19 Ogos 2011
Menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan
MASA berlalu begitu pantas. Sama ada sedar ataupun tidak, hari ini genaplah 19 hari kita menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh itu, sudahkah kita berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap takwa dalam erti kata sebenar atau sebaliknya?
Jika tempoh itu belum mampu memperlengkapkan diri kita dengan takwa, masih belum terlambat untuk berusaha ke arah itu. Justeru, saki-baki hari-hari terakhir Ramadan perlu direbut dan digunakan sebaik-baiknya agar kita tidak ketinggalan mendapat manfaat yang berganda dalam meniti pemergiannya.
Jika 10 hari terakhir Ramadan merupakan saat di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga bersama melaksanakan ibadah sunat, bagaimanakah pula kita?
Sesungguhnya pedoman yang ditunjukkan Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadan. Alangkah malangnya jika kita semakin lalai dalam melaksanakan ibadah pada saat-saat Ramadan yang kian melabuhkan tirainya.
Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada 10 terakhir Ramadan.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar.
Malah, jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan 83 tahun dan empat bulan, ini bermakna satu malam ini saja adalah lebih baik daripada seluruh umur seseorang.
Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan Allah SWT sebagai ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang-Nya. Oleh itu, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah mencari keredaan dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadan.
Justeru, umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut Lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir” (hadis riwayat al-Bukhari).
Dalam satu riwayat lain, dinyatakan juga Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.
Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam-malam terakhir Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu” (hadis riwayat Abu Dawud).
Di sini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh sahaja dianggap telah mendapat sebahagian daripada apa yang dimaksudkan dengan Lailatulqadar.
Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah menghidupkan malam-malam itu dengan memperbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat dan berzikir kepada Allah SWT.
Selain itu, amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunah dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar.
Malah, menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid.
Di samping itu, kita juga turut dianjurkan memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, para ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku” (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535).
Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak” (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65).
Begitulah teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW kepada seluruh umat Islam dalam menjalani ibadah puasa. Persoalannya, sejauh manakah kita mencontohi keperibadian Baginda dalam melaksanakan ibadah puasa dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan?
Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung pengisian yang kita laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik,Pusat Kajian Sains dan Alam SekitarInstitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
/hwa: utusan.com.my | 19/8/11
Jihad majukan ekonomi bumiputera
rencana@utusan.com.my
| |
| Ramlan Othman |
Sekiranya perkara ini dipandang sambil lewa, bumiputera akan terus ketinggalan walaupun pada ketika itu Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara maju.
Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Apa yang kita mahu ialah bumiputera mesti maju sejajar dengan kemajuan negara pada tahun tersebut.
Mahu tidak mahu semua pihak perlu menggemblengkan tenaga.
Semua golongan dan peringkat bumiputera boleh mendapatkan ilmu dan bertukar pandangan melalui Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi (MBE): Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada hari ini dan esok.
Konvensyen anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dengan kerjasama UiTM ini bertujuan membincangkan isu, masalah serta peluang ekonomi orang Melayu dan bumiputera dalam pelaksanaan Model Bari Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Konvensyen yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini untuk menghasilkan cadangan mengenai penubuhan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera (PTEB) melalui pengenalan dan pelaksanaan beberapa inisiatif dan program ekonomi bagi mengurangkan jurang pendapatan antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Seramai 5,000 peserta terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu, pemikir dan golongan usahawan serta korporat Melayu dan bumiputera dijemput menghadiri konvensyen yang majlis penutupnya disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ini satu perhimpunan raksasa ahli-ahli ekonomi dan usahawan bumiputera untuk mencari kaedah penyelesaian dalam meningkatkan pegangan ekuiti kepada 30 peratus menjelang 2020," kata Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik baru-baru ini.
Konvensyen ini bukan hanya menghimpunkan masyarakat ekonomi bumiputera malah menjadi salah satu platform utama percambahan minda secara berterusan ke arah memperkasa ekonomi bangsa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gabem, Datuk Ramlan Othman antara objektif konvensyen ialah menghasilkan resolusi dan pelan tindakan strategik dan secara holistik penyertaan bumiputera dalam MBE bagi memastikan kumpulan tersebut menikmati bersama hasil kekayaan negara secara adil dan terangkum.
Ramlan berkata ia juga bertujuan untuk membangkitkan motivasi dan kesedaran di kalangan bumiputera dalam perjuangan ekonomi. Pencapaian ekonomi bumiputera masih berada di paras yang menyedihkan seolah-olah laungan jihad ekonomi tidak sampai kepada mereka.
"Jika perkataan jihad ini dihayati sepenuhnya, konvensyen ini mampu memberi satu impak dalam usaha kita memajukan orang Melayu dan bumiputera," kata Ramlan.
Kita harus akui tentang hak-hak istimewa dan dasar kerajaan yang membantu bumiputera, tetapi malangnya selepas 54 tahun dan sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1970, prestasi bumiputera tidak banyak berubah.
Menurut Ramlan, pencapaian ekonomi bumiputera masih lemah sedangkan jumlah penduduk bumiputera ialah 65 peratus tetapi penguasaan ekonomi penguasaan ekonominya hanya 22 peratus pada 2010.
Berbanding dengan kaum Cina, walaupun mereka cuma 25 peratus penduduk Malaysia tetapi penguasaan ekonominya menjangkau 46 peratus.
Penghalang utama dalam usaha meningkatkan ekonomi bumiputera walaupun kerajaan bersungguh-sungguh menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu mereka ialah amalan nilai-nilai negatif - materialistik, individualistik, pilih kasih, hasad dengki dan iri hati serta tidak yakin dengan kaum sendiri.
Jadi permuafakatan di kalangan indvidu dan badan ekonomi bumiputera perlu diperkukuhkan dan bukannya masing-masing seumpama enau dalam belukar yang hanya berusaha melepaskan pucuk masing-masing.
Kita menjangkakan dengan wujud dasar dalam MBE, ia boleh menjadi pemangkin ke arah meningkatkan taraf hidup bumiputera.
Namun ia juga bergantung pada peranan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab memperkukuhkan ekonomi bumiputera.
Di sebalik kejayaan GLC perkukuhkan ekonomi negara, tetapi beberapa pihak melahirkan rasa terkilan dengan peranan GLC yang seolah-olah tidak berminat memperjuangkan agenda ekonomi bumiputera.
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) juga dilihat tidak mempunyai keistimewaan seperti yang dinikmati oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Teraju ditubuhkan sebagai sekretariat kepada Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang boleh dianggap sebagai setara dengan jawatankuasa Kabinet mengenai agenda ekonomi bumiputera tepai peranannya belum 'dirasai'.
Agenda Teraju harus selari dengan matlamat dan sasaran Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah MEB serta ETP selagi tidak merugikan bumiputera.
Konvensyen hari ini, tidak lain tidak bukan bertujuan mengajak bangsa Melayu dan bumiputera yang sekali gus beragama Islam 'berperang' dengan segala kelemahan untuk memastikan mereka tidak ditinggalkan dalam MBE.
Konvensyen ini bertepatan dengan salah satu daripada lima matlamat Gabem iaitu meningkatkan jihad ekonomi Melayu dan bumiputera dengan memberi penekanan kepada anjakan paradigma, penghijrahan minda dan perubahan sikap di kalangan usahawan Melayu.
Beberapa isu dan persoalan mengenai agenda ekonomi bumiputera akan terjawab dalam konvensyen ini.
Pada hari pertama (hari ini) antara kertas kerja yang akan dibentangkan adalah Perpaduan Melayu Dalam Konteks 1Malaysia oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Pencapaian Ekonomi Bumiputera: Satu Analisis oleh Timbalan Ketua Pengarah 1, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Mat Noor Nawi.
Pada hari kedua, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Aman Mokhtar akan membentangkan kertas kerja Peranan dan Perestasi GLC Dalam Memperkukuhkan Ekonomi Bumiputera.
Kekeliruan terhadap peranan Teraju mungkin terjawab apabila Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh tampil membentangkan kertas kerjanya bertajuk Sejauh Manakah Peranan Teraju Memperkasakan Ekonomi Bumiputera dalam MBE?
Gabem bukanlah badan politik walaupun ia dicetuskan oleh UMNO. Sesiapa pun boleh menyertai konvensyen ini yang hala tujunya untuk melihat kepentingan ekonomi bumiputera terbela.
/hwa: utusan.com.my | 19/8/11
Ibu terkejut tuisyen sebar Kristian
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Ibu kepada dua kanak-kanak Melayu yang dikatakan belajar di sebuah pusat tuisyen yang cuba menyebarkan ajaran Kristian secara halus kepada mereka, terkejut dengan pendedahan akhbar ini berhubung perkara tersebut.
Rosiati Mohd. Repha, 40, berkata, dia tidak menyangka pusat tuisyen yang disangka mengajar subjek akademik itu melakukan perbuatan menyalahi hukum agama.
Menurutnya, kedua-dua anaknya yang berusia 12 dan tujuh tahun begitu bersemangat dan menunjukkan minat yang tinggi setiap kali pergi ke pusat tuisyen tersebut.
“Kerap juga mereka membawa pulang hadiah-hadiah, mereka cakap cikgu tuisyen bagi sebab menang dalam pertandingan menyanyi,” katanya.
Rosiati berkata, dia juga baru menyedari buku tuisyen anak-anaknya tidak pernah bertambah, sebaliknya hanya menggunakan satu buku latihan sahaja sejak memasuki pusat tuisyen itu.
Buku itu pula, katanya, hanya tertulis ABC dan lukisan serta langsung tiada kaitan dengan sukatan pelajaran tahun enam.
Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, ekoran kesempitan wang, anak-anaknya dihantar ke pusat tuisyen tersebut kerana mereka tidak dikenakan sebarang yuran.
“Selepas pusat tuisyen itu dikatakan menyebarkan dakwah Kristian, saya telah melarang mereka ke tuisyen tersebut dan menerangkan perkara sebenar,” jelasnya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sebuah rumah yang dikatakan dijadikan sebagai pusat tuisyen tersebut mendapati ia telah beroperasi lebih dari tujuh tahun dan sering dikunjungi pelajar pelbagai kaum termasuk pelajar Melayu.
Pusat tuisyen itu juga tertutup dan dikatakan hanya beroperasi pada setiap Ahad.
Utusan Malaysia juga mendapati beberapa poster yang memaparkan istilah-istilah menyanjung Kristian diletak di hadapan pusat tuisyen itu.
Salah seorang jirannya, Rosiah Ibrahim, 52, ketika ditemui mendakwa tempat tuisyen tersebut mengajar para pelajar menyanyi lagu-lagu Kristian dan dipertontonkan video mengenai Jesus Christ (Nabi Isa) dan kuiz bagi menguji kefahaman mereka.
Beliau yang merupakan bekas Pengerusi Rukun Tetangga di kawasan itu memberitahu, pelajar yang memperoleh markah tertinggi di dalam kuiz akan diberikan hadiah menarik seperti dibawa berjalan-jalan, menonton wayang selain turut menerima hadiah semasa hari jadi mereka.
“Murid-murid yang diajar di sana dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun dari tiga buah sekolah berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia, SK La Salle, SK St. Teressa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Vivekananda.
“Mereka yang datang mengajar di tempat tuisyen itu kelihatan dari golongan profesional yang datang dengan kenderaan mewah. Mereka mengajar pada setiap hari Ahad iaitu dari pukul 2 hingga 5 petang,” katanya yang menetap di kawasan tersebut lebih daripada 18 tahun.
Sementara itu, seorang lagi jiran berhampiran tempat tuisyen itu, Hosni Mubarak, 45, pula berkata, dia sering mendengar nyanyian lagu-lagu berkaitan Kristian semasa sesi pengajaran tuisyen tersebut.
“Setiap petang Ahad nyanyian lagu-lagu Kristian sering kedengaran di pusat tuisyen tersebut,” dakwanya.
Namun mereka tidak terlintas untuk mendedahkan perkara itu kerana berpendapat ia hanya sekadar lagu dan tiada sebarang kegiatan yang menyalahi agama.
/hwa: utusan.com.my | 19/8/11
18 Ogos 2011
‘Insya-Allah kebenaran akan bangkit’
pengarang@utusan.com.my
Peristiwa itu membawa tuduhan liwat oleh Mohd. Saiful Bukhari kepada satu episod baru apatah lagi cabarannya supaya Anwar membuat sumpah yang sama tidak disahut sehingga kini.
Semalam, Mohd. Saiful Bukhari menggagahkan diri sekali lagi mengunjungi Masjid Wilayah Persekutuan yang banyak merubah nasib dirinya selepas peristiwa tersebut.
Ditemani ayah, Azlan Mohd. Lazim yang menjadi simbol kekuatannya, Mohd. Saiful Azlan mengakui dia berasa terharu dan tersentuh untuk kembali ke masjid itu apatah lagi peristiwa yang penuh bersejarah tersebut masih lagi segar dalam ingatan.
“Pelbagai kisah berlaku sebelum, sewaktu dan selepas tiga tahun saya melafazkan sumpah laknat tersebut.
“Ada antaranya diketahui umum dan ada juga yang tidak pernah saya kongsi dengan orang lain,” katanya.
Mengimbau bagaimana dia tergerak untuk membuat sumpah tersebut, Mohd. Saiful Bukhari berkata, walaupun dia dengan rela hati melakukannya, namun tindakan itu tercetus daripada saranan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan disokong oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Selepas berbincang dengan keluarga dan beberapa tokoh agama, katanya, dia mempelawa Anwar untuk bermuhabalah pada 7 Julai 2008, namun tiada sebarang tindakan diambil Anwar.
“Pada awalnya, ia sepatutnya diadakan dengan kehadiran kedua-dua pihak, iaitu saya dan Anwar.
“Namun, setelah dipelawa dan sering berdolak-dalik untuk berminggu-minggu lamanya, saya dan setelah mendapat persetujuan keluarga, memutuskan untuk melafazkan sumpah tersebut bersendirian, iaitu sumpah laknat,’’ katanya.
Mohd. Saiful Azlan menambah, selepas melafazkan sumpah tersebut, beliau telah difitnah dengan pelbagai tuduhan antaranya dikatakan sakit tenat dan terpaksa membuang air besar menggunakan tiub.
Bagaimanapun, katanya, dakwaan tersebut ternyata tidak benar dan pihak yang memfitnahnya sudah memohon maaf selepas dua tahun.
Ketika ditanya bagaimana beliau mendapat kekuatan dalam menempuh hari-hari selepas mengangkat sumpah itu, Mohd. Saiful Bukhari berkata, dia tidak pernah putus memohon bantuan daripada Allah SWT.
“Saya sentiasa berdoa, istiqamah dan sabar. Tidak dinafikan, memang banyak cabaran dan rintangan. Namun, saya bersyukur kerana dapat menghadapinya dengan tenang dan banyak bantuan daripada Allah yang saya terima,” katanya.
Berkenaan dengan prosiding mahkamah pula, Mohd. Saiful Bukhari berkata, dia mempunyai keyakinan penuh terhadap sistem perundangan negara meskipun prosiding kes liwat berjalan agak perlahan atas sebab tertentu.
Ketika ini, katanya, dia bersyukur kerana telah memberi keterangan dan kes di pihak pendakwaan telah pun selesai sebelum memasuki peringkat pembelaan.
“Lebih pada itu saya reda dan berserah pada Allah,” katanya.
Tambah beliau lagi, walaupun tempoh tiga tahun itu terasa begitu lama dan mencabar, namun dia bertuah kerana ahli keluarga dan rakan-rakan sentiasa berdoa dan membelanya dengan ikhlas.
Dia juga sangat terharu dengan perjuangan para blogger yang membelanya dengan penuh ikhlas tanpa sedikit pun mengharapkan balasan.
“Saya juga bersyukur kerana telah selesai memberi keterangan dan dibebaskan sebagai saksi serta berkesempatan mengiringi nenek mengerjakan ibadat haji hujung tahun lalu.
“Paling utama, saya bersyukur kerana keluarga dan pelbagai pihak terus mendoakan dan memberi sokongan, serta boleh menerima diri saya seadanya,” kata beliau.
Mengakhiri pertemuan hampir sejam itu, Mohd. Saiful Bukhari yang kelihatan sangat bersemangat dan tidak lekang dengan senyuman sempat menitipkan pesanan yang mahu dikongsi olehnya dengan semua pihak.
Katanya: “Insya-Allah, di bulan yang mulia ini, kebenaran akan bangkit. Sama-sama kita doakan.”
/hwa: utusan.com.my | 18/8/11
17 Ogos 2011
Mustafa Ali diberi tiga hari mohon maaf
| Mohd. Zin Mohamed |
Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ini kerana kenyataan Mustafa itu jelas berniat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan UMNO sebagai salah sebuah parti pemerintah dalam komponen Barisan Nasional (BN).
"UMNO Selangor memberi masa tiga hari kepada Pas dan Mustafa Ali supaya memohon maaf melalui satu sidang akhbar seperti mana beliau melakukan tuduhan itu di Terengganu semalam.
"Jika gagal, Pas dan Mustafa Ali akan menghadapi tindakan undang-undang kerana tuduhan tidak berasas tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam, Mustafa mendakwa UMNO berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.
Mustafa turut mengatakan UMNO memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan JAIS yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja tersebut.
Mohd. Zin menambah, tuduhan tidak berasas Mustafa ke atas UMNO itu sangat dikesali kerana ia dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya dihormati dan dihayati oleh semua umat Islam.
"Rakyat sedang memerhati dengan penuh prihatin kegagalan demi kegagalan yang dibuat oleh kerajaan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas Selangor dalam menangani pelbagai masalah dan kepentingan rakyat terutama dalam isu agama, pasir dan keruntuhan sosial," tegasnya.
/hwa: utusan.com.my | 19/8/11
Pas belum ada pendirian rasmi
KUALA LUMPUR 16 Ogos – Pas yang sebelum ini beria-ia mahu menjadi orang tengah berhubung kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu masih gagal menyatakan sebarang pendirian rasmi berkenaan hal itu.
Kegagalan itu agak menghairankan kerana Exco Hal-Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dari Pas sebelum ini menyatakan beliau menyokong tindakan JAIS tersebut atas bukti terdapat cubaan menyebarkan agama bukan Islam ke atas penganut Islam di gereja tersebut.
Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, pendirian rasmi parti itu tidak dapat dibuat kerana pihaknya masih belum berpeluang menemui pihak pengurusan DUMC untuk mendapatkan kepastian berhubung tindakan JAIS berkenaan.
“Sepatutnya hari ini berlaku pertemuan pimpinan Pas dengan pihak DUMC pukul 4 petang ini tetapi semalam saya terima surat dari pihak gereja menyatakan supaya ditangguhkan dahulu pertemuan ini.
“Sebabnya, antara disebut kerana isu ini sudah jadi satu perhatian umum begitu hebat, ditafsirkan macam-macam dan baru ini dalam surat pertama yang dikirim pada kita minta tiada liputan media,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 3 Ogos lalu, JAIS melakukan pemeriksaan ke atas gereja berkenaan selepas menerima maklumat kehadiran orang Islam dalam sebuah majlis yang dianjurkan di situ.
Penganjur dikatakan turut mengedarkan kuiz mengenai agama Islam kepada hadirin dengan 12 soalan yang dikemukakan antaranya ‘apakah maksud perkataan Islam’, ‘apakah maksud perkataan muslim’, ‘apakah maksud perkataan Quran’, ‘apakah 5 rukun Islam’ dan ‘apakah 6 perkara iman muslim’.
Selain Hasan yang menyokong tindakan JAIS, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan at Tantawi turut mendesak pemimpin tertinggi parti itu supaya mengeluarkan pendirian rasmi mereka mengenai apa yang dilihat sebagai cubaan memurtadkan para penganut Islam.
Dalam sidang akhbar itu, Mustafa turut menyatakan Pas masih tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan hal itu kerana selain kegagalan bertemu DUMC, parti itu juga belum bertemu JAIS.
“Kita nak jumpa JAIS dan DUMC untuk kita dapat maklumat versi masing-masing supaya kita boleh buat pertimbangan dan kesimpulan. Jadi, oleh kerana tiada pertemuan maka tiada kesimpulan, dua-dua pihak tidak dapat jumpa,” katanya.
Walaupun Pas belum mengadakan pertemuan rasmi dengan JAIS berkenaan hal itu, Hasan sebagai salah seorang pemimpin parti itu mempunyai pengetahuan luas berhubung operasi JAIS tersebut berdasarkan kedudukannya sebagai ahli Exco Selangor.
/hwa: utusan.com.my | 17/8/11
16 Ogos 2011
UMNO perlu kuasai media baru untuk tangkis fitnah
KUALA LUMPUR 15 Ogos — Ahli UMNO perlu menguasai kemahiran dalam dunia siber terutama berkaitan media baru bagi menangkis secara efektif segala tohmahan dan fitnah pihak tertentu terhadap parti itu dan kerajaan, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata, kemahiran seperti itu amat penting bagi mengubah sebarang persepsi negatif masyarakat terhadap UMNO dan kerajaan yang cuba dibawa pihak tertentu menerusi media baru.
"Kalau kita tidak menguasainya kita akan tertinggal kerana orang muda akan membaca apa yang ditulis,” katanya selepas menghadiri wacana politik bertajuk ‘Pembentukan Persepsi Politik’ anjuran Jabatan Penerangan UMNO di sini hari ini. — Bernama
/hwa: utusan.com.my | 16/8/11 - Bernama
Alahai Khalid Ibrahim!
PENULIS ialah Presiden Alumni Melayu Amerika Utara (ALMA)
MANUSIA boleh berubah kerana 3K - Kuasa, Kocek dan Kawan. Sejahat-jahat manusia di zaman Rasulullah, Umar Al-Khatab berubah menjadi sebaik-baik insan yang mengorbankan harta-benda dan nyawanya mempertahankan Islam, dijanjikan salah seorang penghuni syurga.
Tak kurang juga semasa awalnya menjadi hero bertukar menjadi 'zero'. Inilah agaknya yang menimpa pemimpin ulung Selangor ketika ini , Abdul Khalid Ibrahim.
Walaupun saya sempat bersama Khalid hanya tujuh bulan ketika peringkat awal penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB)/Amanah Saham Nasional (ASN) pada tahun 1979, tidak pernah terlintas orang yang disanjung kerana berjaya mengemudi PNB bersama Tan Sri Mohd. Desa Pachi, Datuk Salleh Majid, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Hamad Kama Piah dan beberapa orang lagi di zaman itu, boleh bertukar menjadi penghancur kepada bangsa sendiri.
Sebagai Menteri Besar di sebuah negeri maju seperti Selangor, Khalid tidak perlu bekerja kuat sebaliknya perlu bekerja dengan bijak memperbaiki sedikit sebanyak kekurangan.
Ini kerana Selangor mempunyai asas yang begitu kukuh dibina pemimpin terdahulu seperti Allahyarham Datuk Harun Idris dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, jadi Khalid tidak perlu memerah otak membina infrastruktur dan kemudahan asas.
Berbanding Kelantan yang sudah 20 tahun di bawah Pas di mana rakyatnya kenyang mendengar ceramah pemimpin agung mereka setiap Jumaat, walaupun maksiat dan perceraian makin meningkat, namun lumrah demokrasi, pilihan rakyat Kelantan mesti dihormati kerana mereka memilih jalan ke syurga bersama Nik Aziz.
Begitu juga Pulau Pinang yang telah lama maju di bawah BN tanpa perlu bertungkus-lumus membina asas, namun rakyat Pulau Pinang begitu taat dengan " Omar Ibni Aziz" yang telah berjaya mempengaruhi imam untuk berdoa kepada kesejahteraannya hingga sanggup meninggalkan ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong. Lebih memilukan lagi, atas dasar demokrasi cuba membuat pilihan raya masjid dan yang terakhir melarang bacaan al-Quran mengguna pembesar suara di waktu subuh kerana mengganggu waktu beliau beradu.
Antara beberapa kejayaan Khalid adalah menarik balik tanah tapak kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah yang diperuntukan di zaman Muhd. Taib di mana akhirnya Datuk Ali Rustam, walaupun tidaklah sehebat Khalid yang ada Master dari Queensland tapi punya semangat kental untuk memastikan anak bangsanya yang masih ketinggalan punya tempat untuk meneruskan pelajaran mereka.
Semasa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru-baru ini, Khalid sekali lagi menggunakan kuasanya dengan membelakangi Sultan Selangor dan Ketua Setiausaha Negara dengan sewenang-wenangnya menolak pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi tetapi akhirnya terpaksa akur bahawa kuasa melantik SUK bukan kuasa mutlak MB walaupun mereka cuba membawa ke Dewan Undangan Negeri untuk mengubah Perlembagaan negeri itu sebagai jalan terakhir untuk memenuhi niat busuk mereka.
Khalid dan exco-exco beragama Islam dalam Selangor lupa agaknya kepada Surah Al-Imran ayat 26: Katakanlah wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabutkan kerajaan dari tangan orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan pula orang yang Engkau kehendaki. Pada tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa ke atas sesuatu.
Tidak cukup dengan merombak segala sistem yang berjalan baik termasuk menukar pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan beberapa anak syarikat milik kerajaan negeri, Khalid nampaknya sudah mabuk kuasa dengan mempolitikkan perjalanan Unisel, memaksa Naib Canselornya, Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan dan menukarkan tiga Pegawai tertinggi Unisel, Rokmaa Mat, Prof. Dr. Khalifah Othman dan Halid Hasbullah kerana kegagalan mereka untuk patuh dan taat kepada arahan beliau.
Yang paling mengaibkan lagi bila Asrama Yayasan Selangor yang begitu banyak menabur bakti kepada kejayaan anak-anak Selangor diberi notis untuk dirobohkan. Apa sudah jadi Khalid?
Apakah dengan sedikit kuasa yang dikurniakan Allah mengubah seorang yang dulunya dihormati kerana peranannya membina ekuiti kaum bumiputera tapi kerana dendam kesumat ekoran kes mahkamah yang melibatkan hutang beliau dengan sebuah bank tempatan berkaitan saham Guthrie, beliau sanggup menjadi penderhaka kepada bangsa sendiri!
Apa yang lebih mengaibkan lagi tanpa soal siasat, Khalid sebagai seorang Islam sanggup menggadaikan maruah bersabit isu melibatkan 12 orang Islam yang mengikuti program berbuka puasa di sebuah gereja di Damansara, di mana bagi pemimpin Islam dalam pakatan pembangkang, menjaga hati rakan kongsi lebih utama daripada mempertahankan kesucian agama Islam.
Soalnya di sini siapakah sebenarnya di belakang Khalid? Apakah Khalid hanya menjadi kuda tunggangan sahabatnya dalam DAP dan di mana pula pejuang-pejuang Islam PKR dan Pas yang sunyi-sepi dalam semua isu termasuk penjualan arak, rumah urut dan berpuluh isu lain yang menggugat kepentingan Melayu dan Islam di Selangor.
Di mana janji sebelum pilihan raya kononnya selepas naik matahari hari pertama mereka memerintah, akan menghapuskan segala tempat judi, arak dan pusat hiburan . Sebaliknya apa yang berlaku mereka bersekongkol menambahkan pusat maksiat di Selangor tanpa berani menegur segala kemungkaran yang berlaku.
Anehnya rakyat Selangor terutama pengundi Melayu nampaknya merestui apa yang dilakukan oleh pemimpin kesayangan mereka, Khalid malah menyokong penuh apa sahaja yang dilakukan termasuk menghalalkan wakil rakyat Serdang masuk ke masjid memberi tazkirah semasa sembahyang tarawih dan sanggup melakukan senamrobik di dalam kawasan surau walaupun ramai antara lebai-lebai ini yang bertanda hitam di dahi mereka.
Ingatlah kepada peringatan Allah di dalam Surah Al Imran ayat 118: Wahai orang-orang yang beriman , janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang yang di luar kalanganmu kerana mereka tidak henti-hentinya menimbulkan kemudaratan kepadamu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat Kami, jika kamu memahaminya.
Apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang bukan sahaja menggugat kepentingan dan maruah orang Melayu malah ia mencabar kesucian agama Islam yang wajib kita sebagai orang Islam pertahankan. Tunjuk perasaan tidak menyelesaikan masalah malah kerap menimbulkan masalah yang lebih besar.
Apa yang kita perlu lakukan ialah bersama-sama memastikan kuasa yang terlepas kepada golongan gelojoh ini dikembalikan semula kepada mereka yang telah terbukti menjadi payung kepada rakyat. Kerakusan dan kegelojohan ini perlu segera dihentikan agar kerosakan yang lebih besar tidak menimpa nasib bangsa dan agama yang kita cintai.
Ingatlah kepada sepotong hadis Rasulullah: Bila sesuatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya (Riwayat Muslim). Jadi sebelum sampai ke peringkat kehancuran, sama-samalah kita bersatu menolak pemimpin yang rakus ini.
/hwa: utusan.com.my | 16/8/11
Memilih lorong gelap demi kekuasaan politik
TINDAKAN Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya dianggap oleh sebilangan politikus Islam sebagai tidak bijaksana. Malah ada yang melihatnya sebagai tidak beretika dan kurang sopan.
Mata hati mereka seperti dibutakan semata-mata mahu memelihara keterbukaan dan kekuasaan, walaupun banyak butiran siasatan tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam pemeriksaan JAIS itu didedahkan.
Ini sehinggakan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan pun mengakui beratnya tekanan dari dalam partinya sendiri. Yang jelas ada sebilangan politikus pembangkang menolak tindakan JAIS itu. Pun begitu ramai di antara mereka bersama-sama NGO Islam menyokong tindakan ini.
Mereka menyedari isu lebih besar yang melampaui sempadan politik yang sekian lama dibangkitkan tetapi masih gagal ditangani, iaitu pemurtadan. Maka terlihatlah dalam hal akidah ini pun, sesama orang Islam masih mahu membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh kepentingan politik.
Terserlah sejak awal lagi tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terlihat tidak bijak. Dalam nada mempertikai tindakan JAIS itu beliau menyebutnya sebagai serbuan. Sedangkan Exconya, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang membela tindakan JAIS menakrifnya sebagai pemeriksaan.
Hasan secara tegas juga menyatakan tiada serbuan, tiada tangkapan. Ia hanya pemeriksaan. Tetapi lihatlah mereka tidak peduli dan tetap mahu menggambarkan tindakan JAIS itu berkonotasi negatif.
Dari awal Abdul Khalid bernada memperlekeh JAIS. Mungkin sebab itu orang tidak melihat sebagai keterlaluan apabila Menteri Besar dihadiahkan dengan mangkuk tandas, mop dan penyapu. Mereka melihatnya sebagai lambang kegagalan beliau mengurus negeri secara baik dan bijaksana.
Kalaupun mahu membuat teguran kerana ia melibatkan isu besar dan sensitif, ia sepatutnya dilakukan secara tertutup. Tetapi tidak, Abdul Khalid dan konco-konconya seperti membuka pintu air memberi ruang kepada pihak lain menghentam JAIS dan undang-undang negeri.
Penguat kuasa JAIS mahu dijadikan musuh oleh kerajaan negeri, pihak yang memegang kekuasaan sedangkan ia sepatutnya dilindungi.
Secara sedar ataupun tidak, ia juga membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk mencabar dan mempertikai hal-hal lain yang selama ini tidak pernah terdengar. Sebahagian kesannya kini sudah dapat dirasakan.
Hari ini ketika Abdul Khalid melarang semua Exco mengulas mengenainya khususnya Exco berkaitan agama Islam, semua pihak menantikan ‘kebijaksanaan sebenar’ Menteri Besar dalam menyelesaikan kontroversi ini.
Mungkinkah ada pihak yang akan dikenakan tindakan, sebagai contoh dihadapkan ke mahkamah? Tidak mungkin tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan terhadap isu yang telah mencetuskan gegak gempita ini.
Imej JAIS pula harus dipulihkan sebagai autoriti yang boleh melaksanakan peranannya berdasarkan kuasa yang diperuntukkan. Penguat kuasa agama Islam ini harus terus dibenarkan bekerja agar kewujudannya dapat dirasai, agar orang tahu ia memang wujud.
Janganlah suka-suka menempelak JAIS, menjadikannya sebagai kambing hitam untuk kepentingan yang akhirnya memudaratkan agama Islam.
Banyak pihak mengharapkan ‘kontroversi’ tindakan JAIS ini menjadi momentum emas untuk menyelesaikan apa yang selama ini menjadi kebimbangan tersirat.
Justeru, semua pihak dituntut untuk bersikap terbuka dan jujur bagi menangani masalah pemurtadan ini. Angka lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian seperti didedahkan pada tahun 2008, bukan sekadar membimbangkan tetapi boleh mencetuskan konflik.
Dari hari ke hari, semakin ramai yang membawa isu ini ke mahkamah. Sudah tentu isu sensitif ini tidak perlu dipolitikkan, sebaliknya kekuatan harus segera digembleng agar ia tidak terus menghantui kita.
Dalam isu agama ini, politikus tidak boleh terus menciptakan lorong gelap atau sengaja memilih lorong gelap dengan pelbagai dalih demi kepuasan politik.
Dan orang seperti Abdul Khalid kini memegang kunci lorong gelap itu. Sebagai orang yang kini memegang kuasa negeri, beliau boleh sahaja memilih lorong mana tetapi juga mengunci yang gelap menjadi terang.
Tinggal lagi ia memerlukan keberanian dan kebijaksanaan Abdul Khalid sebagai seorang pemimpin Islam yang menjanjikan akan menyelesaikan isu itu selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Tetapi jangan pula nanti ia menjadi malapetaka kerana selama ini beliau sering memperlihatkan dirinya sebagai Menteri Besar yang bergantung kepada pesanan pihak lain.
/hwa: utusan.com.my | 16/8/11
15 Ogos 2011
Nasrudin terus desak pimpinan Pas
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
| |
| |
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Sambil menegaskan bahawa masalah murtad adalah isu akidah yang melepasi sempadan politik, Dewan Pemuda Pas Pusat sekali lagi mendesak pucuk pimpinan parti itu supaya membuat pendirian rasmi berhubung isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, akidah adalah soal masa depan ummah yang akan dihisab di akhirat kelak dan perlu ditangani oleh seluruh umat Islam di negara ini, khususnya yang diamanahkan menjadi pemimpin.
Katanya, murtad kini menjadi ancaman serius kepada kemuliaan agama Islam di Malaysia dengan data Mahkamah Syariah menunjukkan seramai 863 individu Islam telah memohon untuk menukar status agama mereka sejak 2000 hingga tahun lalu.
Beliau mengulangi pendirian Dewan Pemuda Pas Pusat menyokong penuh tindakan JAIS memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat terdapat cubaan memurtadkan 12 individu Islam walaupun dikecam pihak tertentu dalam parti berkenaan.
Nasrudin juga tidak berganjak daripada pendirian terdahulu yang tegas tidak mahu menggadaikan maruah Islam hanya kerana kepentingan politik, apabila terus berikrar untuk menjadi benteng mempertahankan akidah umat Islam.
"Kami bersedia memberi kerjasama kepada semua pihak untuk menjadi benteng mempertahankan akidah umat Islam dan kita konsisten dalam perkara ini. Komitmen ini selaras dengan dasar perjuangan Pas," kata Nasrudin dalam blognya, http://www.eperjuangan.com, hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, Nasrudin menjadi mangsa terbaru selepas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang dikecam pemimpin Pas pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana beliau mengeluarkan kenyataan keras mahu mempertahankan akidah umat Islam sekalipun dengan darah dan nyawa.
Dalam pada itu, bagi memastikan masalah murtad tidak menjadi barah kepada umat Islam pada masa hadapan, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu mendesak agar kerajaan meluluskan Akta Murtad dengan segera dan menjadikan mata pelajaran Pengajian Islam sebagai subjek wajib lulus.
/hwa: utusan.com.my | 15/8/11
Antara kuasa dan akidah
pengarang@utusan.com.my
SEBENARNYA kita tidak perlu terkejut apabila Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan meluahkan perasaan setelah menjadi mangsa kecaman berikutan pendirian tegasnya dalam isu gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya.
Kita percaya kecaman bukan sahaja datang daripada pihak di luar Pas malahan di dalam parti sendiri Nasrudin menjadi sasaran dan segalanya kerana kepentingan politik mengatasi segala-galanya.
Adalah sesuatu yang aneh apabila umat Islam termasuklah Nasrudin yang mempunyai kuasa untuk bersuara tidak lagi boleh berbuat demikian semata-mata kerana ingin menjaga hati pihak tertentu.
Sebab itulah dalam isu gereja tersebut Pas dilihat berbeza pandangan, ada satu kelompok yang cuba terus berkompromi demi menjaga hati rakan-rakan dalam pakatan pembangkang manakala satu lagi kelompok bangun memberi amaran demi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.
Persoalannya, apakah kita sebagai umat Islam tidak kira apa pun fahaman politiknya harus melihat sahaja apabila ada satu pihak cuba memurtadkan umat Islam?
Apakah kita sebagai umat Rasulullah SAW hanya menjadi penonton sahaja apabila semakin banyak pihak yang semakin berani mencabar kesucian Islam?
Dan apakah kita sebagai hamba Allah sudah tertutup atau semakin hilang keberaniannya untuk berjihad demi mempertahankan agama Islam supaya tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak?
Mencari kekuasaan politik ada hadnya. Janganlah kita sanggup menggadaikan segala-galanya termasuk akidah umat Islam sekali pun hanya semata-mata mahu mencari keuntungan politik jangka pendek.
Apabila akidah umat Islam mula diganggu gugat dengan mainan duniawi, maka kita tidak boleh duduk diam atau menganggap ia satu kes terpencil.
Tidak kiralah parti mana pun kita wakili atau pertubuhan bukan kerajaan mana pun yang kita sertai, apa yang pasti selagi Islam agama kita, maka kesucian agama Allah itu perlu dipertahankan dengan apa cara sekali pun.
Justeru jika ada mana-mana pemimpin Islam yang cuba bersekongkol atau berlembut dengan puak yang mahu merosakkan akidah umat Islam ini, mereka ini harus ditolak habis-habisan, apatah lagi pemimpin yang kononnya mendakwa mereka memperjuangkan Islam.
Nilai akidah umat Islam tidak boleh dihitungkan dengan jumlah kertas undi apatah lagi secebis kuasa politik. Sebaliknya ia adalah satu perkara yang perlu dipertahankan dengan apa cara sekali pun.
Dalam soal ini, kita hairan kenapakah pemimpin-pemimpin Pas sanggup mengkritik dan mengecam pemimpin mereka sendiri semata-mata hanya pemimpin berkenaan mempertahankan kesucian Islam seperti mana dilakukan oleh Nasrudin dan Datuk Dr. Hasan Ali.
Kalau pun bak kata orang 'kebulur' sangat mahu berkuasa, jangan sampai kita terpaksa menyembah orang lain apatah lagi membiarkan sahaja apabila akidah umat Islam mahu digadaikan.
Penulis bukanlah berhasrat untuk mewujudkan api permusuhan apatah lagi menghasut umat Islam tetapi mahu seluruh umat Islam di negara ini sedar akan ancaman yang berada di hadapan mereka.
Kerakusan untuk berkuasa dan mencari keuntungan politik telah menyebabkan sesetengah pemimpin Islam sudah ditutup pintu hati dan dibutakan mata mereka untuk melihat ancaman yang menanti.
Malahan apa yang mengecewakan, mereka ini akan mengeluarkan 'fatwa' dan hujah berlandaskan ayat al-Quran dan hadis yang dipilih-pilih atau dipetik separuh-separuh untuk menghalalkan tindakan mereka.
Namun mereka perlu faham bahawa dalam soal akidah umat Islam diganggu gugat tidak ada istilah toleransi apatah lagi rundingan. Puak yang cuba melakukan perbuatan berkenaan harus 'diperangi'. Ini selaras dengan apa yang Allah SWT perintah kepada kita yang menjadi khalifah di muka bumi ini.
Memang benar Islam mahukan kita berbaik-baik dan bertolak ansur dengan kaum bukan Islam tetapi golongan mana yang dimaksudkan?
Kita hanya perlu bertolak-ansur dan berbaik-baik dengan kelompok bukan Islam yang tahu menghormati kesucian Islam dan tidak mengugat akidah umat Islam.
Tetapi bagi golongan yang bertindak sebaliknya, maka selayaknya mereka ini harus ditentang habis-habisan. Golongan ini tidak layak dibuat kawan apatah lagi sekutu untuk berkongsi kuasa politik.
Inilah perkara yang perlu disedari oleh sesetengah pemimpin Pas yang sudah diserapi dengan sindrom mahu berkuasa dan menjaga hati semata-mata ingin meraih undi dalam pilihan raya.
Mungkin mereka ini akan disanjung oleh bukan Islam sebagai pemimpin yang dilihat sebagai pembela semua kaum dan pejuang kebebasan serta hak asasi tetapi di kalangan orang Islam sendiri mereka akan menjadi kelompok yang dikecam dan mungkin dianggap sebagai pengkhianat kepada umat Islam.
Atas sebab itulah, peringatan harus diberikan kepada pemimpin-pemimpin seumpama itu, mencari kuasa politik dan berkawan dengan sekutu bukan Islam ada hadnya.
Tidak payahlah untuk menunjukkan kononnya mereka pemimpin yang bertoleransi dan bersikap terbuka sedangkan akidah dan kedudukan umat Islam semakin diganggu gugat.
Renungkanlah kenapa sejak kebelakangan ini, ada pihak-pihak yang begitu berani untuk mencabar kesabaran umat Islam bukan sahaja melalui anjuran majlis memesongkan akidah mereka malahan dilakukan secara halus termasuk menghina bulan Ramadan dengan iklan juadah yang cukup tidak masuk akal.
Ini belum lagi mengambil kira banyak kes lain yang menunjukkan bahawa umat Islam dari semasa ke semasa semakin tidak digeruni oleh pihak lain biar pun kita ramai.
Semua ini berlaku kerana kita berpecah belah, umat Islam yang mendabik dada sebagai golongan majoriti di negara ini seolah-olah menjadi buih-buih di pantai yang jumlahnya banyak tetapi tidak ada apa-apa kekuatan.
Tidak kisah kalau kita mahu berbeza fahaman politik, menyertai NGO berlainan atau tidak berada dalam mana-mana kelompok tetapi apabila kedudukan umat Islam mula diganggu gugat kita harus mengarak bersama-sama panji-panji 'Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."
Inilah kalimah atau syahadah yang harus terbekam kukuh dalam sanubari umat Islam dan ia harus ditegakkan serta dipertahankan selagi kita berada di muka bumi Allah ini.
Oleh itu kepada sesetengah pemimpin Pas yang begitu dahagakan kuasa dan terlalu ingin menjaga hati pihak tertentu fahamilah apa yang mereka sedang lakukan bukan sahaja menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam malahan menjemput kemurkaan Allah.
Undi dan kuasa politik yang dicari di alam fana ini dengan cara membiarkan Islam diganggu-gugat tidak akan membawa apa-apa manfaat di akhirat kelak.
/hwa: utusan.com.my | 15/8/11
11 Ogos 2011
Desak MB Selangor
11 OGOS 2011: Ahli-ahli Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) berkumpul dan mengangkat sepanduk sebelum menyerahkan memorandum rasa ketidakpuasan hati dan desakan kepada Menteri Besar Selangor supaya tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam Negeri selangor dan memohan maaf kepada Sultan Selangor di hadapan pintu masuk Bangunan Setiusaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor. Shah Alam. - Utusan/MOHD SHAHARANI Hura-hara
Seorang lelaki ditembak mati di Croydon, kelmarin, korban pertama rusuhan diikuti tiga lagi semalam apabila mangsa dilanggar kereta ketika mempertahankan beberapa kedai di Birmingham. Kekacauan juga dilaporkan merebak di West Bromwich, Wolverhampton, Leeds dan Gloucester.
Keganasan dan keadaan tidak menentu juga dikhuatiri mengancam jadual perlawanan pembukaan musim baru bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini di luar kota London selain menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kejohanan Olimpik 2012 di ibu kota Britain itu.
Syarikat insurans menganggarkan kerugian mencecah £100 juta (RM480 juta) sejak rusuhan meletus, Sabtu lalu. Rusuhan bermula di Tottenham di tengah ibu kota London selepas polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam, Mark Duggan.
Rusuhan dan huru-hara berterusan turut memaksa Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Ketua Polis Metropolitan buat pertama kali membenarkan anggota polis menggunakan peluru plastik serta meriam air bagi menghalang perusuh dan kegiatan mencuri di bandar utama ‘selama mana perlu.’
Peluru plastik biasa digunakan untuk mematahkan kemaraan perusuh tanpa menusuk ke dalam anggota tubuh. Ia biasa digunakan bagi menyuraikan rusuhan di Ireland Utara tetapi tidak pernah digunakan polis di tanah besar Britain.
Di Manchester, beratus-ratus belia, ada di kalangan mereka semuda 10 tahun, mengganas di tengah bandar dengan membaling botol dan batu ke arah polis selain menyelongkar kedai.
Kebanyakan mereka yang memakai topeng muka dan topeng ski memecah tingkap kedai, merompak selain mengejar jurugambar yang berada di kawasan itu dalam apa yang disifatkan sebagai keganasan terburuk dalam tempoh 30 tahun.
Sebuah kedai pakaian wanita di lokasi perniagaan utama bandar itu dibakar bersama sebuah perpustakaan lama dekat Salford.
Perusuh turut memecahkan pintu kaca dan masuk ke dalam Arndale, pusat beli belah utama Manchester. Beratus-ratus remaja kemudian merempuh masuk kedai itu dan mencuri pakaian dan kasut.
Di Nottingham, perusuh membaling bom api ke sebuah balai polis dan membakar sebuah sekolah serta kenderaan di luar satu lagi balai polis.
Sekurang-kurangnya 90 orang ditahan selepas cuba mencuri barangan dalam kedai, kolej, pusat masyarakat dan kenderaan.
Di Liverpool, 200 belia membaling pelbagai benda ke arah polis dan anggota bomba memaksa pihak berkuasa menahan 44 orang.
Di London, kedai, pejabat dan sekolah ditutup awal berikutan kebimbangan rusuhan baru akan meletus. Beberapa kawasan perniagaan yang selalunya sibuk dilaporkan tenang kerana pemilik kafe, restoran dan pub menutup perniagaan sejak malam kelmarin.
Di kebanyakan kedai, langsir logam diturunkan dan banyak pemilik tempat perniagaan menutup tingkap kedai dengan kayu sebelum malam. - Agensi
/hwa: bharian.com.my | 11/8/11
Apa iktibar rusuhan di London...
bhnews@bharian.com.my
2011/08/11
Keterbukaan Britain terhadap generasi muda akhirnya undang padah
RUSUHAN di London dan beberapa bandar lain di sekitarnya yang dilakukan oleh generasi muda di negara berkenaan adalah cerminan sebenar sikap remaja di Britain – terlalu nakal, angkuh, ganas dan tidak menghormati orang lain akibat budaya bebas tanpa batasan.
Kejadian yang berlaku menyebabkan Britain terjebak dengan kesan negatif keterbukaannya. Remaja terbabit bukan saja bersikap sedemikian kepada rakyat tempatan, tetapi juga terhadap pelancong asing.
Ini adalah sebahagian daripada sikap ‘hooligan’ golongan ini, yang juga dikenali sebagai ‘Yob’ atau remaja ganas dan agresif. Pendek kata, jika berada di London, jangan cuba bertembung atau berselisih dengan kumpulan ini. Jika nasib tidak baik, padah akibatnya.
Perkara sama berlaku ke atas seorang pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, kelmarin, yang patah gigi dan cedera rahangnya selepas dibelasah dan disamun kumpulan perusuh itu. Menurut rakannya, Sheikh Muhammad Faris Jamil Azhar, mereka sedang berbasikal untuk berbuka puasa di rumah seorang rakan di Hartslane dan tiba-tiba terserempak dengan perusuh yang jumlahnya terlalu ramai. Asyraf terus mengayuh basikalnya dan diserang.
Rusuhan ‘Yob’ itu bermula Sabtu lalu di Tottenham, apabila sekumpulan remaja membantah tindakan polis menembak seorang suspek berkulit hitam, Mark Duggan dua hari sebelumnya.
Tottenham ialah sebuah daerah yang mempunyai kadar pengangguran tertinggi di London. Menurut laporan, ia juga mempunyai rentetan ketegangan kaum di kalangan generasi muda, terutama berkulit hitam.
“Isu ini antara kami dan mereka, pihak polis,” kata seorang remaja di sebuah kawasan perumahan mundur di daerah Hackney, yang mana perusuh itu mula menyerbu masuk ke dalam premis kedai dan melakukan kecurian pada malam Isnin lalu.
Polis berkata, mereka tiada sebab untuk membantah. “Tiada sebarang ketidakadilan atau sesuatu yang berlaku sehingga mencetuskan huru-hara. Ia adalah perbuatan jenayah semata-mata, sesuatu yang paling dahsyat pernah saya lihat sebesar ini,” kata Penolong Ketua Konstabel, Gary Shewan.
Keganasan turut melanda bandar raya lain di England malam kelmarin, tetapi di London, di mana anggota tambahan polis ditempatkan, keadaan secara umumnya sudah kembali pulih berikutan huru-hara selama tiga malam berturut-turut di mana remaja merempuh dan merosakkan harta benda awam.
Kejadian itu juga bukti bahawa bahayanya jika perhimpunan haram dibiarkan berlarutan sehingga boleh mencetuskan rusuhan. Peristiwa di England itu harus menjadi pengajaran kepada negara lain, termasuk Malaysia, bahawa api perkauman dan kemarahan tidak boleh dibiarkan menyemarak kerana ia boleh menjadi bertambah buruk sehingga tidak dapat dikawal lagi.
Bayangkan apa yang akan terjadi di sebuah negara pelbagai kaum seperti negara kita jika perhimpunan haram dibenarkan? Sudah tentu ada pihak lain akan mengapi-apikannya sehingga mencetuskan huru-hara dan memudaratkan kehidupan rakyat lain yang tidak menyokong tindakan sedemikian.
Ketika perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) yang lalu, polis dikecam kerana menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air bagi meleraikan penunjuk perasaan. Kini polis di England pula dikatakan sudah mempunyai hasrat untuk menggunakan kaedah itu kerana gagal dengan cara tindakan minimum yang diamalkan sekarang.
Rusuhan selama empat hari itu mengakibatkan kerugian £100 juta (RM501 juta), sementara pihak polis memerlukan peruntukan tambahan bagi menampung operasi yang dijalankan. Sebanyak 16,000 anggota daripada 30 pasukan ditempatkan di London bagi mengawal rusuhan berkenaan, berbanding 6,000 pada malam Isnin lalu.
Setakat ini, 111 pegawai polis cedera dalam keganasan itu selepas mereka dilempar batu, botol dan kayu. Kira-kira 685 orang ditahan oleh Scotland Yard sepanjang empat malam rusuhan itu berlaku dan 111 orang diheret ke mahkamah bagi kesalahan mencuri dan memiliki senjata api.
Perdana Menteri Britain, David Cameron terpaksa mengadakan sidang tergempar Parlimen semalam bagi membincang rusuhan itu.
Kejadian itu adalah ujian terbesar kepada Cameron ketika Britain berusaha untuk keluar daripada kemelut ekonominya. Ia juga menunjukkan kepada dunia imej buruk London, sebelum menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Sukan Olimpik 2012, satu-satunya acara yang diharapkan dapat menarik tumpuan seperti perkahwinan diraja April lalu.
/hwa: bharian.com.my | 11/8/11
Semarak Merdeka!
Makan malam mencurigakan
- Majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya, pada malam 3 Ogos lalu menimbulkan banyak unsur syak wasangka sehingga menarik perhatian JAIS dan polis.
- Menurut satu sumber, selain dihadiri 12 orang Islam, jemputan ke majlis itu dibuat secara tertutup walaupun pesertanya di kalangan orang bukan Islam.
- Lebih menghairankan, tiga peserta Islam cuba dibawa keluar menerusi pintu belakang, menyanyikan lagu Alhamdulillah dan Allahuakbar, serta soalan kuiz Islam turut diberikan kepada peserta.
- Penganjuran majlis itu juga disyaki untuk menarik minat orang Islam kerana mempamerkan ciri-ciri seperti bunga manggar di pintu masuk dewan, peserta bukan Islam memakai baju kebaya dan kurung.
- Beberapa blog termasuk Gerakan Anti PKR di http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com menerusi entri bertajuk Eksklusif: 12 Melayu di Gereja MCDC didedahkan!! Sebarkan turut mendedahkan perkara sama.
10 Ogos 2011
Semarak Merdeka!
10 OGOS 2011: Penduduk Kampung Paya Berenjut berarak sambil menjunjung talam berisi juadah berbuka puasa yang ditutup dengan tudung saji yang dihiasi Jalur Gemilang untuk berbuka puasa beramai-ramai di Program Kembara Ramadan Jalur Gemilang di Masjid Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu. - Utusan/AZLAN BAHRUM
Murtad: Mudah-mudahan kita tidak terus buta perut!
NEGARA digemparkan lagi dengan usaha permurtadan. Terbaru ialah kontroversi melibatkan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama pihak polis di sebuah gereja Methodist di Damansara Utama 3 Ogos lalu.
Minggu ini, saya menerima tulisan daripada seorang aktivis parti Pas, yang terlalu taksub kepada parti itu, tapi kini terpaksa menangis tersedu-sedu kerana kelakuan parti itu yang sudah tidak sedarkan diri, takbur dan menghalalkan cara, demi ketamakan kuasa politik mereka.
Ikuti tulisan Saudara ANUAR SAHUDIN, seorang yang mengaku sebagai peminat Cuit dan percaya kepada idealisme perpaduan Pas-UMNO. Tulisannya bertajuk: Toleransi dibalas tamparan.
SEBENARNYA isu ini bukan isu baru. Tahun 2008 Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria telah menggemparkan negara apabila mendedahkan laporan Persatuan Paderi Malaysia yang mengisytiharkan lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian.
Umat Islam harus disedarkan oleh isu ini. Ini adalah akibat percakaran politik yang berlaku antara sesama umat Islam di negara ini, dan kelalaian kita. Iaitu antara UMNO dan Pas.
Pas perlu menyedari akibat tolakan ke arah perdamaian yang dihulurkan UMNO mengakibatkan musuh-musuh Islam bertambah berani menuntut pelbagai tuntutan yang sebelum ini jarang kedengaran, terutama kemuncaknya dalam isu kalimah Allah.
Dalam isu kalimah Allah umpamanya, 70 NGO Islam menolak hasrat Katholik, yang menerimanya hanya Pas dan Pakatan Rakyat (PR) sahaja.
Sepatutnya dalam isu-isu melibatkan kepentingan umat Islam dan Islam kita bersatu. Tetapi sebaliknya, demi untuk meraih undi, kepentingan puak dan parti politik Pas sanggup merugikan kepentingan sendiri, bahkan menjual agama. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. Riduan Tee Abdullah bahawa dalam isu kalimah Allah umpamanya kita telah kalah. Dr. Riduan Tee berkata, misalnya terbaru, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya. Mereka mahu mengimport dan menterjemahkan al-kitab Melayu sebanyak yang mungkin.
Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka ada agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita? Ujar Dr. Ridhuan.
Isu usaha pemurtadan bukan isu baru dan berlaku di negara ini sahaja, tapi berlaku juga di negara jiran iaitu di Indonesia.
Sebuah majalah yang memenangi johan sebagai majalah berita Islam Terbaik 2010, Sabili, edisi 6 Januari 2011, mendedahkan, mengutip daripada pendedahan majalah Time bahawa tingginya pertumbuhan Kristian di Indonesia.
Majalah ini juga mendedahkan bahawa jumlah gereja adalah melebihi jumlah masjid, berbanding populasi penduduk kedua-dua pihak penganut agama di negara tersebut.
Sabili edisi 7 April 2011 mendedahkan terdapat usaha oleh Gerakan Global Gereja menyasarkan Indonesia tahun 2020 bermajoriti pemeluk Kristian.
Majalah yang sama pula mendedahkan Anwar Ibrahim menerima penghargaan daripada sebuah agensi Yahudi bernama Rand Corporation, sebaris dengan tokoh Jaringan Islam Liberal Indonesia seperti Ulil Absar Abdalla dan Azyumardi Azra kerana jasa-jasanya dalam mendukung kebebasan bersuara (kebebasan yang terlajak. Indonesia menyebutnya kebablasan).
Kalau anda membaca majalah di atas anda akan selalu mendapati ada saja usaha pemurtadan berlaku setiap hari di sana. Antara cara yang mereka guna untuk memurtadkan umat Islam ialah dengan memujuk secara halus, iaitu dengan menghulurkan bantuan kewangan, makanan, atau keperluan harian. Malah usaha ini telah pun berlaku sejak zaman Almarhum Prof. Dr. Hamka lagi.
Jadi eloklah umat Islam di Malaysia mengambil iktibar dan peringatan apa yang ditulis oleh almarhum sekitar tahun 70-an dulu lagi. Memang pihak Kristian tidak pernah jera dan suka memprovokasi umat Islam. Tambahan pula apabila melihat kita terpecah-belah seperti saat ini.
Elok saya petik sebahagian tulisan Almarhum Prof. Dr. Hamka untuk renungan bersama:
‘‘Kita kaum muslimin sebagai golongan terbesar jumlahnya di negeri ini (Indonesia) telah menerima dengan puas dasar Pancasila. Sebab selalu dijelaskan, bahawa sumber dari sila yang empat ialah sila pertama; Ketuhanan Yang Maha Esa. Kita sudah merasa tenteram dengan akidah itu. Tetapi rupanya misi Kristian, dengan perbelanjaan berjuta dolar dari luar negeri datang ke mari membonceng Pancasila itu. Mereka terima Pancasila, tetapi bukan seperti yang kita fikirkan selama ini, bahawa Allah itu Esa adanya.
“Dengan membonceng Pancasila mereka menyebarkan ajaran pengganti ajaran Lailahaillallah itu, dengan mengeluarkan wang berjuta pound sterling dan dolar mereka hendak menukar Ketuhanan Yang Maha Esa itu dengan tafsiran menurut ajaran mereka, iaitu “Tidak ada Tuhan melainkan tiga, dan tiga itu ialah satu”. Allah Bapak ialah Yesus, dan Yesus itu ialah anak, dan anak itu ialah Bapak. Kumpulan ini minta dihormati. Mereka minta tanah, walaupun di tengah-tengah kampung orang Islam yang ber-Ketuhanan Yang Maha Esa sejati; demi Pancasila. Menurut keyakinan mereka, agama Islam ini belum sah. Kita masih kafir kalau kita belum mengakui bahawa Nabi Isa itu adalah Tuhan. Bahawa Nabi Isa itu adalah Allah sendiri yang menjelma menjadi manusia.”
Tulis Prof. Dr. Hamka lagi: Pada suatu malam seorang ulama besar di Jakarta bernama K.H.S.S. Djam‘an mengupas dan menafsirkan ayat al-Quran, surah al-Kahfi, ayat 4 dan 5; “Dan (Nabi itu) mengancam (masuk neraka) orang-orang yang berkata bahawa Allah mempunyai anak. Tidak ada pengetahuan mereka yang benar tentang itu, dan tidak pula nenek moyang mereka. Amat beratlah kata-kata yang keluar dari mulut mereka itu; tidak ada kata-kata mereka itu melainkan bohong semata-mata.”
Kiai Djam‘an yang telah seumur hidup menjadi guru Islam dan mubaligh, dengan sepenuh iman menerangkan pokok sendi kepercayaan Islam itu, kerana menafsirkan ayat itu telah mengalami satu hal yang selama hidupnya tidak disangka-sangka. Beberapa saat setelah habis beliau memberikan penerangan itu, rumah beliau dikepung oleh beberapa pemuda Kristian yang galak dan gagah berani. Beliau dituduh kerana membuka tafsir ayat itu, menuduhnya anti Pancasila.
Kiai Djam‘an dipanggil ke Balai Polis kerana ada laporan beliau anti Pancasila.
Tidaklah mustahil pada akal, dalam beberapa tahun lagi, kalau umat Islam masih lalai dalam mempertahankan pokok akidahnya, bahawa nasib kita di sini akan sama dengan dengan nasib umat Islam di Ethiopia.
Golongan minoriti suku Amhara, iaitu suku Kaisar Haile Selassi sendiri menindas umat Islam, dan menjalankan rencana mengkristiankan mereka dengan seluruh alat kekuasaan yang ada.
Apalagi kalau umat Islam di sini masih saja bercakar-cakaran kerana perebutan pengaruh sesamanya.
Kalau orang sudah berani mengepung tempat mengajar Kiai Besar ternama, mubaligh dan Guru Agama Islam yang telah berjuang sejak kecil untuk menegakkan tauhid dalam negeri ini, bagaimana dengan kita?
Sudah sampai begini sekarang, saudaraku kaum muslimin. Dan kita disuruh toleransi. Saya mengatakan Islam dalam bahaya. Dahulu bahaya komunis, sekarang bahaya gerakan Kristian yang menumpahkan dan menumpukan seluruh kekuatannya buat mengkristiankan umat Islam dalam negara kita.
Saya tidak membenci kawan sebangsa yang berlainan agama, tetapi saya menentang subversif kerohanian yang datang dari luar.
Prof. Dr. Hamka berkata lagi: ‘‘Sebagai putera Indonesia, saya setia dengan Pancasila, apa lagi dasar pertama ialah percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa. Bukan saja saya, apalah ertinya saya! Tetapi seluruh umat Islam dan pemimpinnya yang belum dapat dibeli oleh pujukan duniawi, akan tetap menegakkan toleransi dalam negeri ini. Akan tetap berkasih sayang dengan pemeluk agama yang lain. Tetapi saya dan seluruh kaum muslimin akan menentang seluruh aksi dan seluruh kecurangan yang dilancarkan dengan nama agama.”
Gerakan untuk mengkristiankan Melayu Islam di negara ini merupakan perancangan antarabangsa dan ia telah lama dikesan. Contohnya pendedahan buku Rencana Pendirian Persemakmuran Kristian di Asia Tenggara - Surat Arroyo Kepada Bush, tulisan-tulisan Dr. Adian Husaini, Ketua Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDII), dalam bukunya yang berjudul Membendung Arus Liberalisme di Indonesia, dan tulisan-tulisan Dr. Riduan Tee Abdullah.
Sebaliknya malang apabila Haji Hadi (Presiden Pas) terus mengambinghitamkan UMNO dengan menuduh bahawa isu ini hanya helah BN untuk menutup isu pilihan raya bersih.
Kenyataan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md Zin patut disokong semua pihak. “Apa saja usaha atau tindakan menyebarkan agama lain kepada umat Islam di negara ini dianggap bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan ia perkara serius dan perlu diambil tindakan tegas.”
Pas misalnya sering menuduh UMNO tidak Islamik, menolak Islam, dan itu dan ini.
Mereka membutakan mata atas pengiktirafan Syeikh Al-Azhar bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam terkehadapan, dan mengiktiraf peranannya di mata dunia.
Bukan itu saja, Dr. Adian Husaini, Ketua Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDII), yang bukunya berjudul Wajah Peradaban Barat, turut memuji Malaysia, bahkan katanya pelaksanaan Islam di Malaysia jauh lebih baik berbanding Indonesia, padahal Indonesia hampir 90 peratus penduduknya beragama Islam, manakala Malaysia cuma kira-kira 55 peratus lebih sedikit, tapi Malaysia lebih komited dan lebih unggul dalam menjaga kesucian agamanya.
Perkim contohnya berjaya mengislamkan kira-kira tiga ribu orang bukan Islam setiap tahun, menjadikan Malaysia hari ini adalah sebuah Negara Islam yang paling berjaya dalam bidang dakwah. Contoh-contoh lain banyak, yang rasanya tidak perlu penulis mengulanginya lagi di sini.
Pemerintah Malaysia berjaya melaksanakan Islam dengan baik, dalam keadaan sebagaimana disebut di atas, walaupun kita belumlah berpuas hati sepenuhnya, padahal Prof. Dr. Hamka menulis dalam Tafsir Al-Azhar halaman 1752, terbitan Pustaka Nasional, cetakan pertama 1983, “Kerana kita pun tahu bahawasanya untuk mencapai suatu cita-cita yang sah dan luhur, wajib juga kita mempertimbangkan ruang dan waktu. Dan tidaklah kita diberi beban oleh Allah melebihi daripada tenaga dan kemampuan yang ada pada kita.
Sebab pekerjaan membentuk undang-undang dari sebuah negara yang telah didirikan dengan kesepakatan segala golongan itu, padahal negara itu dahulunya bekas jajahan, bukanlah semudah apa yang dikhayalkan oleh fikiran.”
Lalu kita balik bertanya kepada Pas, apakah tolakan mereka supaya berdamai dan bersatu oleh UMNO, padahal ini sangat diperintahkan oleh Islam, dalam masa yang sama lebih rela bersekongkol dengan pihak yang jelas-jelas ekstrem, iaitu DAP, yang mengatakan “kalau mahu dirikan negara Islam, langkah mayat saya dulu,” memaki hamun, dan seolah-olah apa yang kerajaan buat tidak ada satu pun yang baik, padahal mereka menikmati berbagai kemudahan dan rezeki di bawah pemerintahan yang mereka anggap jahat dan tidak Islamik.”
Apakah juga parti Keadilan pimpinan DSAI yang penuh kontroversi itu lebih Islamik dan tidak sekular? Dan mereka yang sanggup mengecam saudara sesama Islamnya sebagai syaitan. Beginilah bunyinya pantun seorang pentakfir Pas dari Rantau Panjang, Kelantan, sekitar tahun 1999:
Wa wa bule, wa bule teraju tigo
Undi parti Isle, mati seksok masuk surgo
Wa wa bule, wa bule teraju tigo
Undi parti sete, mati seksok masuk nerko
(Wau wau bulan, wau bulan teraju tiga
Undi parti Islam, mati nanti masuk syurga
Wau wau bulan, wau bulan teraju tiga
Undi parti syaitan, mati nanti masuk neraka)
Apakah ini lebih Islamik, dan layak keluar dari sebuah pertubuhan yang mendakwa sebagai sebuah gerakan Islam, yang membawa-bawa nama Rasulullah SAW? Renung-renungkanlah. Penulis bersetuju dengan pandangan Dr. Riduan Tee Abdullah, bahawa masa bermain-main sudah tamat. Sekarang adalah masa bekerja dan memikirkan masa depan umat Islam secara keseluruhan.
Ingatlah! Orang kafir sentiasa merancang untuk memusnahkan Islam. Tanpa putus asa, mereka sentiasa mengkaji setiap kelemahan umat Islam.
Strategi ini tidak pernah berhenti kerana ia adalah senjata yang paling berkesan. Menunggu masa sahaja untuk menggunakan senjata itu sepenuhnya. Hari ini senjata tersebut telah pun digunakan. Mungkin kita buat-buat tidak berapa perasan. Situasi yang dihadapi oleh umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuhnya. Ini bukan masa untuk saling menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya inilah masanya untuk insaf dan bersatu merapatkan saf.
Inilah masanya untuk mengikuti jejak Fatah dan Hamas yang berdamai, lalu kita pertahankan agama dan perkukuhkan kekuatan kita. Apabila kita bersatu dan teguh percayalah tidak akan ada mana-mana pihak berani bersikap kurang ajar, biadap dan mengambil kesempatan meraup keuntungan. Strategi mereka memang licik dan penyamaran mereka memang halus. Mudah-mudahan kita tidak terus buta!
/hwa: utusan.com.my | 10/8/11


