29 Ogos 2010

Sampai bila kita mesti dihina?

MM(Rencana) - 29/8/10

SIRI demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta dan beberapa tempat lain di Indonesia, benar-benar meloyakan Awang.

Jalur Gemilang dipijak, diludah dan dibakar. Bukan itu sahaja najis turut dilemparkan. Ugutan demi ugutan terus dibuat oleh beberapa penganjur tunjuk perasaan itu terutama Koordinator Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera). Antaranya mahu menjadikan rakyat kita dan kepentingan Malaysia sebagai sasaran.

Sebenarnya banyak usaha telah dilakukan bagi membendung kejadian seumpama itu termasuk kerjasama dan persefahaman melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan media Malaysia-Indonesia.

Namun demonstrasi liar tidak pernah susut apatah lagi berhenti. Tercetus sahaja isu dari semasa ke semasa maka sepantas kilat kedutaan kita diserbu. Adakalanya Awang tertanya-tanya apakah Malaysia sudah ditakdirkan menjadi kambing hitam kepada Indonesia.

NGO seperti Bendera yang didalangi oleh pihak tertentu, sentiasa berjaya dalam muslihat mereka sehingga mencetuskan ketegangan hubungan kedua-dua negara.

Memang ada negara lain suka jika Malaysia-Indonesia berbalah dan terdapat pemimpin pembangkang kita yang mengharapkan berlaku perseteruan agar dapat menangguk di air keruh. Apatah lagi darjah respons di Indonesia cukup tinggi, tidak seperti di Malaysia.

Ketika isu itu panas di sana, suasana di negara ini tenang. Rakyat kita tidak keluar berdemonstrasi kerana melihat hubungan dengan Indonesia begitu istimewa berbanding negara lain. Ia bukan bererti kita takut bersuara. Rakyat Malaysia sanggup turun di jalanan melakukan demonstrasi membantah kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) biarpun tahu kesannya terhadap tekanan politik antarabangsa dan ekonomi.

Tetapi ia berbeza dengan Indonesia - negara serumpun dan bersaudara. Ternyata kita banyak beralah dengan Indonesia. Malaysia seperti biasa, sentiasa percaya semua isu akan dapat ditangani dengan baik tanpa perlu ribut-ribut kerana itu budaya kesantunan nusantara. Awang bangga kerana rakyat Malaysia masih bersikap rasional dan tidak terikut-ikut sentimen liar penunjuk perasaan di sana. Padahal terlalu kerap nelayan dan bot pihak berkuasa Indonesia menceroboh perairan kita. Ketika jerebu teruk melanda negara ini saban tahun akibat kebakaran hutan di Indonesia, rakyat kita juga tidak keluar berdemonstrasi walaupun ia memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan aktiviti ekonomi.

Persoalannya sampai bila kita harus terus mengalah dan dihina?

Awang percaya isu terbaru ini akan reda sedikit masa lagi tetapi ia akan pasti berulang. Sedar atau tidak, bendera Malaysia paling banyak dibakar di bumi Indonesia. Kerap dan mudah sangat kita dihina seolah-olah Malaysia bukan negara berdaulat. Senario ini tidak berlaku dengan negara jiran lain.

Maka sudah sampai masanya semua pihak di negara ini membuka mata.

Dalam kita dituntut untuk terus menjaga hubungan baik dan memakmurkan jiran, kita perlu berpada-pada. Selama ini, pendirian berlembut dan begitu pemurah kepada Indonesia dalam banyak hal, telah mengundang padah. Untuk memberkas dan menghantar pulang pendatang haram dari negara itu juga kita terpaksa tunduk kepada tekanan dari seberang. Maka apabila diambil tindakan kemudian, ada sahaja pihak di Indonesia bertindak balas.

Janganlah mengharapkan pihak lain akan mengenang budi. Yang akhirnya dilihat buruk adalah Malaysia. Dari awal lagi, kita yang lemah dan kelemahan itu membawa ancaman kepada keselamatan nasional.

Awang berharap dalam masa terdekat ini, rakyat kita mengambil serius saranan Kementerian Luar agar jangan ke Indonesia melainkan bagi urusan penting. Keghairahan untuk ke negara itu bagi tujuan riadah seperti golf dan berlibur serta membeli belah dan melancong sewajarnya dihentikan. Untuk apa terhegeh-hegeh ke negara yang banyak menyaksikan kita dihina.

Walaupun tindakan demonstrasi liar itu melibatkan segelintir rakyat Indonesia tetapi sentimennya disemarakkan oleh media dan NGO sehingga membentuk persepsi buruk terhadap Malaysia, yang gagal dibendung oleh kerajaannya. Mesej daripada rakyat Malaysia harus disampaikan.

Banyak lagi pilihan yang kita ada. Semuanya boleh dilakukan tanpa perlu menggugat hubungan kedua-dua negara. Tidak perlu menunggu kerajaan mengambil keputusan besar, rakyat juga ada hak dalam membuat pilihan. Misalnya, untuk apa menghantar anak belajar perubatan di sana jika keselamatan mereka asyik terancam?

Sesungguhnya rakyat amat terganggu dan marah kerana penghinaan berterusan ini berlaku lebih-lebih lagi menjelang Hari Kemerdekaan Malaysia. Namun Awang sedikitpun tidak gundah kerana kita adalah lebih terhormat dan lebih bertamadun daripada golongan yang memijak dan membakar Jalur Gemilang. Ia akan mendorong kita untuk lebih berwaspada dan lebih gagah melangkah ke hadapan. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan. Jangan lupa, Malaysia juga adalah negara berdaulat...

/hwa: utusan.com.my/

Perbezaan 1Malaysia, Malaysian Malaysia

BM(Rencana) - 2010/08/29

Gagasan diperkenal Najib dokong ideologi menyeluruh imbangi perpaduan rakyat pelbagai kaum

KONSEP ‘Malaysian Malaysia’ adalah agenda politik yang diperjuangkan parti pembangkang DAP. Ia pada mulanya adalah rancangan untuk menentang dasar etnik pada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan oleh People’s Action Party (PAP), sebuah parti politik Singapura yang dipimpin Lee Kuan Yew.

Konsep ini bukan saja tidak mendapat tempat di hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum, malah didapati amat subversif sehingga boleh memecahbelahkan rakyat. Konsep inilah yang membawa kepada penyingkiran Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada 1965.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ adalah perjuangan DAP terhadap apa yang didakwanya sebagai pencerobohan hak kaum bukan Melayu oleh kaum Melayu. Ia dipersepsikan wujud dalam bentuk tindakan afirmatif yang mendiskriminasi kaum bukan Melayu.

Persepsi ini bukan saja tidak betul, malah pencabulan terhadap persetujuan etnik yang dicapai kaum Melayu, Cina dan India dalam pakatan kemerdekaan.

Pakatan kemerdekaan ini kemudian menjadi salah satu lunas penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah tolak ansur antara isu kerakyatan dalam kalangan bukan Melayu dengan apa yang kemudian dikenali sebagai Ketuanan Melayu.

Ketuanan Melayu – walaupun istilah yang kurang disenangi sesetengah pihak – sebetulnya adalah legitimasi watan mengenai bahasa, kedudukan, lambang kuasa serta agama penghuni asal negara ini. Secara fitrahnya ia dilindungi di mana-mana negara, apatah lagi yang majmuk seperti Malaysia.

Pakatan kemerdekaan juga dikenali sebagai kontrak sosial. Walaupun berjaya dicapai akhirnya, ia sebenarnya menerusi banyak proses rumit yang kadangkalanya memperlihat ketegangan ketika rundingan.

Ia perlu terus diterima pakai pada masa kini, walaupun dianggap sudah lapuk oleh sesetengah pihak. Ini antaranya adalah kerana ia bukan saja tolak ansur etnik yang adil, malah sesuai untuk sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Walaupun dengan simbol Melayu seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa Bumiputera sebagai penghuni asal, lambang kuasa Melayu dalam bentuk pemerintahan beraja dan Islam selaku agama Persekutuan, kepentingan asas kelompok lain tidak sekali-kali terjejas.

Malah ia, sama ada dalam bentuk kelayakan ekonomi mahupun kebebasan budaya, dilindungi dengan cukup sasa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Legitimasi watan ini – yang seolah-olah mengenakan kedominanan Melayu – sebenarnya terus membenarkan, misalnya bahasa ibunda kelompok lain dikembangkan. Ini termaktub pada Artikel 152. Dengan ini, pendidikan vernakular Cina misalnya, bukan saja berkembang dengan pesat di negara ini, malah menjadi sistem paling lengkap di Asia Tenggara.

Walaupun Islam menentukan kelakuan moral nasional, bukan saja kebebasan beragama diperuntukkan pada Artikel 3, keunggulan Islam tidak sekali-kali diguna untuk menjadikan agama lain tidak penting di Malaysia.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ menganggap legitimasi watan pada Artikel 153 sebagai diskriminasi etnik dan menggunakan Artikel 8 untuk menganjurkan keadilan dalam kalangan semua warga Malaysia.

Ini dilakukan untuk memperoleh kesamarataan bagi semua kaum tanpa mengambil kira sejarah tanah air, khususnya sejarah sosial dan budaya orang Melayu.

Oleh itu, ia amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia, selain langsung tidak mengendahkan semangat muhibah serta tolak ansur yang penuh dengan semangat setia kawan pada kontrak sosial 1957.

Gagasan 1Malaysia pula ingin mengimbangi Artikel 153 dengan Artikel 8 dengan tidak sekali-kali membelakangkan kontrak sosial yang dipersetujui bersama itu. Ini antaranya akan dicapai melalui prinsip keadilan sosial antara kedudukan istimewa orang Melayu dengan kepentingan asas kaum lain.

Ini akan dilakukan berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Inilah perbezaan besar antara 1Malaysia dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang ingin menghapuskan Artikel 153 dan hanya menggunakan Artikel 8 sebagai dasar etnik di negara ini.

Dengan kata lain, konsep ‘Malaysian Malaysia’ mengambil pendekatan sosialis tanpa mengambil kira sentimen semua pihak, khususnya kelompok dominan di negara ini. Gagasan 1Malaysia pula menggunakan pendekatan demokratik dengan berpandukan persetujuan yang dicapai bersama pada 1957.

Selain itu, restu dan kemuliaan hati semua pihak, sama ada majoriti mahupun minoriti ikut diperoleh dari semasa ke semasa.

Dengan pendekatan demokratik ini, satu lagi kontrak sosial dicapai pada 1971, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan afirmatif ini dan juga yang sebelumnya sebetulnya tidak boleh dipersoal, apatah lagi dipertikai.

Ia sudah dipersetujui bersama dan dirancangkan untuk membawa kesejahteraan kepada negara. Biarpun demikian, ia boleh dibincangkan dari semasa ke semasa secara berhemah untuk memastikan tidak berlaku penyelewengan dan hal yang seumpamanya.

Untuk Malaysia bergerak ke hadapan, khususnya mencapai status negara maju seperti dihasratkan dalam Wawasan 2020, gagasan 1Malaysia adalah satu-satunya alat yang mampu membawa perubahan ke arah itu.

1Malaysia sebagai konsepsi perpaduan dan kemajuan negara, wujud dalam bentuk pelan tindakan mempunyai hala tuju yang jelas. Ini satu lagi perbezaan besar antara gagasan ini dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang sehingga kini hanya idea yang bukan saja tidak mempunyai perincian, malah lebih kepada hujah bercakap ketika berucap saja.

Kaedah kesamarataan yang dianjurkan dalam konsep ‘Malaysian Malaysia’, selain tidak jelas kerana tidak mampu dikupas dengan baik akibat tiadanya natijah yang baik, menolak hakikat kewujudan lebih awal kaum Bumiputera, khususnya orang Melayu di bumi yang namanya Tanah Melayu.

Ini dilakukan antaranya dengan memanggil sesetengah orang Melayu sebagai pendatang kerana berhijrah ke Tanah Melayu dari pelbagai tempat di Nusantara, iaitu Kepulauan Melayu yang luas itu.

Dengan ini, konsep ‘Malaysian Malaysia’ menganjur identiti nasional yang terdiri daripada semua nasionalisme etnik yang ada di Malaysia tanpa bersandar pada sebarang teras. Ia langsung tidak mengambil kira orang Melayu sudah bermastautin di sini lama sebelum kemasukan kaum lain pada abad ke-19 dan ke-20.

Sehubungan ini, gagasan 1Malaysia dalam menganjurkan keadilan untuk semua, memastikan ia dilakukan dari sudut sosiologi Malaysia yang berbilang kaum. Ia sentiasa mengambil kira kaum asal dan tidak sekali-kali meminggirkan kaum bukan asal dalam agenda pembangunan negara.

Ia tetap mengiktiraf, malah menggalakkan nasionalisme etnik terus wujud dalam bentuk utuh, seperti yang dipersetujui bersama dan disenangi semua kaum.

Pada masa sama, gagasan 1Malaysia mengikat semua kaum melalui satu identiti nasional dalam bentuk ‘kesatuan dalam kepelbagaian’. Dalam hal ini, ia tidak sekali-kali membelakangkan kaum asal dan tidak akan pula cuba mengasimilasikan kaum bukan asal.

Inilah kemuliaan yang ada pada gagasan 1Malaysia. Ia adalah ideologi yang menyeluruh kerana meliputi kedua-dua rancangan perpaduan dan kemajuan serta penuh pula dengan pelbagai perincian. Tambahan lagi, ia amat realistik dan praktikal sekali.

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama dan Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM.

/hwa: bharian.com.my/

Buang air kecil atas sejadah

BM - 2010/08/29

Pemuda mabuk bawa botol arak serbu masjid maki hamun jemaah

NEW YORK: Seorang lelaki membuang air kecil di atas sejadah di sebuah masjid di Queens, kelmarin dalam kejadian terbaru yang ditakrifkan sebagai insiden anti-Islam selepas seorang pemandu teksi cedera di badan kerana ditikam penumpangnya.

Dalam kejadian dilaporkan di masjid Iman di Steinway Street, Astoria, lelaki dikenali sebagai Omar Rivera itu menyerbu masuk ke dalam rumah ibadat itu ketika jemaah sedang melakukan solat Tarawih.

Rivera kemudian mengeluarkan kata-kata menghina Islam dan memberi isyarat lucah kepada jemaah termasuk menggelar mereka sebagai pengganas.

Dua jemaah kemudian bertindak sebelum berjaya menghalangnya dan meminta bantuan pihak berkuasa dengan menelefon 911.

Seorang saksi memberitahu akhbar New York Post, lelaki terbabit berada dalam keadaan mabuk dan membawa botol bir ke dalam masjid itu.

“Dia memberi isyarat lucah dan memaki hamun semua orang yang ada dalam masjid,” katanya.

Seorang jemaah, Mustapha Sadouki, memberitahu: “Dia gelar kami pengganas sedangkan dia yang masuk ke dalam masjid dan melakukan perbuatan itu”.

Rivera dikenakan dakwaan jenayah menceroboh. Ejen Biro Siasatan Persekutuan, Richard Kolko, pula menyatakan pihaknya tidak mengesan peningkatan jenayah kebencian agama terhadap orang Islam tahun ini, bagaimanapun tetap memandang serius semua aduan yang diterima.

Pengarah Hal Ehwal Masyarakat bagi Majlis Hubungan Amerika Islam (CAIR) cawangan New York, Faiza Ali, menyifatkan perbuatan menghina Islam dan pengikutnya di corong radio termasuk oleh ahli politik menjadi punca peningkatan sentimen anti-Islam di seluruh negara itu.

“Beberapa kejadian baru-baru ini menunjukkan kesan daripada perbuatan menimbulkan ketakutan di kalangan orang awam,” katanya, ketika isu pembinaan masjid dekat lokasi 9/11 hangat diperkatakan.

Selain serangan terhadap pemandu teksi itu, Ahmed Sharif, pada hari yang sama sebuah masjid di daerah Madera, California, digeledah dengan satu mesej ditulis berbunyi ‘Wake up America, the enemy is here’ (Bangunlah Amerika, musuh sudah ada di sini).

Ia dipercayai perbuatan kumpulan ‘American Nationalist Brotherhood’. Malah, seketul batu bata juga dibaling terhadap masjid itu, minggu lalu. – Agensi.

/hwa: bharian.com.my/

Nie Ching minta maaf kepada Sultan Selangor

MM - 29/8/10

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching akan memberi penjelasan dan memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung tindakannya menyampaikan ucapan dalam dewan solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Menurutnya, sebagai ahli Parlimen, beliau mengunjungi surau tersebut untuk menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau serta berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

"Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

"Saya menyesal kerana perkara ini telah menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam dan isu ini telah dihangatkan oleh pihak tertentu atas sebab-sebab politik,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Nie Ching, beliau tidak mempunyai sebarang niat politik ketika mengadakan lawatan ke surau itu.

"Saya juga tidak mempunyai apa-apa motif bagi mempersoalkan kesucian surau dan masjid.

"Saya menyambut baik segala pesanan, peringatan dan nasihat daripada semua pihak mengenai perkara tersebut,'' katanya.

Jelasnya, beliau akan menjalankan tugasnya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa akan datang.

/hwa: utusan.com.my/

Anwar didakwa lakukan pembohongan bersiri

MM - 29/8/10

PETALING JAYA 28 Ogos - Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Semenanjung dan Sabah membidas Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peranannya mencadangkan penggantungan 12 pemimpin PKR Sabah yang taat kepada Naib Presiden Jeffrey Kitingan (gambar).

Menurut laporan laman web freeMalaysiatoday.com, bagi memburukkan keadaan, mereka berkata, Anwar terus membisu dan membiarkan orang-orangnya memanipulasi keadaan ini dengan tidak mendedahkan apa yang sebenar berlaku.

"Banyak perbincangan dan insiden yang berlaku sejak setahun lalu melibatkan 12 pemimpin ini dan situasi di Sabah kini diputar belit oleh orang-orang Anwar. Ini tidak baik untuk parti," kata pemimpin-pemimpin itu seperti dipetik dalam laporan berkenaan.

Menurut laporan laman web itu, beberapa pemimpin kanan parti turut kecewa dengan sikap Anwar yang "berpura-pura" beliau tidak tahu mengenai perjanjian damai yang dicapai pada 13 Disember lalu, termasuk tidak mencari kesalahan terhadap orang-orang Jeffrey.

''Bagaimanapun, di sebalik tabir, kami tahu bahawa Anwar tahu dengan jelas mengenai apa yang telah dibuat untuk menyekat 12 pemimpin ini, termasuk menyekat pengaruh Jeffrey.

"Kami hanya boleh membuat kesimpulan bahawa Anwar berbohong. Beliau pernah melakukannya sebelum ini. Pertama mengenai pengambil-alihan 16 September dan kemudian dakwaan tawaran RM2 juta untuk wakil-wakil PKR yang berpaling tadah dan sekarang kes 12 pemimpin ini. Ia seolah-olah kelihatan beliau membuat pembohongan secara bersiri," seorang pemimpin senior memberitahu freemalaysiatoday.

Para pemimpin parti memilih untuk tidak dikenali kerana bimbang akan akibatnya dari parti, terutama memandangkan pilihan raya akan di adakan bulan November depan.

Pemimpin-pemimpin PKR juga melahirkan rasa kecewa dengan pertukaran tarikh mesyuarat biro politik yang berpengaruh dalam parti pada saat-saat akhir dari 8 pagi kepada 2.30 petang Rabu lalu, hari yang sama ketika Jawatankuasa Disiplin mendengar kes 12 pemimpin di Penampang, Sabah.

Pada mesyuarat biro politik yang diadakan di ibu pejabat parti di sini, keputusan telah dicapai bahawa keputusan muktamad mengenai nasib 12 pemimpin itu akan dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada hari Ahad. Keputusan ini telah dibuat sebelum jawatankuasa disiplin selesai mendengar kes ini lagi (yang tamat pada 4.00 petang hari Rabu).

Perubahan masa ini menghalang Jeffrey dari memberi keterangan berhubung kes untuk membela 12 pemimpin ini kerana tiket penerbangan beliau telah ditempah untuk mesyuarat jam 8 malam.

"Ini pertanda jelas orang-orang Anwar memastikan insiden ini mengikut perlembagaan parti tetapi pada hakikatnya, keputusan telah dibuat untuk menggantung 12 pemimpin ini," kata pemimpin-pemimpin parti.

Kebimbangan di kalangan pemimpin-pemimpin ini sekarang ini ialah Majlis Pimpinan Pusat (MPP), yang dikuasai oleh Anwar, akan membiarkan Anwar membuat keputusan muktamad mengenai penggantungan tersebut.

"Akhirnya, Anwar mungkin sekali lagi mahu berunding dengan Jeffrey mengenai masa depan 12 pemimpin itu tapi kami yakin rundingan seperti ini hanya akan menguntungkan Naib Presiden Azmin Ali dan para penyokongnya di Sabah, bukan kumpulan Jeffrey," kata mereka.

Dalam laporan awal semalam, Jeffrey menasihatkan Anwar supaya menangguhkan lawatan ke Sabah setelah segala isu berkaitan parti itu di negeri berkenaan diselesaikan.

Jeffery membuat gesaan itu sehari selepas PKR mengumumkan keahlian 12 anggota parti itu di negeri berkenaan digantung selama setahun selepas mereka cuba menubuhkan Parti Cina Sabah (PCS).

/hwa: utusan.com.my/

Politik pelajar: Saifudin bincang dengan pemuda PAS, Gerakan

Bernama - 29/08/2010 1:06pm

GEORGE TOWN 29 Ogos - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah berkata, beliau mahu berbincang dengan Pemuda PAS dan Gerakan berhubung soal sama ada dibolehkan pelajar institusi pengajian tinggi aktif dalam politik.

Beliau berkata, ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan terbaik daripada pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan mengenai perkara itu diputuskan.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sangat terbuka dengan perkara ini, maknanya ia masih lagi boleh dibincangkan antara pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Saifudin berkata, banyak faedah boleh diperolehi sekiranya dibenarkan pelajar menyertai parti politik yang antaranya dapat mematangkan sistem demokrasi di samping memberikan hak berpolitik kepada pelajar.

"Kumpulan pelajar yang berminat dengan politik sangat kecil, walaupun begitu hak mereka tetap tidak boleh dinafikan untuk sertai politik, Kita harus fahami matlamat cadangan itu dan lambat laun perkara ini akan menjadi kenyataan,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Indonesia diminta jaga kepentingan pelabur Malaysia

Bernama -29/08/2010 1:07pm

KULIM 29 Ogos - Kerajaan Indonesia diminta supaya menjaga kepentingan dan keselamatan pelabur Malaysia di negara tersebut seperti mana yang dilakukan oleh pihak Malaysia di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, hubungan erat antara kedua-dua negara yang telah terjalin sekian lama perlu dijaga termasuk dalam soal ekonomi.

"Kita tidak mahu berlaku insiden-insiden yang mencemarkan perhubungan yang sentiasa baik itu,” katanya di sini semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan tunjuk perasaan terhadap Malaysia di republik tersebut didalangi oleh pihak yang cemburu melihat hubungan erat antara kedua-dua negara.

/hwa: utusan.com.my/

28 Ogos 2010

Politik murahan gadai agama

BH(Surat pembaca) - 2010/08/28

ISU perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini kini semakin menjadi-jadi. Ramai pemimpin Melayu tidak kira daripada parti pembangkang mahu pun parti pemerintah nampaknya berlumba-lumba untuk menunjukkan betapa orang Melayu ini rela untuk berkorban apa saja demi mendapat undi daripada bukan Islam.

Kini agama pula ingin dicampur-adukkan dengan politik. Terbaru adalah kontroversi mengenai dakwaan seorang (dan mungkin beberapa orang lagi) khatib mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam khutbah solat Jumaat sebagai ganti doa yang sepatutnya untuk Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri.

Berita Harian pada 25 Ogos lalu melaporkan seorang daripada mereka dengan bangganya memberi kenyataan memang benar dialah orang yang melakukannya. Pada masa sama, beliau tidak langsung meminta maaf kepada umat Islam yang lain di negara ini di atas kesilapan yang dilakukan, sebaliknya mempertahankan tindakan itu sebagai tidak salah tetapi hanya satu kesilapan dari segi pertimbangan.

Mahu dikatakan bodoh, mereka dengan lantangnya mengatakan mereka tidak jahil. Tetapi hakikatnya mereka ini jelas tidak cukup cerdik, bak kata pepatah, “bodoh tak boleh ajar, pandai tidak boleh diturut”.

Kenapa beliau sanggup melakukannya dalam khutbah Jumaat? Juga kenapa baru sekarang ingin memohon maaf, hanya setelah ia menjadi kontroversi yang hangat dan juga setelah satu negara kecoh dibuatnya?

Pemimpin yang didoakan itu tidaklah setaraf Saidina Omar Al Khattab atau Khalid Al Walid untuk diangkat ke darjat yang sebegitu tinggi dalam khutbah Jumaat. Apakah sumbangan beliau begitu besar kepada umat Islam di Pulau Pinang sehingga melayakkan dia dipuja sebegitu rupa?

WAN MOHD RUSHIDI,
Jalan Kuala Kedah.
/hwa: bharian.com.my/

Kebiadapan kumpulan BENDERA makan diri

BH(Rencana) - 2010/08/28

Oleh Datuk Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my


Amaran Indonesia tak selamat dikunjungi jejas sektor pelancongan

SEBAIK saja berita sekumpulan anggota yang menggelarkan diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) mencemari Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan membaling najis dan menggugut untuk mengusir rakyat Malaysia Isnin lalu, media cetak Malaysia berbeza pendekatan dalam menyiarkan berita mengenainya. Pembaca tertanya-tanya mengapa ada media yang membesarkan berita itu, manakala ada media yang hanya menjadikannya sebagai berita biasa, seolah-olah ia tidak ada kaitan dengan Malaysia.

Ada akhbar menyiarkan berita dan gambar demonstrasi itu di muka depan untuk menunjukkan betapa biadab perbuatan kumpulan itu. Di negara lain, sama ada mereka menganggap berita itu adalah penting atau sebaliknya bergantung kepada kepentingan mereka terhadap Malaysia dan Indonesia.

Jika mereka mahu menonjolkan perbalahan dua negara rumpun Melayu dan negara Islam, berita ini diperbesarkan. Jika tidak, demonstrasi itu tidak ada bezanya dengan perhimpunan lain yang berlaku setiap hari di serata dunia. Malangnya, demonstrasi itu berterusan dari sehari ke sehari, daripada 40 orang kepada kira-kira 600 orang, daripada membuang najis dan menghina dengan kata nista, mereka meludah dan membakar bendera Malaysia.

Bagi rakyat, mereka melihat hubungan Malaysia dan Indonesia menjadi kian sensitif. Ini terbukti dalam beberapa peristiwa sebelum ini, hanya disebabkan seorang pembantu rumah rakyat Indonesia yang didera oleh majikan yang tidak bertanggungjawab, ia dikeruhkan dengan percubaan untuk menghuru-harakan rakyat kedua-dua negara sedangkan ia adalah kejadian terpencil membabitkan pekerja dan majikan, tidak ada kena mengena dengan rakyat atau kerajaan. Dalam konteks ini, hubungan rakyat Malaysia-Indonesia, amat rapuh dan sesiapa saja mudah melenting.

Perbuatan BENDERA yang disertai pula anggota Forum Kebangsaan Indonesia dan Forum Betawi Rempug, sama ada suka atau tidak, mempunyai kesan besar terhadap hubungan rakyat kedua-dua negara, meskipun pemerintah Malaysia dan Indonesia, tidak ada kaitan langsung dalam hal ini.

Ia adalah sikap badan-badan berkenaan yang kononnya mengambil pendirian sendiri atau dikatakan tunduk kepada arahan pihak tertentu. Dari logik akal, perbuatan segelintir anggota kumpulan itu berbanding lebih 200 juta rakyat Indonesia, tidak sedikit pun menggambarkan hasrat rakyat Indonesia untuk mengganyang Malaysia. Mereka diibaratkan anjing menyalak bukit. Rakyat Malaysia lebih bersikap rasional kerana tidak bertindak balas secara mendadak. Seandainya semua akhbar di Malaysia dan Indonesia menyiarkan berita dan mengundang provokasi rakyat, keadaan mungkin berbeza, Keseimbangan berita mengenai demonstrasi itu mungkin dapat mententeramkan rakyat negara ini yang ketika itu sudah pun berbalas-balas khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertindak.

Segala-galanya tercetus mungkin kerana salah faham dan secara kebetulan, tambahan pula ada perkara yang terpendam di jiwa. Peristiwa bermula apabila BENDERA mengecam penahanan tiga anggota penguat kuasa Jabatan Kelautan dan Perikanan Indonesia dekat perairan Johor Malaysia dan disusuli pula penahanan anggota pasukan marin Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia.

Biasanya dalam kes seperti ini, masalah diselesaikan melalui perundingan. Tindakan menangkap sesiapa saja yang memasuki perairan negara adalah mengikut peraturan dan undang-undang. Jika undang-undang tidak dipatuhi, ia boleh menimbulkan implikasi lebih besar dan akan menyebabkan undang-undang mudah dicabuli dan kesannya pencerobohan bermaharajalela.

Badan berkenaan langsung tidak menghiraukan keselamatan lebih sejuta rakyat negaranya yang mencari rezeki di negara ini. Jika BENDERA memperjuangkan demokrasi, apakah bentuk demokrasi yang mereka perjuangkan jika mereka sendiri cuba menimbulkan masalah kepada rakyat Indonesia. Apakah mereka masih mengamalkan demokrasi kelas ketiga sedangkan mereka melaung-laungkan bahawa Indonesia hari ini melalui era kebebasan mutlak. Bagaimana jika rakyat Malaysia atau ada badan bertindak balas mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur dengan melakukan perkara sama mereka lakukan – membuang najis, meludah dan membakar bendera Indonesia. Tindakan kumpulan berkenaan, atas alasan apa sekali pun adalah tidak bertanggungjawab.

Mungkin mereka boleh membuat kajian berhubung sikap pekerja rakyat Indonesia di Malaysia. Adakah mereka bersetuju dengan tindakan kumpulan berkenaan membuat onar sebegitu rupa yang boleh mencemaskan mereka di Malaysia. Ia hanya menanam bibit-bibit prejudis rakyat Malaysia terhadap rakyat Indonesia. Sikap badan itu juga tidak memberi kebaikan kepada pemerintah Indonesia. Apabila amaran dikeluarkan bahawa Indonesia tidak selamat dikunjungi rakyat Malaysia, ia menjejaskan perjalanan rakyat Malaysia ke negara itu.

Penurunan ketara pelawat Malaysia ke Indonesia tidak menguntungkan Indonesia. Biasanya pada bulan perayaan begini sepatutnya ramai rakyat Malaysia berkunjung membeli-belah di Jakarta, Bandung, Medan atau di kota lain di negara itu. Disebabkan Indonesia diisytiharkan tidak selamat dikunjungi oleh rakyat Malaysia, ramai mereka yang mengidam untuk membeli-belah di negara itu menukar haluan. Mereka lebih selesa membeli-belah di negara ini, Thailand atau Singapura. Peniaga di Indonesia yang sepatutnya meraih rezeki yang lebih sedikit pada Ramadan ini daripada rakyat Malaysia, terbantut. Mereka terpaksa berpuas hati dengan pelanggan rakyat tempatan saja.

Komen dari Indonesia

“Kami mohon maaf dan menyatakan tidak akan mengulangi hal yang tercela ini. Apabila hal ini terulang kami dari kelompok Benteng Demokrasi Rakyat bersedia bertanggungjawab dan bersedia dihukum berdasarkan undang-undang yang berlaku di Indonesia” begitulah yang tertera dalam sebuah blog.

Satu lagi komen, “Allahu Akbar.......Kami juga mohon maaf....Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Cuma mau tanya, yang membakar bendera Malaysia itu orang Islam atau bukan Islam. Sedih juga kerana bendera Malaysia itu, bulan melambang agama rasmi Malaysia-Islam....kok dipijak-pijak....namun kesabaran tetap menjadi teras demi memperjuangkan Islam... Perjuangan Islam masih belum berakhir.”

Bagaimana pula komen ini: “Syukur Alhamdulillah, damai. Hairan juga saya. Selalunya rakyat Indonesia yang berlebihan dalam segala isu. Kita di sini biasa saja. Ramai keturunan Indonesia berada di Malaysia yang dulunya merantau. Kita mencintai dua-dua negara. Cuma kadang-kadang saudara di sana melihat satu isu secara tergesa-gesa tanpa melihat pokok pangkalnya. Ingatlah kita sering diadudombakan. Cuma, perlukan kita gunakan sedikit otak yang dikurniakan Allah.

Salam Lebaran, maaf zahir dan batin.”
/hwa: bharian.com.my/

'Terkejut, kecewa'

BH - 2010/08/28

Oleh Norfatimah Ahmad dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my


Pegawai Imigresen Tinggi diberi surat tunjuk sebab kes sogokan RM60,000

KUALA LUMPUR: “Saya terkejut dan kecewa.” Itulah maklum balas awal Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman (gambar) ketika ditanya mengenai kegiatan sogokan mencecah RM60,000 yang diterima sesetengah anggota dan pegawainya di Jeti Pulau Ketam hingga menyebabkan pintu masuk negara di Pelabuhan Klang itu mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Malah, beliau juga tidak menjangka keadaan sebegitu teruk walaupun selepas menempatkan antara empat hingga lima pegawai dari ibu pejabat imigresen di setiap pintu keluar masuk untuk memantau operasi harian menjelang Aidilfitri ini.

“Nampaknya langkah menempatkan pegawai dari ibu pejabat imigresen ini masih tidak cukup dan tidak berjaya untuk mengekang kejadian itu (pendatang tanpa izin bolos dan sogokan kepada anggota serta pegawai imigresen). Tidak ada kompromi dalam hal ini (rasuah), semuanya kerana mereka tidak boleh kawal nafsu.

“Dalam hal ini, amaran adalah kepada Pegawai Imigresen Tinggi (PIT) yang bertanggungjawab mengawal selia situasi di pintu keluar dan masuk negara kerana jika mereka alpa, tentunya pelbagai masalah berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai anggota penguatkuasa jabatan itu dipercayai dibayar kira-kira RM2,000 sehari untuk ‘peranan’ mereka memudahkan urusan keluar dan masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada dokumen.

Habuan yang diterima anggota penguatkuasa itu dibiayai sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia yang dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari.

Chalo terbabit menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cap palsu imigresen bagi warga Indonesia yang tiada dokumen keluar-masuk negara ini dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing.

Ejen haram ini mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM1,800 bagi setiap pelanggan mereka bergantung kepada khidmat yang disediakan.

Abdul Rahman berkata, mengikut prosedur biasa, pihaknya akan mengemukakan surat tunjuk sebab untuk dijawab anggota dan pegawai di jeti berkenaan dalam tempoh tertentu.

“Langkah pertama yang diambil semalam adalah mengarahkan PIT jeti berkenaan memberi penjelasan berhubung isu ini,” katanya.

Mengenai kawalan di pintu keluar masuk negara ini, beliau berkata, pelabuhan dan jeti sering kali menjadi tumpuan terutama golongan bawahan kerana ia menjimatkan, berbanding laluan darat atau udara.

“Sebenarnya kerja imigresen ini mudah, kecuali anggotanya tidak menggunakan mata, telinga dan hati. Bagaimanapun, jika ada yang membolosi pintu masuk ia bukan saja kegagalan imigresen, malah agensi penguatkuasa lain,” katanya.
/hwa: bharian.com.my/

PM mahu SPRM siasat pegawai imigresen terima suapan sehingga RM60,000

BH - 2010/08/28

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat mengenai kegiatan sogokan mencecah RM60,000 yang dikatakan diterima sesetengah pegawai dan anggota pihak berkuasa termasuk imigresen di jeti Pulau Ketam hingga menyebabkan ia mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Perdana Menteri berkata demikian di sini petang ini bagi mengulas pendedahan Berita Harian kelmarin mengenai kegiatan salah lalu pegawai keselamatan di pintu masuk negara di jeti Pulau Ketam.
/hwa: bharian.com.my/

Malaysia tak pernah berlembut tangani isu kedaulatan

Bernama - 28/08/2010 7:12pm

PEKAN 28 Ogos – Malaysia tidak pernah berlembut dalam menangani isu yang dilihat mencemarkan kedaulatan negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas kejadian demonstrasi terhadap Malaysia di Jakarta ketika ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu Indonesia segera mengambil langkah-langkah perlu dalam menangani isu berkenaan.

"Sekarang ini, yang penting ialah tindakan pihak berkuasa Indonesia untuk tidak membiarkan perkara ini berlarutan terutama sekali (tindakan terhadap) mereka yang melakukan demonstrasi, kawalan kedutaan (Malaysia) dan apa-apa tindakan lain yang perlu diambil pihak Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok dan Tanam Semula komersial Risda 2010 di sini hari ini.

Khamis lepas, kira-kira 600 penunjuk perasaan bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang dan berteriak “ganyang Malaysia” bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua-dua negara.

/hwa: utusan.com.my/

Isu tazkirah dalam surau: Nik Aziz pertahan Teo

Bernama - 28/08/2010 10:28pm

KOTA BHARU 28 Ogos — Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

/hwa: utusan.com.my/

Peruntukan RM1.7j untuk Rumah Limpahan Kasih di Puchong

Bernama - 28/08/2010 12:05pm

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kerajaan hari ini meluluskan peruntukan RM1.7 juta bagi pembinaan dua blok asrama anak yatim dan surau baru Rumah Limpahan Kasih di Puchong, dekat sini.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan dua blok asrama itu, masing-masing satu blok bagi lelaki dan wanita, mampu menampung sekurang-kurangnya 200 orang anak yatim.

"Kita akan membina dua blok asrama yang mampu menampung 200 orang anak yatim sebab ini saya difahamkan (bahawa) pusat ini adalah pusat untuk anak yatim dan pusat kebajikan seluruh negara.

"Jadi tempat ini (Rumah Limpahan Kasih) jadi tempat tumpuan. Oleh itu amat wajar sekalilah diberi segala kemudahan kepada pusat ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis bersahur bersama anak-anak yatim Rumah Limpahan Kasih, di sini.

Beliau berkata, daripada RM1.7 juta yang diluluskan, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi pembinaan dua blok asrama manakala RM200,000 untuk pembinaan surau baru.

Terdahulu, Perdana Menteri yang berbaju Melayu berwarna merah jambu tiba pada pukul 5 pagi dengan ditemani anaknya, Norashman Razak, turut dihiburkan dengan persembahan khas oleh penghuni pusat kebajikan berkenaan.

Najib kemudiannya menyampaikan sumbangan hari raya kepada 115 orang anak yatim sebelum bersahur bersama mereka dan kemudiannya menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Rumah Limpahan Kasih yang ditubuhkan pada tahun 2006 itu, adalah pusat kebajikan untuk anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan asnaf (golongan yang layak menerima zakat).

Pusat itu setakat ini mempunyai seramai 430 orang anak yatim, ibu tunggal (72 orang), warga emas (30 orang) dan saudara baru (10 orang).
/hwa: utusan.com.my/

Kontraktor Melayu di negeri pembangkang hadapi masalah

Bernama - 28/08/2010 11:54am

ALOR SETAR 28 Ogos – Ramai kontraktor Melayu di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan kontrak kerja menyebabkan ada antara mereka terpaksa menutup operasi dan beralih kepada perniagaan lain.

Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Ahmad Fatahi Omar berkata, antara punca kepada masalah itu adalah ada kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang itu terlalu mengehadkan aktiviti pembangunan.

Katanya, kerajaan negeri itu tidak mahu berbelanja untuk pembangunan walaupun mempunyai peruntukan untuk berbuat demikian menyebabkan kontraktor-kontraktor hanya mengharapkan projek kerajaan Persekutuan.

” Jika dilihat tindakan mereka untuk hadkan pembangunan sebenarnya lama-kelamaan akan memberi kesan kepada ekonomi.

“Ekonomi tidak akan naik. Ada maklumat yang saya dapat kerajaan Persekutuan tidak kurangkan peruntukan tetapi kerajaan negeri yang kurangkan perbelanjaan,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa PKMM Kedah di sini malam tadi.

Beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Kedah berkata, selain itu banyak juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak memberi peluang kepada kontraktor Melayu walaupun banyak syarikat bumiputera berkemampuan untuk menjalankan kerja-kerja bagi GLC.

”Kalau beri peluang, kita boleh buat. Apa yang penting mereka kena beri peluang baru mereka boleh tengok sama ada kontraktor tu boleh buat kerja atau tidak. Ada pandangan di kalangan GLC bahawa kontraktor Melayu bermasalah,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Wakil rakyat perlu lebih sensitif hal agama - Abdullah

Bernama - 28/8/10

KEPALA BATAS 28 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, semua wakil rakyat perlu lebih sensitif berhubung hal agama di negara ini bagi mengelak berlaku ketegangan antara kaum.

Katanya, sebagai wakil rakyat mereka seharusnya mengetahui serba sedikit mengenai sensitiviti agama yang dianuti pelbagai kaum di negara ini.

"Sebagai seorang wakil rakyat, kita mesti faham dulu tentang agama dan keharmonian semua kaum serta perlu tahu sensitiviti dalam hal agama supaya tindakan yang dibuat tidak menimbulkan rasa tidak senang hati yang boleh menjejaskan perkauman dan agama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Kawasan Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar mengenai Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching memasuki ruang solat utama Surau Al-Huda, Kajang Sentral Ahad lepas untuk memberi “tazkirah”, tanpa menutup kepala.

Kejadian itu menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pengurusan surau berkenaan.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, sepatutnya perkara itu (Nie Ching memberi ucapan dalam surau) perlu dielakkan lebih awal lagi.

"Beliau (Nie Ching) perlu tahu tentang sensitiviti orang Islam dan jangan nak buat cara baru seperti itu (bagi ucapan dalam surau).

"Dulu tiada orang bukan Islam bagi ucapan dalam masjid, orang masjid juga perlu faham perkara seperti itu dan jangan buat sesuka hati panggil mereka (orang bukan Islam) berucap atau bagi tazkirah di tempat ibadat kita,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Penunjuk perasaan upahan

UM - 28/8/10


Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi dpada program rakaman takbir raya di Surau Ar-Rahman sebelum majlis berbuka puasa di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Tindakan memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu merupakan perbuatan sekumpulan penunjuk perasaan upahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu tidak perlu dihairankan kerana di Indonesia terdapat kumpulan penunjuk perasaan yang diupah oleh pihak-pihak tertentu jika timbul satu-satu isu.

Beliau percaya dalang yang mengupah kumpulan penunjuk perasaan dalam demonstrasi tersebut mahu merenggangkan hubungan Malaysia dan Indonesia.

“Saya tidak hairan kerana di Indonesia ada kumpulan upahan. Kita mesti bezakan bahawa ini adalah tindakan yang diupah oleh pihak tertentu untuk merenggangkan hubungan kita dengan kerajaan Indonesia.

“Saya tidak anggap ini sebagai mencerminkan pendirian pemerintah Indonesia malah hubungan kita dengan Indonesia sangat baik dan sangat erat. Kita amat selesa dengan hubungan ini,’’ katanya.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan rakyat Indonesia memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di depan bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Ekoran kejadian tersebut, pasukan keselamatan Indonesia telah mempertingkatkan kawalan di Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Bagaimanapun ia tetap berulang semalam apabila kumpulan itu terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di kawasan kedutaan tersebut.

Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu sambil berteriak ‘Ganyang Malaysia’ bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di sempadan perairan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, 13 Ogos lepas.

Najib dalam pada itu turut mengingatkan supaya tidak ada sesiapa yang sengaja merosakkan hubungan antara kepimpinan Malaysia dan Indonesia.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai amat meresahkan rakyat Malaysia, beliau menegaskan, tujuan penunjuk perasaan adalah untuk mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negara ini.

“Itulah niat sebenar mereka. Mereka mahu kita bertindak balas, menimbulkan kemarahan supaya hubungan kita dan Indonesia menjadi renggang. Oleh itu kita jangan terperangkap dengan permainan ini.

“Di peringkat Kabinet kita telah membincangkan isu ini dan kita juga telah memanggil Duta Indonesia di Malaysia dan kita telah meminta pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah kawalan lebih ketat bagi menghindarkan perkara seperti ini berulang,’’ ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Sultan Selangor murka

UM - 28/8/10

SHAH ALAM 27 Ogos - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan 'tazkirah' di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lalu.

Sehubungan itu, baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melakukan siasatan serta mengambil tindakan segera terhadap pengurusan surau yang terlibat.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, selepas siasatan dibuat, pihaknya membuat keputusan untuk mengambil alih Surau Al-Huda dan menguruskan pentadbiran surau itu serta-merta.

Ia kerana kata beliau, situasi berkenaan jelas bertentangan titah baginda yang mahu kesucian surau dan masjid dipelihara.

Selain itu, menurut Mohamad Adzib, MAIS juga akan mengeluarkan surat amaran kepada Nie Ching.

''MAIS telah memanggil pengurusan Surau Al-Huda hari ini untuk menjelaskan isu tersebut.

''Selepas meneliti penjelasan daripada pihak terbabit, MAIS mendapati bahawa ucapan oleh wakil rakyat itu di dalam dewan solat surau, berlaku seperti dilaporkan.

''MAIS memandang serius isu ini memandangkan ia adalah kes kedua seumpamanya yang membabitkan ahli politik dan orang bukan Islam memberikan ucapan di dalam masjid atau surau di Selangor," kata beliau dalam kenyataan di sini petang ini.

Pada Ogos 2009, Exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar, berucap dalam satu majlis berbuka puasa di dewan utama Masjid Taman Sri Andalas sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan Islam.

Sehubungan itu, Mohamad Adzib mengingatkan mana-mana wakil rakyat bukan Islam untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama serta menggesa supaya semua pihak termasuk parti politik agar lebih sensitif dengan perasaan umat Islam.

Mereka juga, kata beliau, hendaklah menjunjung titah perintah Sultan Selangor bagi menjaga kesucian institusi masjid dan surau di Selangor.

/hwa: utusan.com.my/

2 ditahan cuba bakar bendera Indonesia

UM - 28/08/2010 4:36am

Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Kuala Lumpur 28 Ogos - Dua lelaki tempatan ditahan ketika cuba membakar bendera Indonesia di hadapan Kedutaan Besar Republik Indonesia, Jalan Tun Razak di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zulkarnain Abd Rahman berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2.00 pagi.

Kedua-dua lelaki terbabit akan diambil keterangan.

/hwa: utusan.com.my/

Waspada 'elemen Islam' dalam DAP - Rais Yatim

UM - 28/8/10

PUTRAJAYA 27 Ogos - Keghairahan DAP 'menonjolkan soal keislaman' merupakan satu jangkauan baru yang dilakukannya supaya kononnya orang Melayu akan lebih tertarik kepada parti tersebut.

Mengulas perbuatan Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan 'tazkirah' di ruang solat utama sebuah surau di Kajang Ahad lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perubahan nilai itu sebenarnya tidak pernah ada dalam perjuangan sosialis DAP selama ini.

"Kepelikan ini sedang wujud yang digaulkan dengan sambal belacan Islam-Melayu.

"Namun orang Melayu mungkin terlupa bahawa di belakang parti itu adalah mereka yang tidak memikirkan banyak tentang Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi, Perkara 153 yang menjamin keistimewaan orang Melayu dan juga penduduk asal Sabah dan Sarawak serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Maka sekarang ini sebenarnya terserah kepada generasi baru yang melihat perkara ini secara jelas di hadapan mereka," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais mengulas laporan sebuah laman blog, http://anginperubahan.blogspot.com yang mendakwa Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli Pas baru-baru ini.

Laman blog itu turut menyiarkan gambar Nie Ching dalam keadaan tidak bertudung dan hanya memakai kebaya pendek sambil berdiri di bahagian imam ruang solat surau berkenaan.

Dalam aspek ini, Rais percaya isu berkenaan mungkin ada kaitan dengan Pas yang mempunyai objektif lebih besar untuk meraih undi daripada bukan Melayu.

"Pas kini ada dewan bukan Islamnya, jadi mereka nak raih undi orang Cina khususnya ke arah satu dogma politik baru yang mereka olahkan, mereka juga mempunyai sistem untuk menjenamabarukan Pas.

"Kita pun lupa Pas sebenarnya sedang dipimpin dari segi akar umbi oleh generasi muda walaupun Pas diterajui (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat), ada Presidennya (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Banyak dari rentetan mereka bawa mencorakkan sosialisme dalam konteks hendak bersama merasai kebebasan dan kecapan bar dalam dunia politik sebelah sini (bukan Melayu)," katanya.

Rais bagaimanapun menarik perhatian bahawa Barisan Nasional (BN) juga harus menjenamabarukan diri terlebih dahulu jika mahu kekal relevan dengan hebat.

''BN mesti ada jenama baru dan pelaksanaan falsafah baru yang menarik kepada generasi baru dan lama," katanya.

/hwa: utusan.com.my/