara Barat maka akta seperti itu akan dianggap tidak bertentangan dengan nilai kemanusiaan?
Atau rakyat negara ini perlu berdepan dengan ancaman pengganas seperti serangan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York itu atau letupan bom seperti di Jakarta untuk memberi keabsahan kepada ISA?
Kerana itu bagi Pandian, jika kesemua aspek dalam kehidupan masyarakat termasuk aspek perundangan dan peraturan dipolitikkan, maka masyarakat akan hidup dalam lingkaran yang palsu. Iaitu menggunakan undang-undang hanya mengikut keselesaan sendiri.
"Tetapi sekiranya undang-undang itu bertentangan dengan prinsip, maka ia akan dianggap tidak demokratik," ujar beliau.
Bagaimanapun tidak dinafikan, tanggapan masyarakat hari ini sudah banyak berubah.
Dalam dahagakan amalan demokratik, ISA tidak boleh mengelak daripada dilabel sebagai mengancam nilai kemanusiaan.
Atas alasan itu juga ISA memerlukan penambahbaikan untuk disesuaikan dengan keadaan dan suasana semasa. ISA perlu merangkumi satu sifat menyeluruh dalam mempertahankan hak seseorang individu.
Pada masa yang sama, ia membolehkan penjaga keselamatan mempunyai satu peruntukan untuk memelihara keselamatan. Ia bermaksud, ISA turut diimbangi dengan dengan nilai-nilai keselamatan.
Dalam konteks masyarakat hari ini, ISA dipersoal kerana dikatakan tidak relevan dan disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan kuasa dan kedudukan.
Justeru, dalam meminda undang-undang tersebut, perlu ada mekanisme yang konkrit agar kepercayaan semula ke atas akta itu dapat dipulihkan.
Perlunya penambahbaikan itu jelas Pandian, bertujuan memastikan penerimaan yang menyeluruh dari setiap lapisan masyarakat terhadap ISA.
Begitu juga dengan kuasa yang diberikan kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) yang menjadi pertikaian. Barangkali dalam merungkai rasa tidak puas hati berkenaan bidang kuasa itu, sudah tiba masanya ia diserahkan kepada badan bebas lain, Parlimen atau kepada Yang di-Pertuan Agong.
Namun sekali lagi dalam mempertahankan ISA, soal hak asasi manusia sejagat tidak boleh dikompromi.
Hakikatnya ketika ini, walaupun masyarakat melihat penahanan tanpa bicara itu mengikut peruntukan undang-undang, namun ia gagal menghapus tanggapan bahawa penahanan itu hanyalah bersifat luaran.
Pandangan serupa turut dikongsi oleh pensyarah Jabatan Antropologi dan Soisologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad. Dalam konteks politik misalnya, ISA lebih banyak dilihat digunakan terhadap pembangkang.
Kes penahanan 10 individu yang berkait dengan sebuah parti politik pembangkang baru-baru ini sehingga menimbulkan kemarahan rakyat seharusnya boleh dijadikan iktibar. Penahanan mereka dianggap sebagai pencabulan hak asasi dengan alasan-alasan tertentu.
Antaranya dari sudut penahanan suspek, tiada laluan untuk mendapatkan khidmat guaman, kaedah penahanan yang tidak betul, keadaan semasa dalam tahanan, layanan yang kasar dan tidak berperikemanusiaan serta banyak lagi.
Meskipun semua dakwaan itu tidak pernah disahkan kebenarannya, namun ia dimainkan dengan sangat berjaya oleh pihak tertentu sehingga melekat pada tanggapan rakyat.
Tambah Noor Sulastry, apa yang sewajarnya menjadi perhatian kerajaan juga ialah akta ini tidak hanya tertakluk kepada pesalah ISA. Tetapi turut melibatkan kesengsaraan terhadap keluarga mereka.
''Malah, semacam timbul satu psikologi budaya takut akibat pelaksanaan ISA ini," ujar beliau.
Persoalan-persoalan itu bagi Noor Sulastry sudah cukup untuk menjawab apa yang perlu diubah dan diperbaiki dalam ISA. Tidak salah tambah beliau, sekiranya pandangan rakyat itu didengar bagi menjamin hak asasi manusia sejagat demi kemajuan negara.
Sekiranya persoalan itu berjaya ditangani, tidak mustahil ISA pada masa depan akan menjadi lebih ketat dan tegas. "Persoalannya, sejauh mana kerajaan bersungguh-sungguh menuju ke arah itu?," tuntas beliau.
#