20 Jun 2010

Berubah jika mahu kekal berkuasa

MM - 20/06/2010

MUHYIDDIN Yassin dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut para perwakilan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh, Johor, semalam. – Bernama

MUAR 19 Jun – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa kuasa dan kedudukan kerajaan tidak akan kekal sekiranya semua ahli parti tidak mengambil langkah berani untuk berubah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ekosistem dan landskap politik kini boleh mengancam kedudukan BN sebagai parti pemerintah apatah lagi beberapa negeri telah dikuasai parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

“Tiada jaminan kedudukan yang ada hari ini terus kekal sekiranya kita tidak bersedia mengambil langkah lebih berani. Saya mengajak pimpinan muda untuk melihat ini sebagai satu ancam kepada keberkekalan kuasa politik kita.

“UMNO dan BN perlu prihatin kepada situasi yang kritikal ini. Dalam tinjauan saya, masih ada orang menganggap situasi ini macam biasa, boleh relaks, seolah-olah tak rasa situasi lebih terancam dari dulu,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, demikian semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Dewan Sri Pekembar, Pagoh, dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkata, semua pemimpin di setiap peringkat dalam parti komponen BN tidak boleh mengambil sikap seolah-olah ‘tahu segala-galanya’ sehingga mengabaikan keperluan sebenar masyarakat.

“Jangan ada lompang yang begitu ketara sehingga persepsi masyarakat tidak serupa tentang apa yang kita fikir tentang diri kita dan parti kita.

“Kita tidak boleh dilihat bersikap sombong, kita tidak boleh bersikap tahu segala-galanya sedangkan persepsi rakyat tidak seperti yang apa yang kita rasa. Sikap seperti itu perlu diubah,” katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, persepsi negatif itu akan digunakan oleh parti pembangkang bagi memburukkan BN walaupun ia tidak mencerminkan realiti sebenar matlamat perjuangan BN.

Sehubungan itu, Muhyiddin meletakkan hasrat supaya BN terus kekal di hadapan selaku parti yang memperjuangkan nasib setiap kaum dalam menangkis segala dakyah yang dilontarkan parti pembangkang.

“Kalaulah BN ini mewakili semua kaum, maka semua parti di dalamnya mestilah mewakili nasib semua kaum... maka barulah transformasi dapat dibuat,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO untuk sentiasa bersiap sedia dalam menggalas cabaran memulihkan kembali kekuatan UMNO dan BN.

Timbalan Perdana Menteri turut menggesa ahli UMNO dan BN melakukan transformasi politik bergerak seiring dengan transformasi yang dilaksanakan kerajaan untuk mengukuhkan sokongan rakyat terhadap parti pemerintah itu.

/hwa: www.utusan.com.my

Sukan perlu jadi agenda pembangunan

MM - 20/06/2010

NAJIB Tun Razak menyampaikan anugerah Olahragawan Sukan Malaysia XIII kepada atlet Melaka, J. Karthik sambil diperhatikan Mohd. Ali Rustam (dua dari kanan) pada upacara penutup temasya itu, malam tadi.


MELAKA - Industri sukan perlu terus menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan utama negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, sukan perlu diletakkan bukan sebagai kegiatan yang dipinggirkan sebaliknya ia perlu menjadi satu aktiviti utama di negara ini.

"Saya percaya kejayaan dalam bidang sukan ini boleh memberi banyak faedah kepada kita terutama dalam industri sukan, imej kita sebagai sebuah negara dan juga pada diri kita sebagai individu.

"Sebab itu saya ingin nyatakan sukan perlu menjadi sebahagian dalam agenda pembangunan negara dan tidak boleh dipinggirkan," katanya.

Najib berkata demikian sewaktu menutup Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 yang penuh gilang-gemilang di Stadium Hang Jebat dengan dihadiri kira-kira 50,000 penonton, semalam.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Perdana Menteri menambah, sukan merupakan satu kegiatan satu wadah yang banyak memberi kebaikan kepada sesebuah negara.

Sewaktu menjadi Menteri Belia dan Sukan katanya, beliau melihat Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur telah memberi satu kesan yang cukup besar kepada negara.

"Waktu itu, negara dilanda kemelesetan ekonomi tetapi Malaysia menjadi juara Sukan SEA yang terbaik dalam sejarah ketika itu.

"Saya lihat seluruh Malaysia bersatu padu kerana mereka merasa teruja atas pencapaian yang diperoleh kontinjen negara hingga masalah kemelesetan ekonomi dilupakan seketika," ujarnya.

Sehubungan itu, Najib menegaskan, betapa sukan perlu diberi keutamaan kerana ia dapat memberi banyak kebaikan kepada rakyat di negara ini.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa gembira kerana temasya tahun ini dapat menampilkan banyak bakat atlet muda hingga berjaya mencipta 10 rekod kebangsaan dan 90 rekod kejohanan.

"Tahniah kepada Melaka kerana menjadi tuan rumah yang berjaya," ujarnya.

Terdahulu Mohd. Ali dalam ucapannya berkata, temasya tahun ini memenuhi objektifnya apabila ramai atlet muda tampil dengan banyak rekod kebangsaan dan kejohanan berjaya dicipta sepanjang 14 hari temasya berlangsung.

Kejayaan itu katanya adalah hasil usaha dan kerjasama daripada semua pihak terutama atlet, pegawai dan kontinjen negeri yang mengambil bahagian.

/hwa: www.utusan.com.my

TERENGGANU WIN AGAIN; KAH YAN AND KARTHIK CROWNED THE BEST IN FITTING FINALE

Web Sukma - 20/06/2010


Olahragawan J.Karthik dari Melaka dan olahragawati Chan Kah Yan dari Wilayah Persekutuan


PAYA RUMPUT(19 June 2010) - On the night Terengganu were crowned the overall champions of the Sukan Malaysia for two editions in a row, swimmer Chan Kah Yan and runner J. Karthik were chosen as the best sportswoman and sportsman at this year’s games.

Kah Yan of Wilayah Persekutuan emerged as the top woman athlete at this year’s games when she won seven gold medals in the 100m freestyle, the 4x100m medley, 200m freestyle, 200m backstroke, 200m individual medley, 800m freestyle, 100m backstroke, 4x100m freestyle and 50m backstroke

.She broke the games record in the 100m freestyle as well as in the 4x100m medley.

In the meantime, runner Karthik of Melaka was selected as the best sportsman following his three gold medal wins in the 3,000m steeplechase, 5,000metres and also 10,000 metres.

Karthik broke the games record in the 3,000m steeplechase. After ten days of gruelling competition, Terengganu proved that their win of the overall title two years ago when they were hosts in 2008 were no fluke by winning this year’s game in commanding fashion - bagging the all-important men’s football gold medal last night to make it a hat-trick of football crowns.

Juara keseluruhan kontinjen dari Terengganu.

And while they might not be anywhere near the 61 gold medals they raked up two years ago at home, still the 47 gold, 30 silver and 43 bronzes spoke volume of their rising profile as a bastion of producing Malaysian athletes.

Winning 12 gold medals in canoeing, eight in cycling, six in athletics and five each in judo, pencak silat and weightlifting paved the way for Terengganu’s victory as Selangor sneaked up ahead of Wilayah Persekutuan for the second spot right on the final day today.

Selangor, the seven times winner of the Sukan Malaysia, had harboured ambition of grabbing their eighth Sukan Malaysia crown and while they were playing catch-up for much of the days, they at least managed to pull one over Wilayah Persekutuan.

Both Selangor and Wilayah Persekutuan completed this year’s meet on the same number of gold medals - 43 - but Selangor had won just one more silver with 43 as compared to Wilayah’s 42 which saw them finishing better at the standings.

Hosts Melaka, who had been leading the standings for the first few days of the games, finally settled for seventh - with women’s beach volleyball contributing the last gold medal.

They ended this year’s meet on 32 gold medals, 31 silver and 28 bronzes. With just six gold medals on offer today, it did not affect the overall standings with Perak picking up two gold medals through petanque, Selangor in men’s beach volleyball, Negeri Sembilan in squash, Pulau Pinang also in squash and Melaka in women’s beach volleyball.

All in all, the Sukan Malaysia 2010 has seen some great performances with ten national records being broken alongside the 94 games record which were shattered.

At the end of the day, that is the whole point of organising this multi-sports tournament - so that our young athletes will have the chance to gauge where they stand and where they need to go from where they are.

/hwa: www.sukma2010.com.my

19 Jun 2010

TERENGGANU JUARA


MUHYIDIN Yassin diiringi Mohd. Ali Rustam dan Ahmad Shabery Cheek mengucapkan tahniah kepada pemain Terengganu yang menjuarai perlawanan bola sepak akhir menentang Selangor di Stadium Hang Tuah, Melaka, malam tadi.

UM - 19/06/2010

Perlawanan akhir bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 antara Terengganu dengan Selangor di Stadium Hang Tuah, Melaka, malam tadi, berjaya menarik 3,000 penonton walaupun tidak melibatkan pasukan tuan rumah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir menyaksikan perlawanan itu bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam perlawanan tersebut, Terengganu muncul juara menewaskan Selangor 1-0 hasil jaringan Rosli Muda pada minit ke-23 yang menyaksikan negeri Pantai Timur itu memenangi pingat emas Sukma buat kali ketiga berturut-turut.

Selepas tamat perlawanan, Muhyiddin turut mengalungkan pingat kepada pemain kedua-dua pasukan.

/hwa: www.utusan.com.my

17 Jun 2010

Kami tahu siapa Anwar - Muhammad Zahid

UM - 17/06/2010

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sikap berpura-pura dan 'talam dua muka' Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberikan pelbagai kenyataan terhadap beberapa isu sememangnya sudah diketahui umum.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, daripada pembentukan 'Kerajaan 16 September' hingga kepada jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk DAP, semuanya adalah palsu untuk menutup kes liwatnya yang masih dibicarakan di mahkamah.

''Terbaru sikap berpura-pura jelas dilihat dalam isu penentangan terhadap lesen pertaruhan sukan. Walhal, ketika masih dalam Kabinet dahulu, beliau adalah penyokong kepada syarikat perjudian, Magnum Corporation Berhad (Magnum).

''Ini didedahkan sendiri oleh rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan yang jelas menampakkan lagi siapa dirinya yang sebenar. Pendedahan ini bagi saya tidak memeranjatkan kerana ia sudah diketahui,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nallakaruppan yang menyifatkan bekas rakan karibnya, Anwar tidak layak untuk bercakap soal penentangan berhubung lesen pertaruhan sukan.

Menurut Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), sepanjang bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikenalinya sebagai 'penyokong' syarikat perjudian, Magnum Corporation Berhad (Magnum) terutama semasa berada dalam Kabinet.

Nallakaruppan mendakwa, sewaktu masih berada dalam Kabinet, Anwar sendiri beberapa kali menggunakan khidmat jet milik Magnum untuk ke luar negara.

Zahid berkata, dalam isu jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk DAP, Anwar kelihatan 'tidak berpijak di bumi nyata' kerana kerusi Parlimen PKR semakin berkurangan berbanding DAP.

''Sedangkan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen pun diberikan kepadanya atas ihsan DAP.

''Kerusi Parlimen milik PKR sudah berkurangan dan saya tidak fikir DAP akan memberi laluan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri jika DAP menguasai nanti,'' jelasnya.

/hwa: www.utusan.com.my

16 Jun 2010

Keluar parti: DAP Perak cadang tuntut ganti rugi RM5 juta

BERNAMA - 2010/06/16

KUALA LUMPUR: DAP Perak berhasrat menguatkuasakan perjanjian yang ditandatangani semua wakil rakyatnya ketika pilihan raya umum 2008 yang menuntut mereka membayar ganti rugi RM5 juta jika keluar parti.

Pengerusinya, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata keputusan itu berikutan seorang lagi wakilnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshwinder Singh, bertindak menjadi wakil Bebas dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) semalam.

"Kami telah memutuskan untuk menguatkuasakan kontrak yang ditandatangani antara wakil rakyat dan parti ketika mereka dipilih menjadi calon dulu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Keshwinder adalah wakil rakyat DAP Perak yang kedua berbuat demikian selepas ADUN Jelapang Hee Yit Foong.

Mengulas lanjut, Ngeh berkata kedua-dua wakil rakyat berkenaan turut menandatangani perjanjian itu yang antara lain menyatakan mereka yang menyertai parti lain harus meletak jawatan dan membayar ganti rugi RM5 juta kepada DAP.

Bagaimanapun katanya, keputusan akhir sama ada tindakan undang-undang akan diambil ke atas kedua-dua wakil rakyat itu akan dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa kerja pusat parti pada 28 Jun ini.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Hafarizam Harun berkata apa juga perjanjian yang menyekat wakil rakyat keluar parti adalah tidak sah dan terbatal.

Ini kerana, katanya tindakan itu menyalahi Akta Kontrak 1950 dan bercanggah dengan peruntukan Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan.

/hwa: www.bharian.com.my

Tarikh pilihan raya satu kejutan: Najib

BH  Online
BERNAMA - 2010/06/16

TUMPAT: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, tarikh pilihan raya akan datang akan "mengejutkan semua pihak".

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama rakyat di Wat Machimmaram di sini hari ini, beliau berkata pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum menetapkan tarikh pilihan raya.

"Apa yang penting ialah kerja kuat dalam semanagat 1Malaysia," katanya mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya beliau mengadakan pilihan raya kerana tinjauan menunjukkan sokongan kepada beliau semakin meningkat sejak menjadi Perdana Menteri pada April tahun lalu.

Satu kajian oleh Merdeka Centre for Opinion Research baru-baru ini menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi Perdana Menteri.

Najib berkata, Barisan Nasional perlu terlebih dahulu memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan kedudukan parti itu sebelum pilihan raya diadakan.

"Usaha kita pertama sekali ialah untuk kuatkan parti. Kita juga perlu mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa," katanya.

Mengenai majlis menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra di Istana Mahkota di Kota Baharu sebelum itu, Najib berkata acara itu adalah kunjungan peribadi dan bukannya lawatan kerja.

"Keadaan Sultan semakin baik berdasarkan taklimat yang diberikan oleh doktor peribadi Sultan," katanya.

/hwa: www.bhrian.com.my

Nik Aziz, Exco pulau Fiesta Kelantan malam ini

BH - 2010/06/16

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memulaukan majlis perasmian Fiesta Kelantan 2010 yang sepatutnya dirasmikan Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke—IV di sini, malam ini dengan alasan penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat berucap.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata penganjur bersama majlis itu, Red Carpet World Wide Sdn Bhd, telah melanggar syarat-syarat perjanjiannya dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata mengikut perjanjian asal, Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra dijadual merasmikan fiesta itu dan Nik Aziz turut berucap tetapi mengikut keputusan terbaru, Nik Aziz tidak dibenarkan berucap manakala majlis itu tidak dirasmikan oleh Pemangku Raja Kelantan.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini, Takiyuddin berkata, tindakan penganjur itu menyinggung perasaan kerajaan negeri yang diketepikan dalam banyak perkara.

Takiyuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Fiesta, juga berkata kerajaan negeri tidak akan menghalang sebarang aktiviti yang dijalankan sepanjang Fiesta selama tiga hari itu selagi ia memenuhi syarat yang diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, katanya, semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti pertunjukan 1001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar, dibatalkan.

/hwa: www.bharian.com.my

Anwar tak layak cakap isu judi - Nallakaruppan

UM - 16/06/2010

KUALA LUMPUR 15 Jun - Datuk S. Nallakaruppan menyifatkan bekas rakan karibnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk bercakap soal penentangan berhubung lesen pertaruhan sukan.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) berkata, ini kerana, sepanjang bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikenalinya sebagai 'penyokong' syarikat perjudian, Magnum Corporation Berhad (Magnum) terutama semasa berada dalam Kabinet.

Nallakaruppan mendakwa, sewaktu masih berada dalam Kabinet, Anwar sendiri beberapa kali menggunakan khidmat jet milik Magnum untuk ke luar negara.

''Ketika itu saya masih memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Magnum. Saya tahu segala-galanya tentang Anwar dan Magnum.

''Kalau dia kata judi itu haram, mengapa datang kepada kami (Magnum)?" soalnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, parti pembangkang termasuk Anwar telah memberi pelbagai alasan mengenai pertaruhan sukan yang dilihat mereka tidak bermoral dan akan menyebabkan banyak masalah sosial.

''Ini adalah karut. Kebenarannya adalah mereka sengaja memanipulasi isu terbabit untuk kepentingan politik masing-masing,'' jelas beliau.

Anwar dan beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini telah beberapa kali menyatakan bantahan terhadap isu lesen pertaruhan sukan.

Katanya, Anwar adalah seorang pemimpin yang licik dan penentangan terhadap isu lesen judi sukan digunakan untuk menampakkan beliau sebagai pemimpin baik di mata umum.

/hwa: www.utusan.com.my

15 Jun 2010

Bakke Salleh Presiden Sime Darby

UM - 15/06/2010

KUALA LUMPUR 14 Jun - Lembaga Pengarah Sime Darby Bhd. (Sime Darby) mengumumkan pelantikan Datuk Mohd. Bakke Salleh sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan yang baru apabila boleh dilaksanakan.

Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam berkata, pelantikan beliau adalah disebabkan kepakaran dan pengalaman serta prestasi yang telah dibuktikan dalam menguruskan syarikat besar.

''Beliau merupakan antara lima calon yang telah disenarai pendek oleh pencari pekerja profesional (professional head hunter) dan merupakan calon yang relevan.

''Mohd. Bakke juga yang merupakan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (Felda Global) mempunyai pengalaman dalam penstrukturan semula korporat serta kepakaran pengurusan dalam industri peladangan dan hartanah,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan pelantikan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan baru, di sini hari ini.

Hadir sama Pemangku Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Azhar Abdul Hamid, Ahli Lembaga Pengarah, Datin Paduka Zaitoon Othman, Tan Sri Wan Mohd. Zahid Noordin dan Tan Sri Andrew Sheng Len Tao.

Pelantikan Mohd. Bakke adalah bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, yang diarah bercuti sehingga kontraknya berakhir 26 November depan selepas syarikat perladangan senaraian awam terbesar dunia tersebut mengalami kerugian dianggar mencecah RM1.63 bilion.

Tambah Musa, Mohd. Bakke akan mula menjalankan tugasnya selepas kata sepakat dapat dicapai oleh kedua-dua belah pihak.

''Segala perincian mengenai kontrak pelantikan tersebut masih belum dimuktamadkan. Sebarang terma dan syarat masih lagi dibincangkan.

''Tetapi saya mengharapkan perubahan yang akan berlaku nanti dapat dijalankan dengan lancar. Sekiranya semua berjalan lancar, Mohd. Bakke mungkin akan memulakan tugasnya sebelum November ini,'' jelasnya.

Mohd. Bakke, 56, sebelum ini telah berkhidmat di pelbagai kapasiti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Felda Holdings Bhd., Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Haji dan telah berkhidmat sebagai Pengarah Divisyen Hartanah Pengurusan Danaharta Bhd.

Katanya, buat masa ini Azhar akan terus memangku jawatan itu sehingga Mohd. Bakke bersedia untuk mengambil alih.

Sementara itu, mengenai lebihan kos yang dialami projek di Qatar bagi projek pembinaan platform di lapangan minyak Bulhanine dan Maydan Mahzam yang dilaksanakan untuk Qatar Petroleum serta satu lagi projek sama yang dilaksanakan untuk Maersk Oil Qatar (MOQ), Musa berkata siasatan masih lagi dijalankan.

''Dua fasa pertama mengenai penilaian tersebut telah lengkap dan pengumuman relevan akan dibuat selepas fasa ketiga audit forensik dan penyiasatan undang-undang selesai. Ia dijangka akan diumumkan menjelang akhir Ogos.

''Fasa keempat akan diikuti selepas audit forensik lengkap dan apabila kami telah bersedia untuk mengambil langkah seterusnya,'' katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Adun Malim Nawar, Perak umum keluar DAP

BH - 2010/06/15

SUBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar, Perak, Keshvinder Singh umum keluar DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas yang sokong Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa serta-merta.

Beliau mengumumkan demikian pada sidang akhbar di Hotel Holiday Villa, di sini, sebentar tadi.

Keshvinder berkata, beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada DAP kerana kecewa dengan kepimpinan pakatan rakyat di negeri Perak yang terlalu banyak berpolitiking sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.

"Saya menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan amat tertarik dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.


Keshvinder adalah jadi Adun DAP kedua keluar parti itu selepas Adun Jelapang, Datuk Hee Yit Foong, awal tahun lalu, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang.

Dengan itu, DAP kini hanya tinggal 16 kerusi Adun di negeri itu.

/hwa: www.bharian.com.my

Terpulang kerajaan – Dr. M

BERNAMA - 15/06/2010


DR. Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Melayu Bangkit di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam. – BERNAMA

KUALA TERENGGANU 14 Jun – Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meningkat kepada 72 peratus mungkin boleh menjadi petunjuk bagi kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 dalam masa terdekat.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, terpulang kepada kerajaan sama ada ingin mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat dengan mengambil kira kaji selidik yang dibuat Merdeka Centre.

“Alhamdullilah kalau dia (Najib) terima 72 peratus. Tapi ranking agensi itu kita nak kena tahu juga siapa mereka.

“Yang saya tahu semasa saya menang sehingga dua pertiga kerusi, kedudukan ranking saya 60 peratus saja. Tetapi kalau 72 peratus, kita harap boleh menang lebih daripada dua pertigalah. Boleh buat sekaranglah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas hasil kaji selidik agensi itu yang mendapati tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri meningkat 72 peratus bulan lepas berbanding 69 peratus pada April lalu.

Bancian yang dijalankan dari 6 hingga 16 Mei itu menyaksikan tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan 58 peratus oleh kaum Cina.

Peningkatan tahap kepuasan hati itu adalah yang tertinggi sejak Merdeka Centre menjalankan kaji selidik untuk meninjau populariti Najib sejak Mac tahun lalu, iaitu hanya 44 peratus ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa itu.

Menurut Merdeka Centre, sejumlah 1,028 rakyat Malaysia dibanci melalui telefon dan hampir separuh atau 47 peratus daripada responden terdiri daripada golongan tidak bekerja.

Ketika kajian itu dijalankan, beberapa peristiwa dalam negara turut mempengaruhi keputusan antaranya pilihan raya kecil Sibu, kes Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis, pembatalan perhimpunan 13 Mei yang dianjurkan oleh Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) serta pengumuman lesen perjudian bola sepak.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 50 peratus responden yakin bahawa Najib dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun terhadap inisiatif yang dilakukan beliau iaitu gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Menyentuh pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh Najib baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata ia sedikit sebanyak menepis tanggapan orang Melayu tentang kepentingan Melayu diketepikan dalam perancangan Model Baru Ekonomi (MBE).

“Saya belum meneliti RMK-10 ni, tetapi nampak dalam perancangannya masalah-masalah orang Melayu akan diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

“Ini kerana MBE telah menerima kritikan daripada orang Melayu. Bukan daripada parti-parti pemerintah tetapi daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Saya percaya kritikan ini telah diambil kira dalam RMK-10,” katanya.

Beliau juga menegaskan MBE bukan satu kesinambungan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi perancangan RMK-10 yang diumumkan itu sebahagiannya mempunyai kesinambungan daripada DEB,” katanya.

Dr. Mahathir sebelum itu berucap lebih sejam pada Perhimpunan Melayu Bangkit anjuran Gertak di Stadium Negeri, di sini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan pengerusi Gertak, Razali Idris serta lebih 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan.

/hwa: www.utusan.com.my

13 Jun 2010

Kepimpinan PAS dibidas tidak ikut sunnah Rasulullah, cepat melenting

BERNAMA - 2010/06/13

KOTA BHARU: Kepimpinan PAS dibidas sebagai tidak menghormati demokrasi dan tidak mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W apabila cepat melenting setiap kali terdapat pandangan negatif atau bertentangan dengan pendapat mereka yang diutarakan oleh ahli parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin, berkata sebagai parti yang melaungkan hak kebebasan bersuara dan mengikut sunnah Rasulullah, pemimpin parti sepatutnya mendengar setiap pandangan dengan fikiran terbuka.

"Seharusnya menjadikan muktamar untuk mendengar pandangan semua pihak dan bukannya mudah naik marah dan tidak boleh terima pandangan yang negatif atau bertentangan dengan pendapat umum ahli parti," katanya ketika menggulung usul pada Muktamar PAS ke-56 di sini, hari ini.

Beliau merujuk kepada tindakan meminta perwakilan PAS Pahang, Amirruslan Manaf menarik balik kenyataannya pada perbahasan semalam yang mendakwa Perlembagaan PAS diciplak daripada Perlembagaan UMNO yang dilakukan penambahbaikan mengikut kesesuaian parti.

Timbalan Pengerusi Tetap, Hussin Ismail meminta Amirruslan berbuat demikian kerana pemimpin dan perwakilan tidak berpuas hati dan mempersoalkan kesahihan dakwaan itu.

Hanipa yang turut kesal dengan tindakan beberapa mengejek perwakilan Pahang itu, mendesak kepimpinan memohon maaf kepada Amirruslan.

"Saya ni pantang lihat orang kena buli. Kita ni parti PAS. Kita kata kita perjuangkan kebebasan bersuara, Muktamar bertujuan untuk kita kemuka pandangan. Perlunya kita bersedia untuk dengar," katanya.

Hanipa turut mempersoalkan kenapa ahli dan pemimpin PAS perlu melenting dan marah sedangkan perkara itu boleh dibincangkan dan memberikan jawapan pada sesi lain dalam muktamar itu.

/hwa-bharian.com.my

60 ahli UMNO bersesak mesyuarat dalam bilik

BM - 2010/06/13
Oleh Amin Ridzuan Ishak

Pengerusi JKKKN halang perwakilan guna dewan besar

KEPALA BATAS: Perwakilan UMNO cawangan Guar Kepah-Pengkalan Bongor, di sini terpaksa bermesyuarat dalam keadaan bersesak-sesak di sebuah bilik kecil, kelmarin selepas dihalang oleh pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Negeri (JKKKN) kampung itu untuk bermesyuarat dalam dewan yang lebih selesa.

Perwakilan seramai 60 orang itu terpaksa mengubah lokasi mesyuarat ke bilik milik Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Guar Kepah pada saat-saat akhir selepas diberitahu permohonan meminjam dewan ditolak pengerusi JKKKN terbabit.

Mereka pada mulanya bercadang mengadakan mesyuarat di bawah pokok sebagai tanda protes, tetapi tidak kesampaian berikutan hujan dan dibenarkan bermesyuarat di bilik gerakan RELA kampung berkenaan.

Ketua UMNO Cawangan Guar Kepah-Pengkalan Bongor, Mohamed Rozi Yaacob, berkata pengerusi JKKKN memberi alasan majlis itu bagi tujuan parti dan bukan kemasyarakatan, sekali gus tidak dapat meluluskan permohonan menggunakan dewan berkenaan.

"Beliau juga menuduh kami lambat menghantar surat permohonan walaupun sebenarnya ia dihantar 1 Jun lalu dan setiausaha JKKKN memberitahu permohonan kami tiada masalah untuk diluluskan.

"Bagaimanapun, tiga hari sebelum mesyuarat hari ini (kelmarin), pengerusi JKKKN menolak permohonan itu dengan alasan ia majlis parti serta kononnya kami lambat memohon. Alasan itu sama seperti apa yang berlaku ketika program UMNO Juara Rakyat 23 Mei lalu," katanya.

Mohamed Rozi berkata, sebelum ini UMNO cawangan berkenaan yang mempunyai 250 ahli tidak mempunyai sebarang masalah mengadakan mesyuarat di dewan berkenaan walaupun bekas pengerusi JKKKN adalah ahli parti lawan.

Beliau mendakwa, pengerusi baru JKKKN yang dilantik Januari lalu banyak menghalang penggunaan dewan itu dengan alasan majlis yang mahu dianjurkan berunsur kepartian, termasuk juga permohonan daripada pihak yang menggunakan nama badan bukan kerajaan (NGO).

"Ketika program UMNO Juara Rakyat yang mana kami ingin memberi bantuan kepada masyarakat, beliau menolak permohonan kami dan hanya meluluskan pada saat-saat akhir, itu pun selepas polis campur tangan.

"Dalam program berkenaan, seorang daripada penerima bantuan adalah saudara terdekatnya. Kami kecewa dengan sikap pengerusi JKKKN terbabit yang membuat pertimbangan atas dasar politik, bukan kebajikan rakyat," katanya.

Mohamed Rozi berkata, banyak program komuniti seperti majlis perkahwinan masyarakat kampung berkenaan dihalang daripada diadakan di dewan terbabit yang dibina bagi keselesaan penduduk, sekali gus menjadikan kemudahan itu projek gajah putih.

/hwa-bharian.com.my

Khalid dakwa PAS menang bukan kerana Melayu

BM - 2010/06/13

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan kemenangan PAS pada pilihan raya umum lalu disebabkan sokongan orang Islam negara ini, bukannya masyarakat Melayu.

Beliau yang juga Perwakilan PAS Shah Alam, berkata dakwaan ahli parti itu bahawa PAS kehilangan undi Melayu selepas parti itu menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan pembangkang adalah tidak benar.

"Hakikatnya orang Melayu tidak lari dan orang Melayu tidak menyokong PAS. Mereka yang menyokong PAS sebenarnya adalah orang Islam yang setuju dengan perjuangan Islam.

"Oleh itu kita jangan termakan dengan propaganda UMNO. Mengikut kajian yang dijalankan MCA, sokongan orang Melayu kepada PAS meningkat," katanya ketika membahaskan usul persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Khalid berkata, kerjasama politik yang dijalin PAS bersama rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang tidak akan mengubah sokongan rakyat kepada parti berkenaan.

"Jika sebelum ini PAS bertanding di kawasan yang majoriti orang Melayu, kita akan kalah teruk sehingga hilang wang pertaruhan, namun kini tidak lagi," katanya.

/hwa-bharian.com.my
BM - 2010/06/13
Oleh Haspaizi Mohd Zain

Kenyataan perwakilan PAS Pahang tak disenangi


KOTA BHARU: Perwakilan PAS Pahang, Amirruslan Manaf terpaksa mengalah dan menarik balik kenyataannya yang mendakwa Perlembagaan PAS yang ada hari ini diciplak daripada Perlembagaan UMNO yang dilakukan penambahbaikan mengikut kesesuaian parti.

Berikutan kenyataan yang kurang disenangi itu, Amirruslan bersetuju menarik balik dakwaannya apabila diminta berbuat demikian oleh Timbalan Pengerusi Tetap, Hussin Ismail kerana perwakilan lain tidak berpuas hati dan mempersoal kesahihan dakwaan terbabit.

Terdahulu, beliau berkata, asas dakwaannya bahawa Perlembagaan PAS diciplak daripada UMNO dapat dilihat apabila beberapa dasar yang diamalkan parti itu seperti memberi sepenuh kuasa kepada presiden parti sama dengan parti lawan mereka.

"Konsep ini diciplak 'All the Presiden Men' maka tidak nafikan Perlembagaan PAS kita diciplak dari UMNO, cuma kita tambah Islam dan ini berlakunya kepemimpinan ulama ketika revolusi Iran," katanya ketika membahas usul memperkasakan parti yang dikemukakan Dewan Ulama Pas.

Selain itu, Amirruslan mendakwa, PAS adalah parti yang tidak mengikut perubahan rakyat berbanding UMNO yang sudah melaksanakan satu transformasi besar apabila memberi peluang kepada kira-kira 380,000 ahlinya untuk memilih Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti.

"Kita mesti menerima perubahan di alaf ini supaya parti dapat bergerak. Kita (PAS) organisasi tidak mengikut perubahan rakyat, kita mesti menerima perubahan yang berlaku di alaf ini supaya parti bergerak dengan kehendak ahli dan bukannya dengan kuasa 'All The Presiden Men'.

"Idea yang dilontarkan oleh (Naib Presiden) Datuk Mahfuz Omar supaya wujud lima Naib Presiden dan dua dipilih Ahli Jawatankuasa, seolah-olah memberi kuasa penuh kepada Presiden. Rasanya benda ini tidak mengikut perubahan rakyat," katanya.

Katanya, perubahan seperti yang dilakukan UMNO perlu dicontohi PAS kerana dibimbangi politik wang yang melanda parti lawan itu sebelum ini akan merebak ke dalam PAS apabila merampas Putrajaya nanti.

Sementara itu, Perwakilan Kubang Pasu, Kedah, Taib Ahmad, berkata PAS perlu merangka satu strategi khusus bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum lalu daripada dirampas kembali oleh Barisan Nasional (BN).
/hwa-bharian.com

12 Jun 2010

'PAS tak jalin kerjasama dengan UMNO'

BH - 2010/06/12

KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, berkata PAS tidak menjalinkan kerjasama dengan UMNO disebabkan parti Kerajaan Pusat itu tidak pernah berusaha untuk mengenali PAS dengan lebih mendalam, berbanding DAP.

Beliau berkata, kerjasama berjaya dijalinkan dengan DAP dalam pakatan pembangkang disebabkan parti itu kini sudah mengenali PAS secara lebih mendalam sehingga tidak ragu untuk terus menjalin kerjasama.

"Ketika DAP bersama dengan kita dalam Barisan Alternatif (BA) dulu, mereka keluar selepas itu kerana tidak faham terhadap beberapa isu. Namun, kini mereka kembali untuk bersama lagi kerana sudah memahami PAS, berbeza dengan UMNO yang tidak pernah cuba mengenali PAS.

"PAS dalam sejarahnya tidak pernah mengkhianati persahabatan dengan mana-mana pihak, malah terbukti parti itu tidak pernah meninggalkan rakan, kecuali rakan meninggalkan kita," katanya ketika ditemui selepas ucapan dasar Presiden Muktamar Tahunan PAS ke-56, di sini, semalam.

Ditanya mengenai tindakan PAS yang akan meletakkan calon bukan Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, Nik Abduh berkata, persaingan seperti itu adalah lumrah dalam politik dan ia berlaku dalam keadaan yang sihat.
/hwa-bharian.com.my

Bukan Islam dibenar bertanding

UM - 12/06/2010


Abdul Hadi Awang ketika memberi ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiyyah Kelantan (Putik), Pangkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 11 Jun – Sah, bukan Islam akan dibenarkan bertanding atas tiket Pas menggunakan logo parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas kemungkinan akan mengenakan syarat dengan bakal-bakal wakil rakyat itu sebagaimana ‘bai’ah’ agar tidak berlaku gejala melompat parti.

Katanya, kebenaran calon bukan Islam daripada ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bertanding itu diberikan oleh Majlis Syura Ulama Pas sebuah badan tertinggi dalam parti.

Menurut beliau, mereka yang bakal dipilih berasas tapisan terperinci di mana mereka perlu menerima konsep perjuangan politik Pas dan juga mempunyai latar belakang baik serta bermoral tinggi.

“Ingin saya umumkan bahawa Majlis Syura parti telah memutuskan untuk membenarkan calon bukan Islam daripada DHPP dibenar untuk menggunakan logo parti dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiyyah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti itu, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Mustafa Ali.

Ditanya adakah Pas tidak bimbang kebarangkalian calon bukan Islam itu yang memenangi kerusi bertindak melompat keluar parti, Abdul Hadi yakin penuh bahawa mana-mana pihak yang benar-benar bermoral tidak akan berbuat demikian.

“Kita boleh juga buat kaedah baiah seperti yang dilakukan oleh calon-calon Pas dan dalam kes calon bukan Islam ini kita akan laksanakan ikrar. Saya percaya mereka yang bermoral tidak akan langgar ikrar ini.

“Mereka ini hanya akan bertanding di kawasan yang majoritinya bukan Melayu, jadi saya nafi tanggapan bahawa tindakan ini bakal menimbulkan masalah kepada calon Pas yang lebih layak tetapi dipinggirkan,” katanya.

Abdul Hadi yang sering dibantu Mustafa untuk menjawab soalan juga ditanya mengenai keputusan terbaru itu yang dilihat seperti cuba membayangi pengaruh parti-parti lain dalam pakatan pembangkang yang turut mempunyai calon bukan Melayu.

Beliau berkata: “Tidak timbul isu itu (membayangi). Pakatan pembangkang sudah ada persefahaman, kita akan cuba sedaya upaya untuk hanya memastikan pertandingan dua penjuru sahaja.

‘‘Pas hanya letak calon di kawasan yang DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak letak calon.

“Memang ada perbezaan, calon bukan Islam Pas itu menerima dasar perjuangan kita. Dalam Islam ia bukan perkara baru malah semasa Nabi Muhammad berhijrah dahulu Baginda dibantu tunjuk jalan oleh bukan Islam sehingga sampai ke Madinah.”

Ketika ditanya adakah tindakan menerima calon bukan Islam itu seolah-olah membawa maksud tersirat bahawa rakan pakatan, DAP tidak memahami perjuangan politik Pas, Abdul Hadi berkata, “Perkara itu tidak berbangkit”.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa ia bukannya strategi politik untuk menarik sokongan pengundi bukan Islam terhadap Pas tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk memperkenalkan keindahan Islam.

/hwa-utusan.com.my

PAS tak jemu kecam UMNO, masih ada hati ke Putrajaya

BH - 2010/06/12
Oleh Jamhariah Jaafar
jamhariah@bharian.com.my


MENIKMATI nasi panas, ikan singgang dan mencecah ulam dengan budu di Pasar Siti Khadijah, lebih sedap daripada duduk mendengar ucapan dan perbahasan Muktamar PAS yang penuh dengan kutukan terhadap UMNO serta Barisan Nasional, seolah-olah parti pemerintah ini menzalimi seluruh rakyat Malaysia dalam tempoh 50 tahun ini.

Daripada persidangan Dewan Ulama, Wanita dan Pemuda yang berlangsung kelmarin, sehinggalah tirai Muktamar ke-56 dibuka secara rasmi oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Pusat.

Tarbiyah Islamiyah Kelantan semalam, perwakilan Pas dari seluruh negara kelihatan tidak tenteram dengan ucapan dasar pemimpin tertinggi sehingga ada yang merungut, antara lainnya berbunyi:

“Kenapa tak cakap secara serius macam mana nak pastikan PAS dan Pakatan Rakyat dapat sampai ke Putrajaya. Tak ada satu pun yang baru, tak habis mengutuk UMNO dan BN sedangkan Pengerusi (Pengerusi Persidangan Muktamar) pun cakap dia baru nak kawan dengan pemimpin Cina.”

Bermula malam kelmarin, yang memperlihatkan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, melemparkan impiannya kepada Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat – dengan menyentuh tema ‘Sepakat Putrajaya’, Hadi turut menyuarakan impian sama ketika membuat ucapan dasar semalam.

Perwakilan kelihatan resah apabila terus dihumban dengan keburukan parti pemerintah, kerana ramai gusar dengan kemampuan Pakatan Rakyat terutama PAS sendiri, sekiranya mereka benar-benar berjaya menguasai Putrajaya nanti.

Ketika Hadi sendiri pernah mengalami sejarah hitam dalam pemerintahan PAS selama sepenggal di Terengganu (1999-2004), Nik Aziz yang sudah menjadi Menteri Besar Kelantan selama 20 tahun juga mula terasa bahang kerana satu demi satu kesilapan pentadbirannya mula didedah dan dipersoal rakyat.

Dalam tempoh 20 tahun PAS di Kelantan, pembangunan prasarana masih tidak banyak berubah. Jalan masuk ke Kelantan dari Tok Bali masih satu lorong dengan suasana sepanjang jalan tidak menampakkan sebarang perubahan sejak lebih 10 tahun keluar masuk ke negeri ini, persekitaran dan penduduk yang dikenali juga tidak menerima sebarang bantuan secara langsung daripada kepemimpinan Nik Aziz.

Satu-satunya daerah yang boleh dianggap berkembang ialah Kota Bharu. Pasar Siti Khadijah lebih besar dan teratur, bangunan sekitarnya semakin tinggi dan moden, tetapi persekitarannya seperti di Jalan Wakaf Mek Zainab, masih tidak banyak berubah wajah.

Amat tidak adil sekiranya kita membuat perbandingan pemerintahan 20 tahun Nik Aziz di Kelantan, dengan tempoh 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin negara, yang berjaya mengubah wajah Malaysia dari dunia kelas ketiga kepada infrastruktur kelas pertama.

Memang tidak adil untuk membandingkan Dr Mahathir daripada UMNO yang memiliki pelajaran tinggi dan seorang doktor, sebagai pemimpin UMNO yang memiliki wawasan global dengan Nik Aziz, yang turut memiliki impian untuk berpindah ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Apa lagi untuk membandingkan kepemimpinan UMNO yang diketuai Datuk Seri Najib Razak dengan Hadi, Presiden PAS, yang pernah menjadikan Terengganu kelam dan hambar sepanjang pemerintahannya di negeri Penyu itu selama sepenggal.

Terbayang wajah perwakilan PAS apabila Tok Guru Nik Aziz bercakap mengenai ketuanan Melayu yang dianggapnya sebagai satu ‘dongeng’, ketika merasmikan Persidangan Dewan Ulama, Muslimat dan Pemuda, kelmarin.

“Jangan dibiarkan orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang menjadi dongengan pemimpin UMNO.

“Orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin UMNO itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka,” kata Nik Aziz, memperlekehkan hak Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, dalam keasyikannya meraih sokongan kumpulan yang dipanggil sebagai non muslim.

Ramai perwakilan senyap apabila Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, turut mengutuk UMNO yang disifatkannya mengamalkan ‘politik perkauman sempit’ dan menjadi pelopor kepada ‘kezaliman’ yang sedang berlangsung di dalam negara ini.

“Setelah 50 tahun Malaysia diterajui Perikatan/BN yang ditunjangi UMNO, negara ini kian jauh daripada keamanan dan kemakmuran. Hasil mahsul dikurniakan Allah SWT yang melimpah ruah tidak dapat dikecapi rakyat kebanyakan, sama ada Melayu atau bukan Melayu,” kata Nasruddin.

PAS perlu jujur kepada diri sendiri sebelum mengutuk dan mengkritik parti politik lain. Agak janggal bila masih ada ahlinya melihat dengan cemburu kemewahan yang dikecapi barisan kepemimpinannya.

“Tengok barisan kereta ni, dia orang ni kerja apa ya sampai mampu pakai kereta mewah macam ni. Kalau kita memerintah nanti, rasanya kita masih tetap macam ni, yang kaya ialah pemimpin-pemimpin. Apa bezanya nanti dia orang dengan pemimpin UMNO?”

Muktamar PAS sudah berusia 56 tahun, maknanya parti itu juga sudah seusia dengan UMNO. Sama dewasa dan sama matang.

Apakah apabila berjaya ke Putrajaya nanti, masih adakah pemimpin PAS akan terus berjubah dan pemimpin Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim akan terus berkain pelikat apabila menghadiri persidangan rasmi seperti ini?
/hwa-bharian.com.my

11 Jun 2010

Menuju ke arah negara maju

UM - 11/06/2010


Najib Tun Razak membentangkan Rancangan Malaysia ke-10 di Dewan Rakyat, semalam.


UCAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semasa membentangkan usul tentang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di Dewan Rakyat pada 10 Jun 2010, pukul 11.30 pagi.

Tuan Yang di-Pertua,

Dengan sukacita, saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul seperti berikut:

“Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan RMK-9 dalam menghadapi persekitaran global yang begitu mencabar; merestui usaha kerajaan untuk terus melaksanakan Misi Nasional dengan disokong oleh Model Baru Ekonomi sebagai rangka dasar pembangunan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020; meluluskan RMK-10 yang akan dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik, program dan peruntukan yang diperlukan untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan membawa negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020 seperti dibentangkan dalam Kertas Perintah CMD.3 Tahun 2010.

Bahawa dalam meluluskan RMK-10, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu padu dengan semangat “1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” dan mempunyai iltizam yang teguh bagi melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk menjayakan pelan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing, demi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.”

RANCANGAN KEMAKMURAN

EKONOMI DAN KEADILAN SOSIAL

Tuan Yang di-Pertua,

Alhamdulillah, dipanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala lantaran izin dan rahmatNya jua, maka pada hari penuh bermakna ini, 10 Jun 2010 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1431, saya akan membentangkan RMK-10 bagi tempoh 2011 hingga 2015. Rancangan ini adalah amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

Sejak mencapai kemerdekaan lebih lima dekad lalu, Malaysia, sebagai sebuah negara majmuk telah meraih kejayaan demi kejayaan yang menakjubkan. Hakikatnya, ketika banyak pihak sibuk menulis belasungkawa tentang negara tercinta ini, kita telah berjaya mengesima ketidakyakinan serta kesinisan mereka.

Tidak keterlaluan untuk rakyat Malaysia mendabik dada dan membuktikan bahawa dengan kepimpinan serta persekitaran yang betul, pelbagai puncak berjaya ditawan, pelbagai pancang berjaya dicapai dan pelbagai tembok berjaya didaki. Hasilnya, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang bergantung kepada getah dan bijih timah, Malaysia hari ini muncul menjadi sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dengan asas ekonomi yang mantap.

Kejayaan yang digarap ini bukan datang bergolek dalam angan-angan tanpa perancangan mahupun tanpa usaha, sebaliknya ia hasil gigih kepimpinan kerajaan berwawasan dengan sokongan padu rakyat sejak merdeka. Dalam hal ini, kita amat terhutang budi kepada kepimpinan negara dan generasi terdahulu kerana faktanya, kita hari ini, membuat lonjakan di atas tapak yang telah mereka bina dengan segala jerih payah dan pengorbanan begitu besar. Secara sedar ataupun tidak, dua Rancangan Malaya, sembilan Rancangan Malaysia, tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang serta satu Misi Nasional telah dan sedang dilalui sehingga kita tiba ke pusingan pada hari ini.

Pada titik ini, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan rasa penghargaan tulus dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kelima-lima mantan Perdana Menteri sebermula daripada Tunku Abdul Rahman Putra sehinggalah Tun Abdul Razak Datuk Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kesemuanya, adalah wirawan nasional, yang mana jasanya akan tertulis dan tersepuh dek tinta emas dalam lebaran tawarikh negara. Kepada yang telah kembali menemui Pencipta, kita menadah kedua tangan memohon doa agar roh mereka dirahmati dan mendapat balasan yang sewajarnya di sisi Rabbul Jalil.

Tidak dapat dinafikan, rehlah negara ini meniti dan menongkah himpunan peristiwa serta pelbagai saat suka duka. Sejarah yang dilewati itu wajar dianggap sebagai teladan berguna kepada kita namun, janganlah menjadikan alasan sejarah sebagai sempadan yang memenjarakan pemikiran. Untuk berjaya, rakyat Malaysia perlu berani berfikir, di luar dari kotak penakulan yang lazim. Sehubungan itu, sekalipun kerajaan menjadikan detik-detik lalu sebagai panduan dan sempadan, kita tidak boleh sekali-kali terperangkap dengan sindrom penjara sejarah supaya tidak berlakunya paralisis dari segi tindakan yang dirancang dan apa ingin dilaksanakan.

Bagi tempoh RMK-9, ekonomi Malaysia dianggar berkembang pada kadar 4.2 peratus setahun dan pendapatan negara kasar per kapita akan mencecah RM26,420 atau AS$8,260 pada tahun 2010. Tambahan lagi, ia dicapai dalam suasana kadar inflasi yang rendah manakala, kadar pengangguran dijangka pada paras 3.6 peratus pada tahun 2010. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pula diunjur, mengecil kepada 5.3 peratus pada tahun ini, berbanding 7 peratus kepada KDNK pada tahun 2009.

Pelaksanaan program pembasmian kemiskinan untuk golongan sasar pula, telah berjaya mengurangkan kadarnya, kepada 3.8 peratus pada 2009, berbanding 5.7 peratus tahun 2005. Peratusan miskin tegar pula telah menurun daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus dalam tempoh yang sama.

Bagi menangani cabaran kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2008 dan 2009, kerajaan telah memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion. Dengan izin Allah SWT, ekonomi negara telah semakin pulih dan mencatatkan pertumbuhan amat membanggakan pada kadar 10.1 peratus bagi suku pertama tahun ini. Ini merupakan kadar pertumbuhan tertinggi sejak 10 tahun yang lalu. Mudah-mudahan, bagi tahun 2010 ekonomi Malaysia akan kembali cergas dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6 peratus.

Tuan Yang di-Pertua,

Di persada global, perjalanan kita ke arah Wawasan 2020 penuh dengan cabaran getir dan tidak menentu. Hari ini, pentas ekonomi dunia telah banyak berubah dan Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada struktur kos yang rendah untuk terus berdaya saing di peringkat antarabangsa. Arus globalisasi, liberalisasi dan negara-negara seperti China, India, Brazil, Rusia, Timur Tengah dan juga negara-negara jiran telah mewujudkan persaingan sengit kepada usaha untuk menarik lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan.

Selain daripada faktor persekitaran ekonomi dunia, Malaysia juga menghadapi pelbagai cabaran domestik dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, dan pada masa yang sama bertujuan melaksanakan dasar fiskal yang berhemah. Antara cabaran utama adalah untuk menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan membentuk gagasan modal insan berkualiti tinggi, bagi membolehkan anjakan ke tahap nilai ditambah dan produktiviti yang mantap.

RMK-10 MELANGKAH KE HADAPAN

Tuan Yang di-Pertua

RMK-10 telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti tinggi sesuai dengan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan.

Dalam Rancangan ini, Pendapatan Negara Kasar per kapita telah disasar untuk meningkat kepada RM38,850, atau AS$12,140 pada tahun 2015. Ini memerlukan KDNK sebenar berkembang pada kadar 6 peratus setahun. Pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, di samping, menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi, serta penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan.

Cabaran besar rancangan ini adalah untuk memangkin pelaburan swasta ke tahap yang lebih cergas, di mana ia disasar berkembang 12.8 peratus atau RM115 bilion setahun. Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus KDNK dalam tahun 2010 kepada kurang daripada 3 peratus pada tahun 2015. Selain itu, kerajaan akan berusaha tanpa jemu memastikan bahawa taraf serta kualiti hidup rakyat bertambah baik, terutamanya bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

RMK-10: 10 PREMIS UTAMA

Tuan Yang di-Pertua

Sesungguhnya tumpuan mentransformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020 memerlukan kepada penekanan yang khusus dan menyeluruh. Seluruh tenaga dan fikiran perlu digembleng ke arah mencapai objektif ini. Rancangan ini digagaskan daripada 10 idea besar yang kini diterjemahkan sebagai 10 premis utama seperti berikut:

* Pertama: Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara.

* Kedua: Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa.

* Ketiga: Mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan.

* Keempat: Menjayakan pertumbuhan dipacu oleh produktiviti dan inovasi.

* Kelima: Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul.

* Keenam: Memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas.

* Ketujuh: Pertumbuhan bertumpu dan pembangunan inklusif.

* Kelapan: Menyokong perkongsian pintar yang efektif.

* Kesembilan: Menghargai khazanah alam sekitar.

* Kesepuluh: Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.

RMK-10: LIMA TERAS STRATEGIK

Tuan Yang d-Pertua

Dalam menerajui hala tuju bagi mencapai aspirasi RMK-10, lima teras strategik utama telah dikenal pasti ke arah mencapai objektif dalam rancangan ini.

Lima teras tersebut adalah seperti berikut:

* Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA;

* Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi;

* Ketiga: Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif;

* Keempat: Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia; dan

* Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup.

Tuan Yang di-Pertua,

Teras Strategik Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA. Proses transformasi negara menuntut kepada transformasi jentera kerajaan bagi menyokong peralihan ekonomi. Untuk muncul sebagai negara berdaya saing di peringkat global, kerajaan perlu berubah seumpama syarikat yang berdaya saing. Untuk meneruskan aspirasi kita bagi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, kita tidak boleh lagi mengambil langkah berdikit-dikit, malahkerajaan telah mula mengambil langkah transformasi, pada masa yang sama mempertahankan agenda keadilan sosial. Bagi maksud ini, kerajaan akan berpegang kepada 4 tiang utama yakni formula empat campur empat.

Dua komponen ini boleh dibahagikan kepada 4 tiang utama, terdiri daripada:

* Pertama: Falsafah induk “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”; l Kedua: Program Transformasi Kerajaan atau GTP;

* Ketiga: Program Transformasi Ekonomi atau ETP yang bersandarkan Model Baru Ekonomi dan,

* Keempat: Dua rancangan pembangunan lima tahun yakni RMK-10 dan RMK-11. Empat tiang utama ini pula didokong oleh empat nilai asas pelengkap.

* Pertama: Membudayakan kreativiti dan inovasi.

* Kedua: Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan.

* Ketiga: Nilai untuk wang dan,

* Keempat: Nilai integriti. Jadinya jika diibaratkan seumpama sebuah rumah, bumbungnya adalah falsafah induk “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”, dindingnya adalah GTP dan ETP serta lantainya yang sedang kita bina adalah RMK-10 dan RMK-11. Manakala ibaratnya lagi tangga menaiki rumah 1Malaysia ini adalah dasar-dasar keadilan sosial dan budaya pencapaian tinggi.

Selanjutnya, langkah transformasi kerajaan yang sedang dibuat bermula dengan pelaksanaan enam bidang keutamaan nasional atau yang lebih dikenali sebagai NKRA. Dengan NKRA tersebut, kerajaan bertekad untuk mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkat pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam bandar. Bagi memastikan kehendak dan keperluan rakyat diambil kira, pendekatan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) telah diguna pakai.

Sehingga kini, alhamdulillah, kebanyakan inisiatif di bawah NKRA telah membuahkan hasil. Sebagai contoh, bagi NKRA jenayah, kadarnya telah dikurangkan sebanyak 15 peratus pada suku tahun pertama berbanding sasaran sebanyak 5 peratus bagi tahun 2010. Dalam usaha untuk membanteras rasuah pula, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat telah diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini pada bulan April yang lalu. Manakala bagi NKRA pengangkutan awam bandar, usaha penyelarasan laluan bas awam di bandar-bandar utama telah berjaya menghasilkan peningkatan kadar pengguna bas awam bandar kepada 13 peratus. Bagi NKRA pendidikan pula, seramai 18,000 kanak-kanak menerima manfaat daripada 929 kelas prasekolah.

Inisiatif yang berterusan, telah dikenal pasti oleh PEMUDAH dalam usaha meningkatkan kecekapan dan menambah baik prosedur kerajaan. Ini telah membuahkan hasil yang ketara dalam beberapa bidang. Misalnya, bermula 1 April 2010, tempoh masa yang diperlukan untuk memulakan perniagaan telah dikurangkan kepada 3 hari berbanding 11 hari. Kini, pendaftaran pindah milik tanah boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari, berbanding 30 hari sebelum ini.

Bermula 11 Mei 2010 pula, terdapat 26 lokasi di seluruh negara yang menawarkan kemudahan pemprosesan pasport antarabangsa Malaysia dalam tempoh satu jam.

TS1.1 Peralihan Tumpuan Kepada

Infrastruktur Bukan Fizikal Mara Ke Depan

Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal, termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan kemahiran, serta keupayaan inovasi yang lebih mantap. Dalam pada itu, peruntukan RMK-10 bagi infrastruktur bukan fizikal telah meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK-9. Tumpuan akan diberikan kepada program pembangunan kemahiran dan juga aktiviti R&D dan modal teroka, ke arah memupuk tahap inovasi negara yang lebih memberangsangkan.

Pendekatan ini juga adalah selaras dengan usaha menggalakkan sektor swasta untuk turut serta melabur dalam infrastruktur fizikal dan juga menyediakan perkhidmatan seperti latihan kemahiran. Menyokong hasrat ini, kerajaan akan menyumbar pelaksanaan perolehan perkhidmatan daripada sektor swasta. Maksudnya, sektor swasta akan bersaing untuk menawarkan perkhidmatan latihan kemahiran pada kos yang kompetitif.

TS1.2 Menambah Baik Usaha Pembangunan

Modal Insan Dalam Sektor Awam

Kita maklum bahawa, penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berkesan berkait rapat dengan kecemerlangan sumber manusia. Bagi mengekalkan bakat berkualiti dalam perkhidmatan awam, rangka kerja pengurusan sumber manusia dan pembangunan kerjaya akan ditambah baik. Peluang kepada penjawat awam untuk menambah ilmu dan kepakaran masing-masing juga akan diperluaskan. Dalam hal ini, sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk meningkatkan kompetensi mereka.

Tuan Yang di-Pertua,

Teras Strategik Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi TS2.1 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Satu pendekatan utama dalam peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi adalah mengamalkan strategi berteraskan pengkhususan. Rancangan ini akan memberi tumpuan kepada 12 bidang ekonomi utama negara atau NKEA yang berpotensi untuk menjana pendapatan tinggi. Selain daripada 11 sektor ekonomi, Lingkungan Besar atau Greater Kuala Lumpur juga telah dipilih kerana ia berpotensi menjadi bandar bertaraf dunia yang boleh menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Butiran terperinci NKEA bakal dimuktamadkan dengan Program Transformasi Ekonomi yang akan diumumkan pada Oktober ini.

Berikut adalah NKEA yang telah dikenal pasti:

(i) Minyak dan gas;

(ii) Minyak sawit dan produk berkaitan;

(iii) Perkhidmatan kewangan;

(iv) Pemborongan dan peruncitan;

(v) Pelancongan;

(vi) Teknologi maklumat dan komunikasi

(vii) Perkhidmatan pendidikan;

(viii) Elektrik dan elektronik;

(ix) Perkhidmatan perniagaan;

(x) Penjagaan kesihatan swasta;

(xi) Pertanian; dan

(xii) Greater Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, satu unit khas iaitu Unit Transformasi Ekonomi akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA tersebut.

Selain itu, penyerapan penggunaan kaedah berasaskan teknologi tinggi akan juga diberi tumpuan dalam perancangan dan penyelarasan NKEA. Pelantar teknologi seperti bioteknologi, nanoteknologi, dan kejuruteraan tinggi bakal melonjakkan impak pertumbuhan dari NKEA yang telah dikenal pasti.

Bagi sektor-sektor ekonomi yang tidak tersenarai di dalam NKEA pula, antaranya teknologi hijau, automotif, aeroangkasa dan logistik, usaha memajukan sektor-sektor ini akan terus dipandu oleh kementerian, agensi dan majlis-majlis yang berkaitan.

TS2.2 Mewujudkan Ekonomi Diterajui

Sektor Swasta 29

Sememangnya, sasaran pertumbuhan enam peratus setahun bagi tempoh rancangan ini memerlukan lonjakan ketara dalam kerancakan aktiviti pelaburan dengan diterajui oleh pelaburan swasta yang lebih cergas. Bagi mencapai maksud ini, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah dikorporat dan dijenama semula dan diupayakan dengan kuasa tambahan. Di samping itu, peraturan perniagaan yang lapuk akan dilupuskan. Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pula akan disusun kembali untuk menerajui kajian peraturan perniagaan secara menyeluruh bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor-sektor utama ekonomi.

Adalah lazim, persaingan sihat pasaran diperlukan untuk menjadikan ekonomi lebih efisien dan dinamik. Sehubungan itu, Undang-undang Persaingan sedang diberi penelitian untuk menyediakan rangka kawalan terhadap manipulasi pasaran dan kewujudan amalan kartel yang boleh menjejas kecekapan pasaran.

Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan. Di sudut lain, negara China, India dan Timur Tengah merupakan antara negara yang pesat membangun. Malaysia yang mempunyai hubungan sejarah, perdagangan dan kedudukan geografi strategik perlu mempereratkan lagi hubungan dengan negara-negara ini termasuklah Asia Timur. Oleh itu, Malaysia akan memberi tumpuan yang lebih untuk membangunkan pasaran serantau melalui promosi dan perjanjian perdagangan. Di samping itu, kita akan terus mengukuhkan hubungan ekonomi sedia ada seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

Saya yakin dengan usaha yang dibuat ini, akan menjadikan Malaysia antara destinasi terbaik untuk menjalankan perniagaan, terutamanya di rantau Asia. Mengikut laporan Bank Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 teratas antara 183 negara di dunia dalam kecekapan urusan menjalankan perniagaan. Kerajaan percaya, Malaysia mampu berada di kedudukan antara negara ke-10 teratas menjelang 2015.

Hal tersebut bukanlah perkara yang mustahil kerana dalam tempoh satu tahun sahaja, kita telah berjaya berada antara 10 negara paling kompetitif di dunia seperti dilaporkan oleh Institute for Management Development. Apa yang dibanggakan adalah Malaysia merupakan satu-satunya negara OIC dan NAM yang tergolong dalam senarai ini. Namun begitu, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dan akan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik dunia pada masa mendatang. Insya-Allah.

TS2.3 Perkongsian Awam-Swasta

Seterusnya, perkongsian pintar dan berkesan antara sektor awam dan swasta akan diamalkan sebagai mekanisme penggerak agenda transformasi ekonomi. Fasa baru perkongsian awam-swasta (PPP) akan dilangsungkan dengan memastikan perkongsian risiko dan pulangan saksama berimpak besar.

Tuan Yang di-Pertua

Setakat ini, 52 projek berimpak tinggi telah dikenal pasti untuk dilaksanakan yang bernilai RM63 bilion. Ini termasuklah:

l Pertama: Tujuh buah lebuh raya dengan anggaran kos sebanyak RM19 bilion. Projek termasuk Lebuh raya Pantai Barat, Lebuh raya Guthrie-Damansara, Lebuh raya Sungai Juru dan Lebuh raya Paroi-Senawang-KLIA;

* Kedua: Dua buah Projek Loji Jana Kuasa Elektrik Arang Batu dengan anggaran kos sebanyak RM7 bilion, dan

* Ketiga: Pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, Selangor seluas lebih kurang 3,300 ekar dengan anggaran kos sebanyak RM10 bilion.

Pihak swasta juga akan berpeluang menyertai pembangunan beberapa projek lain yang dipimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini termasuk projek-projek, seperti Projek Pembangunan Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi, dan KL International Financial District di Kuala Lumpur, pembinaan Loji Re-gasification Gas Asli Cecair (LNG) oleh Petronas di Melaka dengan anggaran kos RM3 bilion serta pelaburan dua relau pelebur aluminium di SCORE Sarawak berjumlah RM18 bilion.

Bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek-projek ini, dana berjumlah RM20 bilion akan disediakan melalui Dana Mudahcara. Dana ini bertujuan membantu merapatkan jurang daya maju pelaburan swasta dalam melaksanakan projek bernilai tinggi dan mempunyai kesan limpahan ekonomi besar, dengan syarat projek tersebut mempunyai impak strategik tinggi dalam pembangunan ekonomi negara. Melalui dana ini, dijangkakan kerajaan dapat menarik pelaburan swasta berjumlah sekurang-kurangnya RM200 bilion dalam tempoh rancangan. Projek yang sedang dipertimbangkan untuk dibiayai di bawah dana ini termasuklah Penambakan Tanah di Westport, Pelabuhan Kelang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor.

TS 2.4 Pertumbuhan Dipacu Inovasi

Seperti yang diketahui, pertumbuhan ekonomi negara sudah sekian lama didorong oleh pertambahan faktor pengeluaran, dengan sumbangan besar pelaburan, tenaga dan pekerja. Kini, kita perlu beralih kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti yang dipacu inovasi. Untuk maksud itu, kerajaan akan menubuhkan sebuah unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada.

Satu langkah penting dalam rancangan ini adalah menambah baik kaedah pembiayaan bagi syarikat modal teroka awam. Pada masa ini, pembiayaan kerajaan kepada syarikat modal teroka awam, seperti Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Malaysian Venture Capital (MAVCAP), disediakan melalui pinjaman jangka panjang. Dalam rancangan ini, pembiayaan akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman. Pembiayaan ekuiti ini akan disepadan dengan profil risiko pelaburan modal teroka. Ke arah ini, Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka kerajaan. Bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersialan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk berteknologi tinggi pula, kerajaan akan menubuhkan Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM150 juta. Matlamat dana ini, bertujuan menyokong syarikat sehingga mereka dapat menjana nilai komersial yang secukupnya bagi menarik pembiayaan modal teroka dan sumber pembiayaan lain.

Kita sedar, ramai usahawan telah gagal dek kerana terkesan oleh risiko perniagaan di luar jangkaan. Adalah merupakan satu tragedi jika seorang usahawan yang berkaliber dan berwibawa tidak diberi peluang kedua untuk bangkit semula dan menjadi usahawan berjaya. Kita juga sedar, banyak individu, perniagaan dan inisiatif inovasi yang telah gagal kali pertama, tetapi mampu berjaya kembali kemudiannya. Justeru, undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.

TS2.5 Membina Infrastruktur

Bertaraf Dunia

RMK-10 akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan prasarana untuk menyokong pertumbuhan negara, di samping memastikan kesejahteraan segenap lapisan rakyat. Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri.

Usaha ini, akan dilengkapi dengan Jalur Lebar untuk orang awam yang akan memberi liputan ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar. Bagi penduduk di luar bandar, perkhidmatan rangkaian akses kepada jalur lebar akan disediakan melalui prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan yang pelbagai.

Pembangunan rangkaian pengangkutan multi modal yang lebih luas dan efisien juga diperlukan untuk menyokong pertumbuhan negara. Antara projek utama yang sedang dilaksanakan, termasuk Lebuh raya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu dalam Fasa 2 akan disiapkan dalam tempoh rancangan ini, dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion. Lebuh raya tersebut juga, akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf. Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan di Pantai Timur di samping meningkatkan jalan raya ke pedalaman, seperti jalan raya menghubungkan Kuala Lipis ke Cameron Highlands dan dari Jerantut ke Sungai Lembing. Selain itu, projek membina landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru, dengan kos anggaran sebanyak RM8 bilion akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang Besar di utara ke Johor Bahru di selatan. Projek lain pula melibatkan loji rawatan kumbahan yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan akan diperluaskan ke seluruh negara.

TS2.6 Dasar Baru Tenaga Dalam RMK-10

Bekalan tenaga juga akan terus diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat.

Dasar Baru Tenaga telah mengenal pasti lima pendekatan yakni:

* Pertama: Merasionalkan harga tenaga mengambil kira faktor pasaran secara berperingkat selaras dengan kedudukan ekonomi semasa negara serta kemampuan rakyat;

* Kedua: Pembangunan bekalan tenaga secara lebih strategik dengan mempelbagaikan sumber tenaga, termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui. Tenaga nuklear juga akan dipertimbangkan sebagai tenaga alternatif;

* Ketiga: Meningkatkan pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga di sektor industri, komersial, kediaman dan pengangkutan;

* Keempat: Menambah baik tadbir urus bagi menyokong peralihan kepada prinsip pasaran serta mewujudkan mekanisme penyaluran bantuan sosial kepada golongan berpendapatan rendah; dan

* Kelima: Memastikan Dasar Baru Tenaga dilaksana berdasarkan pendekatan bersepadu dalam tempoh yang ditetapkan supaya matlamat jaminan bekalan tenaga akan dapat dicapai.

TS2.7 Pembangunan Kluster

Seterusnya, pembangunan ekonomi wilayah akan memberi tumpuan kepada sebilangan kluster perbandaran berdensiti yang berteraskan industri bernilai tinggi untuk menarik pelaburan dan tenaga kerja mahir. Langkah ini bertujuan menjadikan beberapa bandar raya di Malaysia sebagai destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan berpengetahuan.

Pendekatan pembangunan berasaskan kluster dalam koridor akan memanfaatkan potensi dan sumber yang ada bagi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan koridor berkenaan. Pembangunan kluster akan ditumpukan kepada sektor-sektor terpilih dengan mengenal pasti aktiviti dan pelabur utama, termasuk GLC dan syarikat swasta, untuk menerajui kemajuannya dalam pembangunan koridor berkenaan. Kemudiannya, pembangunan kelompok-kelompok ini di seluruh bandar di Malaysia dijangka diintegrasikan supaya kawasan-kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang mengelilingi bandar-bandar besar akan mendapat manfaat secara langsung.

TS2.8 Membangunkan SME Sebagai

Jentera Pertumbuhan dan Inovasi

Aspek seterusnya, Industri Kecil dan Sederhana (SME) yang memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan akan terus menyokong pembangunan SME, termasuk syarikat-syarikat kecil yang masih di peringkat awal untuk berkembang sehingga ke tahap global. Di samping itu, kita juga perlu menggalakkan SME asing untuk bekerjasama dengan SME tempatan supaya sama-sama mendapat manfaat daripada peralihan teknologi dan membuka pasaran yang lebih luas, khususnya dalam sektor teknologi moden.

Untuk memastikan SME mendapat akses yang mudah kepada kemudahan pembiayaan, kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Modal Kerja berjumlah RM7 bilion dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri berjumlah RM3 bilion. Hal ini telah saya umumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.

Keseluruhan RM7 bilion di bawah Skim Jaminan Modal Kerja telah diluluskan. Memandangkan sambutan kepada Skim Jaminan Modal Kerja amat menggalakkan, kerajaan akan menambah RM3 bilion lagi, menjadikan jumlah semuanya kepada RM10 bilion.

Di sudut ini, kerajaan sedar bahawa terdapat SME tempatan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa tetapi menghadapi masalah untuk bertapak di pasaran domestik. Terdapat juga SME yang telah memperoleh pengiktirafan tempatan atau anugerah antarabangsa dari segi kualiti dan inovasi. Sehubungan itu, SME tersebut akan diberi akses keutamaan dalam proses bidaan perolehan kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan.

Di samping itu, kerajaan juga memandang serius terhadap kesediaan kemudahan kredit supaya para usahawan dapat lebih giat lagi menceburi bidang SME. Sehubungan itu, kerajaan sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan SME dan Agro Bank supaya ia dapat memberikan perkhidmatan yang efektif kepada para usahawan SME nanti. Selain itu, SME Corp. pula akan diberi peruntukan yang secukupnya bagi memastikan SME yang berpotensi untuk berjaya dapat dibantu dengan sewajarnya.

Teras Strategik Ketiga: Pembangunan

Sosio-Ekonomi Secara Inklusif

Tuan Yang di-Pertua,

Sesungguhnya, keterangkuman merupakan pra-syarat bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran hasil pembangunan negara. Pendekatan ini akan menjamin keadilan sosial kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan tidak akan ada sesiapa pun yang berasa terpinggir.

Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Prinsip progresif dan pragmatisme akan memandu dasar-dasar negara demi kepentingan rakyat. Namun, kita akan tetap akur kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang akan sentiasa dijunjung dan dihormati.

TS3.1: Penyertaan Masyarakat

Bumiputera Dalam Ekonomi Negara

Agenda pembangunan Bumiputera pula akan terus diberi penekanan selaras dengan konsep pertumbuhan dengan pengagihan. Memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik yang lebih mencabar, tibalah masanya, untuk kita melaksanakan transformasi dalam agenda pembangunan Bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat Bumiputera yang berdaya saing dan berdaya maju. Pendekatan baru ini akan berasaskan kepada empat prinsip utama, iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, merit dan ketelusan.

Ertinya, keutamaan akan diberikan kepada aspek meningkatkan keupayaan syarikat Bumiputera. Dalam hal ini, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan nilai ditambah dan membina ke atas kejayaan yang telah dicapai sebelum ini.

Syarikat Bumiputera berpotensi yang telah membuktikan kebolehan serta kewibawaan mereka akan disokong untuk maju ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan hasrat kerajaan supaya syarikat-syarikat ini dapat merealisasikan kemampuan mereka secara optimum.

Jika diimbau, matlamat penstrukturan penyertaan syarikat Bumiputera pada awal tahun 1970-an telah memberi tumpuan kepada hak milik ekuiti. Pengukuran penyertaan Bumiputera kini akan diperluaskan kepada aset kewangan dan bukan kewangan, seperti hartanah dan premis perniagaan, termasuk juga guna tenaga profesional. Kaedah yang lebih holistik dan komprehensif ini memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek pemilikan kekayaan, tetapi juga aspek peningkatan pendapatan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi. Pada masa yang sama, sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro masih kekal.

Sehubungan itu, untuk memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera, lima inisiatif strategik telah dikenal pasti untuk dilaksanakan seperti berikut:

* Pertama: Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian. Dalam hal ini, program ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti PNB, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji akan diperbaharui dan diperkukuh bagi menggembleng pelbagai dana dalam usaha memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti Bumiputera.

Dalam konteks ini, kerajaan telah menubuhkan EKUINAS sebagai institusi pelaburan ekuiti swasta Bumiputera. Fungsi EKUINAS adalah mirip kepada Permodalan Nasional Berhad, dengan penekanan khusus untuk melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi, agar dapat disokong sehingga menjadi jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing.

EKUINAS membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit. Sehubungan itu, kerajaan akan menyokong usahawan Bumiputera berwibawa dan golongan profesional Bumiputera berkeupayaan untuk mengembangkan syarikat masing-masing ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di arena serantau dan peringkat antarabangsa.

* Kedua: Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera. Dalam konteks ini, Pelaburan Hartanah Berhad akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah bagi mengurangkan kekangan kepada Bumiputera untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri, serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai hartanah tersebut. Selain itu, Kampung Baru merupakan aset Bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur perlu dibangunkan semula supaya pemilik tanah dapat merealisasikan nilai sebenar hartanah mereka tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemegang asal tanah-tanah di kawasan ini.

* Ketiga: Menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera. Dalam hal ini, pakej secara bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing dan daya maju Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), termasuk latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran. Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, sebanyak RM1.5 bilion atau separuh daripada tambahan dana Skim Jaminan Modal Kerja sebanyak RM3 bilion, yang saya umumkan tadi akan diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera.

Di samping itu, organisasi pembangunan keusahawanan seperti MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan diperkukuhkan. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM3 bilion akan disediakan.

l Keempat: Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas. Dari segi pembangunan guna tenaga, kita telah berjaya melahirkan banyak profesional Bumiputera, termasuk ahli korporat, akauntan, jurutera, doktor pakar dan peguam.

Kini, tiada profesion di Malaysia yang tidak diceburi oleh Bumiputera. Malahan profesional Bumiputera telah menerajui profesion kejuruteraan, perubatan, guaman, juru ukur dan seni bina. Dalam tempoh 2000 hingga 2008, guna tenaga profesional Bumiputera telah meningkat daripada 56 peratus kepada 63 peratus, sementara di bidang pentadbiran dan pengurusan pula, daripada 46 peratus kepada 51 peratus.

* Kelima: Menubuhkan satu Majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

Majlis ini akan diketuai oleh saya sendiri, dan dianggotai oleh beberapa menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pihak swasta. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, akan menjadi urusetia kepada Majlis ini manakala Unit Pengurusan Projek, Kementerian Kewangan akan memantau program yang berkaitan untuk memastikan pelaksanaan efisien dan efektif.

TS3.2: Meneruskan Dasar Keadilan sosial

Kerajaan menyedari tanggungjawab dan komitmen dari kuasa politik yang diberikan oleh rakyat terhadap matlamat ini. Oleh itu, kerajaan bertekad akan memperhebat dasar-dasar yang mengutamakan keadilan sosial. Saya percaya masalah yang dihadapi oleh rakyat, sama ada di kampung pedalaman, estet atau kampung baru Cina, boleh diatasi sekiranya perhatian yang khusus diberikan untuk menanganinya. Oleh kerana itulah, melalui tinjauan mesra, saya juga sentiasa mendapat maklum balas tentang kesulitan yang dihadapi oleh rakyat.

RMK-10 ini juga akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah di mana Bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini.

Sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran serta memastikan penggunaan sumber yang lebih optimum, kawalan harga dan subsidi perlu dirasionalkan secara berperingkat untuk menghapuskan pengherotan pasaran dan penyelewengan. Walau bagaimanapun, keputusan berhubung pengurangan subsidi akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat. Di atas segalanya, saya memberi jaminan, dalam usaha mengurangkan subsidi, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan untuk meringankan impak pengurangan subsidi ke atas kos sara hidup masing-masing.

Fokus khusus akan diberi kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami rumah-rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia. Masih terdapat mereka yang hidup tanpa bekalan elektrik dan air, dan jauh daripada kemudahan kesihatan.

Anak-anak bersekolah terpaksa berjalan jauh, merentasi jalan yang kadangkala berdebu atau berlumpur dan terdapat juga antara mereka terpaksa merentas sungai untuk menimba ilmu di sekolah.

Kerajaan akan membela mereka yang kurang bernasib baik ini untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan. Saya ingin memastikan bahawa, kemakmuran pembangunan negara turut dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Sekadar memberi contoh, dari perkampungan Melayu di Grik, Perak; perkampungan Orang Asli di Pos Titom di Cameron Highlands; pekerja India di Ladang Mary, Kuala Selangor; masyarakat Kampung Baru Cina di Pasir Hitam, Perak; masyarakat Iban di Mujong Balleh, Sarawak; dan masyarakat Rungus di Kudat, Sabah.

Untuk ini, kerajaan akan mempergiatkan pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan kaedah untuk memberi hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ini akan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada program pembangunan pertanian secara bersepadu menggunakan pendekatan agropolitan dan contract farming. Mereka juga akan diberi akses yang lebih baik kepada infrastruktur dan kemudahan awam seperti jalan, pendidikan dan latihan kemahiran.

Tumpuan juga akan diberi untuk memperbaiki kualiti hidup pekerja ladang dan displaced estate workers. Sambungan bekalan air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1,000 ekar atau kurang dan terletak tidak melebihi 5 kilometer dari paip utama akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM109 juta. Program latihan kemahiran pula akan disediakan, terutamanya kepada golongan muda pelbagai kaum yang tercicir dari persekolahan, bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Bagi mereka yang berminat menjalankan perniagaan kecil-kecilan, akses kepada kemudahan mikro kredit AIM dan TEKUN akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar. Kemudahan pinjaman ini akan dipakej bersama dengan latihan keusahawanan bagi membina keupayaan mereka dalam bidang seperti pengurusan kewangan, penyediaan rancangan perniagaan, pemasaran dan promosi. Latihan ini akan dijalankan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Pusat GiatMara dan Institut Kemajuan Desa (INFRA).

Penduduk yang tinggal di kawasan kampung baru Cina akan juga diberi bantuan. Kini, terdapat 280,000 isi rumah yang tinggal di kawasan kampung baru Cina. Untuk membantu mereka membuat pembayaran premium tanah bagi melanjutkan tempoh pajakan, pinjaman mudah akan disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional.

Untuk ini, sebagai permulaan dana pembiayaan sebanyak RM100 juta akan disediakan. Selain itu, untuk menangani isu-isu masyarakat yang lain, Jawatankuasa-jawatankuasa Kabinet mengenai Hal Ehwal Kaum India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak akan diteruskan.

Teras Strategik Keempat: Membangun Dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia

Tuan Yang di-Pertua,

Persaingan untuk modal insan juga semakin meningkat, di mana banyak negara, terutamanya negara maju, mengamalkan dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal insan yang cemerlang termasuk di kalangan rakyat Malaysia. Tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi merupakan cutting edge kepada daya saing negara. Dalam hal ini, kerajaan akan mengambil langkah holistik bagi memperkukuh sistem pendidikan dan latihan, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi. Di samping menyediakan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran terbaik, kerajaan juga akan pastikan kualiti guru dan tenaga pengajar mencapai tahap yang sewajarnya.

TS4.1 Peningkatan Kualiti Pelajar

Untuk menambah baik kualiti pelajar, nisbah guru siswazah di sekolah rendah akan ditingkatkan daripada 28 peratus kepada 60 peratus. Prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal, terutamanya bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, akan juga dipertingkatkan dengan menambah bilangan guru berkualiti.

Bagi mencapai matlamat ini, program pensiswazahan guru akan dipergiatkan. Bagi memperhebat kualiti guru prasekolah pula, syarat kelayakan pelantikan guru prasekolah akan ditingkatkan kepada Diploma dan Sarjana Muda. Kerajaan berhasrat menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan kepada calon yang cemerlang.

Bagi memenuhi keperluan guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta Sekolah Kebangsaan, lulusan Unified Examination Certificate (UEC) yang telah memiliki sijil SPM akan diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan guru bagi program bahasa Cina. Pertimbangan yang sama juga akan diberi kepada lepasan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi Agama kelolaan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang telah memiliki SPM untuk menjadi guru kepada program pendidikan agama Islam dan J-Qaf.

Dalam aspek ini juga, kerajaan telah menubuhkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. Sejumlah 20 buah sekolah telah diberi status SBT berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka. Bilangan SBT akan ditambah kepada 100 buah pada akhir tahun 2012. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh.

Sekolah Amanah akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah-sekolah kerajaan yang terpilih. Sekolah-sekolah tersebut akan diberi kuasa autonomi oleh kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar.

Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan.

Kerajaan akan terus membantu sekolah bantuan modal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan sekolah. Bagi tujuan mengubah suai dan menaik taraf sekolah bantuan modal, peruntukan sebanyak RM280 juta akan disalurkan bagi tempoh 2011 dan 2012. Dengan ini, setiap satu kategori sekolah bantuan modal, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh akan memperoleh peruntukan tambahan sebanyak RM70 juta setiap satu dalam tempoh 2011 dan 2012. Tambahan lagi, bagi membiayai pembayaran utiliti, kerajaan akan memberi bantuan berdasarkan bil elektrik dan air sebenar sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap sekolah bantuan modal. Peruntukan ini akan melibatkan hampir 1,900 buah sekolah keseluruhannya.

Tuan Yang di-Pertua,

Anak-anak adalah harta dan warisan paling berharga kepada manusia. Merekalah masa depan kita. Adalah menjadi komitmen kerajaan untuk memberikan aset negara ini segala kelebihan untuk mereka berjaya dalam hidup kemudian hari yang penuh persaingan dan cabaran. Pelaburan terhadap mereka adalah pelaburan terhadap masa depan negara. Untuk itu, kita telah menjadikan pendidikan awal kanak-kanak sebagai agenda penting nasional melalui program PERMATA.

Mengikut kajian pakar tentang kanak-kanak, secara amnya akan terdapat seorang yang pintar cerdas daripada kalangan 10,000 kanak-kanak. Mengikut statistik 2007, jumlah kanak-kanak di bawah umur 14 tahun di Malaysia adalah seramai 8.9 juta. Dari itu, berasaskan rasional ini, kita boleh menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 900 orang pintar cerdas dari kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Penyertaan kanak-kanak yang berumur antara empat hingga lima tahun di peringkat prasekolah akan dipertingkatkan daripada 67 peratus pada tahun 2010 kepada 87 peratus pada tahun 2012.

Sasaran ini akan dicapai melalui penambahan kelas prasekolah di sekolah rendah kerajaan dan menggalakkan sektor swasta menyediakan pendidikan prasekolah. Insentif sebanyak RM10,000 akan diberi kepada sektor swasta yang menubuhkan institusi prasekolah swasta.

Selain memperkukuhkan program prasekolah itu, kerajaan sedang menimbang untuk mengurangkan umur persekolahan formal daripada 6 tahun kepada 5 tahun pada akhir tempoh rancangan ini tertakluk kepada kemampuan kerajaan.

Langkah ini akan meningkatkan akses kepada pendidikan formal ke arah memperkasakan pembangunan awal kanak-kanak.

TS4.2 Mengarusperdanakan Pendidikan

Teknikal dan Latihan Vokasional

Di negara maju, pendidikan teknikal dan latihan vokasional menjadi antara pilihan utama pelajar kerana ia menyediakan prospek kerjaya yang baik. Sebaliknya di negara kita, ia dilihat sebagai pilihan terakhir kerana persepsi prospek kerjaya yang terhad.

Andaian negatif ini harus disangkal. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebenarnya menyediakan landasan alternatif yang baik bagi para pelajar merealisasikan potensi mereka. Seramai 100,000 lepasan SPM memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa latihan kemahiran. Bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan teknikal dan latihan vokasional, kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan dipertingkatkan. Dalam hal ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan dijadikan agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional. Sijil Kemahiran Malaysia pula akan dijadikan persijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi. Saya percaya, bahawa hal ini akan meningkatkan keyakinan dan mendorong lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

Berhubung tenaga kerja pula, kini, hanya terdapat 23 peratus sahaja daripada tenaga kerja kita merupakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Peratusan ini jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju lain. Kita perlu meningkatkan komposisi pekerja berkemahiran tinggi kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang tahun 2015 untuk menjadi sebuah negara maju. Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam melatih pekerja berkemahiran tinggi, kerajaan akan mengambil langkah berikut:

* Pertama: Memperluas liputan geran sepadan Tabung Pembangunan Sumber Manusia serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk membantu majikan industri kecil juga sederhana melatih pekerja mereka;

* Kedua: Menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman kepada pekerja bagi mengikuti latihan untuk peningkatan kelayakan. Sejumlah RM500 juta akan disediakan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dan dianggar memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 38,000 pekerja;

* Ketiga: Menubuhkan tabung untuk pembiayaan bersama, iaitu kerajaan dan majikan sama-sama membiayai pekerja melanjutkan pengajian di peringkat ijazah PhD dalam bidang yang berkaitan dengan industri di mana pekerja itu bekerja;

* Keempat: Memperluas pelaksanaan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang melibatkan kandungan latihan sebanyak 70 peratus secara hands on di tempat kerja dan 30 peratus latihan teori di institusi latihan. Pada masa ini, SLDN disediakan kepada pekerja dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja. Melangkah ke hadapan, program ini akan juga merangkumi pelajar yang tidak menamatkan 11 tahun persekolahan;

* Kelima: Mempergiat pelaksanaan pengiktirafan pencapaian terdahulu iaitu menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia kepada 60,000 pekerja setahun dengan mengiktiraf pengetahuan, pengalaman dan kemahiran pekerja yang diperoleh di tempat kerja;

* Keenam:Menggalakkan sektor swasta dalam menyediakan latihan kemahiran dan vokasional menerusi kaedah PPP.

TS4.3 Peningkatan Kompetensi Graduan

Untuk meningkatkan kompetensi graduan pula, faktor boleh upaya diambil kerja graduan akan dijadikan satu daripada KPI universiti. Penyediaan peruntukan kewangan kepada universiti akan bergantung kepada sejauh mana universiti mencapai KPI yang ditetapkan. Di samping itu, kerajaan akan memberi autonomi kepada universiti secara berperingkat bagi mengukuhkan peranan dan prestasi universiti.

Untuk itu, kualiti staf akademik akan dipertingkatkan dengan menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD, iaitu 75 peratus bagi Universiti Penyelidikan dan 60 peratus bagi universiti awam lain. Bagi mencapai sasaran ini, pelaksanaan program MyBrain15, iaitu program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dengan matlamat meningkatkan jumlah pemegang PhD kepada 18,000 orang pada 2015, akan dipergiatkan. Di samping itu, pakej penggajian akan dikaji semula untuk menarik minat pensyarah asing dan staf akademik yang telah bersara.

IPT memainkan peranan utama dalam menggerakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) di negara ini. Ahli akademik dalam pelbagai bidang kepakaran merupakan peneraju kepada penerokaan idea, konsep atau teori baru yang menjadi tunjang kepada penemuan baru, perkembangan ilmu dan ciptaan yang canggih lagi terkini. Terdapat hubungan yang signifikan di antara pertumbuhan ekonomi dan kegiatan R&D pengajian tinggi. Justeru, bagi menggalakkan kegiatan R&D, kerajaan telah mengiktiraf UM, UKM, UPM dan USM sebagai universiti penyelidikan. Bagi melonjakkan lagi R&D dalam tempoh rancangan ini terutamanya dalam bidang teknologi, saya dengan suka citanya mengumumkan secara rasmi bahawa sebuah lagi IPTA sudah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan. Universiti tersebut ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

TS4.4 Meningkat Kecekapan Pasaran

Tenaga Kerja

Melangkah lagi, kecekapan pasaran buruh negara perlu dipertingkatkan. Sehubungan itu, undang-undang perburuhan yang berkaitan akan dikaji semula bagi memastikan keseimbangan antara kelenturan pasaran buruh dan jaminan pekerjaan.

Pada masa ini, negara mempunyai seramai lebih kurang 1.9 juta pekerja asing. Memang tidak dinafikan, kita masih memerlukan mereka, khususnya dalam pekerjaan yang tidak diminati oleh pekerja tempatan. Bagaimanapun, kebergantungan secara terusan terhadap pekerja asing tidak mahir akan menghalang hasrat kita untuk beralih kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi. Oleh itu, dasar penggajian pekerja asing akan diperkemas dengan memperkenal kadar levi berbeza mengikut nisbah pekerja asing kepada jumlah pekerja dalam syarikat, dan berbeza mengikut tahap kemahiran masing-masing. Kadar yang lebih tinggi akan dikenakan bagi pekerja kurang mahir. Kadar itu akan ditingkatkan pada setiap tahun.

Dalam konteks ini juga, untuk menarik lebih ramai tenaga kerja mahir ke negara ini, kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation yang akan mengenal pasti kekurangan kemahiran di sektor-sektor utama, serta menarik dan mengekal modal insan berkemahiran yang diperlukan. Dalam kita berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi, terdapat lebih 700,000 rakyat Malaysia yang berkemahiran masih bekerja di luar negara. Oleh itu, Talent Corporation juga akan meneraju inisiatif menarik rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada keperluan tenaga kerja mahir negara.

Untuk ini, Talent Corporation akan menyediakan Rangka Tindakan Modal Insan Berkemahiran yang bersepadu dengan kerjasama sektor awam dan swasta. Di samping itu, Talent Corporation akan menjadi pusat sehenti bagi memudahkan urusan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk urusan imigresen bagi kemasukan tenaga kerja mahir ke Malaysia.

Bagi menggembleng potensi intelektual dan kepakaran sedia ada di IPTA, kerajaan telah menubuhkan Majlis Profesor Negara yang telah saya lancarkan baru-baru ini. Kepakaran seramai lebih 1,400 profesor di IPTA seluruh negara akan dapat dimanfaatkan melalui prakarsa ini. Salah satu lagi agenda nasional bagi menjelmakan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi ialah penghasilan modal insan yang berkualiti. Untuk itu, kita mahukan institusi pengajian tinggi awam mempunyai murabbi yakni tenaga pengajar dan penyelidik yang terbaik dan bermotivasi.

Kerana itulah, kerajaan telah mengumumkan skim profesor di IPTA dan pensyarah Institut Perguruan. Di bawah penambahbaikan skim ini, satu kategori baru yakni Profesor Kanan telah diwujudkan dengan diletakkan di bawah tangga gaji Gred Turus. Pelantikan ke peringkat ini hanya akan dihadkan mengikut kelayakan dan keupayaan individu terbabit, tanpa ada sekatan angka siling tertentu. Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk memperkasa gelaran Profesor Di Raja yang sedia ada dengan pakej remuneration yang lebih setimpal dengan wibawa pemegang gelaran ini.

Tuan Yang di-Pertua,

Teras Strategik Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan mapan tiada maknanya jika kualiti hidup segenap lapisan masyarakat tidak turut meningkat. Oleh itu, selaras dengan konsep keadilan sosial yang diterapkan di dalam rancangan ini, kerajaan akan memastikan agar kemakmuran ekonomi negara diagihkan sebaiknya, supaya kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

TS5.1 Memastikan Kualiti Hidup

Yang Tinggi di Kawasan Bandar

Mutakhir ini, medan persaingan ekonomi tidak lagi terhenti hanya di peringkat negara tetapi antara bandar. Aktiviti ekonomi dengan sendirinya akan tertumpu di bandar dan kepadatan firma serta modal insan berpengetahuan mendorong produktiviti serta inovasi. Dengan itu, bandar merupakan pilihan pertama dalam perjuangan mencapai pendapatan tinggi. Cabaran yang dihadapi ialah untuk menyediakan kualiti hidup bandar dan memastikan bahawa faedah kepadatan tidak terjejas berikutan peningkatan jenayah, pencemaran dan kesesakan, atau crime, grime and time. Hakikatnya, trend urbanisasi di Malaysia semakin meningkat. Pada masa ini, 67 peratus daripada penduduk tinggal di kawasan bandar. Berdasarkan kepadatan tersebut, kerajaan akan berusaha memastikan bahawa kawasan bandar selesa didiami dengan liputan kemudahan asas yang mencukupi. Dalam hal ini, Pelan Fizikal Negara Ke-2, yang akan dimuktamadkan pada tahun ini, mempunyai perancangan strategik dan terurus, agar dapat mewujudkan kawasan bandar mampat dan efisien.

Selain itu, kerajaan ingin menyediakan suasana kehidupan yang menarik dan nyaman bagi warga bandar menjalankan pelbagai aktiviti seperti riadah dan rekreasi. Pewujudan kawasan lapang atau hijau akan diperbanyakkan. Antara contoh inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah merubah kawasan Taman Tasek Perdana, Kuala Lumpur kepada sebuah Taman Botanik dan juga pewujudan Pusat Pelancongan Malaysia Truly Asia di Kuala Lumpur. Selain itu, kawasan pinggiran sungai akan diindahkan sebagai kawasan rekreasi sepertimana yang telah dilaksanakan di Sungai Melaka.

TS5.2 Meningkatkan Liputan Kemudahan

Asas di Kawasan Luar Bandar

Tuan Yang di-Pertua,

Fokus juga akan diberikan kepada usaha meningkatkan liputan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar. Kerajaan mensasarkan pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta penduduk. Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dan berterusan dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak juga sedang diusahakan. Ini melibatkan penyambungan bekalan air kepada sebanyak 117,000 rumah di Semenanjung Malaysia, 112,700 di Sabah dan 87,400 di Sarawak.

Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar akan diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak.

Selain daripada infrastruktur dan utiliti asas, kerajaan juga akan menyediakan kemudahan ameniti sosial serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada masyarakat luar bandar.

TS5.3 Meningkatkan Kecekapan

Pengangkutan Awam

Kerajaan juga sedang memberi keutamaan kepada usaha penambahbaikan sistem pengangkutan awam dalam negara. Dalam hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab bagi merancang, mengawal selia dan menguatkuasa sistem serta operasi pengangkutan awam darat. SPAD bertanggungjawab untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan tambang yang berpatutan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Selaras dengan pendekatan utama yang diberi kepada NKEA, Greater Kuala Lumpur, kerajaan akan memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi. Saya percaya, projek ini merupakan satu lagi ikon kepada ibu negara kita dan akan memberi impak yang meluas sebagai spillover kepada rangkaian perniagaan berkaitan. Apabila siap kelak, sistem yang bersepadu ini dijangka meliputi kawasan dalam lingkungan 20 km dari pusat bandar dan melibatkan pembinaan landasan sepanjang lebih kurang 150 km yang membolehkan dua juta perjalanan sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini.

Pembinaan terminal bas dan rel seperti Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak juga akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perjalanan pengangkutan awam. Langkah-langkah ini dijangka akan meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan awam dengan ketara di Greater Kuala Lumpur, iaitu daripada 12 peratus pada tahun 2009 kepada 30 peratus pada tahun 2015. Selain itu, usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam darat akan diperluaskan kepada bandar raya lain. Untuk tujuan ini, sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di Wilayah Iskandar, Johor manakala bilangan bas awam akan ditambah sebanyak 200 buah di Pulau Pinang, untuk menampung 26 laluan dengan penambahan kapasiti sebanyak 75,000 penumpang sehari.

TS5.4 Rakyat Sihat, Masyarakat Produktif

Masyarakat yang sihat merupakan aset dan penyumbang kepada pembangunan negara dinamik lagi produktif. Justeru, aspek penambahbaikan tahap kesihatan rakyat akan diberi tumpuan khusus.

Akses, liputan serta kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Antara inisiatif utama kerajaan dalam hal ini adalah pembinaan 8 hospital, termasuk hospital-hospital pakar, 197 klinik dan juga tambahan 50 klinik 1Malaysia yang akan disiapkan dalam tempoh separuh pertama rancangan ini.

Pujangga menyebut, bahawa akal yang sihat datangnya dari badan yang cergas. Masyarakat yang aktif bersukan akan menjadi masyarakat yang sihat dan produktif. Tambahan lagi, sukan bukan sahaja dapat menjulang dan mengharumkan nama negara tetapi juga menjadi wadah kepada perpaduan dan integrasi nasional.

Sehubungan itu, kerajaan, dengan kerjasama sektor swasta, akan memberi penekanan supaya aktiviti sukan dan rekreasi dijadikan aktiviti keluarga serta dibudayakan dalam kehidupan harian masyarakat. Justeru, kemudahan sukan dan rekreasi akan dibina serta dinaik taraf di kawasan strategik dan mudah diakses oleh orang ramai.

TS5.5 Perumahan Asas Kepada

Kesejahteraan Hidup Rakyat

Selain itu, hasrat utama kerajaan adalah untuk menyediakan perumahan mampu milik mencukupi bagi setiap segmen masyarakat, terutamanya yang berpendapatan rendah. Kerana itu, 78,000 buah rumah mampu milik akan dibina di bawah rancangan ini. Undang-undang berkaitan akan diketatkan dan penguatkuasaan ditingkatkan ke arah memastikan rumah mampu milik dibina dengan kualiti yang sewajarnya.

Satu dana berjumlah RM500 juta akan diperuntukkan bagi tujuan membiayai kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta. Dana ini didasarkan kepada kaedah geran sepadan, di mana separuh daripada kos akan disumbang oleh kerajaan, manakala separuh lagi oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.

TS5.6 Mempertingkatkan Keyakinan

Rakyat Terhadap Keselamatan Awam

Berbicara tentang keselamatan dan ketenteraman awam, ia akan dipertingkatkan kerana hasilnya memberi manfaat yang begitu berharga kepada rakyat. Usaha dan strategi kerajaan dalam menjamin keselamatan awam telah menampakkan hasilnya berdasarkan pengurangan indeks keseluruhan jenayah bagi suku pertama tahun ini. Rondaan polis akan dipertingkatkan, terutamanya di 50 hot spots yang telah dikenal pasti untuk membendung aktiviti jenayah. Usaha ini dibantu oleh pihak RELA, Jabatan Pertahanan Awam dan sukarelawan awam yang lain. Tambahan lagi, sebanyak 496 CCTV sedang dipasang di seluruh negara bagi meningkatkan keupayaan pemantauan. Program Safe Cities juga terus dilaksanakan dengan menggembleng tenaga pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Di Raja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

TS5.7 Pembangunan Masyarakat

Yang Progresif

Kata orang, tangan yang menghayun buai itu mampu menggegar dunia. Status wanita di dalam sesebuah masyarakat itu merupakan ukuran penting sama ada negara itu dinamik serta progresif. Wanita adalah batu asas keluarga yang sejahtera dan tunjang kepada negara yang berjaya. Langkah akan diambil untuk meningkatkan penyertaan wanita di pelbagai peringkat dalam sektor awam dan swasta, termasuk bidang keusahawanan. Undang-undang dan peraturan berkaitan sedia ada akan disesuaikan bagi mendorong penyertaan lebih besar daripada wanita. Jadinya, saya menyeru agar sektor swasta meningkatkan penglibatan wanita, terutamanya dalam jawatan peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah.

Di sudut lain, generasi muda adalah generasi yang penting kerana merekalah yang akan mencorakkan masa depan negara.

Kerajaan, akan bersifat akomodatif terhadap aspirasi mereka sebagai segmen terbesar warganegara. Kita akan menjadi pendengar dan rakan kongsi yang lebih baik serta konstruktif. Idealisme dan tenaga mereka amat diperlukan negara untuk merealisasikan masa depan yang lebih baik. Oleh itu, kerajaan akan memperkemas sistem penyampaian program pembangunan belia sedia ada bagi memastikan generasi muda lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, terutamanya melalui aktiviti persatuan dan sukarelawan. Berikutan kejayaan sambutan Hari Belia yang diadakan baru-baru ini di Putrajaya, saya juga ingin mengumumkan bahawa bandar Putrajaya akan dijadikan bandar yang lebih mesra belia, sebagai lokasi tumpuan belia yang menyediakan ruang dan peluang bagi belia menjalankan aktiviti dan program bermanfaat dan bersesuaian.

Tidak dilupakan juga adalah golongan warga emas. Pada tahun 2020 dianggarkan akan terdapat 3.4 juta orang warga emas di negara ini. Kerajaan menyedari bahawa memanfaatkan golongan warga emas merupakan satu usaha yang bernilai. Golongan ini seharusnya diberi peluang untuk menghadapi penuaan yang aktif dan produktif. Selain itu, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan infrastruktur yang lebih mesra warga emas, meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang mampu dibiayai, menyedia rumah perlindungan yang mencukupi dan mengukuhkan kewangan serta peluang pekerjaan. Oleh itu kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta perlu dipertingkatkan untuk membawa penglibatan aktif warga emas dalam aktiviti sosial dan ekonomi negara.

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan komited untuk meningkatkan kesejahteraan orang kurang upaya. Langkah akan terus diambil untuk menyediakan pelbagai peluang termasuk latihan kemahiran, pekerjaan serta keusahawanan. Lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya juga akan disediakan, terutamanya dari segi pengangkutan awam serta kemudahan di premis dan bangunan.

Tumpuan juga akan diberi kepada usaha untuk mengarus perdana OKU ke dalam masyarakat supaya mereka boleh berdikari, produktif dan menjadi penyumbang yang dihargai dalam pembangunan.

TS5.8 Kemapanan Alam Sekitar

Tanggungjawab Kita

Dalam tempoh rancangan ini lagi, pelbagai langkah akan dilaksanakan untuk memastikan kemapanan alam sekitar. Penekanan akan diberi kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan peningkatan kecekapan tenaga. Antara lain, kerajaan akan memperkenalkan Feed in Tariff dan Dana Tenaga Boleh Diperbaharui bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh diperbaharui. Garis panduan, piawaian dan undang-undang berkaitan akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga, termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau.

Pendekatan kerajaan ini bukan dibuat atas dasar tanggungjawab beretika sahaja. Kerajaan akan menggalakkan pewujudan peluang ekonomi daripada usaha pemuliharaan alam sekitar. Sebagai contoh, eko-pelancongan menyediakan pelbagai peluang menjana pendapatan bagi masyarakat setempat untuk menggalakkan pemuliharaan flora dan fauna negara. Kita juga harus merebut peluang daripada arus perdana global, di mana permintaan bagi produk, perkhidmatan dan teknologi hijau semakin meningkat.

Dalam hal ini, saya menyeru pihak industri mengambil peluang dan menggunakan insentif yang telah disediakan oleh kerajaan melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sebanyak RM1.5 bilion bagi mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan.

Kerajaan akan menggalakkan pewujudan perumahan mesra alam dengan memperkenalkan garis panduan serta sistem penarafan hijau. Putrajaya dan Cyberjaya akan dijadikan model perintis bagi bandar hijau contoh. Kerajaan juga akan menerajui usaha melaksanakan piawaian bangunan hijau. Bangunan baru kerajaan akan direka bina untuk mematuhi piawaian ini. Kecekapan tenaga bangunan sedia ada kerajaan juga akan ditambah baik, dan, sebagai contoh suri tauladan, bangunan Pejabat Perdana Menteri akan dinaik taraf untuk mematuhi penarafan hijau yang bertaraf Gold Standard.

PERUNTUKAN PEMBANGUNAN

Tuan Yang di-Pertua,

Mulai RMK-10, pelaksanaan program dan projek secara rolling plan akan diperkenalkan. Melalui pendekatan ini, peruntukan program dan projek pembangunan akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula dengan 2011-2012. Pendekatan ini membolehkan komitmen dibuat berdasarkan keupayaan kewangan semasa kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan perubahan persekitaran ekonomi domestik atau global.

Senarai terperinci program dan projek bagi rolling plan pertama akan dikeluarkan pada akhir Ogos nanti. Bagi melaksanakan program pembangunan RMK-10 ini, kerajaan akan menyediakan siling peruntukan sebanyak RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Untuk tujuan ini, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan 5 peratus kepada sektor pentadbiran am.

KESIMPULAN

Tuan Yang di-Pertua,

Merujuk semangat Piala Dunia yang akan bermula esok, kita bolehlah mengiaskan kejayaan untuk menterjemahkan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada analogi sebuah pasukan bola yang berjaya.

Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan. Jika tidak, mereka bukan sahaja tidak mungkin menang, malah boleh kalah teruk. Setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama pentingnya. Walau bagaimana hebat pun pemain secara individu namun, mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar jika bermain secara berpasukan.

Oleh itu, setiap ahli pasukan adalah berharga dan perlu dioptimumkan potensinya bagi mencapai kejayaan.

Jika sekalipun setiap pemain adalah sebaik Rooney, Messi atau Ronaldo yang umum mengetahui sebagai antara penyerang terulung dunia, akan tetapi, jika pemain pertahanan dan penjaga golnya lemah maka pasukan tersebut barangkali kalah kerana jumlah gol dijaringkan mungkin tidak akan dapat mengatasi jumlah gol yang dibolos lawan. Maka yang demikian, untuk berjaya, kita perlu bekerja sebagai pasukan 1Malaysia yang seia, sekata, sebaris, sederap dengan satu wawasan, satu matlamat dan satu citra, mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan segala kudrat yang termampu.

Diakui orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan, orang Dusun, orang Melanau, orang Murut, orang Sikh, orang Asli, orang Serani, orang Siam, pendek katanya setiap etnik di bumi tercinta ini telah menyumbang kepada terbangunnya sebuah negara bangsa Malaysia yang aman dan makmur seperti mana hari ini. Namun, harus diingat, ia tidak dapat menandingi potensi sumbangan yang mampu dihasilkan oleh semua kita seandai dan sekiranya dilakukan secara kolektif.

Lantaran itulah, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk mencipta sebuah Malaysia yang lebih baik, Malaysia di mana semua mempunyai rasa kepunyaan, Malaysia di mana semua bakat dihargai dan digunakan sebaik-baiknya di mana yang mengehadkan adalah hanya, sejauh mana kesanggupan individu untuk bekerja keras bagi mencapai cita-cita.

Suka tidak suka, negara hari ini, berada di persimpangan antara masa depan yang gemilang atau masa depan yang suram.

Pilihan kini terletak di tangan setiap rakyat Malaysia. Hari ini, ibarat kita berada pada pusingan akhir lumba larian berganti-ganti dengan baton sudah berada di tangan hanya menanti tekad untuk menggapai kejuaraan.

Bermula detik ini, bersamalah kita mengorak perjalanan. Perjalanan yang bukan mengambil masa sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun tetapi perjalanan yang bertali arus, sambung menyambung diwarisi pula dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Berusaha dan bertawakallah, mudah-mudahan kita bertemu jaya, Insya-Allah.

/hwa-utusan.com.my